Monday, September 1, 2008

Tarawikh 20 Raka'at.

Solat sunat Tarawikh di bulan Ramadhan amat di tunggu-tunggu kerana ganjaran pahala yang dijanjikan Allah telah menunggu bagi hamba-hambaNya yang bertakwa.Beberapa masjid-masjid di negara kita mengundang para penghafaz Al-Quran untuk memimpin solat Tarawikh dan bertambah seronok dan indahnya bila kita solat bersama Imam yang Hafiz.Tidak ketinggalan ada masjid yang menggaji khas Imam dari Mekah untuk memperdengarkan bacaan ketika solat sunat Tarawikh.Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan tindakan masjid yang menggaji Imam dari Mekah ini kerana ia dilihat sebagai satu pembaziran dalam soal membayar gaji serta mengadakan kemudahan bagi Imam dari Mekah ini.Tidak kurang pula yang menyokong kerana ingin merasakan suasana seolah-olah bertarawikh di Mekah.Namun bagi saya terpulanglah kepada penafsiran individu itu sendiri.

Kebanyakan masjid akan melakukan solat sunat Tarawikh 20 raka'at walaupun tidak berimamkan Al-Hafiz.Namun majoriti umat Islam akan berhenti di rakaat yang ke 8 dan terus balik ke rumah.Ada juga yang masih menunggu di luar perkarangan masjid setelah bertarawikh 8 rakaat.Mereka menunggu sambil makan,minum, malah ada yang berbual kosong sambil menghisap rokok dan masuk semula ke masjid apabila tiba solat witir.Golongan ini amat susah kita fahami dan jika ditegur akan melenting.Bagi saya adalah lebih baik golongan yang terus balik daripada bersembang sambil merokok di perkarangan masjid.

Sebenarnya golongan yang bertarawikh 8 rakaat ini tidak faham apakah ganjaran pahala ataupun kelebihan tarawikh itu sendiri.Mungkin mereka hadir hanya untuk berjumpa kawan-kawan,makan dan minum di masjid ataupun malu disebabkan anak-anak mereka pergi bertarawikh.Maka akan keluarlah jawapan yang sama apabila ditanya iaitu,"Nabi pun buat lapan juga....."Inilah sikap mereka-mereka yang malas beribadat malah berani nak menyamakan diri mereka dengan Rasullullah s.a.w.Mereka seolah-olah tidak pernah tahu bahawa Rasullullah s.aw. bertarawikh 8 rakaat di masjid kerana tidak mahu memberatkan umatnya ketika itu.Baginda pulang ke rumah dan menyambung semula solatnya hingga bengkak-bengkak kakinya.Adakah kita juga turut menyambung solat kita ataupun melencong ke kedai kopi berjumpa kawan-kawan kita yang lain?Nampaknya inilah kelemahan kita sekiranya ibadat yang kita buat hanya ikut-ikut sahaja tanpa mengambil pendekatan mempelajarinya.

Penulis sempat bertarawikh di Pondok Almarhum Tuan Haji Abd.Majid Bin Abd. Karim yang diimamkan oleh cucu beliau iaitu Ustaz Haji Zuhaidi Bin Haji Abd. Wahab.Beliau membaca Surah Ar-Rahman dengan begitu indah sekali sewaktu merasmikan solat tarawikh pertama ini.Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.Ustaz Haji Zuhaidi sekeluarga telah dididik dengan pegangan ilmu agama yang kuat oleh datuknya Almarhum Hj. Abd. Majid dan juga Almarhum ayahnya iaitu Ustaz Haji Abd. Wahab Bin Abd. Rahman.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kedua-dua tokoh agama ini.Amin Ya Rabbal Allamin.

No comments: