Sunday, October 5, 2008

Sakan Berhari Raya.

Sudah hampir seminggu umat Islam berhari raya dengan penuh kegembiraan. Mana tidaknya, setelah sebulan menahan diri dari makan dan minum maka saat-saat yang dinanti-nantikan telah tiba untuk mereka menyambutnya tanpa memikirkan lagi pengisian atau tarbiah Ramadhan.Penulis sempat berhari raya selama 3 hari di kampung dan peluang itu diambil untuk berjemaah di serata masjid kampung sambil berkenal-kenalan dengan para jemaah.Terasa sedih juga kerana selepas Hari Raya nampaknya masjid sudah kembali suram walaupun di kampung perantau kota telah pulang berhari raya.Waktu-waktu solat banyak diisi dengan melepak di restoran makanan segera dan pusat beli-belah.Mungkin ada di antara mereka sibuk berjalan menunaikan tuntutan berziarah tetapi apakah sewaktu berziarah ke rumah saudara dan sahabat handai maka kita lupa tuntutan berziarah ke rumah Allah untuk bersolat itu terpaksa dilupakan?

Bermula pada malam Hari Raya ibu-bapa yang pulang ke kampung sibuk melayan anak-anak mereka bermain mercun dan bunga api.Sewaktu penulis bersama jemaah surau membuat pusingan takbir rumah ke rumah, terdengar dentuman meriam buluh dan mercun di sana-sini dan kelihatan ibu-bapa bersama melayan ragam anak-anak bermain.Apakah pengisian malam raya itu lebih bermakna dengan bunyi-bunyian yang memekakkan telinga lebih baik dari bertakbir kepada yang Maha Esa?Begitulah sakannya umat Islam di negara kita menyambut Hari Raya.Terasa satu penghormatan yang besar apabila penulis diminta membaca doa tahlil arwah di rumah Allahyarham Tuan Guru Haji Majid Abd. Karim, seorang ulama terkenal oleh anak beliau Tuan Haji Ahmad Haji Abd. Majid seorang Imam dan Tuan Guru juga di pondok Al-Majidiah.Sedangkan di Masjid Ar-Rahimah Kg. Pandan penulis terasa diri diketepikan kerana hanya mengaji di pondok yang tidak mempunyai tauliah dari jabatan ugama kerajaan.

Sewaktu pulang ke kota pada hari ketiga Hari Raya penulis sempat menziarahi saudara-saudara yang kebetulan dalam perjalanan ke ibukota.Selepas solat Subuh di Masjid Batu Kikir, solat Jumaat di Masjid Baru Panchor Jaya, Asar di rumah sahabat di Nilai, Maghrib di Masjid Kajang dan akhirnya dengan perlindungan Allah swt kami sampai ke rumah dengan selamatnya selepas waktu Isya'. Keesokan harinya penulis bersolat Subuh di Masjid Ar-Rahimah tetapi amat malang sekali apabila hanya 12 orang jemaah yang hadir sedangkan dilihat pada kenderaan yang diletakkan di kawasan perumahan telah ramai penduduk sudah pulang ke kota.Sewaktu melaungkan azan Maghrib dan Isya' sempat juga kita melihat telatah umat Islam melalui tingkap di hadapan tempat azan.Umat Islam begitu ramai sibuk berhari raya hinggakan azan yang dilaungkan di hadapan mereka langsung tak dipedulikan.Apakah kesibukan berhari raya itu telah menghalang kita dari berjemaah di masjid?Mungkin disebabkan Iblis laknatullah telah terlepas dari ikatan maka kita juga telah terlepas pandang untuk berkunjung ke masjid.Sewaktu pulang dari masjid selepas Isya', rumah penulis telah dipenuhi dengan para tetamu untuk berziarah.Begitu sedih sekali apabila mereka mengatakan mereka mendengar kita melaungkan azan namun tidak pula mereka menghadirkan diri untuk bersolat.Begitulah sakannya umat Islam di negara kita berhari-raya kerana sibuk berziarah tapi terus melalaikan solat berjemaah di masjid walaupun mendengar azan.

2 comments:

Anonymous said...

selamat hari raya tuan blog,
kunjung mengunjung tu dah semestinya kemudian balik rumah solat.yang susahnya langsung tak solat lagi berat.


Azizan76.

Anonymous said...

Terasa satu penghormatan yang besar apabila penulis diminta membaca doa tahlil arwah di rumah Allahyarham Tuan Guru Haji Majid Abd. Karim, seorang ulama terkenal oleh anak beliau Tuan Haji Ahmad Haji Abd. Majid seorang Imam dan Tuan Guru juga di pondok Al-Majidiah.Sedangkan di Masjid Ar-Rahimah Kg. Pandan penulis terasa diri diketepikan kerana hanya mengaji di pondok yang tidak mempunyai tauliah dari jabatan ugama kerajaan.


Kita memang mempunyai sifat pelupa: apa yang saya dengar, bahawa tuan pernah dipelawa untuk menjadi Bilal di Masjid Ar Rahimah, tetapi tuan sendiri menolak.
Itu merupakan satu penghormatan kepada tuan!!

Seringkali tuan didapati membaca doa dimajlis-majlis disekitar blok-blok, walaupun dengan kehadiran Imam-Imam masjid bersama.

Itu merupakan satu penghormatan kepada tuan!!

Apa pun, "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin."