Sunday, July 13, 2008

Kuliah Subuh Di Hari Minggu Masjid Ar-Rahimah.

Seperti biasa waktu subuh di hari minggu akan kelihatan kurangnya jema'ah yang hadhir.Mungkin ada yang balik kampung atau mengambil kesempatan bangun lewat di hari cuti.Mungkin ada yang masih tidak faham bahawa tidak ada istilah cuti dalam solat.Hanya diberi kelepasan kepada muslimat yang uzur untuk tidak bersolat.

Kuliah disampaikan oleh Ustaz Syed Abdullah dari Jabatan Agama Wilayah Persekutuan.Antara kandungan kuliahnya mengajak umat Islam menginfakkan harta ke jalan Allah degan sebaik-baiknya.Inilah salah satu kunci kepada bertambahnya rezeki kita kerana tidak lokek untuk bersedekah.Beliau juga menyarankan umat Islam untuk mengamalkan membaca Al-Quran setiap hari kerana kelebihannya di sisi Allah amat banyak sekali.Kita sepatutnya menjadikan Al-Quran sebagai teman dan perlembagaan hidup kita.

Inilah satu-satunya mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w kerana sejak 1400 tahun dahulu umat Islam tidak pernah jemu untuk mendengar bacaan Al-Quran serta membacanya.Janganlah Al-Quran dijadikan sebagai perhiasan di masjid-masjid atau di rumah tanpa menyentuhnya dan memahami isi kandungan Al-Quran.

Satu lagi saranan yang disampaikan oleh Ustaz Syed Abdullah ialah bagaimanakah cara terbaik untuk kita menggunakan dana anak yatim.Beliau menyarankan agar dana tersebut tidak kesemuanya diberikan kepada anak-anak yatim kerana mereka hanya datang ke masjid setahun sekali untuk mendapatkan bantuan.Adalah lebih baik diadakan satu majlis yang bermanafaat untuk mereka bagi mendekatkan mereka ke masjid.Ini satu saranan yang amat baik bagi saya kerana akhir-akhir ini anak-anak muda yang ingin berkahwin tidak tahu hal-ehwal agama.Hinggakan ada di antara mereka menganggap semua solat itu hanya 2 raka'at kerana kebiasaan mereka hanya melakukan solat Juma'at, solat sunat Idilfitri dan AidilAdha sahaja.

Semoga jema'ah yang hadhir berjema'ah dan mendengar majlis ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Syed Abdullah dilimpahkan seribu kerahmatan oleh Allah s.w.t.

No comments: