Thursday, October 30, 2008

Jawatan Dan Kelayakannya.

Dari Abu Harairah r.a. katanya,"Rasullullah s.a.w bersabda,"Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran".Beliau ditanya,"Bagaimanakah orang yang tidak memegang teguh amanah itu Ya Rasullullah"?Baginda menjawab,"Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancuran".

Banyak kesimpulan yang dapat kita fahami dalam hadis di atas.Salah satu yang ingin saya utarakan di sini ialah berkenaan jawatan yang kita sandang.Adalah amat berbeza sekali apabila sesuatu jawatan yang kita sandang antara 'yang dilantik dengan yang meminta-minta kepada jawatan tersebut'.Contohnya apabila kita telah dilantik untuk menjadi Imam masjid maka amanah sebagai Imam itu perlu kita pegang agar ia tidak dikhianati.Amanah itu pula boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti amanah menghadirkan diri ketika bertugas,amanah mengikut garis panduan berpakaian yang ditetapkan oleh penguasa,amanah dalam berbicara sesama kita dan yang lebih penting sekali saling redha-meredhai dengan apa jua permasalahan yang menimpa kita.Berbeza dengan jawatan yang diminta untuk diduduki, maka amanah ini tidak akan dapat dilaksanakan.Sesungguhnya kita harus menilai diri sendiri samada kita adalah orang yang layak untuk menduduki sesuatu jawatan tersebut sebelum kita meminta-minta untuk mendudukinya.

Sebagai seorang yang berperanan sebagai Imam, seharusnya kita bertanya adakan jawatan yang kita pegang itu adalah dengan sepenuh keikhlasan hati ataupun untuk mendapat ganjaran elaun dan kemudahan tempat tinggal.Pernah terjadi di mana seorang Imam yang gagal dalam tugasannya walaupun untuk bersolat sendirian kerana jawatan yang diduduki hanyalah mementingkan kemudahan tempat tinggal yang disediakan oleh pentadbir.Begitu juga terjadinya kekecohan apabila jawatan yang kita sandang ditamatkan maka kita tidak boleh menerimanya dan terus mencari jalan untuk mempertikaikannya.Kita sendiri tidak pernah menilai diri kita adakah kita ini sebenar-benarnya layak untuk menjadi Imam?

Sebenarnya permasalahan ini tidak akan timbul jika kita sedar sejauh mana kelayakan kita untuk sesuatu jawatan.Biarlah jawatan itu dipegang oleh seseorang yang sememangnya ahli yang mana tidak ada pertikaian daripada sesiapa pun.Jika bacaan Fatihah kita sendiripun sering dipertikaikan, maka seharusnya kita terlebih dahulu mengundurkan diri sebelum dipecat.Seandainya kita merasakan diri kita begitu hebat, maka bersyukurlah jika kita dipecat dan mungkin ada pihak yang akan mengambil kita di tempat lain pula.Jika tiada yang sudi, jadilah seorang makmum yang istiqamah tanpa merasa apa-apa.Kita dinilai oleh orang lain dan bukannya kita menilai diri sendiri dengan mendabik dada dengan kebolehan kita.

Ada juga beberapa jawatan penting seperti Mufti,pembesar negara dan berbagai-bagai lagi sering menjadi pertikaan orang ramai.Sebenarnya pertikaian demi pertikaian akan terus berlaku selagi manusia itu terus bernafas.Adakalanya pertikaian ini akan membawa kepada pepecahan kerana memberi kritikan yang kurang membina.Setiap manusia tidak terlepas dari melakukan kesalahan tetapi bairlah kesalahan itu menjadi pengajaran untuk kita membaiki diri sendiri.Seharusnya kita sedar bahawa setiap kritikan yang membina boleh mengubah kehidupan dan cara kita.Kita adalah kepunyaan Allah dan kepada dia jua kita akan dikembalikan.Maka sebaik-baiknya serahkanlah segala-galanya kepada Allah dan biarlah Allah yang menentukan di mana seharusnya kita berada.

nota:
Teringat pesanan mutiara Ayahanda Hj. Husin katanya,"Saya beramal kerana Allah,Saya merayu hanya kepada Allah bukannya kepada manusia.Tiada yang kekal abadi selain dariNya.Saya hanya tunduk dan sujud kepada Allah yang satu".

No comments: