Tuesday, August 19, 2008

Pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Rakyat Malaysia kini sibuk mengikuti perkembangan pilihanraya kecil untuk Parlimen Permatang Pauh.Hari demi hari kempen pilihanraya diadakan oleh calon-calon yang bertanding untuk meraih undi bagi mendapatkan kemenangan.Maka berbondong-bondonglah penyokong-penyokong kedua-dua parti yang bertanding berkumpul di setiap ceramah politik yang diadakan.Alangkah indahnya sekiranya ceramah ugama dihadiri oleh ribuan umat Islam seperti yang berlaku di ceramah-ceramah politik.

Dalam waktu berceramah adakalanya penceramah terlepas pandang dalam soal hukum-hakam yang terlarang malah turut mengajak pendengar sama-sama berkongsi dosa.Mana tidaknya penyokong-penyokong yang rata-rata umat Islam telah dilalaikan kerana kesibukan membantu calon-calon bertanding.Maka suburlah fitnah, mengadu domba, mengaibkan peribadi seseorang, mencaci hamun, menggelarkan dengan nama yang buruk dan sebagainya terus berkemundang akibat terpedaya dengan bisikan syaitan laknatullah.

Dalam Surah Al-Hujuraat Ayat 11 & 12 Allah berfirman,"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kaum laki-laki menghinakan kaum laki-laki (yang lain) kerana boleh jadi kaum yang dihinakan itu lebih baik dari kaum yang menghinakan, dan janganlah kaum perempuan menghinakan kaum perempuan yang lain kerana boleh jadi perempuan yang dihina lebih baik dari yang menghina.Janganlah kamu cela-mencela sesama kamu dan jangan pula panggil memanggil dengan gelaran yang tidak baik.Seburuk-buruk nama ialah fasik sesudah keimanan.Barangsiapa yang tidak bertaubat,maka mereka itulah orang yang aniaya.
Hai orang-orang yang beriman,jauhilah kebanyakan sangka-sangka buruk terhadap sesama Muslim kerana sebahagian sangka buruk itu ialah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari aib orang dan jangan pula kamu suka mengumpat yang lain.Sukakah salah seorang kamu, bahawa ia memakan daging saudaranya yang telah mati(bangkainya)?.Maka tentu kamu benci memakannya.Takutlah kamu kepada Allah.Sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Penyayang.

Dari keterangan di atas sepatutnya mereka-mereka yang berilmu seperti para ustaz, Imam yang berada sama sewaktu berkempen wajib menasihati penceramah dan penyokong akan bahayanya perbuatan mereka itu.Janganlah disebabkan kepentingan duniawi para ilmuan agama ini menjadi Syaitan bisu sedangkan mereka tahu perbuatan itu satu dosa yang amat besar dan dijanjikan Allah azab yang amat pedih.Ketahuilah kuasa Allah itulah yang sebenarnya kuasa yang akan menentukan kebenaran mengatasi kebathilan.Perbuatan kita itu akan dipersoalkan di akhirat nanti.

No comments: