Friday, October 31, 2008

Lambaian Kaabah.



Alhamdullillah kerana sekali lagi umat Islam dapat mengerjakan fardhu haji ke Mekah.Tuntutan mengerjakan haji ini bagi yang berkemampuan adalah untuk menyempurnakan rukun Islam yang ke lima.Inilah satu-satunya jihad terbesar berdasarkan hadis Rasullullah s.a.w, Dari Aisyah r.a katanya,"Ya Rasullullah!Kami lihat jihad itu adalah yang paling utama.Apakah kami tidak boleh ikut berjihad?Jawab Rasullullah s.a.w,"Tidak!Jihad yang paling utama ialah haji yang mambrur(Yang diterima oleh Allah s.a.w).

Sesungguhnya amat beruntunglah bagi mereka-mereka yang berpeluang mengerjakan fardhu haji di Mekah apalagi jika mandapat haji yang mambrur.Sebenarnya ada yang mengatakan bahawa haji yang mambrur itu dinilai setelah kembalinya kita ke tanahair selepas mengerjakan haji.Secara sedar atau tidak ramai yang pulang ke tanahair selepas mengerjakan haji masih tidak berubah dengan perangai-perangai lamanya.Tidak keterlaluan jika dikatakan di sini ada di antara pak haji yang masih suka melepak di kedai-kedai kopi sewaktu azan berkumandang.Yang lebih teruk lagi ada juga pak haji yang masih ketagih dengan bermain nombor ekor.Inilah masalah yang menimpa umat Islam hari ini walaupun telah mandapat title haji tapi masih belum berubah sikap dan perangai lama.Inilah agaknya yang dikatakan bahawa haji mambrur itu dinilai selepas pulangnya seseorang dari mengerjakan haji.

Sewaktu ingin mengerjakan haji kita akan berdoa agar Allah s.w.t akan menerima kita sebagai tetamunya dan memberikan kita hidayah.Apakah doa kita ini dimakbulkan sekiranya perangai-perangai lama masih tidak berubah?Begitu juga ada di antara mereka yang pulang dari Mekah terikut-ikut dengan fahaman orang-orang Arab di sana.Selepas solat mereka tidak mahu lagi berwirid dan berdoa,tidak mahu lagi menghadiri majlis-majlis tahlil dan sebagainya.Lebih malang lagi apabila ada yang menukar niat ke Mekah kerana ingin berdoa di hadapan Ka'abah supaya Allah menurunkan bala bencana kepada musuh-musuhnya.Inilah fenomena yang berlaku kerana kefahaman dalam melaksanakan rukun Islam yang ke lima ini telah disalahgunakan.

Kita berdoa agar mereka-mereka yang pergi mengerjakan haji senantiasa mendapat petunjuk dan dilindungi Allah swt dari sebarang kesulitan.Namun ada pihak yang mendoakan kepada keburukan yang dengan jelas telah melanggar dari syariat Islam itu sendiri.Sebaiknya kita mendoakan kebaikan dan segala urusan akan dipermudahkan oleh Allah swt.

Thursday, October 30, 2008

Jawatan Dan Kelayakannya.

Dari Abu Harairah r.a. katanya,"Rasullullah s.a.w bersabda,"Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran".Beliau ditanya,"Bagaimanakah orang yang tidak memegang teguh amanah itu Ya Rasullullah"?Baginda menjawab,"Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancuran".

Banyak kesimpulan yang dapat kita fahami dalam hadis di atas.Salah satu yang ingin saya utarakan di sini ialah berkenaan jawatan yang kita sandang.Adalah amat berbeza sekali apabila sesuatu jawatan yang kita sandang antara 'yang dilantik dengan yang meminta-minta kepada jawatan tersebut'.Contohnya apabila kita telah dilantik untuk menjadi Imam masjid maka amanah sebagai Imam itu perlu kita pegang agar ia tidak dikhianati.Amanah itu pula boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti amanah menghadirkan diri ketika bertugas,amanah mengikut garis panduan berpakaian yang ditetapkan oleh penguasa,amanah dalam berbicara sesama kita dan yang lebih penting sekali saling redha-meredhai dengan apa jua permasalahan yang menimpa kita.Berbeza dengan jawatan yang diminta untuk diduduki, maka amanah ini tidak akan dapat dilaksanakan.Sesungguhnya kita harus menilai diri sendiri samada kita adalah orang yang layak untuk menduduki sesuatu jawatan tersebut sebelum kita meminta-minta untuk mendudukinya.

Sebagai seorang yang berperanan sebagai Imam, seharusnya kita bertanya adakan jawatan yang kita pegang itu adalah dengan sepenuh keikhlasan hati ataupun untuk mendapat ganjaran elaun dan kemudahan tempat tinggal.Pernah terjadi di mana seorang Imam yang gagal dalam tugasannya walaupun untuk bersolat sendirian kerana jawatan yang diduduki hanyalah mementingkan kemudahan tempat tinggal yang disediakan oleh pentadbir.Begitu juga terjadinya kekecohan apabila jawatan yang kita sandang ditamatkan maka kita tidak boleh menerimanya dan terus mencari jalan untuk mempertikaikannya.Kita sendiri tidak pernah menilai diri kita adakah kita ini sebenar-benarnya layak untuk menjadi Imam?

Sebenarnya permasalahan ini tidak akan timbul jika kita sedar sejauh mana kelayakan kita untuk sesuatu jawatan.Biarlah jawatan itu dipegang oleh seseorang yang sememangnya ahli yang mana tidak ada pertikaian daripada sesiapa pun.Jika bacaan Fatihah kita sendiripun sering dipertikaikan, maka seharusnya kita terlebih dahulu mengundurkan diri sebelum dipecat.Seandainya kita merasakan diri kita begitu hebat, maka bersyukurlah jika kita dipecat dan mungkin ada pihak yang akan mengambil kita di tempat lain pula.Jika tiada yang sudi, jadilah seorang makmum yang istiqamah tanpa merasa apa-apa.Kita dinilai oleh orang lain dan bukannya kita menilai diri sendiri dengan mendabik dada dengan kebolehan kita.

Ada juga beberapa jawatan penting seperti Mufti,pembesar negara dan berbagai-bagai lagi sering menjadi pertikaan orang ramai.Sebenarnya pertikaian demi pertikaian akan terus berlaku selagi manusia itu terus bernafas.Adakalanya pertikaian ini akan membawa kepada pepecahan kerana memberi kritikan yang kurang membina.Setiap manusia tidak terlepas dari melakukan kesalahan tetapi bairlah kesalahan itu menjadi pengajaran untuk kita membaiki diri sendiri.Seharusnya kita sedar bahawa setiap kritikan yang membina boleh mengubah kehidupan dan cara kita.Kita adalah kepunyaan Allah dan kepada dia jua kita akan dikembalikan.Maka sebaik-baiknya serahkanlah segala-galanya kepada Allah dan biarlah Allah yang menentukan di mana seharusnya kita berada.

nota:
Teringat pesanan mutiara Ayahanda Hj. Husin katanya,"Saya beramal kerana Allah,Saya merayu hanya kepada Allah bukannya kepada manusia.Tiada yang kekal abadi selain dariNya.Saya hanya tunduk dan sujud kepada Allah yang satu".

Tuesday, October 28, 2008

Ciri-Ciri Orang Munafik.

Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a. katanya Nabi s.a.w bersabda,"Ada 4 perkara sekiranya terdapat pada setiap orang, itulah orang munafik.Jika terdapat salah satu darinya juga dikatakan seorang yang munafik sehingga dia meninggalkan yang satu itu."-Shahih Bukhari.
1) Apabila dipercayai dia khianat.
2) Apabila berbicara dia berdusta.
3) Apabila berjanji dia memungkiri.
4) Apabila bermusuhan dia sangat jahat.

Berdasarkan hadis di atas penulis rasa terpanggil untuk menulis sikap yang ditunjukkan oleh beberapa pihak sewaktu menghadiri "Majlis Sambutan Idilfitri" anjuran Persatuan Penduduk-Penduduk Blok E yang diadakan pada 27/10/08 di perkarangan padang yang terletak bersebelahan Restoran Fatihah.Ada pihak yang memberi ucapan yang mengajak para hadirin bermaaf-maafan tanpa ada dendam di hati.Ucapan berikut hanya sebagai mengaburi mata para hadirin kerana pihak tersebut yang berucap sendiri bermusuhan dengan ramai orang sehingga sanggup memfitnah pihak yang lain.Inilah yang dikatakan "cakap tak serupa bikin" dan adakah pihak ini tergolong dalam kalangan yang dinyatakan dalan hadis di atas?

Majlis sambutan Hari Raya tersebut juga telah mengundang Ahli Parlimen Titiwangsa iaitu Dr Lolo' untuk memberikan ucapan.Ucapan Dr. Lolo' adalah mengajak semua hadirin mengimarahkan masjid sepertimana yang di lakukan pada bulan Ramadhan.Namun di sini barisan hadapan yang ada pada majlis tersebut gagal berbuat demikian maka apakah maknanya ucapan Dr.Lolo' tersebut?Sewaktu satu mesyuarat untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Ar-Rahimah pada tahun 2007, Dr.Lolo' juga diundang oleh pihak jabatan dan masjid untuk hadir ke majlis yang akan diadakan.Namun ada pihak yang mempertikaikannya kerana semasa itu Ahli Parlimen ini belum lagi mengangkat sumpah sebagai MP maka belumlah secara rasminya menjadi MP.Namun pada majlis sambutan Hari Raya anjuran Persatuan Penduduk Blok E, pihak inilah yang terhegeh-hegeh berlari-lari anak mengiringi Dr. Lolo' ke kereta.Begitulah sikap pura-pura yang ditunjukkan oleh pihak ini sehingga menjadi bualan para hadirin yang menyaksikannya.

Di sini bukanlah tujuan kita untuk mengaibkan sesiapa tetapi jika ada pihak yang terasa maka adalah lebih baik dia muhasabah diri dengan tingkah lakunya.Menonjolkan diri di khalayak ramai sebagai seorang yang baik tidak perlu jika perbuatan kita sendiri yang suka mengadu domba melaga-lagakan orang lain telah diketahui oleh masyarakat sekian lama.Jika benarlah ucapan kita untuk bermaaf-maafan tanpa dendam maka adalah lebih baik kita sendiri yang memulakannya dengan rasa rendah hati.Disebabkan ego yang tinggi maka kita merasakan diri kita terlalu hebat namun disebaliknya kita tahu bahawa ramai masyarakat telah menyampah dengan sikap pura-pura kita itu.

Monday, October 27, 2008

Ceramah Gerakan Wahabiy.

Buat pro-Wahabiy dipersembahkan ceramah ini.Semoga anda semua faham kenapa kami menentang fahaman yang dibawa oleh idola-idola anda. video

Sunday, October 26, 2008

Buku Yang Perlu Di Haramkan.




Kedua-dua buku yang telah ditulis oleh Rasul Bin Dahri sepatutnya diharamkan penjualannya di Malaysia.Penulis sempat membelek dan membaca kedua-dua buku ini dan mendapati ia telah menjadikan satu perpecahan di kalangan umat Islam serta amat mengelirukan pembaca yang tidak mempunyai asas pengajian yang kukuh.Buku "Yang Benar Mazhab Shafie, Bukan Wahhabi" telah menyeleweng dan penulisnya seolah-olah menidakkan dirinya sebagai Wahabbi.Sifat-sifat Allah telah ditulis dengan begitu rapi seperti kedudukan di mana Allah,tangan Allah,wajah dan berbagai-bagai lagi penyelewengan.Buku ini juga telah mengatakan bahawa Imam Shafie telah menolak amalan ahli sufi dan tasawuf yang melakukan amalan bertahlil.Begitu juga tentang buku Ikhwanul Muslimin yang terang-terang boleh menjadikan umat Islam terkeliru dengan amalan-amalan yang telah diajar oleh para ulama terdahulu.

Penulis telah berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Rasul Bin Dahri yang bertajuk "Imam Shafie Mengharamkan Kenduri Dan Tahlil Arwah".Ternyata kupasan beliau dengan mengambil satu-satu kenyataan dari kitab Imam Shafie telah menjadikan satu kekeliruan kepada umat Islam.Beliau juga membida'ahkan umat Islam yang membaca Yasin pada setiap malam Juma'at,mengaji di kubur dan berbagai-bagai lagi.Bagi kita yang telah diajar oleh Tuan Guru-Guru pondok tentang amalan sedemikian telah dilabelkan sebagai sesat dan menempah diri ke Neraka.Pengalaman beliau berada di Mekah selama 10 tahun dijadikan sandaran sebagai seorang yang berpegang dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Seharusnya kemasukan Rasul Dahri ke Malaysia seharusnya disekat namun ada pihak yang membawa masuk beliau dan berceramah di premis kediaman mereka.Ini adalah satu gejala yang amat bahaya kerana Rasul Dahri yang berasal dari Singapura tidak pernah diberi tauliah untuk berceramah di negara kita.Pihak JAKIM dan juga jabatan-jabatan agama di setiap negeri di Malaysia seharusnya bertindak mengeluarkan surat perkeliling mengharamkan ceramah-ceramah beliau di Malaysia.Sewaktu beliau berceramah di salah sebuah rumah di Johor, pihak jabatan agama Johor telah menangkap beliau dan menghalangnya dari berceramah.Ini adalah satu tindakan yang terpuji yang harus diikuti oleh semua pihak.Banyak ceramah-ceramah beliau telah memperlekehkan institusi Mufti di Malaysia kerana tidak sealiran dengannya.Diharap pihak berwajib akan bertidak lebih tegas terhadap individu ini yang menyebarkan fahaman membida'ahkan amalan-amalan terpuji yang sekian lama terpupuk di negara ini.

Saturday, October 25, 2008

Fitrah Diri.


Bulan Syawal hampir ke penghujungnya tanpa kita sedari kerana sibuk merayakannya.Itulah dinamakan Hari Raya Fitrah kerana kita membersihkan diri meminta ampun dari Allah sewaktu menjalani ibadat puasa dan bermaaf-maafan pula di hari raya.
Namun belum pun Syawal melabuhkan tirainya masih ada lagi suara-suara sumbang yang kedengaran disebalik insiden seorang Imam ditamatkan perkhidmatannya.Pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab menuding jari kepada orang lain seperti Ketua Imam,Pembantu Bilal dan mereka-mereka yang dirasakan tidak mahu membantah pemecatan jawatan tersebut.Maka bertebaranlah surat-surat kepada ahli kariah masjid termasuk beberapa pertubuhan dan badan politik.Persatuan Penduduk Blok E, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga Ahli Parlimen Titiwangsa dimaklumkan mengenai insiden pemecatan tersebut sebagai mencari satu kebenaran.Pertemuan demi pertemuan diadakan sebagai membantah tindakan yang telah diambil oleh pihak berwajib.

Beberapa hari yang lalu, penulis dihujani dengan panggilan talipon dari berbagai pihak yang mempertikaikan tindakan pemecatan Imam yang berlaku di Masjid Ar-Rahimah.Ada yang berhujah dengan mengatakan tanpa Imam tersebut maka kesusahan akan berlaku seperti membaca doa tahlil,talqin kubur,solat jenazah dan lain-lain lagi.Sebenarnya hujah-hujah begini tidak sepatutnya dibangkitkan kerana Masjid Ar-Rahimah juga mempunyai bilal-bilal yang tarafnya sama seperti Imam.Yang membezakan mereka hanyalah jawatan jadi tidak timbul dengan beberapa perkara yang dibangkitkan.Malangnya kebolehan bilal-bilal yang ada tidak pernah diketengahkan dan tidak juga diberi peluang.Bagi saya hujah-hujah seperti ini amat dangkal kerana seandainya kita yang berugama Islam tidak pernah untuk mencari ilmu untuk mempelajari apa-apa jua amalan maka kita sendiri yang rugi.Adalah lebih baik kita tidak terlalu bergantung kepada Imam untuk melaksanakan sesuatu tetapi kita sendiri yang melaksanakannya apabila contohnya berlaku kematian saudara sendiri, maka kita sendiri yang mengimaminya dan membacakan talqin untuknya.Begitu juga apabila kita mengadakan kenduri, maka adalah lebih afdhal sebagai tuan rumah, kita sendiri mendoakan roh-roh ibu-bapa dan saudara-saudara kita.

Penulis juga dihujani dengan panggilan yang menuduh penulis berpihak kepada Ketua Imam dan Bilal-Bilal apabila dilihat bersama-sama mereka melakukan perbincangan.Sebenarnya perkara yang dibincangkan tidak pernah menyentuh tentang pemecatan Imam tersebut.Perkara yang dibincangkan adalah mengenai "Seminar Kemurniaan Aqidah 2008" yang akan diadakan pada 1hb. November 08 di Masjid Wilayah Persekutuan.Maka berlakulah fitnah apabila kita dilihat bersembang dengan orang yang tidak membantah pemecatan tersebut.Tidak ketinggalan juga sahabat penulis yang bertugas sebagai bilal menjadi mangsa tohmahan dan fitnah.Adalah lebih baik bagi pihak yang dipecat mendiamkan diri dan redha dengan apa yang terjadi.Semakin kita menghebahkan cerita begini maka secara tak langsung kita telah mengajak ahli kariah membenci dan menjauhi masjid.Adakah kita mahu Masjid Ar-Rahimah kosong tanpa jemaah dan selepas itu kita gembira kerana ahli kariah tidak ke masjid kerana tidak sehaluan dengan Ketua Imam dan bilal-bilalnya.Sebaiknya kita muhasabah diri di mana silapnya hinggakan kita tidak diperlukan lagi berkhidmat.

Thursday, October 23, 2008

Penamatan Khidmat Imam Ratib Ar-Rahimah.


Pihak AJK Masjid Ar-Rahimah telah bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk menamatkan khidmat Imam Ratib iaitu Haji Hoslan Bin Hj. Husin.Beliau dikatakan kurang memberi kerjasama dengan pihak pentadbiran dan tidak mematuhi peraturan yang digariskan oleh pihak Jabatan.

Ulasan saya setelah ditanya oleh beberapa pihak termasuk Imam yang ditamatkan perkhidmatannya:
Tiada jawatan yang kekal dalam sesuatu pentadbiran dan ini adalah lumrah dan perkara biasa.Kita pernah mendengar Syeikh Mohammad Al-Mohaisany, Imam Masjid Mekah telah disumbat ke dalam penjara selepas beliau membaca doa qunut mengutuk pihak Amerika dan Israel.Kita juga pernah mendengar seorang timbalan Perdana Menteri dipecat atas beberapa alasan.Jadi perkara begini janganlah kita mengambil terlalu emotional dan mungkin ada hikmahnya perkara ini berlaku.Yang kekal hanyalah Allah swt dan sebagai hambaNya kita harus redha dengan setiap apa yang berlaku.

Perkara begini akan senantiasa berlaku selagi kita bernama manusia.Imam dipecat,Ulama digam,AJK dibubarkan,pemimpin negara dijatuhkan dan macam-macam lagi akan berlaku.Ada kalanya ia adalah di atas kesalahan kita sendiri dan ada kalanya disebabkan fitnah.Bagi yang berakal kita sama-samalah membuka minda kita untuk menilainya.Mungkin kita akan mendapat pengganti yang lebih baik kerana segala-galanya yang berlaku adalah atas kuasa Allah.Ada juga berpendapat "baik dibalas baik dan buruk dibalas buruk".Ada masanya kita mentertawakan orang lain dan ada masanya kita pula ditertawakan.Sebagai Imam ataupun makmum, teruskanlah dengan beribadat kepada Allah dan itulah sebaik-baik pekerjaan yang harus kita lakukan.

Wednesday, October 22, 2008

Hadis Najd Untuk Puak Wahabiy.

Setelah membaca artikel yang ditulis oleh Ustaz Zamihan Al-Ghari berkenaan kegerunan Hadis Najd, maka penulis terpanggil untuk memaparkan slide video yang menunjukkan bahayanya fahaman Wahabiy dewasa ini.Pun begitu fakta-fakta dalam Hadis Shahih ini telah diterjemahkan dengan begitu dhaif sekali oleh pro-Wahabiy.Adalah amat berbeza sekali apabila Najd diterjemahkan dengan Iraq.Najd telah ditukar kepada Riyadh oleh pemerintahan Arab Saudi dan hadis Rasullullah s.a.w menekankan akan lahir tanduk Syaitan di Arab Saudi sendiri sebagaimana yang ditafsirkan oleh para ulama.
video

Sunday, October 19, 2008

Dato' Shahrukh Khan!!!!!!


Sempena menyambut Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka yang ke 70, pelakon yang menjadi gilaan orang Melayu yang beragama Islam di negara kita telah dianugerahkan gelaran Dato'.Alasannya ialah kerana Shahrukh Khan dikatakan telah mempromosikan negeri Melaka apabila berkunjung untuk melakukan pergambaran di Melaka.Hebat betul pengaruh pelakon Bollywood ini.

Sebenarnya siapakah yang mempromosikan siapa?Negara kita dilambakkan dengan filem Bollywood sejak dahulu lagi dan ia menjadi semakin rancak selepas filem Bobby ditayangkan tidak lama dulu.Negara kitalah yang telah mempromosikan pelakon-pelakon Bollywood hinggakan penonton Melayu menjadi asyik dan terpengaruh.Seringkali filem-filem Bollywood ditayangkan di telivisyen dan memakan masa yang panjang hinggakan Melayu Islam terlalai menontonnya.Akibatnya waktu solat telah dilengahkan kerana jalan ceritanya yang panjang dan ada juga Melayu Islam ini terutamanya penonton wanita, tak kira umur terlepas waktu solat.Beginilah hebatnya pengaruh pelakon yang dianugerahkan gelaran Dato' ini.

Kita juga hairan kenapalah rakyat kita yang mengharumkan negara di peringkat antarabangsa hanya dipandang sepi?Mereka yang kita maksudkan ialah seperti kumpulan nasyid Raihan,Saudara Fahmi Juara Akedemi Al-Quran yang membawa nama Malaysia di Iran dan juga beberapa Qari yang telah menjuari tilawah Al-Quran.Begitu juga dengan seniman yang telah berjuang dalam bidang seninya hanyalah setelah hayat semakin tiada dan ada di antaranya dah meninggal barulah dapat anugerah.Apahal pula dengan ulama-ulama yang pulang ke tanahair bersama ilmu yang dibawa membuka pondok pengajian untuk dicurahkan kepada masyarakat langsung tidak dipedulikan.Amat sukar kita mendengar guru-guru pondok ini diberi anugerah.Yang kita sering dengar dewasa ini ialah Tok guru pondok ini diperlekehkan oleh generasi yang baru mengenal ilmu agama.

Seandainya hanya hiburan yang mendapat tempat untuk penganugerahan, maka tidak hairanlah negara kita dipenuhi oleh mereka-mereka yang rosak akhlaknya.Mana tidaknya kerana pengaruh filem Bollywoodlah yang mengajar umat Islam cara memakai inai,bersanding dan macam-macam lagi.Remaja Melayu khasnya berpakaian menunjukkan pusat adalah pengaruh dari filem Bollywood itu sendiri.Jadi kalau kita ingin melihat Pusat Islam pergilah ke shopping complex kerana di sana terpampang pusat-pusat Islam.

Saturday, October 18, 2008

Masjid Jamek Alam Shah.


Masjid Jamek Alam Shah yang terletak di persimpangan antara Jalan Pasar, Jalan Tun Razak dan Jalan Cochrane adalah sebuah masjid yang agak lama dibina di Kuala Lumpur.Masjid ini dikelilingi oleh rata-rata peniaga-peniaga berbangsa Cina mampu memberikan satu kelainan dan amat digemari oleh mereka-mereka yang suka berjemaah.

Masjid ini ditadbir urus oleh Tuan Haji Redzuan sebagai Pengerusi telah membuktikan bahawa tiada halangan untuk menyampaikan dakwah walaupun dikelilingi oleh penduduk bukan Islam.Bersama-sama Tuan Haji Redzuan, ada 4 orang Imam yang hebat-hebat bacaannya memimpin umat Islam berjemaah.Ustaz Mahadi,Ustaz Osman,Ustaz Junaidi dan Ustaz Mohammad amat disenangi dan mempunyai bacaan dalam solat yang begitu baik.Tidak ketinggalan juga dengan bilal-bilalnya, noja-nojanya serta AJK yang lain, sering memberikan perkhidmatan yang baik untuk menjadikan Masjid Jamek Alam Shah sebagai pusat pengembangan ilmu Islam.

Masjid ini telah menjadi pilihan oleh Yang Mulia Sultan Brunai sewaktu rombongan diraja datang ke Malaysia untuk menyaksikan sambutan hari kemerdekaan negara kita.Tanpa diduga rombongan diraja telah datang untuk menunaikan solat Jumaat secara mengejut tanpa diketahui oleh sesiapapun.Bersama rombongan diraja, turut serta ialah Mufti Brunai Darulsalam.Mungkin ada keistemewaannya masjid ini yang membuatkan rombongan diraja memilihnya untuk bersolat tanpa memaklumkan terlebih dahulu kehadirannya.Adalah difahamkan ini bukanlah kali pertama rombongan diraja Brunai datang ke masjid ini.

Bagi pengunjung yang datang untuk bersolat, adalah amat mudah sekali kerana keterbukaan sikap AJKnya dan kemudahan yang ada di masjid ini.Kitab suci Al-Quran diletakkan di setiap sudut bagi memudahkan kita untuk mengambil dan membacanya.Setiap Imam-Imamnya senantiasa komited dengan tugas yang diamanahkan dan bacaan-bacaan ayat Al-Quran yang dipedengarkan sewaktu solat begitu indah sekali.Kadang-kadang terasa juga hati kenapalah ini tidak berlaku di Masjid Ar-Rahimah Kg. Pandan tempat penulis bermukim.Semoga Masjid Jamek Alam Shah terus kekal hebat dan sekalung tahniah kepada semua petugas-petugas masjid ini.

Thursday, October 16, 2008

Ibn Taymiyya Pujaan Dr. Asri.

Dr.Asri, Mufti Perlis menjawab buku yang ditulis oleh Ust. Zamihan berkenaan Ibn Taymiyya.Buku Salafiyah Wahabiah yang ditulis dikatakan membelitkan fakta sebenar tentang Ibn Taymiyya.Apakah betul?Rujuklah kepada ulama muktabar sendiri untuk kepastian.Jangan jadi mangsa perbalahan ilmuan agama ini sebab kita yang jahil ini tak setanding dengan mereka. video

Tuesday, October 14, 2008

Siapakah Ibn Taymiyya?

Golongan-golongan Wahabi di Malaysia selalu menidakkan diri mereka sebagai wahabi.Mereka-mereka inilah dikatakan berhujah menggunakan kata-kata Ibn Taymiyya dan menyelewengkan aqidah umat Islam.Kalau di utara Semenanjung iaitu Negeri Perlis telah diketuai oleh golongan ini, maka pendekatan Ibn Taymiyya cuba pula dikembangkan ke seluruh negara.Begitu juga di selatan tanahair, fahaman Ibn Taymiyya ini cuba dikembangkan oleh Rasul Bin Dahri.Umat Islam seharusnya berhati-hati dengan tokoh ugama yang ada sekarang ini kerana tersalah pilih maka rosaklah aqidah kita sendiri.Apakah betul Ibn Taymiyya dikatakan sesat?Di negara kita ramai pensyarah-pensyarah ugama menggunakan kata-kata daripada Ibn Taymiyya sebagai rujukan mereka.Begitu juga dengan Mufti Perlis, Dr.Asri telah mempertahankan Imam Ibn Taymiyya apabila ada golongan yang mengatakan kesesatan Imam Ibn Taymiyya.Beberapa pendebatan telah berlaku tentang Ibn Taymiyya dan yang menjadi mangsa ialah orang-orang awam yang mendengar hujah-hujah para-para ilmuan agama ini.Tidak keterlaluan dikatakan fenomena ini telah menjadikan umat Islam menjadi keliru dan bercelaru.

Ulasan saya hanyalah kita sebagai umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak yang membahaskan Ibn Taymiyya.Sebaiknya kita lakukan apa yang disuruh oleh Allah dan junjungan Nabi Muhammad s.a.w kerana itulah sebenar-benarnya perkara yang baik untuk kita lakukan.Berbagai hujah yang akan keluar dari para ilmuan agama dan mungkin kita yang cetek ilmu ini akan hanya menjadi pengikut membuta-tuli tanpa mengetahui fakta-fakta sebenarnya.Tidak dinafikan penghujah-penghujah ini mempunyai rujukan mereka tersendiri tetapi selagi seseorang itu beriman dengan Allah dan RasulNya maka janganlah kita mudah terpedaya mengatakan seseorang itu sesat.Paparan video di bawah adalah salah satu usaha pihak-pihak yang menentang Ibn Taymiyya dan terpulanglah kepada kita untuk menilainya.Jika ada kebenaran tentang kesesatan Ibn Taymiyya maka jauhkan diri kita daripada mendengar ceramah-ceramah yang mengagung-agungkannya dan rujuklah dengan para ulama-ulama yang muktabar.Ini berikutan golongan wahabi semakin berleluasa menggunakan aqidah Ibn Taymiyya sebagai rujukan mereka hingga dikatakan sanggup meletakkan tempat bagi Allah serta menjisimkan sifat-sifat Allah dan membida'ahkan segala amalan ASWJ.Yang lebih malang lagi mereka yang duduk sebagai Mufti, terlalu menyanjung Ibn Tamiyya bila berbicara.Apakah benar dakwaan Mufti tersebut?Walaubagaimana pun sebagai orang awam kehebatan Ibn Tamiyya tidak selayaknya diperdebatkan kerana siapalah kita jika nak dibandingkan dengan beliau.Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Ibn Tamiyya.Biarlah para ilmuan agama ini berdebat sesama mereka dan kita doakan semoga perdebatan mereka tidak sampai kepada tahap permusuhan.
video

Saturday, October 11, 2008

Komen Pembaca Blog.

Blog ini telah meminta agar pembaca mendaftar dahulu sebelum memberikan sebarang komen.Komen dari anonymous said tidak akan dipaparkan lagi kerana untuk mengelakkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengulas dengan berselindung diri.Contoh komen berdaftar adalah dari Saudara Samsuddin Harun walaupun beliau menempelak golongan sufi kerana itu adalah pandangan beliau sendiri.Diharap pembaca akan terus komen setelah mendaftar.

Tuan Blog.

Friday, October 10, 2008

Mufti Perlis Bersuara Lagi.




2 buah buku yang telah diharamkan oleh KDN dan disemak oleh pakar-pakar agama mendapat ulasan dan kritikan dari Dr. Asri, Mufti Perlis.Sememangnya kandungan buku yang diharamkan oleh KDN itu banyak mengelirukan umat Islam apabila membacanya.Adakan bahan ilmiah yang mengelirukan itu harus dikembangkan sebagaimana ulasan Dr.Asri?Nampaknya fahaman wahabi yang cuba dikembangkan dalam buku tersebut telah tersekat kurang disenangi oleh Dr.Asri.

Sebagai umat Islam yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita tidak seharusnya memegang kepada fahaman yang pelik-pelik seperti mana yang selalu difatwakan oleh Dr.Asri.Islam itu satu ajaran yang jelas dan dalam solat, kenapa perlu ditimbulkan perkara-perkara pelik?Yang Dr.Asri kuat sangat nak bantu Sister In Islam tu buat apa?Kita di Malaysia ada Majlis Fatwa yang berkeliber tetapi apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa dan juga JAKIM, hanya Dr.Asri seorang saja yang tak senang hati.Inilah geng-geng wahabi yang selalu keluarkan fahaman yang mengelirukan umat Islam.Ingatkan dah nak bersara Dr.Asri cuba muhasabah diri dan berfahaman seperti Mufti-Mufti yang lain, tapi makin hebat pula dia pertahankan buku-buku wahabi.Susah kalau dah terlebih pandai sampaikan Mufti senior Dato' Harussani yang hebat tu pun dia tak nak ikut.

Buku Makna Sebenar Bida'ah, Satu Penjelasan Rapi yang ditulis oleh al-Syeikh al-Hafiz Abu al-Fadl Abdullah al-Siddiq al-Ghumari, seorang ulama Ahli Sunnah Wal Jama'ah telah diperlekehkan oleh geng-geng wahabi.Buku yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Us.Mahfuz dan disemak oleh Dato' Hj. Mohd Murtadza Hj. Ahmad(Mufti N.Sembilan),Dato' Hj.Md. Hashim Yahya(Bekas Mufti Wilayah/Pensyarah UIAM),Dato' Hj. Saleh Hj. Ahmad(YDP Persatuan Ulama Malaysia/Pensyarah UIAM) dan Dato' Dr. Wan Zahidi Wan Teh(Mufti Wilayah) amat digeruni oleh geng-geng wahabi.Sewaktu seorang sahabat mempamerkan buku tersebut dikaunters bayaran zakat fitrah di masjid, salah seorang geng wahabi telah menuduh Ustaz Mahfuz sebagai sesat dan mengatakan sahabat tersebut telah munafik kerana membaca buku tersebut.Begitu hebat sekali bila geng-geng wahabi melebelkan orang lain.Mereka marah apabila disentuh sedangkan perbuatan mereka mengatakan kita sesat dibolehkan.

Sebagai pengamal fahaman Ahli Sunnah Wal Jama'ah, kita tidak pula mengatakan mereka sesat walaupun berbagai fahaman pelik yang dilakukan.Mereka mengatakan wuduk tidak batal apabila bersalaman dengan isteri kerana memetik satu hadis di mana Rasullullah s.a.w terpaksa mengalihkan kaki Syadatina Aishah sewaktu sedang solat.Tak tahukah mereka perumpamaan itu adalah untuk menunjukkan betapa sempit dan kecilnya rumah Rasullullah s.a.w.Bagi geng-geng wahabi, bersentuh dengan isteri tak batal wuduk malah ada seorang Imam yang mana sebelum menghadirkan diri ke masjid terlebih dulu mencium isterinya tanpa berwuduk selepas itu.Selepas solat puak-puak ini akan terus bangun tanpa berwirid dan berdoa.Itu tak apalah, mereka punya pasal tapi mereka akan menegur dan marahkan kita bila berwirid dan berdoa.Bagi golongan ini mengangkat tangan sewaktu berdoa juga bida'ah seolah-olah mereka hidup zaman Rasullullah s.a.w kerana mendakwa perbuatan itu tidak dilakukan oleh Nabi.Maka bercambahlah dan semakin berleluasalah puak-puak ini membida'ahkan umat Islam yang beramal dengan wirid dan doa.Kalau tahlil tak boleh, mengaji untuk simati tak boleh,berzanji dan marhaban tak boleh,baca Yassin malam Jumaat tak boleh, menyambut Maulidur Rasul tak boleh, agaknya apakah yang boleh disisi pembida'ah ini.Tapi bila kita sentuh bab Mufti Perlis ni ada juga penyokongnya yang melenting kat kita.Dr.Asri seorang yang berilmu tapi fahaman yang dibawanya amat bertentangan dengan apa yang kita amalkan.Kalau dia boleh mengatakan guru pondok berfikiran lama apakah kita tak boleh mempertahankannya?Inilah susahnya berdiskusi dengan orang yang terlalu dalam pengajiannya.

Wednesday, October 8, 2008

Bukti Kehebatan Berzikir.

Zikir boleh merubah segala-galanya dengan kuasa Allah swt.Begitulah yang terjadi di sebuah masjid di Indonesia di mana pada malam harinya diberitakan seorang Kiai di kawasan tersebut telah bermimpi agar dia menyeliputi kubah masjid yang hendak dipasang itu dengan kain putih dan berzikir.Pesanan di dalam mimpi itu tidak diendahkan tetapi dia bermimpi lagi dengan pesanan yang sama.Maka keesokan harinya Kiai tersebut melakukannya dan mengajak semua penduduk hadir untuk melakukan Zikirullah.Hanya dengan kalimah "La Illahhaillallah" kubah masjid yang telah diselimuti kain putih itu naik sendiri dan terletak di atas menara masjid tersebut.Perkara aneh ini telah diberitakan dalam satu slot "Berita Transtv Indonesia".Beberapa wanita yang hadir telah pengsan dan terkena histeria apabila melihat perkara ajaib ini berlaku di depan mata.Begitupun masih ada suara-suara yang mempertikaikan video yang dipaparkan walaupun ia disaksikan oleh ramai penduduk di kawasan tersebut.Inilah satu kebesaran Allah yang boleh mengubah sesuatu yang tak dapat difikirkan oleh akal hambaNya yang cetek ilmu.Seandainya perkara beginipun masih menjadi persoalan orang kita tentang kebenarannya, agaknya bagaimana pula orang kita akan menerima keajaiban Rasullullah s.a.w melakukan "Isra' Dan Mikraj'.Tidak keterlaluan dikatakan betapa nipisnya iman kita untuk menerima sesuatu yang telah ditunjukkan oleh Allah swt.Maka dengan itu kita akan termasuk bersama-sama umat yang hidup dizaman Rasullullah s.a.w apabila mendengar berita "Isra' & Mikraj", terus saja mereka murtad.Inilah yang kita takut akan berlaku kepada umatnya kini.Sesungguhnya kita ucapkanlah "Subhanallah" kerana kebesaran dan kekuasaan Allah itu tidak terbatas dan akal kita tidak dapat menjangkau betapa Agungnya Allah. video

Tuesday, October 7, 2008

Keutamaan Zikir Kepada Allah swt.

Al-Hasan berkata,"Zikir itu ada 2 macam, iaitu mengingati Allah antara kau dan Dia.Dan yang lebih utama ialah mengingati Allah dari sesuatu yang diharamkanNya.Dirawikan bahawa meraka yang tidak berzikir kepada Allah akan mati dalam kehausan.Muaz Bin Jabal mengatakan bahawa setiap ahli Syurga itu tidak mengeluh atau menyesal kerana saat yang terluang diisi dengan berzikir.
Sabda Rasullullah s.a.w,"Sesuatu kaum yang duduk di majlis lantas berzikir kepada Allah semata-mata mengharapkan redhaNya, pasti para Malaikat akan menghampiri dan mengelilingi mereka, rahmat yang menyelimuti mereka dan Allah swt mengingati mereka pada orang yang ada disisiNya.
Sabda Rasullullah s.a.w lagi,"Setiap kaum yang berkumpul, mereka berzikir kepada Allah swt semata-mata mengharapkan redhaNya, pasti jurupanggil memanggil dari langit,"Bangunlah dengan ampunan untukmu.Sesungguhnya keburukan telah diganti dengan kebaikan untukmu."
Nabi Daud as berkata,"Ya Allah, jika Engkau melihat aku terlewat ke majlis zikir dan pergi ke majlis orang yang lalai, maka pecahkanlah kedua kakiku.Sesungguhnya majlis zikir itu berupa nikmat yang Kau berikan.
Rasullullah s.a.w bersabda,"Bagi orang Mukmin, satu majlis yang baik akan dapat menebus sejuta majlis yang buruk."
Dari A'masy, dari Abi Shalin, dari Abi Hurairah dan Abi Said al-Khudri, mereka mendengar Rasullullah s.a.w bersabda,"Sesungguhnya Allah mempunyai Malaikat yang tinggal di bumi.Jika mereka bertemu dengan kaum yang berzikir kepada Allah Azza Wa Jalla, mereka memanggil,"Kemarilah dengan keinginanmu."Lalu mereka datang dan mengelilingi mereka ke langit.Maka Allah bertanya kepada para Malaikat,"Apakah yang diperbuat oleh hambaKu sewaktu engkau meninggalkan mereka?"Lalu dijawab oleh para Malaikat,"Kami tinggalkan mereka yang sedang memuji, mengagungkan dan menyucikanMu."Kemudian Allah swt berkata,"Aku saksikan padamu bahawa Aku telah mengampuni mereka."

Begitulah hebatnya keutamaan zikir kepada Allah yang sering kita amalkan di negara ini.Walaupun ada puak-puak yang mengatakan amalan berkumpul dan berzikir itu sesuatu yang bida'ah dan sesat tapi amalan begini telah disepakat oleh para-para ulama terdahulu.Mungkin tidak keterlaluan untuk kita katakan, bahawa puak-puak yang membida'ahkan majlis zikir inilah yang sebenarnya jahil dan pemalas berzikir.Mungkin mereka akan mengatakan bahawa apa yang telah disabdakan oleh Rasullullah s.a.w di atas sebagai hadis palsu dan sebagainya.Itulah hujah yang begitu daif dan selalu dimainkan oleh puak-puak wahabi lantas mereka berani pula mentafsirkan atau mengarang pula kitab untuk membida'ahkan zikir, tahlil dan sebagainya.Akibatnya berlakulah perpecahan dalam ummah dan berbalahlah mereka berkenaan zikir dan tahlil.

Sunday, October 5, 2008

Sakan Berhari Raya.

Sudah hampir seminggu umat Islam berhari raya dengan penuh kegembiraan. Mana tidaknya, setelah sebulan menahan diri dari makan dan minum maka saat-saat yang dinanti-nantikan telah tiba untuk mereka menyambutnya tanpa memikirkan lagi pengisian atau tarbiah Ramadhan.Penulis sempat berhari raya selama 3 hari di kampung dan peluang itu diambil untuk berjemaah di serata masjid kampung sambil berkenal-kenalan dengan para jemaah.Terasa sedih juga kerana selepas Hari Raya nampaknya masjid sudah kembali suram walaupun di kampung perantau kota telah pulang berhari raya.Waktu-waktu solat banyak diisi dengan melepak di restoran makanan segera dan pusat beli-belah.Mungkin ada di antara mereka sibuk berjalan menunaikan tuntutan berziarah tetapi apakah sewaktu berziarah ke rumah saudara dan sahabat handai maka kita lupa tuntutan berziarah ke rumah Allah untuk bersolat itu terpaksa dilupakan?

Bermula pada malam Hari Raya ibu-bapa yang pulang ke kampung sibuk melayan anak-anak mereka bermain mercun dan bunga api.Sewaktu penulis bersama jemaah surau membuat pusingan takbir rumah ke rumah, terdengar dentuman meriam buluh dan mercun di sana-sini dan kelihatan ibu-bapa bersama melayan ragam anak-anak bermain.Apakah pengisian malam raya itu lebih bermakna dengan bunyi-bunyian yang memekakkan telinga lebih baik dari bertakbir kepada yang Maha Esa?Begitulah sakannya umat Islam di negara kita menyambut Hari Raya.Terasa satu penghormatan yang besar apabila penulis diminta membaca doa tahlil arwah di rumah Allahyarham Tuan Guru Haji Majid Abd. Karim, seorang ulama terkenal oleh anak beliau Tuan Haji Ahmad Haji Abd. Majid seorang Imam dan Tuan Guru juga di pondok Al-Majidiah.Sedangkan di Masjid Ar-Rahimah Kg. Pandan penulis terasa diri diketepikan kerana hanya mengaji di pondok yang tidak mempunyai tauliah dari jabatan ugama kerajaan.

Sewaktu pulang ke kota pada hari ketiga Hari Raya penulis sempat menziarahi saudara-saudara yang kebetulan dalam perjalanan ke ibukota.Selepas solat Subuh di Masjid Batu Kikir, solat Jumaat di Masjid Baru Panchor Jaya, Asar di rumah sahabat di Nilai, Maghrib di Masjid Kajang dan akhirnya dengan perlindungan Allah swt kami sampai ke rumah dengan selamatnya selepas waktu Isya'. Keesokan harinya penulis bersolat Subuh di Masjid Ar-Rahimah tetapi amat malang sekali apabila hanya 12 orang jemaah yang hadir sedangkan dilihat pada kenderaan yang diletakkan di kawasan perumahan telah ramai penduduk sudah pulang ke kota.Sewaktu melaungkan azan Maghrib dan Isya' sempat juga kita melihat telatah umat Islam melalui tingkap di hadapan tempat azan.Umat Islam begitu ramai sibuk berhari raya hinggakan azan yang dilaungkan di hadapan mereka langsung tak dipedulikan.Apakah kesibukan berhari raya itu telah menghalang kita dari berjemaah di masjid?Mungkin disebabkan Iblis laknatullah telah terlepas dari ikatan maka kita juga telah terlepas pandang untuk berkunjung ke masjid.Sewaktu pulang dari masjid selepas Isya', rumah penulis telah dipenuhi dengan para tetamu untuk berziarah.Begitu sedih sekali apabila mereka mengatakan mereka mendengar kita melaungkan azan namun tidak pula mereka menghadirkan diri untuk bersolat.Begitulah sakannya umat Islam di negara kita berhari-raya kerana sibuk berziarah tapi terus melalaikan solat berjemaah di masjid walaupun mendengar azan.