Wednesday, September 17, 2008

Ganjaran Umrah Di Bulan Ramadhan.


Alhamdullillah, sekarang sudah melepasi 16 hari umat Islam berpuasa.Sungguh pantas masa berlalu hinggakan kita tidak sedar bahawa amalan yang kita lakukan masih lagi ditahap yang rendah akibat kejahilan kita sendiri.Yang sibuk berpolitik, berniaga, shopping, membuat kuih raya, menjahit baju tempahan dan berbagai-bagai lagi kesibukan hingga kita lupa untuk merebut peluang menambah amal ibadat di bulan yang mulia ini.Tidak kurang juga banyak berlakunya persengkataan mulut antara pemimpin-pemimpin politik tanpa mereka sedar apakah ini yang diajar oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.?Rasullullah s.a.w senantiasa mengingatkan umatnya agar menjaga lidah apabila berbicara dan sebaik-baiknya kita hanya berdiam diri daripada bercakap sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.Namun kata-kata yang keluar dari mulut Rasullullah s.a.w itu hanyalah sia-sia apabila umatnya lebih mementingkan keduniaan dan lupa akan larangan berkata kepada perkara kebathilan di bulan yang penuh barakah ini.

Menunaikan umrah di tanah suci Mekah di bulan Ramadhan menjanjikan fadhilat dan ganjaran pahala yang amat besar sekali.Ia dikatakan seolah-olah kita melaksanakan fardhu haji apabila kita dapat berpuasa dan berumrah di bulan Ramadhan.Malah ganjaran bersolat di hadapan Baitullah melebihi ganjaran kita bersolat di tempat lain.Maka dengan itu tidak hairanlah apabila tibanya bulan Ramadhan maka umat Islam khasnya di Malaysia berebut-rebut mendaftarkan diri untuk berpuasa dan berumrah di Mekah walaupun perbelanjaannya agak tinggi sedikit berbanding bulan-bulan yang lain.Namun perkara yang sebaliknya pula berlaku di mana Imam-Imam di Mekah walaupun hanyalah Imam-Imam musallah berebut-rebut pula datang ke Malaysia di bulan Ramadhan.Ada di antaranya telah tiba sebelum Ramadhan lagi kerana di katakan apabila mereka datang ke Malaysia, ada juga ganjaran yang besar untuk mereka.Walaupun ganjarannya bukanlah berbentuk pahala berlipat ganda tetapi ganjaran berupa wang ringgit amatlah memuaskan untuk mereka.Inilah yang dikatakan dunia mengatasi segala-galanya hingga mereka lupa bahawa berada di Mekah untuk sebulan Ramadhan adalah lebih baik dari berada di Malaysia.Macamlah Malaysia ini tak ada Imam-Imam Hafiz lagi.

Bagi sesetengah yang berkepentingan duniawi, mereka memilih negara lain sebagai destinasi alternatif selain mengerjakan umrah di Mekah.Ada beberapa golongan berkepentingan sanggup mengeluarkan belanja untuk melawat Taiwan dan Hong Kong di bulan yang mulia ini.Alasannya adalah untuk mempelajari teknik pertanian di negara tersebut.Apakah 11 bulan yang lain itu tidak sempat untuk mereka mempelajarinya?Kenapalah di bulan yang penuh barakah ini umat Islam menjadi kalut hinggakan tidak kenal yang mana satu pahala dan yang mana satu kerja sia-sia?Sungguh malang bagi mereka kerana perintah dari seorang ketua amatlah dijunjung tinggi melebihi dari menjunjung perintah Allah s.w.t.Ini bolehlah diumpamakan seperti seorang penunggang motosikal wanita akan memakai topi keledar kerana takut disaman sedangkan dia tidak takut pada azab Allah apabila mendedahkan auratnya di khalayak ramai.Jahil Ibni Abu Jahal betul mereka ini.Inilah yang dikatakan akhir zaman sebagaimana yang pernah dikatakan oelh Rasullullah s.a.w di mana umat Islam takut kepada pemerintah yang zalim daripada takut kepada Allah s.w.t yang Maha Adil.

No comments: