Saturday, August 30, 2008

Marhaban Ramadhan Al Mubarak.

Insyaallah pada Hari Isnin iaitu pada 1/9/2008 umat Islam akan sama-sama menunaikan satu lagi rukun Islam iaitu berpuasa di bulan Ramadhan.Kedatangan bulan yang dinanti-nantikan oleh golongan beriman kerana ganjaran berlipat ganda yang dijanjikan Allah kepada setiap amalan yang kita lakukan.Uniknya pada bulan Ramadhan sahajalah umat Islam sama-sama mengerjakan solat sunat Tarawikh yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.Masjid-masjid dan surau-surau akan mula sesak untuk umat Islam bertarawikh tapi hanya sehingga 8 rakaat sahaja.Minggu pertama akan bersemangatlah kita untuk bertarawikh namun masjid kembali suram apabila masuk minggu ketiga dan terakhir.Inilah yang berlaku saban tahun kerana ibadat puasa itu hanyalah sebagai amalan menahan lapar dan dahaga tanpa kita memahami dan mengambil iktibar kelebihan Ramadhan itu.

Sebelum kedatangan Ramadhan syurga-syurga Allah akan dihias namun umat Islam di negara kita menghias rumah apabila kedatangan Syawal.Itulah bezanya apabila kita tidak mempelajari dan mempraktikkan amalan-amalan sunat di bulan Ramadhan.Bulan Ramadhan sepatutnya adalah satu bulan untuk kita merebut peluang memohon seribu keampunan tentang dosa-dosa yang kita lakukan.Pintu langit akan senantiasa terbuka dan doa amat mustajab ketika kita berpuasa kerana Allah.Seharusnya kita tidak terlepas peluang merebutnya kerana Rasullullah s.a.w pernah bersabda,"Celakalah bagi mereka yang tidak mendapat keampunan di bulan yang mulia ini."Banyak amalan sunat yang dapat kita lakukan seperti Tadarrus Al-Quran,Qiamullail, Solat sunat Tarawikh,beriktikaf di masjid,bersedekah dan macam-macam lagi yang dijanjikan pahala berganda oleh Allah.

Penulis sempat balik ke kampung untuk sama-sama membaca surah Yassin dan tahlil arwah bersama jiran-jiran untuk dihadiahkan kepada Almarhum Ayahanda Haji Mohd Salleh Bin Jawal.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dimasukkan bersama-sama golongan beriman.Amin.

No comments: