Sunday, September 28, 2008

Keutamaan Hari Raya.


Tanggal 1 Syawal dinamakan Id (Hari Raya) kerana seluruh umat Islam pada hari itu telah selesai melaksanakan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan kerana taat kepada perintah Allah dan Rasulnya.
Adapun pertama kali Rasullullah s.a.w melakukan solat Idilfitri pada tahun kedua setelah Hijrah.Hukumnya sunat muakad dan Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkannya.
Dari Abu Hurairah ra,"Hiasilah Hari Raya mu dengan takbir."Rasullullah s.a.w bersabda,"Siapa membaca 'Subhanallah Wa Bihamdihi' pada hari raya tiga ratus kali serta menghadiahkannya kepada kaum muslimin yang sudah mati maka dalam setiap kubur akan memancar seribu Nur dan ketika dia mati, Allah akan menjadikan untuknya seribu Nur".

Dari Wahab Bin Munabbah ra, bahawa Iblis amat sedih apabila tiba Hari Raya dan berkumpul seraya berkata,"Wahai pemimpin kami, mengapa engkau marah?"Pemimpinnya berkata,"Sesungguhnya Allah swt telah mengampuni dosa umat Muhammad s.a.w pada hari ini.Kamu semua mesti bekerja keras dengan menyibukkan mereka dengan kelazatan dan syahwat."
Dari Wahab juga,"Sesungguhnya Allah menjadikan Syurga pada hari Idil Fitri, juga menanamkan pohon Tuba.Malah Jibril juga memilih untuk menurunkan wahyu pada hari itu dan para tukang sihir Firaun juga bertaubat pada hari itu.Sabda Rasullullah s.a.w,"Barangsiapa beribadah pada malam Hari raya kerana mengharapkan redha Allah, tidak akan mati hatinya pada hari di mana hati-hatinya mati."

Diceritakan bahawa Umar ra melihat anaknya pada Hari Raya mengenakan kasut.Beliau menangis lantas ditanya oleh anaknya,"Mengapa engkau menangis wahai ayahku?".Umar menjawab,"Aku bimbang hatimu sedih di Hari Raya, jika nanti anak-anak melihatmu mengenakan kasut baru".Kemudian anaknya berkata,"Yang seharusnya sedih itu hanyalah orang yang tiada mendapat redha Allah atau mendurhakai orang tuanya. Dan sesungguhnya aku berharap Allah swt memberikan redhaNya kepadaku sebab redhamu.Umar terus memeluk anaknya sambil menangis.

Diriwayatkan bahawa pada pagi Hari Raya, Allah swt mengutus para Malaikat turun ke bumi untuk berseru sehingga didengar oleh semua makhluk kecuali Jin dan manusia.Malaikat berseru,"Wahai umat Muhammad, keluarlah kepada Tuhanmu yang mulia.Dia akan memberikan pemberian yang agung dan mengampuni dosa-dosa yang besar".Sesungguhnya Allah akan memberi redhaNya dan keampunan kepada setiap hambaNya sewaktu mereka ke masjid untuk bersolat, bertakbir dan bertahmid.

Sebagai adat yang terus dipegang oleh umat Islam di Malaysia, kita seharusnya meluangkan masa untuk pulang ke kampung halaman setelah lama di perantauan mencari rezeki.Kepulangan kita itu bertujuan untuk sama-sama berhari raya dengan ibu-bapa, sanak saudara yang selama ini amat jarang kita temui.Inilah satu-satunya peluang yang ada bagi kita untuk bermaaf-maafan dengan semua sanak saudara disamping itu pulang semula ke kota dan bermaaf-maafan dengan jiran dan rakan taulan.Begitu indahnya Islam mengajar kita cara menyambut Hari Raya di mana disamping kita bergembira, kita juga dapat mensucikan dosa-dosa yang pernah kita lakukan akibat ketelanjuran kita sendiri.Sebaik-baiknya kita sama-sama bertakbir sepanjang Hari Raya memuji kebesaran Allah yang terlalu banyak mencurahkan nikmat kepada kita di dunia ini.

Menziarahi Kubur, Menginsafkan Diri.


Ketahuilah bahawa orang yang cerah hatinya dalam hal jenazah terdapat peringatan.Namun bagi mereka yang lalai, menyaksikannya hanya akan menambah kekerasan hatinya saja.Tanpa mereka sedar suatu hari nanti mereka juga akan diziarahi kuburnya.
Sebenarnya amalan menziarahi kubur sewaktu menjelangnya Syawal telah lama berlarutan dikalangan umat Islam di Malaysia.Tetapi berapa ramaikah yang sebenarnya mengambil iktibar dan merasakan betapa hinanya diri ini di sisi Allah sewaktu malaikat maut datang menjemput kita nanti.Sesungguhnya kita tidak akan terlepas daripada maut kerana maut itu senantiasa mengikuti kita.Sebaik-baiknya kita harus merasai betapa sedikitnya amal kita di dunia ini yang hendak kita bawa setelah kita dijemput oleh Allah nanti.Maka kuburlah tempat sebenar-benarnya tempat istirehat bagi setiap orang mukmin.

Kebanyakan kita akan takut untuk membicarakan soal mati.Apabila terdengar saja berita kematian maka ramai akan bertakziah tetapi hanya ketawa sahaja.Yang mereka perkatakan hanyalah soal warisan tanpa memikirkan dirinya akan menjadi jenazah.Ini semua disebabkan kerasnya hati mereka, memperbanyakkan maksiat dan dosa serta melalaikan diri dengan kemewahan dunia hingga kita lupa untuk sujud dan memohon ampun kepada Allah swt.

Ad-Dahak pernah berkata seorang lelaki bertanya kepada Rasullullah s.a.w,"Siapakah menusia yang paling zuhud'?Baginda bersabda,"Ialah orang yang tidak pernah melupakan kubur, meninggalkan kelebihan perhiasan dunia serta mementingkan yang kekal daripada yang fana',tidak pernah memimpikan hari esok dan menganggap dirinya termasuk ahli kubur."
Kalau Usman ra berhenti di kubur, dia selalu menangis hingga janggutnya basah dek air mata.Dia berkata,"Aku mendengar Rasullullah s.a.w bersabda,"Kubur adalah awal tempat akhirat.Jika penghuninya selamat di situ, mudahlah sesudahnya.Jika penghuninya tidak selamat di situ, maka sesudahnya akan bertambah sulit."Maka sebagai umat Islam yang senantiasa menginsafi diri, kubur adalah tempat sebaik-baiknya untuk diziarahi kerana apabila kita berzikir di sisinya kerana Allah, maka hati kita akan menjadi lembut.Sesungguhnya kubur itu akan senantiasa menunggu kedatangan kita dan sebelum kita menjadi penghuni kekal di dalamnya, hendaklah kita senantiasa menziarahinya.

Friday, September 26, 2008

Keutamaan Lailatul Qadar.

Dari Umar ra, Rasullullah s.a.w bersabda,"Barangsiapa menghidupkan malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan sampai Subuh, dia lebih ku sukai daripada beribadah tiap malam Ramadhan seluruhnya." Fatimah lalu bertanya,"Wahai ayahku, apa yang mesti dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang tiada mampu beribadah malam?"Baginda menjawab,"Hendaklah mereka jangan terus tidur, kemudian mereka duduk sesaat sahaja pada malam itu untuk memanjatkan doa kepada Allah swt.Itu lebih ku sukai daripada ibadahnya umat ku seluruhnya pada bulan Ramadhan."

Dari Aisyah ra, dia berkata, telah bersabda Rasullullah s.a.w,"Barangsiapa menghimpunkan Lailatul Qadar, melakukan solat dua rakaat dan memohon ampun kepada Allah pada malam itu, tentu Allah swt akan mengampuninya. Dia menyelam dalam rahmat Allah serta Jibril mengusap akan dia dengan sayapnya. Siapa yang diusap Jibril dengan sayapnya, pasti dia akan masuk Syurga."

Sesungguhnya ramai umat Islam kini masih tidak mahu merebut peluang yang telah dibukakan oleh Allah untuk memohon ampun dengan sesungguh-sungguhnya.Namun begitu ramai umat Islam sanggup bangun pada pukul 2 atau 3 pagi hanya kerana ingin menonton perlawanan bolasepak hingga melalaikan waktu Subuh.Apakah berjaga malam begini yang dianjurkan oleh Rasullullah?Ternyata ramai yang silap kerana sebelum dia menonton acara sukan yang diminatinya itu, alangkah baiknya dia bersembahyang dahulu dan memohon keampunan dari Allah walaupun hanya 2 rakaat.Namun tidak ramai yang berbuat begitu kerana solat 2 rakaat itu terlalu berat baginya untuk dikerjakan walaupun mereka mampu.Maka akan ramailah yang terpedaya dengan pujukan nafsu dan melalaikan perintah Allah swt.

Umat Nabi Muhammad s.a.w adalah umat yang terpilih walaupun diberikan kesempatan hidup dengan umur yang pendek berbanding umat-umat terdahulu, namun banyak amalan-amalan sunat yang mana jika dilakukan akan dibalas dengan pahala berlipat-lipat ganda.Bayangkan dengan hanya bersolat satu malam Lailatul Qadar akan dibalas dengan pahala seumpama bersolat seribu bulan.Ada setengah ulama mengatakan ia melebihi seribu bulan dan sesungguhnya bertuahlah kita sebagai umat Muhammad s.a.w berbanding dengan umat-umat terdahulu.Maka tidak hairanlah apabila Nabi Adam as memohon untuk hidup sebagai umat Muhammad s.a.w.Begitu besarnya ganjaran pahala Lailatul Qadar yang mana sangat-sangat ditunggu oleh mereka yang tahu akan keistimewaannya.

Wednesday, September 24, 2008

Penahanan Raja Petra dalam ISA.


Keputusan kerajaan menahan Raja Petra seorang penulis blog yang sensasi mendapat reaksi berbagai pihak.Ada yang bersetuju dengan penahan tersebut malah ada juga yang mengecamnya dengan lantang.Namun begitu, penahanannya di bawah undang-undang ISA seharusnya dikaji kerana negara kita mempunyai undang-undang yang mana pengadilan dan kaunseling terhadap Raja Petra harus diutamakan.Ini bagi memastikan Raja Petra mendapat pengadilan yang sewajarnya dalam menentukan kesalahan yang telah dilakukan.

Bagi saya Raja Petra seharusnya dikenakan tuduhan mempersendakan agama Islam dengan cara penulisan beliau yang keterlaluan mengenai Islam.Saya ingin memetik satu artikel beliau yang bertajuk "Malays, the enemy of Islam".Dalam artikel tersebut beliau berkata."If you really, really have nothing to do with your time, then you should attend the noonday Friday prayers at the mosque and listen to the Imam lament about the enemies of Islam who all have the agenda to destroy Islam.If not, then don't waste your time.Do something else instead".
Inilah salah satu petikan yang saya rasa amat keterlaluan yang menghina Islam.Patutlah ketika beliau ditahan pada Hari Jumaat, jam 1.10 p.m., beliau masih lagi berada di rumah sedangkan umat Islam sepatutnya sudah berada di masjid untuk menunaikan solat Juma'at.Dalam pada itu juga beliau mempertikaikan pihak berwajib JAWI membuat serbuan ke atas sebuah pusat hiburan dan menahan beberapa remaja Islam yang bekerja di pusat berkenaan.Tujuan JAWI melakukan serbuan tersebut amatlah dipuji kerana buat masa kini akhlak remaja-remaja kita yang beragama Islam sudah menjadi semakin parah.

Selain dari artikel ini beliau juga menulis sebuah artikel yang mempersendakan wanita Islam yang bertudung.Dengan berhujah melalui petikan ayat-ayat Al-Quran yang beliau sendiri tafsirkan nyata pemahaman beliau tentang aurat wanita terlalu cetek.Maka dengan itu tidak hairanlah apabila isteri beliau iaitu Marina Lee Abdullah tidak menutup aurat dan merelakan dirinya dicium oleh seorang yang lain yang bukan muhrim sewaktu naik ke pentas dalam forum "Abolish ISA".Sebagai seorang isteri yang memeluk Islam, seharusnya Raja Petra mendidik isterinya untuk menjadi seorang isteri solehah kerana sudah tentu isterinya belum faham tentang ajaran Islam yang sebenar.

Dalam forum tersebut terdapat ramai hadirin yang datang untuk memberi sokongan kepada Raja Petra.Begitu juga ada suara-suara dari pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup menggadai maruah agama kerana merelakan kesucian agama diperkotak-katikkan oleh Raja Petra.Sepatutnya mereka-mereka yang alim dalam hal-ehwal agama yang bersahabat dengan Raja Petra perlu menasihati beliau tentang cara penulisannya yang boleh merosakkan aqidahnya sendiri.Janganlah disebabkan fahaman politik yang sama maka kita buat tak tahu aja sedangkan hakikatnya kita tahu perbuatan Raja Petra itu telah mempengaruhi pembaca setianya kepada kepercayaan yang karut.Undang-undang Islam tidak mengenal samada kita keturunan Raja ataupun rakyat biasa.Namun begitu biarlah penahanan Raja Petra dijadikan sebagai amaran kepada mereka yang berani mempersendakan agama Islam yang suci. Jika Salman Rushdie diburu oleh pencinta agama Islam kerana kebiadabannya menulis buku "The Satan Verses" dan mahu dibunuh maka sebagai umat Islam, Raja Petra sepatutnya memperjuangkan Islam dan bukannya mempersendakannya.Biarlah hukuman ke atas beliau dilakukan satu kaunseling aqidah dan bukannya dengan cara penderaan dalam ISA seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Tuesday, September 23, 2008

Anak Melayu Agama Islam.

Kita selalu bangga dengan keturunan dan bangsa kita sendiri iaitu Melayu beragama Islam.Dalam Islam tidak pernah pula kita berjumpa tentang kelebihan atau kehebatan sesuatu bangsa tetapi yang banyak kita dengar dan baca sekarang ini ialah keruntuhan akhlak remaja berbangsa Melayu.Soalnya adakah keturunan bangsa Melayu itu secara automatik boleh kita rumuskan sebagai pejuang agama Islam yang hebat?Secara lisan disebabkan nama yang terpapar di kad pengenalan kita memanglah kita beragama Islam tetapi sejauh mana perintah Islam itu kita amalkan dan kita turuti?

Hanya tinggal bebrapa hari saja lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut hari kemenangan melawan godaan nafsu yang dipanggil Hari Raya Idil Fitri.Ia bermakna bagi mereka yang mengerti maksud Hari Raya tersebut kerana fitrahnya kita pada hari itu adalah bertujuan kita membersihkan segala dosa-dosa kita sepanjang bulan Ramadhan.Namun semakin hampir kita menyambutnya maka semakin lalainya anak-anak kita yang didorong dengan sokongan ibu-bapa mereka.Nampaknya saban tahun fenomena membakar mercun setiap malam semakin menjadi-jadi walaupun kerajaan kita mengharamkan budaya ini.

Jika kita sibuk untuk menambah amal ibadat pada 10 malam yang terakhir di bulan Ramadhan ini, maka anak-anak kita semakin sibuk pula menunjukkan kehebatan bunyi mercun dan meriam buluh mereka kepada rakan-rakan mereka.Setiap malam sewaktu kita mengerjakan solat sunat Tarawikh dan Qiamulail namun bunyi dentuman mercun atau meriam buluh ini semakin hebat.Ibu-bapa seolah-olah tidak peduli langsung dengan aktiviti anak-anak mereka malah ada di antara ibu-bapa turut sama membantu anak-anak mereka menyiapkan meriam buluh tersebut.Inilah bangsa Melayu yang beragama Islam yang selalu kita bangga-banggakan dan akan marah apabila ada pihak lain menghina bangsa kita.Yang peliknya hebahan pengharaman bermain mercun dan meriam buluh ini hanya sekadar hebahan sedangkan penguatkuasaan atau tindakan daripada pihak berwajib amat mengecewakan.Maka dengan itu tidak hairanlan jika terdapat perniaga yang berselindung di sebalik penjualan bunga api secara terbuka berniaga di bazar Ramadhan.

Persoalan yang timbul, bagaimanakan penjualan bunga api ini begitu mudah mendapat lesen perniagaan di bazar-bazar Ramadhan?Siapakah dalangnya yang mengeluarkan lesen ini dan apakah tiada undang-undang melarang penjualannya di bazar Ramadhan?Inilah puncanya keruntuhan akhlak remaja Melayu kerana kebanyakan mereka-mereka yang berniaga mercun ini dilindungi oleh pihak-pihak berwajib yang mereka kenal.Dengan itu tidak hairanlah jika ramai anak-anak Melayu menjadi kudung bukan kerana di kenakan hukum hudud tetapi akibat disambar mercun atau meriam buluh.

Wednesday, September 17, 2008

Ganjaran Umrah Di Bulan Ramadhan.


Alhamdullillah, sekarang sudah melepasi 16 hari umat Islam berpuasa.Sungguh pantas masa berlalu hinggakan kita tidak sedar bahawa amalan yang kita lakukan masih lagi ditahap yang rendah akibat kejahilan kita sendiri.Yang sibuk berpolitik, berniaga, shopping, membuat kuih raya, menjahit baju tempahan dan berbagai-bagai lagi kesibukan hingga kita lupa untuk merebut peluang menambah amal ibadat di bulan yang mulia ini.Tidak kurang juga banyak berlakunya persengkataan mulut antara pemimpin-pemimpin politik tanpa mereka sedar apakah ini yang diajar oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.?Rasullullah s.a.w senantiasa mengingatkan umatnya agar menjaga lidah apabila berbicara dan sebaik-baiknya kita hanya berdiam diri daripada bercakap sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.Namun kata-kata yang keluar dari mulut Rasullullah s.a.w itu hanyalah sia-sia apabila umatnya lebih mementingkan keduniaan dan lupa akan larangan berkata kepada perkara kebathilan di bulan yang penuh barakah ini.

Menunaikan umrah di tanah suci Mekah di bulan Ramadhan menjanjikan fadhilat dan ganjaran pahala yang amat besar sekali.Ia dikatakan seolah-olah kita melaksanakan fardhu haji apabila kita dapat berpuasa dan berumrah di bulan Ramadhan.Malah ganjaran bersolat di hadapan Baitullah melebihi ganjaran kita bersolat di tempat lain.Maka dengan itu tidak hairanlah apabila tibanya bulan Ramadhan maka umat Islam khasnya di Malaysia berebut-rebut mendaftarkan diri untuk berpuasa dan berumrah di Mekah walaupun perbelanjaannya agak tinggi sedikit berbanding bulan-bulan yang lain.Namun perkara yang sebaliknya pula berlaku di mana Imam-Imam di Mekah walaupun hanyalah Imam-Imam musallah berebut-rebut pula datang ke Malaysia di bulan Ramadhan.Ada di antaranya telah tiba sebelum Ramadhan lagi kerana di katakan apabila mereka datang ke Malaysia, ada juga ganjaran yang besar untuk mereka.Walaupun ganjarannya bukanlah berbentuk pahala berlipat ganda tetapi ganjaran berupa wang ringgit amatlah memuaskan untuk mereka.Inilah yang dikatakan dunia mengatasi segala-galanya hingga mereka lupa bahawa berada di Mekah untuk sebulan Ramadhan adalah lebih baik dari berada di Malaysia.Macamlah Malaysia ini tak ada Imam-Imam Hafiz lagi.

Bagi sesetengah yang berkepentingan duniawi, mereka memilih negara lain sebagai destinasi alternatif selain mengerjakan umrah di Mekah.Ada beberapa golongan berkepentingan sanggup mengeluarkan belanja untuk melawat Taiwan dan Hong Kong di bulan yang mulia ini.Alasannya adalah untuk mempelajari teknik pertanian di negara tersebut.Apakah 11 bulan yang lain itu tidak sempat untuk mereka mempelajarinya?Kenapalah di bulan yang penuh barakah ini umat Islam menjadi kalut hinggakan tidak kenal yang mana satu pahala dan yang mana satu kerja sia-sia?Sungguh malang bagi mereka kerana perintah dari seorang ketua amatlah dijunjung tinggi melebihi dari menjunjung perintah Allah s.w.t.Ini bolehlah diumpamakan seperti seorang penunggang motosikal wanita akan memakai topi keledar kerana takut disaman sedangkan dia tidak takut pada azab Allah apabila mendedahkan auratnya di khalayak ramai.Jahil Ibni Abu Jahal betul mereka ini.Inilah yang dikatakan akhir zaman sebagaimana yang pernah dikatakan oelh Rasullullah s.a.w di mana umat Islam takut kepada pemerintah yang zalim daripada takut kepada Allah s.w.t yang Maha Adil.

Monday, September 15, 2008

Akta Keselamatan Dalam Negeri - ISA.

ISA atau pun Internal Security Act masih lagi diguna pakai di sebuah negara yang mendabik dada mengaku sebagai negara Islam.Apakah hukuman ISA ini berlandaskan kepada hukum syarak yang dibolehkan oleh Islam?Tidakkah Al-Quran itu sudah cukup sempurna untuk kita jadikan sebagai perlembagaan dan rujukan sebelum apa-apa hukuman yang hendak kita laksanakan.Adalah amat malang sekali apabila para ilmuan agama masih membisu takut untuk membahaskan dan menegur pihak pemerintah tentang kejahilan mereka menggunakan hukuman ISA ini.

Firman Allah,"Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan engkau khalifah di muka bumi ini, maka hukumlah manusia dengan keadilan, dan janganlah engkau turut hawa nafsu, nanti ia menyesatkan engkau dari jalan (agama) Allah.Sesungguhnya orang -orang yang sesat dari jalan Allah, untuk mereka itu siksa yang keras, kerana mereka lupa akan hari berhisab."-Shaad (Ayat 26).
Begitu juga apabila kita dihidupkan semula dan berhadapan dengan hukuman Allah maka ia dijalankan dengan seadil-adilnya dan Allah tidak menghukum hambaNya tanpa pengadilan.

Nampaknya negara kita seolah-olah menempah ataupun menunggu azab bala bencana yang dikirimkan oleh Allah melalui tentera-tenteraNya kerana kita mempermainkan hukum hakam Islam mengikut kehendak kita.Jika hukum itu kita rasa berpihak kepada kita maka kita akan lakukannya seperti perbuatan bersumpah.Sedangkan semasa kita melakukannya kita amat jahil dan hanya mengikut kata nafsu kita saja.Di mana letaknya keperibadian kita sebagai pemerintah Islam jika hukum Islam yang termaktub di dalam Al-Quran tidak kita laksanakan.Apakah cukup dengan nama kita sebagai umat Islam tertera di dalam kad pengenalan maka kita rasa Islam kita sudah sempurna?

Nampaknya menghukum seseorang dengan ISA dan menuduhnya sebagai menghina dan mempermainkan Islam adalah kurang tepat.Sekiranya benar, mana buktinya dan apakah Islam ini terletak pada hukuman ISA saja?Kenapa mereka yang berani mengaku menjadi Rasul tidak dikenakan tindakan sedemikian?Begitu juga dengan penyelewengan tok guru yang mengajar ilmu yang sesat dengan banyaknya di negara ini, kenapa tidak disumbat ke dalam ISA?Nampaknya pihak pemerintah Islam tidak nampak akan bahayanya puak-puak yang menyelewengkan Islam kerana bagi mereka biarlah ia dipantau oleh jabatan agama saja.Inilah jahilnya pemerintah kita tentang Islam.

Sebenarnya secara sedar atau tidak ISA hanyalah satu alat yang digunapakai oleh pemerintah untuk menyekat kebangkitan politik lawan.Namun walaupun ditanya berulang kali, pemerintah tidak akan mengaku dengan jujur.Apakah dengan tidak bercakap benar itu layak kita lantik sebagai pemerintah?Jika ini yang terjadi maka negara ini hanyalah diperintah oleh golongan munafik yang kulitnya Islam tapi isinya hanya dendam,tamak haloba dan menurut telunjuk Syaitan.

Sunday, September 14, 2008

Amalan Yang Semakin Terhakis.

Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan adalah sebuah masjid lama di bawah pentadbiran JAWI.Namun Masjid lama ini seolah-olah dipinggirkan kerana tiada perubahan yang dibuat oleh pihak JAWI untuk mengindahkan masjid ini walaupun kutipan wang telah bertimbun.Kalau dibezakan dengan masjid-masjid yang lain di Wilayah Persekutuan, nampak sangat Masjid Ar-Rahimah sengaja diketepikan.

Dari struktur masjid kita lihat pula kepada petugas-petugas masjid ini seperti Muazzin, Imam-Imam dan Noja (Tok Siak).Nampak sangat bezanya kerana mereka-mereka ini seolah-olah asal ada sudahlah untuk bertugas.Pada tahun ini saya amat terperanjat apabila tiada majlis membaca surah Yassin 3 x sewaktu umat Islam menyambut malam Nisfu Sya'aban.Kalau di masjid-masjid lain malam Nisfu Sya'aban amat ditunggu-tunggu oleh para jemaah untuk sama-sama membaca Yassin 3X disamping berniat tetapi malang sekali Masjid Ar-Rahimah meremehkan amalan tersebut.

Kini bacaan Tarhim sudah tiada lagi kedengaran di masjid ini, mungkin para bilal menganggapnya tak perlu baca sebab sunat aja.Maka bilal-bilal mengambil jalan mudah dengan memasang kaset orang mengaji Al-Quran.Mereka tak perlu mengaji sebab dah ada kemudahan pasang kaset.Kalau tak sempat pasang pun tak apa jemaah bukan peduli pun, malah lagi ahli kariah suka sebab boleh tidur tak payah solat subuh.Bila nak masuk waktu baru terdengar suara bilal mengucapkan "Shada'qallah-hul'azim" dan terus azan.Tidak hairanlah apabila bacaan selawat sewaktu solat sunat Terawikh dibuat cara "short-cut" aja.Bagi mereka yang baru nak berjinak dengan solat sunat Terawikh mungkin keliru sebab ada bilal yang baca dan ada yang tak baca.Yang ambil jalan "short-cut' pula satu hal, sebab baru kita duduk tak sampai seminit dah bangun semula menyambung solat.Lafaz tarawikh dalam bahasa Arab adalah bentuk jamak dari mufrad tarawihah yang bererti istirehat.Tapi di Masjid Ar-Rahimah tarawikh dah ditukar ke "TARAWIKELIK".Ertinya cepat tarawikh cepat kita balik.Maklumlah rumah Imam jauh dari masjid jadi kenalah kayuh tarawikh laju-laju.Imam nak kelik oh......Kelik mano weh.......Putrajayo rumah hambo...............

Selain dari amalan-amalan yang baik semakin terhakis timbul pula satu lagi trend di Masjid Ar-Rahimah iaitu "tak ada kontrak sorrylah aku nak ke masjid".Ini mana punya mahzablah kita pun tak faham.Kontrak buat bubur,juadah buka puasa dan more pun satu isu juga di Masjid Ar-Rahimah.Lain kali pihak masjid jangan buka tender tapi buat pengumuman sesiapa nak buka puasa di masjid bawa bekal sendiri.Kalau ada lebih tu sedekah-sedekahlah pada orang lain, kan besar pahalanya.Bila berlaku perkara begini maka wujudlah satu perpecahan di antara pemburu kontrak dengan pihak masjid.Maka bertepuklah Iblis laknatullah sebab belumpun sempat Iblis ditambat di bulan Ramadhan dah berjaya kenakan mangsa.Terror punya Iblis memang kita tak boleh lawan.

Kalau kita nak tegur Tok-Tok Bilal ataupun Imam-Imam ni pun susah jugak sebab maklumlah mereka tu semua ustaz-ustaz.Kita yang tak bertauliah ni jadi ajalah jemaah bodoh-bodoh.Tak apalah dapat pahala berjemaah pun jadilah.Nak buat macammana sebab yang handle masjid pun kira geng muda-muda jadi main cincai sudahlah.Kalau kita lihat masjid lain yang dipimpin oleh golongan "orang lama"(kira tualah tu) maka rohnya atau semangat beribadat itu dapat kita rasakan perbezaannya.Contohnya cuba letak Ustaz Halim jadi ketua, maka semangat beribadat itu akan kita rasa lebih berkesan.Tapi JAWI pulak satu hal, sebab bila dah tua dak tak nak dah.Kalau JAIS boleh kenapalah JAWI nak yang muda aja.Memanglah yang muda tu kuat tapi bukan kuat beribadat tapi kuat tidur dan ponteng.Itu bezanya antara orang lama dengan yang baru.

Kita tidak tahu entah bilakah Masjid Ar-Rahimah ini akan sunyi dari segala pergolakan.Entah apa yang tak kena kita pun tak tahu.Mungkin kena tukar semua Imam dan bilal, lepas tu buat renovation baru, maka Masjid Ar-Rahimah akan kembali gemilang sebagaimana orang lama dulu pegang iaitu Allahyarham Tok Ayah @ Imam Shafie.Carilah mereka yang berpengalaman lebih untuk menerajui tugas ketua Imam barulah semangat beribadat akan kembali menyinari Masjid Ar-Rahimah.

Cuma yang saya amat hargai ialah Imam-Imam dan bilal-bilal semuanya baik-baik belaka.Sayang seribu kali sayang sebab seorang bilal nak berhijrah ke tempat lain mungkin nak tarbiah mat-mat polis kut.Bilal sorang ni kuat kerja tak kira langsung sebab dia ni agak sempoi sikit.Jadi tak hairanlah semua ahli kariah sukakan dia termasuk saya.Semoga dia sucess dengan Jakim dan kalau dah sucess baliklah semula ke Masjid Ar-Rahimah.Pak-Pak Imam sepatutnya kena contohi cara kerja bilal yang sorang ni sebab walaupun cuma agak 2-3 tahun sahaja di Masjid Ar-Rahimah tapi jasa yang dia taburkan tak boleh kita pertikaikan lagi.Shahrul Ridzal seorang bilal yang punya tubuh kecil tapi bersemangat besar bila bekerja.Jadi yang badan besar kenalah lawan cara kerja dia barulah seimbang.Untuk beliau Selamat Maju Jaya.

Friday, September 12, 2008

Apa Itu Azan?


Laungan Azan tidak berkumandang menjadi satu isu yang sengaja diperbesar-besarkan oleh golongan tertentu.Malah dengan menuduh pihak lain yang mengarahkan supaya Azan tidak dilaungkan adalah satu cara mencari publisiti murahan tanpa usul periksa kenapa Azan itu tidak kedengaran di masjid tersebut.Inilah susahnya kalau kaki jarang-jarang melangkah ke masjid untuk berjemaah maka dari jauh dah pukul orang lain.

Azan dilaungkan adalah untuk mengajak umat Islam sama-sama hadir ke masjid untuk berjemaah dan bukanlah sekadar menentukan masuknya waktu solat sahaja.Sebaik-baiknya kita berada di masjid lebih awal sebelum Azan berkumandang kerana kita berpeluang untuk mendirikan solat sunat tahiyatul masjid dan beriktikaf sebelum Azan.Ini tidak, bila dah Azan mulalah kelam-kabut nak tukar pakaianlah,nak mandilah dan macam-macam lagi.Kita seolah-olah tidak bersedia dari awal untuk kita mempersembahkan diri kita kepada Allah s.w.t dengan pakaian yang bersih khas untuk solat dan berbau harum.Kalau nak jumpa kekasih hati tu pandai pulak kita malah satu jam awal pun sanggup datang.Kita harus ingat, di mana Azan dilaungkan disitulah kita wajib solat.

Isu Azan ini sebenarnya telah banyak dibangkitkan oleh mereka-mereka yang jarang-jarang datang ke masjid untuk berjemaah.Ada pula di antara mereka itu datang seminggu sekali sahaja untuk solat Jumaat tapi akan komen itu dan ini.Malah ada pula di antaranya ialah pemimpin masyarakat dan berkedudukan cuma sebulan sekali pun susah nak tengok muka di masjid,Kalau datang terus ke saf hadapan tapi datang sebab ada kepentingan politik sahaja bukan kerana Allah.Sepatutnya sebagai pemimpin kita perlu datang bertanya dan membantu pihak masjid apabila pembesar suara tidak berfungsi lagi.Ini tidak, kita seolah-olah mencari peluang nak kenakan orang lain tambahan pula orang yang kita tuduh tu bukan orang Islam.Malulah kalau beginilah sikap pemimpin Islam yang hanya tahu menuding jari ke arah orang yang tidak berkenaan tetapi diri sendiri tidak tampil membantu.

Wednesday, September 10, 2008

Tarawikh Masjid Ar-Rahimah Kg. Pandan.

Alhamdullillah Masjid Ar-Rahimah Kg. Pandan bergema dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dilagukan oleh 2 orang Imam Al-Hafiz sewaktu memimpin solat sunat tarawikh.Kedua-dua Imam ini baru berusia 24 tahun namun bacaan mereka boleh membuatkan bulu roma kita naik jika dihayati pada bacaan-bacaannya.Difahamkan salah seorang darinya berasal dari Muar Johor bernama Alif dan seorang lagi berasal dari Sungai Buloh bernama Faizal.Sungguh beruntung ayah-dan ibu kedua-duanya kerana melahirkan anak seorang penghafaz Al-Quran.

Solat sunat tarawikh didirikan sebanyak 20 rakaat dan 3 witir di Masjid Ar-Rahimah.Namun trend berhenti dirakaat kelapan masih lagi menjadi amalan umat Islam yang hadir.Kan bulan Ramadhan tu bulan ibadah maka pulunlah cukup-cukup untuk sebulan ni.Adakalanya Imam akan terlupa sesuatu ayat sewaktu solat maka pandai pula puak-puak ni bagi komen.Apa dia orang ingat senang ke nak simpan enam ribu lebih ayat dalam dada dengan menjaga segala pantang larang.Kalau kita disuruh baca 10 ayat pun dengan melihat pada Al-Quran pun masih tersasul apa lagi nak menghafaz dengan baik.Itulah masa'alah orang kita, kalau komen bagilah kat dia.

Walaupun kita berbangga dapat berimamkan seorang hafiz yang baik namun apa jadi dengan Imam-Imam Masjid yang ada?Sepatutnya semua Imam-Imam Masjid Ar-Rahimah bersama-sama mengimarahkan masjid tempat mereka bertugas sewaktu solat sunat tarawikh diadakan.Ini tidak, kadang-kadang ada kadang-kadang lesap entah ke mana.Sepatutnya Imam-Imam ini belajar dengan mendengar bacaan adik-adik hafiz ini dan kemudian dipraktikkan sewaktu bertugas.Tak malukah kita sebagai Imam tapi bacaan kita banyak diperkatakan orang kerana kita sendiri tidak pernah melatih diri untuk mengubahnya.Sebagai Imam, suara dan bacaan yang baik adalah satu kemestian dan keutamaan sebelum kita layak menjadi Imam.Pihak berwajib seharusnya peka dalam memilih seorang Imam dan bukannya buat pekak aja bila dengar Imam baca fatihah dan ayat dengan teruk.Semoga Tarawikh kali ini menyedarkan kita semua betapa pentingnya ilmu Al-Quran untuk dipelajari.

Tuesday, September 9, 2008

Dr. Asri Mufti Syok Sendiri.


Sedap-sedap aja Mufti yang glamour ni tuduh ulama pondok golongan konsevertif.(rujuk blog al-subki)Dia agaknya tak baca sejarah dan buta sebab sistem pondok adalah mengikut sunnah Rasullullah s.a.w dan disitulah lahirnya para ilmuan agama dan para hafiz-hafazan Al-Quran.Kat Perlis tu yang ada ialah pondok tempat budak remaja buat maksiat ataupun pondok sarang penagih dadah.Kalau tak percaya suruh Mufti ni round satu Perlis tengok.Ibu-bapa yang amat menitikberatkan tentang pengajian ilmu agama akan menyerahkan anak-anak mereka tinggal di pondok-pondok dan hidup serba sederhana demi untuk mendalami ilmu agama.Kalau Mufti glamour ni nak cara moden bolehlah tiru sistem pondok Akedemi Fantasia.Baru belajar di Jordan dah rasa hebat sampai memperlekehkan ulama pondok.

Kebanyakan ulama-ulama pondok mendalami pengajian agama mereka di merata tempat di dunia dan kembali ke kampung halaman dengan mengabdikan diri mengajar ilmu agama tanpa upah sesen pun.Walaupun mereka-mereka ini ditawarkan jawatan penting dalan kerajaan namun pilihan mereka tetap dengan mencurahkan segala ilmu kepada orang-orang kampung.Teringat saya sewaktu belajar dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abd. Majid di pondoknya, tidak pula kami sebagai pelajar membayar sebarang yuran.Kalau adapun kami hanya membawa pisang ataupun buah-buahan untuk disedekahkan kepada pelajar-pelajar lain.Tuan Guru kami bukanlah seorang yang glamour macam Asri kerana dia takut untuk berfatwa yang bukan-bukan macam apa yang Asri lakukan.Apa yang hendak dilakukan oleh guru kami akan terus memikirkan takutnya kepada Allah sebelum sesuatu kata hendak dilafazkan.Kalau nak kenal guru saya sila layar http//:ulamajempol.blogspot.com/2006

Kalau Asri banyak menghukumkan bida'ah pada setiap amalan yang dilakukan oleh umat Islam kini maka berlainan dengan guru pondok yang senantiasa beramal dengan zikir,tahlil,mengaji di kuburan dan amalan-amalan yang telah disepakati oleh ulama-ulama terdahulu.Kami bertarawikh bermula jam 12.00 mlm dan berakhir pada waktu Subuh.Adakah itu dikira bida'ah oleh Asri?Kalau Asri masih dengan keegoaannya kerana mengikut rentak wahabi lebih baiklah jawatan Mufti tu diserahkan pada orang yang lebih layak.

Saturday, September 6, 2008

Keutamaan Bulan Ramadhan 2.

Dari Salman Al-Farisi ra, dia berkata,"Rasullullah s.a.w berkata kepada kami pada akhir bulan Sya'aban.Baginda bersabda,"Wahai sekelian manusia, akan datang kepadamu bulan yang di situ terdapat malam Al-Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.Allah telah mewajibkan puasanya dan mensunahkan ibadah malamnya.Siapa yang beribadah di malam Lailatul Qadar dengan satu macam dari kebaikan, adalah seperti dia melakukan ibadah wajib pada bulan yang lain.Ramadhan adalah bulan sabar yang mana ganjarannya adalah pahala.Ia bulan di mana rezeki orang mukmin itu bertambah.Siapa yang memberi makan untuk berbuka puasa, ia mendapat pahala memerdekakan budak dan ampunan bagi dosa-dosanya.
Kami bertanya."Ya Rasullullah, kami tidak menemukan sesuatu yang untuk berbuka?".
Baginda bersabda,"Allah memberi pahala bagi orang yang memberi makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa walaupun seteguk susu atau air ataupun sebiji kurma.Barang siapa yang memberi makan hingga kenyang orang yang berpuasa, ia akan mendapat keampunan dosa-dosanya dan Allah akan memberinya minum seteguk air dari telagaku sehingga dia tidak akan haus selama-lamanya.Dan untuknya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa kurang sedikit pun.Itulah bulan yang awalnya penuh rahmat,pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan dari api Neraka.Siapa yang memberatkan hambaNya pada bulan itu, Allah akan memerdekakannya dari api Neraka."
Perbanyakkanlah pada bulan itu melakukan 4 hal, yang 2 membuatmu diredhai Allah dan yang 2 lagi kamu akan mendapatkan apa yang kamu inginkan.Adapun 2 membuatkanmu diredhai Allah ialah syahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan memohon keampunanan dariNya.Sedangkan yang 2 lagi ialah jaminan syurga dari Allah dan memohon perlindungan dari api Neraka.

Sabda Rasullullah s.a.w,"Di bulan Ramadhan, umatku telah diberi 5 hal yang tidak diberi kepada umat terdahulu."
1) Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada keharuman misik.
2) Para Malaikat memohon ampun untuk mereka sehingga waktu berbuka.
3) Pada bulan itu Syaitan diikat dan tidak berpeluang mengganggu umatku.
4) Setiapa hari Allah menghiasi Syurga dan berkata,"Hamba-hambaKu yang soleh dihindarkan dari keburukan dan penyakit."
5) Allah mengampuni mereka pada akhir malam dari bulan Ramadhan.

Begitulah banyaknya fadhilat dan ganjaran pahala yang berganda dijanjikan oleh Allah kepada umat Muhammad s.a.w.Andaikata kita tidak tamak untuk merebutnya, adakah kita pasti umur kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.Jadilah hamba yang tamak merebut ganjaran yang dijanjikan Allah dan janganlah kita menjadi hamba yang tamak merebut kemewahan dunia yang hanya sementara sahaja.

Tuesday, September 2, 2008

Keutamaan Bulan Ramadhan.

Firman Allah swt,"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadhan) sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu". Al Baqarah-183.

Dari Said Bin Jubair ra,"Puasa orang sebelum kita adalah dari waktu Isya' sampai menjelang malam berikut sebagaimana dalam permulaan Islam".
Segolongan ulama mengatakan,"Puasa itu wajib bagi orang-orang Nasara, meskipun waktu itu amat panas atau sangat dingin, di mana mereka kesulitan dalam perjalanannya atau sebahagian kehidupannya. Maka sepakatlah pendapat para pembesar mereka untuk menjadikan puasa itu di antara musim hujan dan musim kemarau.Maka mereka menjadikan musim bunga serta menambah sepuluh hari lagi sebagai tebusan atas kelemahan mereka.Kemudian raja mereka membuat janji apabila dapat terlepas daripada wabak penyakitnya, akan menambah puasa sepuluh hari lagi.Kemudian digantikan dengan raja lain maka raja itu berkata,"Sempurnakanlah saja puasa itu lima puluh hari".Ternyata ada lagi penyakit yang menimpa haiwan maka raja itu memerintahkan untuk berpuasa sepuluh hari lagi.Bahkan dikatakan ditambah sepuluh hari lagi puasa sesudah itu.Diriwayatkan bahawa setiap umat diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan tetapi golongan Nasara telah menyesatkannya.

Al-Bughawi mengatakan,"Yang benar adalah bahawa Ramadhan itu adalah nama sebuah batu yang dipanaskan.Kerana mereka berpuasa di waktu yang amat panas dan dikatakan juga kerana Ramadhan itu dapat membakar dosa.
Puasa Ramadhan itu diwajibkan pada tahun kedua setelah hijrah dan kafirlah orang yang menentang akan kewajipannya.Dalam soal ini banyak disebutkan dalam hadis Rasullullah s.a.w,"Ketika malam pertama bulan Ramadhan, semua pintu yang ditutup.Dan Allah memerintahkan jurupanggil yang memanggil."Wahai pencari kebaikan,mengadaplah!Wahai perlaku kejahatan,hentikanlah".Kemudian dia berkata," Setiap yang mohon ampun, akan diampuni, setiap yang meminta, akan dipenuhi permintaannya dan setiap yang bertaubat, akan diterima taubatnya."Tak hentinya dia selalu mengatakan demikian sampai datang subuh dan setiap malam 'Idul Fitri, Allah membebaskan satu juga orang dari Neraka yang mestinya mendapat seksa."

Jadi umat Islam seharusnya merebut peluang sewaktu kita berada di bulan yang penuh barakah ini iaitu Ramadhan.Bersambung.....................................................

Monday, September 1, 2008

Tarawikh 20 Raka'at.

Solat sunat Tarawikh di bulan Ramadhan amat di tunggu-tunggu kerana ganjaran pahala yang dijanjikan Allah telah menunggu bagi hamba-hambaNya yang bertakwa.Beberapa masjid-masjid di negara kita mengundang para penghafaz Al-Quran untuk memimpin solat Tarawikh dan bertambah seronok dan indahnya bila kita solat bersama Imam yang Hafiz.Tidak ketinggalan ada masjid yang menggaji khas Imam dari Mekah untuk memperdengarkan bacaan ketika solat sunat Tarawikh.Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan tindakan masjid yang menggaji Imam dari Mekah ini kerana ia dilihat sebagai satu pembaziran dalam soal membayar gaji serta mengadakan kemudahan bagi Imam dari Mekah ini.Tidak kurang pula yang menyokong kerana ingin merasakan suasana seolah-olah bertarawikh di Mekah.Namun bagi saya terpulanglah kepada penafsiran individu itu sendiri.

Kebanyakan masjid akan melakukan solat sunat Tarawikh 20 raka'at walaupun tidak berimamkan Al-Hafiz.Namun majoriti umat Islam akan berhenti di rakaat yang ke 8 dan terus balik ke rumah.Ada juga yang masih menunggu di luar perkarangan masjid setelah bertarawikh 8 rakaat.Mereka menunggu sambil makan,minum, malah ada yang berbual kosong sambil menghisap rokok dan masuk semula ke masjid apabila tiba solat witir.Golongan ini amat susah kita fahami dan jika ditegur akan melenting.Bagi saya adalah lebih baik golongan yang terus balik daripada bersembang sambil merokok di perkarangan masjid.

Sebenarnya golongan yang bertarawikh 8 rakaat ini tidak faham apakah ganjaran pahala ataupun kelebihan tarawikh itu sendiri.Mungkin mereka hadir hanya untuk berjumpa kawan-kawan,makan dan minum di masjid ataupun malu disebabkan anak-anak mereka pergi bertarawikh.Maka akan keluarlah jawapan yang sama apabila ditanya iaitu,"Nabi pun buat lapan juga....."Inilah sikap mereka-mereka yang malas beribadat malah berani nak menyamakan diri mereka dengan Rasullullah s.a.w.Mereka seolah-olah tidak pernah tahu bahawa Rasullullah s.aw. bertarawikh 8 rakaat di masjid kerana tidak mahu memberatkan umatnya ketika itu.Baginda pulang ke rumah dan menyambung semula solatnya hingga bengkak-bengkak kakinya.Adakah kita juga turut menyambung solat kita ataupun melencong ke kedai kopi berjumpa kawan-kawan kita yang lain?Nampaknya inilah kelemahan kita sekiranya ibadat yang kita buat hanya ikut-ikut sahaja tanpa mengambil pendekatan mempelajarinya.

Penulis sempat bertarawikh di Pondok Almarhum Tuan Haji Abd.Majid Bin Abd. Karim yang diimamkan oleh cucu beliau iaitu Ustaz Haji Zuhaidi Bin Haji Abd. Wahab.Beliau membaca Surah Ar-Rahman dengan begitu indah sekali sewaktu merasmikan solat tarawikh pertama ini.Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.Ustaz Haji Zuhaidi sekeluarga telah dididik dengan pegangan ilmu agama yang kuat oleh datuknya Almarhum Hj. Abd. Majid dan juga Almarhum ayahnya iaitu Ustaz Haji Abd. Wahab Bin Abd. Rahman.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kedua-dua tokoh agama ini.Amin Ya Rabbal Allamin.