Monday, July 25, 2016

Amalan Baca Surah Al-Qadr 7 Kali Di Kubur - Bukti Dari Kitab, Jawapan Kepada Wahabi.

Assalamualaikum semuanya, semoga senantiasa di bawah pemeliharaan Allah. Posting saya kali ini adalah bagi menjawab tuduhan beberapa pihak yang mengatakan amalan mengambil tanah dan dibacakan Surah al-Qadr sebanyak 7 kali, kemudian diletakkan di sisi mayat tidak ada sumbernya.Ini berikutan saya memasukkan amalan ini di dalam posting facebook saya, maka bertebaranlah datangnya komentar-komentar dari mereka yang sebenarnya tidak pernah bertalaqi dengan komentar-komentar berupa cacian, penghinaan dan lain-lain lagi terhadap apa yang saya tulis.Lebih parah lagi apabila apa yang saya tulis dijawab pula oleh seorang pemuka Wahabi yang bertitle "Dr", mempunyai sijil PhD dalam bidang Hadith dengan mengatakan ia adalah amalan orang-orang Syiah, sedangkan tidak dibuktikan langsung terdapat kitab-kitab Syiah menulis amalan ini. Alhamdulillah, besarnya kekuasaan Allah untuk melenyapkan kebathilan fahaman Wahabi di negara ini, selang tidak berapa lama, pemuka Wahabi yang berbangga dengan PhDnya akhirnya mendapat surat daripada Majlis Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dengan ditandatangani surat tersebut oleh Yang Berbahagia Dato' Mufti Selangor, melarang pemuka Wahabi tersebut menyampaikan ceramahnya di Selangor, samada di masjid-masjid, surau-surau, IPTS, IPTA dan sebagainya. Maka posting saya kali ini adalah untuk membuktikan bahawa amalan tersebut terdapat dalam kitab-kitab Ulama' terdahulu tetapi ada juga di kalangan para Ustaz-Ustaz yang seolah-olah sudah tidak ada modal untuk menyampaikan kuliah di masjid dan surau, mengatakan amalan ini tiada asasnya.Adalah lebih baik bagi mereka yang tidak pernah bertalaqi sejak kecil lagi apatah lagi di pondok-pondok dengan beberapa masyaikh berkata "saya tidak tahu" daripada cuba menunjuk pandai mengomentar kepada masyarakat awam ketika menyampaikan kuliah mereka. Maka itu, di sini saya sertakan bukti-bukti yang kukuh daripada mana amalan ini di ambil, bukan sekadar berkokok tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan yang sedikit.

Tuesday, November 17, 2015

Majlis Zikir Perdana Di Masjid Putra, Putrajaya

Alhamdulillah, dengan keizinan dari Allah, al-Faqir telah menghadiri majlis zikir perdana yang dianjurkan oleh Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia pada 7 November 2015.Kehadiran al-Faqir telah disambut oleh beberapa jurukhidmat dan al-Faqir telah ditempatkan bersama-sama para VIP yang ada.Sesungguhnya al-Faqir tidaklah mahu dan merasakan tidak layak untuk dibariskan bersama-sama para VIP dan para Ulama Tarekat yang ada namun itu semua adalah aturan Allah jua.Terima kasih diucapkan kepada pihak jurukhidmat Ulama yang telah berkhidmat juga untuk al-Faqir yang serba dhoif ini. Semoga majlis seumpama ini seringkali dapat diadakan dari masa ke semasa untuk mengajak semua umat Islam menghidupkan amalan berzikir yang kini semakin terhakis disebabkan manusia terlalu sibuk memikirkan kehidupan duniawi.

Tuesday, September 8, 2015

Program Bedah Buku.

Syukur Alhamdulillah, kerana buku al-Faqir bertajuk "Sunnah-Sunnah Nabi Yang Dikuburkan Oleh Imam-Imam" semakin digemari dan yang terbaru ialah program bedah buku diadakan di IPG Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis Pahang.Sebelum ini al-Faqir telah membahaskan kandungan buku ini di beberapa masjid dan juga surau-surau di sekitar Lembah Kelang dan ternyata sambutan yang diberikan amat memberangsangkan.Masyarakat telah didedahkan tentang betapa pentingnya memilih seorang Imam dalam memimpin solat berjemaah apatah lagi di zaman mutakhir ini para Imam hanyalah mengambilnya sebagai satu jawatan dan bukannya sebagai pemikul amanah untuk memimpin solat dengan sempurna.Amat malang sekali apabila Imam tidak beramal dengan ilmu dan lebih ketara sekali keangkuhan mereka apabila berjawatan sebagai Imam sehinggakan tidak boleh lagi dinasihati ataupun ditegur kesalahan-kesalahan yang sering mereka lakukan dalam memimpin solat.Tambahan pula dengan para jemaah yang tidak memperdulikan permasalahan ini disebabkan tidak pernah bertalaqi mempelajari ilmu-ilmu fiqh dan hadis-hadis Nabi dengan sebenar-benarnya.Semoga dengan pencerahan dari al-Faqir dapat dimenafaatkan oleh seluruh masyarakat untuk benar-benar memahami kaedah solat secara sunnah yang dianjurkan oleh Nabi Shallallahu alaihi wassalam. Al-Faqir mengucapkan jutaan terima kasih kepada Guru Mulia Al-Alim Al-Alamah Al-Faqeh Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki hafizahullah yang telah berkesempatan menyemak buku ini dengan memberikan juga sedikit penambahan ilmu di dalamnya, semoga Allah memanjangkan usia beliau dan senantiasa diberkati hidupnya, begitu juga kepada Ustaz Muhadir Hj Joll hafizahullah yang telah sudi menyampaikan kata-kata aluan untuk buku terbaru ini, semoga Allah merahmati mereka dengan rahmatNya yang luas.

Sunday, August 23, 2015

Assalamualaikum semua.Agak lama sudah tidak menulis di blog ini disebabkan kesibukan dengan jadual-jadual pengajian saban hari.Namun begitu dengan izin Allah SWT, al-Faqir telahpun menerbitkan sebuah buku bertajuk "Sunnah-Sunnah Nabi Yang Dikuburkan Oleh Imam-Imam". Buku ini telah disemak oleh Tuan Guru Mulia Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki hafizahullah, seorang Ulama Tersohor Nusantara dan diberi kata-kata aluan oleh Ustaz Muhadir Hj Joll hafizahullah.Semoga dengan buku ini akan memberi lebih pencerahan kepada semua Imam-Imam yang memegang amanah memimpin solat berjemaah.Buku ini merangkumi kesemua aspek tentang tugas seorang Imam dengan disertakan dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadith.Buku ini juga telah diserahkan kepada Dato' Zulkifli al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dan pengedarannya akan diperluaskan ke seluruh negara.

Sunday, March 22, 2015

Buku Tulisanku Yang Pertama.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT dengan limpah kurnianya, selawat dan salam ke atas Baginda Nabi Sallallahu alaihi wassalam, akhirnya impian al-Faqir untuk menulis sebuah buku tercapai dengan diberi tajuk "Imam Penjamin Kesempurnaan Solat". Buku nipis yang ringkas ini padat dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi Sallallahu alaihi wassalam dan juga ungkapan perumpamaan dari Ulama. Semoga buku ini akan memberi pencerahan khususnya kepada para Imam-Imam yang memimpin solat berjemaah dan juga kepada masyarakat yang perlu tahu untuk memilih seorang Imam. Terima kasih diucapkan kepada semua guru-guru yang mendidik al-Faqir dalam pengajian secara bertalaqi, semoga semuanya dirahmati Allah.Buku ini dijual dengan harga RM10 dan semuanya adalah hasil tangan dari al-Faqir sendiri.Semoga ianya bermenafaat untuk semua.

Monday, February 23, 2015

Tausiyah Di Masjid al-Bukhary Jala Hang Tuan K.L.

Alhamdulillah, dengan keizinan dari Allah, al-Faqir telah dijemput untuk menyampaikan tausiyah di Masjid al-Bukhary Kuala Lumpur dalam program bacaan Maulid Ad'Dibaie yang diadakan pada 5hb February 2015.Di antara yang disentuh ialah di mana pada saat ini, ramai yang tidak lagi yakin untuk beramal dengan sunnah-sunnah Nabi Sallallahu 'alaihi wassalam sedangkan mereka begitu yakin untuk mengikuti apa yang dianjurkan oleh musuh-musuh Islam.Al-Faqir mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak masjid yang memberi kepercayaan kepada al-Faqir walaupun ada di antara masjid-masjid yang berdekatan dengan rumah al-Faqir tidak pernah memberi peluang kepada al-Faqir untuk menyampaikan dakwah kerana tidak suka untuk menerima apa jua kebenaran yang disampaikan apatah lagi jika teguran al-Faqir terkena kepada batang hidung para Imam-Imam yang menjadi pengkubur sunnah-sunnah Nabi Sallallahu 'alaihi wassalam.Bukankah kebenaran itu amat pahit untuk ditelan tetapi jika ia mendatangkan kebaikan, kenapa kita ingin menolaknya?Mungkin juga ada di antara para Imam tidak mahu masyarakat didedahkan dengan ilmu yang sebenar sehinggakan siapa saja yag menyampaikan kebenaran tidak akan dibenarkan untuk menyampaikan dakwah.Sepatutnya mereka sedar dan akan memperbaiki kelemahan yang ada dan bukannya takut untuk menerima teguran yang bersumberkan dalil-dalil al-Quran dan Hadith-Hadith Nabi Sallallahu alaihi wassalam.Semoga apa yang disampaikan di Masjid al-Bukhary memberi kebaikan kepada jemaah yang hadir dan setiap dari kita perlukan kepada nasihat kerana Allah SWT berfirman..."Tidaklah sama mereka yang mengetahui dengan mereka yang tidak megetahui...", dan firmanNya lagi..."bertanyalah kepada ahli zikir yakni mereka yang diberikan ilmu setiap apa yang engkau tidak ketahui...."

Thursday, January 22, 2015

Ceramah Maulidurasul Di IKTBN Sepang.

"Jangan Kecewakan Rasulullah ﷺ ", itulah tajuk yang dipilih untuk al-Faqir menyampaikan tausiyah di Surau Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Sepang. Alhamdulillah, al-Faqir telah dapat menyampikan tausiyah kepada seluruh warga IKTBN Sepang tentang amalan-amalan sunnah yang kebayakannya tidak lagi diamalkan oleh masyarakat hatta ia juga dikuburkan oleh para Imam-Imam masjid dengan tanpa rasa bersalah telah membuatkan Nabi ﷺ kecewa.Di antaranya bacaan-bacaan surah di dalam solat tidak dibaca secara berurutan hatta pada Hari Jumaat yang penuh dengan kemuliaan yang disebut sebagai Sayyidul Ayyam, penghulu segala hari, kebanyakan Imam-Imam seolah-oleh tidak suka dengan apa yang telah dicontohkan oleh Nabi yang sering membaca samada Surah al-Jumaah diikuti dengan Surah al-Munafiqun ataupun membaca Surah al-A'la diikuti dengan Surah al-Ghasiyah.Baginda Nabi bersabda dalam sebuah Hadith Sohih,"Barangsiapa yang lama solatnya, pendek khutbahnya, menandakan orang itu faham tentang agamanya.Kerana itu, panjangkanlah solat dan pendekkan khutbah kerana sebahagian khutbah itu adalah sihir".Begitu juga dalam pergerakan di dalam solat dan juga wirid-wirid yang warid dari Hadith Nabi ﷺ ditinggalkan oleh kebanyakan para Imam-Imam masjid. Malangnya bagi masyarakat, suara yang merdu dan sudah boleh menghafal beberapa surah sudah melayakkan diri seseorang menjadi Imam sedangkan kebanyakan mereka tidak pernah bertalaqi secara cermat kitab-kitab fiqh dan Hadith-Hadith Nabi ﷺ bagaimana untuk memimpin jemaah. Kebanyakan para Imam juga amat sukar untuk dinasihati kerana menyangka apabila sudah dipilih menjadi Imam, maka mereka seolah-olah adalah orang yang 'alim dan faqeh tentang ilmu. Selain itu juga al-Faqir menyebut juga tetang amalan-amalan sunnah seharian yang kecil seumpama mendahului kaki kiri memasuki tandas, larangan Nabi ﷺ bagi yang makan dan minum dengan tangan kiri kerana ia adalah perbuatan Syaitan, adab berada di rumah Allah dan sebagainya. Kebanyakan sunnah-sunnah yang kecil ini amat ringan untuk diamalkan tetapi kebanyakan dari masyarakat meremehkannya seolah-olah apa yang telah diajar oleh Baginda Nabi tidak ada ertinya sama sekali.Semoga apa yang disampaikan mendapat pecerahan kepada semua yang hadir dan al-Faqir berharap agar masyarakat terutamanya golongan-golongan yang menjadi pemimpin seumpama para Imam-Imam masjid menunjukkan qudwah hasanah kepada para jemaah agar beribadat berlandaskan kepada ilmu dan bukannya dengan mengikut hawa nafsu semata-mata.Baginda Nabi ﷺ bersabda,"Barangsiapa yang menghidupkan sunnah-sunnahku, orang itu mencintaiku dan sesiapa yang mencintaiku, akan berada di dalam Syurga bersamaku"-al-Hadith.