Saturday, August 16, 2008

Al-Quran Untuk DiBaca,DiFahami & DiAmalkan.


Beristighifar panjang apabila saya mendapat berita tentang perbuatan bersumpah dengan menggunakan kitab suci Al-Quran.Al-Quran adalah salah satu mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah kepada junjungan Rasullullah s.aw.Al-Quran ditinggalkan sebagai pegangan hidup umat Islam untuk kita amalkan kandungannya setiap hari.Namun berapa ramaikan umat Islam masakini mengamalkan setiap hari membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran.Amat malang sekali apabila Al-Quran hanya digunakan sebagai alat untuk menyatakan tentang kebenaran diri membuat tuduhan kepada seseorang.Kita takut akan ramai umat Islam akan menggunakan kaedah yang sama apabila ingin membuktikan setiap tuduhan kepada umat Islam yang lain.

Sumpah laknat(Li'an) yang telahpun dilaksanakan sebenarnya ialah sumpah isteri di hadapan hakim berhubung tuduhan suami bahawa isterinya berlaku curang.Si suami mengucapkan sumpah empat kali bahawa dia mengaku benar dengan tuduhannya bahawa isterinya curang dan yang kelima ia mengucapkan "kutuk Allah ke atas dirinya kiranya dia dusta".Kemudian isterinya mengucapkan sumpah empat kali pula bahawa sisuami berdusta dengan tuduhannya dan yang kelima mengucapkan murka Allah ke atas dirinya kalau suaminya benar dengan tuduhannya.Setelah keduanya mengucapkan sumpah dengan sendirinya terjadilah penceraian di antara keduanya untuk selama-lamanya.

Sebenarnya sumpah dengan menggunakan kitab suci Al-Quran adalah amalan yang dilakukan oleh penganut kristian yang menggunakan kitab mereka dalam bersumpah.Saya amat merasa malu apabila majikan saya seorang penganut kristian menyamakan perbuatan Saiful sama dengan amalan ugama mereka.Sepatutnya sebelum kita melaksanakan sumpah tersebut haruslah dirujuk dahulu kepada ulama muktabar apakah perlu ia dilaksanakan.Namun kini negara kita telah dikuasai oleh ahli agamawan yang berkepentingan sahaja hingga sanggup menghalalkan perbuatan sumpah dalam isu liwat.Perbuatan bersumpah itu juga dihebahkan ke seluruh dunia dan disokong pula oleh mereka-mereka yang berkepentingan yang jahil ugama.

Tuduhan liwat-meliwat ini juga sudah sampai ke peringkat pihak berkuasa dan juga mahkamah.Yang menuduh mengatakan bahawa dia bersumpah dan menyerahkan kepada Allah swt untuk menghukum.Tetapi di sini saya amat kesal kerana yang menuduh hanya ke masjid untuk bersumpah tanpa menunggu waktu solat Maghrib berjemaah.Sememangnya sudah menjadi amalan masyarakat Islam kini hanya ke masjid apabila ada urusan seperti urusan nikah-kahwin,kematian dan juga yang berkepentingan peribadi.Adalah lebih baik bagi sipenuduh menyerahkan kepada Allah swt dengan banyak melakukan solat hajat dan Qiamullail bersendirian antara dirinya dengan Allah swt sahaja.Itulah pengaduan yang paling baik untuk kita amalkan.

Dirawikan pada suatu hari Rasullullah s.a.w melewati bangkai kambing lalu baginda bersabda,"Tidakkah engkau lihat bangkai ini telah dihinakan oleh pemiliknya?"Lalu dijawab oleh mereka,"Jelas saja hina.Buanglah dia".Rasullullah s.a.w bersabda,"Demi Zat yang Aku dalam kekuasaannya.Sesungguhnya dunia ini lebih hina bagi Allah daripada bangkai kambing ini bagi pemiliknya.Kalau dunia di sisi Allah sebanding dengan nyamuk,tidak akan seteguk air pun diberikan kepada orang kafir."Begitulah kehinaan dunia ini di sisi Allah maka adakah kita amat yakin bahawa Allah akan memandang kepada perbuatan kita bersumpah?Kalau hanya sekadar melafazkannya tanpa kita mengamalkan isi kandungan Al-Quran dan syariat Islam maka adakah sumpah kita itu akan dipandang oleh Allah?Sedangkan untuk berdoa perlu kita membersihkan diri dari memakan barang-barang yang haram untuk diterima Allah.Sesungguhnya Allah itu amat adil balasannya jadi cukuplah untuk kita berdoa banyak-banyak dengan sesungguh hati dan bukannya sekadar bersumpah dengan niat untuk meyakinkan orang lain.Bagi yang dituduh banyak-banyaklah melakukan solat malam,solat hajat,solat taubat dan memohon dari Allah agar senantiasa dilindungi dari fitnah dajal.

No comments: