Sunday, November 30, 2008

Berakhirnya Satu Kecelaruan.

Sambil menghirup kopi di pagi minggu,saya sempat membelek-belek akhbar dan membaca artikel di ruangan Bicara Mufti yang ditulis oleh Dr Asri.Itulah ruangan terakhir bagi Dr Asri menulis setelah penamatan kontraknya sebagai Mufti Perlis.
Dalam penulisan beliau, ada beberapa nama tokoh yang disebutkan seperti Tun Mahathir dan Profesor Ungku Aziz.Kedua-dua tokoh ini dikatakan adalah sebagai beberapa orang yang membaca dan secara tak langsung menyokong beberapa tindakan yang dilakukan oleh Mufti muda ini.Namun jika diimbau kembali kepada tokoh yang disebutkan, adakah mereka-mereka ini sebagai pejuang Islam yang sebenar yang membawa Islam sebagai agama yang disanjungi.
Saya dahulukan dengan Mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Mahathir Mohammad.Jika kita pandang di sudut kepesatan ekonomi negara, memanglah Tun Mahathir boleh dikagumi kerana telah membawa negara ke persada antarabangsa dengan kebijaksanaan beliau mentadbir negara.Tetapi apakah beliau seorang yang hebat juga memertabatkan agama Islam agar Islam itu dihormati?Kita masih ingat bagaimana penamatan kontrak Almarhum Dato' Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor dilakukan sewaktu pemerintahan Tun Mahathir.Kita juga masih ingat bagaimana Tun Mahathir memperlekehkan tokoh agama Dato'Haroon Din Al-Hafiz.Kita juga masih ingat bagaimana Tun Mahathir menempelak bekas Mufti Selangor kerana mengharamkan konsert Micheal Jackson.Yang lebih buruk lagi apabila Tun Mahathir mengulas mengenai sunnah Rasullullah s.a.w berkenaan menyimpan janggut.Apakah beliau perlu dijadikan tokoh memperjuangkan agama Islam?
Bagi tokoh selanjutnya iaitu Profesor Ungku Aziz.Saya tidak mahu mengulas lebih panjang mengenai beliau tetapi cukuplah saya katakan, tanyalah sendiri kepada beberapa penuntut Universiti Malaya tentang tokoh ini tentang perjuangan beliau menegakkan agama Islam.Ini bagi saya adalah lebih adil kerana tokoh ini adalah salah seorang pensyarah di Universiti Malaya sebelum ini.
Dalam ruangan Minda Mufti, Dr. Asri juga menulis,"Bahkan rakan-rakan sejawatan beberapa negeri menghalang saya berceramah di negeri mereka.Selangor umpamanya membenarkan semua Mufti berceramah kecuali Mufti Perlis.JAKIM pula tidak akan melantik saya dalam sebarang panel fatwa,walaupun Mufti negeri lain dilantik".
Ulasan saya adalah sememangnya amat wajar sekali penyekatan ceramah Dr.Asri oleh Mufti-Mufti lain kerana fahaman yang dibawa amatlah bertentangan dengan amalan ulama-ulama terdahulu.Sayidina Ali Bin Abi Talib k.w,menyatakan bahawasanya beliau mendengar Rasullullah s.a.w bersabada,"Pada akhir zaman nanti akan muncul kaum berusia muda (ahdasul asnan) berfikiran pendek (safahaul ahlam),mereka memperkatakan sebaik-baik ucapan kebaikan,mereka membaca Al-Quran tetapi bacaan mereka itu tidak melebihi kerongkong mereka,mereka memecah agama sebagaimana keluarnya anak panah dari busurnya maka di manapun kamu menjumpai mereka, maka perangilah mereka kerana dalam memerangi mereka terdapat pahala di sisi Allah pada hari kiamat kelak".(Bukhari/6930,Muslim/2462,Abu Daud/4767,Nasai/4107,Ibnu Majah/168,Ahmad/616).
Adalah lebih baik Dr.Asri muhasabah diri dan saya doakan beliau diberikan perlindungan oleh Allah swt dalam usaha beliau menambahkan lagi ilmu pengajian ke London.Adalah diharapkan kerajaan Negeri Perlis akan melantik mereka yang benar-benar berpengalaman luas dalam menentukan arah tuju Islam yang sebenar dan selari dengan amalan-amalan yang telah disepakati oleh Ijma'Ulama.Selamat Tinggal Mufti Muda.

Friday, November 28, 2008

Konsert Inul Lagi!!!!!!!!!

Pengarah Urusan IMS iaitu Saudara Nasir Abu Bakar masih cuba untuk kali ke 3 membawa penyanyi kontrovesi Inul Daratista mengadakan konsertnya di Bukit Jalil pada 29/11/08.Namun usahanya gagal kerana pihak DBKL tidak membenarkan konsert tersebut diadakan dan Saudara Nasir gagal mendapatkan permit untuk konsert tersebut.
Saudara Nasir mengatakan beliau tidak memaksa orang ramai untuk hadir ke konsert tersebut tetapi ia diadakan adalah sebagai hidangan untuk warga Indonesia yang berada di Malaysia sebagaimana yang dilakukannya sebelum ini.
Ulasan saya mengenai pembatalan konsert tersebut amatlah wajar sekali kerana dengan beraksinya Inul di pentas maka akan bercambahlah Iblis-Iblis laknatullah bertepuk gembira.
Apakah ini budaya yang ingin kita tonjolkan di waktu umat Islam seluruh dunia berlumba-lumba mendaftarkan diri menyahut panggilan Illahi ke Mekah?Kita tidak hairan jika penganjurnya bukan beragama Islam tetapi mengapakah masih ada umat Islam yang berusaha ke arah kemaksiatan?
Negara kita telah dilambakkan dengan berbagai-bagai rancangan hiburan yang rata-rata melalaikan umat Islam.Rancangan seperti Akedemi Fantasia,Sehati Berdansa,Geng Starz,Konsert Jom Heboh,Malaysian Idol dan macam-macam lagi yang dihadiri majoritinya umat Islam.Apakah masih tidak cukup lagi sehinggakan penganjur yang beragama Islam ini masih mencari jalan untuk membawa Inul berkonsert?
Sebenarnya inilah caranya golongan Yahudi dan Nasrani melemahkan umat Islam iaitu melalui hiburan tak sudah-sudah.Cara yang amat halus dan paling berkesan ini telah lama dimainkan oleh musuh-musuh Islam bagi melalaikan umat Islam mengingati Allah swt.Mereka akan menaja dengan lumayan sekali bagi setiap hiburan yang diadakan tetapi malangnya disebabkan ganjaran dunia yang lumayan telah membuatkan para penganjur hiburan tertutup pintu hatinya.
Saya pernah ditanya oleh beberapa sahabat tentang kurangnya umat Islam berjemaah di Masjid.Jawapan saya ialah kerana Allah telah memekakkan telinga mereka dari mendengar azan hinggakan laungan azan pada penafsiran meraka hanyalah penanda masuknya waktu solat sahaja dan tidak lebih dari itu.
Umat Islam yang tinggal berhampiran dengan Masjid tidak menghiraukan laungan azan tetapi lebih peka kepada hiburan walaupun ia diadakan jauh sehingga terpaksa menaiki kereta menempuh kesesakan jalanraya dan membayar tol.Namun begitu saya meminta sahabat-sahabat yang sama-sama berjemaah di Masjid tidak memandang sinis kepada mereka malah kita doakan semoga Allah akan memberi taufiq dan hidayah kepada mereka semua.
Sebenarnya banyak hiburan alternatif yang berteraskan cara Islam boleh kita tonton.Ini tidak bermakna Islam melarang hiburan tetapi biarlah diterjemahkan dengan konsep Islam seperti lagu-lagu Nasyid yang dinyanyikan oleh beberapa artis kita.Lagu-lagu daripada Akil Hayy,Hijaz,Rabbani,Raihan,Now See Heart,Intim,Saujana dan banyak lagi perlu diberi keutamaan.Namun keghairahan penganjur Islam membawa Inul yang banyak membawa lagu "double meaning"telah mencemarkan anak-anak muda Islam.Semoga penganjur ini diberikan petunjuk oleh Allah yang mana baik dan yang mana buruk dalam melaksanakan sesuatu konsert.

Tuesday, November 25, 2008

Yoga Haram!!!!!!!!!

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mencapai kata sepakat untuk mengharamkan YOGA yang dikatakan bercanggah dengan amalan umat Islam.Namun begitu masih ada suara-suara yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa tersebut kerana amalan senaman YOGA ini telah lama dipraktikkan oleh beberapa orang Islam.
Dalam konteks ini ada beberapa isu yang perlu diperjelaskan dengan lebih teliti agar keputusan yang dikeluarkan menjadi lebih konkrit.Contohnya dalam melakukan meditasi dan membaca mentera tertentu, mungkin inilah yang lebih diambil berat oleh Majlis Fatwa kerana ingin menyelamatkan akidah umat Islam itu sendiri.Lihat saja DVD yang dikeluarkan tentang senaman YOGA yang berlatarbelakangkan patung Hindu di atas.Ini jelas menunjukkan amalan yang cuba diketengahkan amat bercanggah dengan ugama Islam dan secara tidak sedar akidah kita akan tergelincir dengan sendirinya.
Seharusnya pengamal YOGA yang beragama Islam tidak perlu melatah dengan keputusan Majlis Fatwa tersebut malah sepatutnya mereka bersyukur dan berterima-kasih kerana dengan adanya Majlis Fatwa yang mengambil berat tentang akidah umat Islam itu sendiri.Namun demi mempertahankan amalan-amalan yang khurafat, pengamal-pengamal YOGA ini sanggup mengenepikan akidah mereka demi YOGA yang telah sebati dengan mereka.Beberapa individu yang sememangnya suka 'menangguk di air keruh' telah cuba mencabar keputusan Majlis Fatwa walaupun dia sendiri mengaku sebagai seorang Islam.Apakah tanpa amalan YOGA kita tidak boleh lagi bersenam?Sungguh pelik sekali kerana amalan bertahajud dan berzikir yang sememangnya mempunyai kelebihan tidak pula ingin kita amalkan.Majlis Fatwa hanya mengeluarkan satu peringatan kepada umat Islam dan sebaik-baiknya peringatan sebegini harus dipandang dengan baik demi kesucian dan menjaga akidah kita sendiri.Tepuk dada dan tanyalah Iman.

Friday, November 21, 2008

Rasul Dahri Dan Sang Mufti Yang Terlampau.

"Taburkanlah kiranya, Ya Allah, pusara baginda yang mulia dengan wangi-wangian semerbak aneka puspa, berupa doa restu dan kesejahteraan kepadanya"
"Ya Allah, Limpahkanlah selawat,salam dan keberkatan ke atasnya"(Nabi Muhammad s.a.w).
Begitulah indahnya doa yang dinukilkan oleh Syaikh Ja'afar Barzanji setiap kali akhiran bacaan rawi barzanji.Bacaan Barzanji yang menjadi amalan umat Islam Nusantara telah diperlekehkan dan dianggap bathil oleh Rasul Dahri, seorang pendukung Wahabi.Syaikh Ja'afar Barzanji adalah Mufti Syafi'i Madinah mengarang kisah Rasullullah s.a.w untuk dibacakan kepada generasi-generasi baru yang masih belum mengenali Rasullullah s.a.w dengan lebih dekat.
Tidak cukup dengan mengatakan amalan berzanji sebagai pekerjaan mungkar, Rasul Dahri juga mengatakan sambutan maulid Nabi sebagai amalan yang keji juga.Malah dalam menyokong Rasul Dahri ini, ada juga seorang Mufti yang dah tak lama lagi akan lenyap turut memperlekehkan amalan berzanji.Tidak puas dengan itu Sang Mufti yang hampir lenyap ini menganggap perarakan sambutan maulidur Rasul sebagai amalan orang-orang Kristian.
Kupasan demi kupasan oleh kedua-dua tokoh Wahabi ini takkan melemahkan semangat kita untuk terus menentangnya.Sambutan Maulidur Rasul perlu dilihat kepada aspek intipati sambutan tersebut.Dalam sambutan itu umat Islam bergembira dan memperingati perjuangan Rasullullah s.a.w dalam membawa sinar Islam kepada kita semua.Dalam perarakan Maulidur Rasul, kita sama-sama berselawat ke atas Baginda kerana berselawat ke atas Baginda amatlah dituntut oleh Allah swt.
Sang Mufti yang hampir lenyap ini juga dengan bersahaja mengatakan di awal bacaan Barzanji maksudnya "Ku mulakan menggores penaku dengan nama Tuhan,Zat Yang Maha Agung", jadi sipembaca tak faham siapa yang karang kitab Barzanji itu?Kata Sang Mufti kepada pembacanya,"Hang ke yang karang'?
Teringat saya satu lagu lama yang mana liriknya ditulis oleh orang lain dan dinyanyikan oleh orang lain berbunyi,"Ku tuliskan lagu ini......"Kenapa yang mendengar lagu tersebut tak kata "Hang ke Yang Tulis"?Begitu juga bila Rasul Dahri dan Sang Mufti tersebut mempertikaikan "Dan berkata-katalah seluruh haiwan yang melata di bumi Arab dengan bahasa Arab yang fasih perihal mengandungnya Aminah"(Ibu Rasullullah s.a.w).Dalam pengajian kitab Barzanji, apa yang diucapkan oleh haiwan tersebut merupakan tasbih yang memuji-muji kebesaran Allah dan bersyukur atas kelahiran Rasullullah s.a.w.Apakah Rasul Dahri dan Sang Mufti tidak percaya bahawa segala makhluk di bumi ini bertasbih termasuklah pokok dan batu?.Kita bertasbih "Subhanallah dan Alhamdullillah" di mana kedua-duanya adalah Bahasa Arab.Kata Sang Mufti tidak logik unta-unta bercakap Arab.Inilah susahnya kalau akal digunakan untuk memikirkan yang logik sahaja.Sedangkan pohon kurma juga menangis teresak-esak dan dipujuk oleh Rasullullah s.a.w, apakah nak logik juga?
Betapa ramainya di Nusantara ini pengamal kitab Barzanji, maka apakah mereka-mereka ini semua pengamal perkara mungkar?Kemunculan kedua-dua tokoh ini telah mengakibatkan perpecahan kepada golongan muda dengan yang lama kerana yang muda yang baru nak kenal agama telah diracun dengan pemahaman bida'ah dan mungkar.Kepada golongan muda ini apakah mereka sanggup mengatakan ibu-bapa,saudara-mara mereka yang mengamalkan berzanji sebagai melakukan pekerjaan mungkar?Jika sanggup, maka anda semua telah menderhaka kepada kedua orang tua yang mana azab Allah itu terbentang untuk mereka yang menderhaka kepada orang tuanya.Ikutilah amalan ulama-ulama muktabar kerana ulama itu pewaris Nabi dan kita tidak akan sesat selamanya.

Monday, November 17, 2008

Amalan Untuk Almarhum.

Amalan untuk Almarhum atau Almarhumah bererti seseorang beramal atas nama Almarhum atau Almarhumah agar pahala ibadah tersebut dibukukan pada catatan amal Almarhum atau Almarhumah.Menurut Imam Ahmad Bin Hanbal, telah menjadi kesimpulan ulama apa jua jenis kebaikan yang diniatkan untuk dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal, pahalanya akan sampai kepada mereka yang meninggal itu.Amalan-amalan tersebut, di antaranya:
1) Mendoa dan memohon ampun sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w"Jika kalian mensolatkan jenazah,berdoalah dengan ikhlas untuknya."
" Ya Allah, berilah keampunan bagi orang yang masih hidup maupun yang telah meninggal di antara kami."
2) Bersedekah.Sa'ad bin Ubadah bertanya kepada Rasullullah s.a.w,"Ya Rasullullah,ibuku telah meninggal.Dapatkah aku bersedekah atas namanya?". Baginda menjawab,"Ya,akan sampai".
3) Berpuasa.Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan,Ibnu 'Abbas berkata,"Seorang lelaki bertemu Rasullullah dan bertanya,"Ya Rasullullah, ibuku telah meninggal dunia, sedangkan ia mempunyai kewajipan berpuasa selama sebulan.Apakah aku dapat memenuhi kewajipan itu untuknya?"Rasullullah s.a.w menjawab,"Jika ibunya mempunyai hutang, apakah engkau akan melunaskan untuknya?"Lelaki itu menjawab,"Ya".Rasullullah s.a.w bersabda,"Sesungguhnya hutang kepada Allah lebih layak untuk ditunaikan".
4) Haji. Al-Bukhari meriwayatkan,Ibnu 'Abbas berkata,"Seorang perempuan dari Juhainah bertemu nabi dan bertanya,"Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk berhaji,tetapi dia tak dapat memenuhinya sampai dia meninggal.Apakah aku boleh berhaji untuknya?"Jawab Rasullullah s.a.w,"Berhajilah untuknya....Tunaikanlah untuknya kerana Allah lebih berhak untuk menerima pembayaran".
5) Solat.Ad-Daruquthni meriwayatkan,seorang laki-laki bertanya Rasullullah sa.w,"Sesungguhnya aku mempunyai ibu dan bapa.Aku berbakti kepada mereka selagi mereka hidup.Bagaimana caranya aku berbakti kepadanya setelah mereka meninggal dunia?"Jawab Rasullullah s.a.w,"Sesungguhnya perbuatan baik setelah mereka meninggal,engkau solat untuk mereka dengan solatmu, dan berpuasa untuk mereka dengan puasamu."
6) Membaca Al-Quran.Hadiah membaca Al-Quran akan sampai pahalanya kepada si mati apabila pembacanya tidak mengambil upah kerana Rasullullah s.a.w mengharamkan mencari nafkah dan kekayaan dengan membaca Al-Quran.Setelah selesai membaca Al-Quran,pembaca mengucapkan,"Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada ...(Nama Almarhum atau Almarhumah)."
Kesimpulannya: Membaca Al-Quran adalah satu ibadah dan tidak boleh dipisahkan dari ibadah-ibadah yang lain.Oleh itu pahalanya akan sampai kepada si mati dan perbandingan ini disebut sebagai qiyas jaliy.Qiyas jaliy iaitu qiyas yang terang tidak diperselisihkan oleh ulama bahawa ia adalah hujah dan perlu diamalkan.
Rasullullah s.a.w amat melarang keras jika kita meratap-ratap kematian disertai dengan nihayah, berteriak-teriak sambil merobek pakaian.Ini adalah salah satu adat jahilliyah dan amat bertentangan dengan syariat Islam.
Diriwayatkan juga, bagi sesiapa yang meraung-raung meratap jenazah,maka jenazah tersebut akan tersiksa.Begitu juga seandainya waris-waris simati berebutkan harta simati,maka akan tersiksalah roh simati.Jika perkara buruk begini akan sampai kesannya kepada simati, apakah perlakuan baik dengan berzikir dan membaca Al-Quran tidak sampai pahalanya?Allah Maha Adil dan setiap kebaikan akan diberi ganjaran yang setimpal dengannya.
Oleh itu amat malanglah bagi mereka-mereka yang menolak pembacaan Al-Quran kepada simati seperti membaca Yasin,bertahlil dan berzikir dengan niat dihadiahkan kepada simati.Yang lebih malang lagi bagi mereka yang membida'ahkan perbuatan ini.Apakah mereka sanggup mengatakan perbuatan ini bida'ah apabila dilakukan oleh ibu-bapa,datuk-nenek dan juga saudara-saudara mereka sendiri?Kesihan mereka kerana dituduh oleh anak-anak sebagai pengamal bida'ah yang mungkar disebabkan anak-anak terpengaruh dengan fahaman yang menggelarkan diri mereka sebagai Salafi.

Friday, November 14, 2008

Kitab Yang Tak Sampai.

Rasul Bin Dahri seorang pendukung Wahabi pekat sering memberi kuliah atau ceramahnya di premis kediaman dan bukannya di masjid-masjid ataupun surau-surau.Dalam kuliahnya beliau membentangkan beberapa hujah yang mengatakan bacaan Yasin,tahlil arwah,mengaji Al-Quran kepada si mati sebagai bida'ah yang sesat.Amalan yang telah lama dilakukan oleh umat Islam di negara ini adalah satu amalan yang sesat mengikut pemahaman Rasul Dahri padahal amalan-amalan ini telah diajar dan disusun dengan baik oleh ulama-ulama muktabar untuk dipraktikkan.Mengikut kata Ustaz Haji Idris Bin Haji Ibrahim, seorang penceramah bebas mengajar ilmu tasawuf,puak-puak ini hanya mempelajari kitab-kitab yang mana apa jua amalan-amalan yang kita lakukan untuk dihadiahkan kepada si mati semuanya tak sampai.Puak-puak ini masih belum jumpa kitab yang amalan umat Islam akan sampai kepada si mati.Oleh itu katanya jika ada puak yang membacakan' kitab tak sampai' ini di masjid-masjid atau surau-surau, cepat-cepatlah bagi dia duit dan suruh dia pulang dan jangan datang lagi.
Seharusnya pihak Ahli Jawatankuasa Masjid dan surau perlu berhati-hati kerana kecenderungan puak-puak wahabi ini cuba menyampaikan fahaman mereka kepada kita semua.Jika puak-puak wahabi ini dibiarkan menyebar fahaman mereka maka adalah amat rugi sekali kerana fadhilat-fadhilat amalan yang telah diperturunkan oleh para ulama-ulama terdahulu akan lenyap begitu sahaja.Kita takut generasi yang akan datang seperti anak-anak kita akan diracun pemikirannya oleh puak-puak wahabi seperti ini. Di negara kita fahaman puak-puak ini telah menular dan merebak dengan agak agresif di Instutusi Pengajian Tinggi dan membida'ahkan segala amalan-amalan yang kita lakukan.Sebelum barah ini menjadi semakin parah adalah lebih baik para ibu-bapa memantau pergerakan anak kita kerana jika pemikiran mereka diracun oleh puak-puak wahabi ini, maka anak-anak kita akan mengatakan kita melakukan perkara yang bida'ah pula.Akibatnya sangat buruk apabila kita mati, maka anak-anak kita tidak akan membenarkan talqin,tahlil dan membaca Al-Quran untuk dihadiahkan kepada kita.Sia-sialah kita mengharapkan pahala yang disedekahkan oleh anak-anak kita nanti.Sama-samalah kita membendung dakyah yang disampaikan oleh puak-puak wahabi ini demi agama Islam yang tercinta.
Di antara sikap puak-puak wahabi yang semakin menular ini ialah:
1) Sering membida'ahkan amalan umat Islam bahkan sampai tahap mengkafirkan.
2) Menganggap diri sebagai mujtahid atau berlagak sepertinya walaupun tidak layak.
3) Sering mengambil hukum secara langsung dari Al-Quran dan hadis walaupun tak layak.
4) Sering memperlekehkan ulama pondok dan golongan agama yang lain.
5) Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang ditujukan kepada orang kafir sering ditafsir ke atas orang Islam.
6) Memaksa orang lain berpegang dengan pendapat mereka walaupun pendapat itu shazz(janggal).
Dalam penulisan yang akan datang saya akan menghuraikan satu persatu fahaman puak-puak wahabi ini seperti bab Solat,Doa,Zikir,Bacaan Al-Quran,Pengurusan Jenazah dan sebagainya.Di bawah ini adalah salah satu bukti fahaman yang dibawa oleh Rasul Bin Dahri.

Sunday, November 9, 2008

Majlis Fatwa Kebangsaan.




Dari Ibnu 'Abbas ra katanya,"Rasullullah s.a.w mengutuk laki-laki yang berpakaian seperti wanita dan wanita yang berpakaian seperti laki-laki".-Shahih Bukhari.
Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap golongan penkid iaitu wanita yang menyerupai lelaki adalah susulan daripada larangan yang telah disabdakan oleh Rasullullah s.a.w.Fatwa tersebut adalah sebagai ingatan kepada ibu-bapa tentang budaya yang semakin menular terhadap anak-anak gadis mereka yang dinamakan golongan penkid.Malangnya ada pihak yang bertaraf Mufti sendiri iaitu SS Dr. Asri memperkatakan tentang maksud fatwa tersebut tidak perlu kerana telah dijelaskan dalam hadis Rasullullah s.a.w.Sebenarnya fatwa yang dikeluarkan adalah bagi memperingati ibu-bapa dan anak-anak gadis mereka yang masih belum faham dan cetek ilmu agama.Maka Dr. Asri sebagai seorang Mufti sepatutnya menyokong penuh dengan fatwa yang mengharamkan golongan penkid dan bukannya mengeluarkan kenyataan tidak mahu hadir dalam perbincangan kerana ia adalah satu isu yang tak perlu lagi kepada fatwa.
Akibat daripada itu maka semakin beranilah golongan penkid ini walaupun bukan dari yang berugama Islam memperlekehkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Sebelum ini penulis pernah menyarankan agar pertubuhan Sister In Islam diharamkan namun saranan tersebut dipandang sepi oleh pihak berwajib.Inilah susahnya apabila tampuk pemerintahan negara diterajui oleh golongan-golongan yang jahil agama.
Di sini marilah kita mengimbau semula tangkapan demi tangkapan kepada beberapa individu yang dikatakan mengancam keselamatan negara sebagai tahanan ISA.Tangkapan yang bermotifkan politik lebih diutamakan tetapi bagaimana pula begi mereka-mereka yang berdemo di KLCC membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan?Mereka yang bukan beragama Islam sendiri telah berani secara terang-terangan mengancam kedaulatan Islam dan hukum-hukumnya.Dengan melaungkan kata-kata "Short hair, who care, stupid fatwa everywhere" mereka telah terang-terangan bertindak biadab terhadap majlis fatwa.Jurucakap kumpulan ini iaitu Lee Wei San dan Thilaga seharusnya dikenakan tindakan kerana cuba mencampuri urusan Majlis Fatwa Kebangsaan.Majlis Fatwa Kebangsaan diperlekehkan dan undang-undang Islam telah dipermainkan oleh golongan penkid dan tomboy.Ada juga golongan penkid telah mencabar pihak berkuasa agama mengambil tindakan ke atas mereka.Sebenarnya mereka-mereka ini telah mencabar Allah swt dan Rasullullah s.a.w maka tunggulah laknat Allah swt ke atas mereka-mereka ini.Para pemimpin negara dan juak-juaknya sibuk mempromosikan diri masing-masing untuk berebut jawatan demi kepentingan kantung dan kuasa maka perkara yang memesongkan akidah umat Islam tidak dihiraukan.Para ilmuan agama pula sibuk berhujah mengenai perkara furu' dan menyepikan perkara yang lebih besar lagi yang melanda umat Islam.Ibu-bapa pula sibuk dilalaikan dengan hiburan tak tentu hala yang menjadi ikutan anak-anak gadis mereka.Para penghibur dijadikan idola dan contoh hinggakan masalah rumahtangga diperhebahkan untuk tatapan para peminat-peminatnya.Apabila ini berlaku maka benarlah sabda Rasullullah s.a.w bahawa dunia ini semakin hampir ke penghujungnya dan lahirlah berbagai fitnah seperti gempa bumi,bercerai-berai suami-isteri,bersumpah untuk menegakkan kebenaran,banjir tak menentu,iklim cuaca yang tak menentu dan berbagai-bagai lagi petanda azab Allah swt kepada dunia ini.Malaysia yang dikatakan sebagai negara Islam tidak meletakkan Al-Quran sebagai perlembagaannya bagi mengariskan undang-undang Islam sendiri.Maka jadilah negara ini sebagai Islam kulit sahaja tetapi hakikatnya budaya dan amalan Yahudi dan Nasrani lebih dimartabatkan.

Thursday, November 6, 2008

Amalan Rasuah.

Bersabda Rasullullah s.a.w "Laknat Allah swt ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah"-Hadis Riwayat Ibnu Majah.
Bersabda Rasullullah s.a.w"Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan dimasukkan ke dalam Neraka"-Hadis Riwayat Ath-Thabrani.
Terlalu banyak peringatan Rasullullah s.a.w tentang ancaman Allah swt kepada pemberi dan penerima rasuah, namun demi kepentingan duniawi, manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mengikut kehendak nafsu Syaitan.
Penulis ingin memaparkan satu rakaman yang penulis sendiri lakukan, di mana perlakuan rasuah ini terjadi pada 4/11/2008 di Jalan Kancil,Pudu.Kebetulan ketika itu penulis sedang melihat gelagat manusia dari atas bangunan pejabat selepas menunaikan solat Zuhur.Agak terkejut juga melihatkan gelagat seorang lelaki Cina sedang berurusan dengan seorang pegawai DBKL lantas adengan mereka sempat dirakam.Dalam rakaman tersebut pegawai DBKL tersebut telah mengambil habuan rasuah secara tersembunyi daripada lelaki Cina tersebut.
Pada 4/11/2008 iaitu Hari Selasa, berkumandang di radio tentang persoalan DBKL dan Anda yang dikendalikan oleh sebuah stesyen radio kerajaan.Untuk tujuan pengaduan, penulis dapat menghubungi DJ radio tersebut dan mengadukan hal ini.DJ radio tersebut meminta nombor telephone untuk diberikan kepada pegawai DBKL dan tidak akan mengudarakan aduan tersebut kerana dikatakan kurang manis.Malangnya tiada siapa yang menghubungi penulis dan DJ tersebut juga seolah-olah cuba menyembunyikan perkara mungkar yang berlaku disekeliling kita.Maka tidak hairanlah kita kenapa gejala rasuah ini terus berlaku kerana terlalu ramai yang bersekongkol dengan gejala jijik ini.
Ulasan penulis hanyalah, apakah akibatnya apabila duit rasuah itu dibawa pulang ke rumah untuk dibelikan makanan isteri dan anak-anak.Kesihan kepada isteri dan anak-anak kerana punca duit yang haram itu telah menjadi daging dalam tubuh mereka.Maka tidak hairanlah apabila doa kita tidak dimakbulkan kerana terlalu banyak membesar tubuh dengan duit haram.

Sunday, November 2, 2008

Ancaman Yang Tidak Diketengahkan.

Sister In Islam yang ditubuhkan pada 1998 seharusnya dipantau oleh Jabatan Agama di negara kita.Misi Sister In Islam seperti yang tercatit,".....to promote the rights of Muslim women are based on the principles of equality,justice and freedom enjoined by the Quran as made evident during our study of the holy text."
Begitulah misi yang begitu jelas kononnya untuk memperjuangkan hak wanita untuk mendapat keadilan,kebebasan sebagaimana tertulis di dalam Al-Quran yang mereka pelajari.Persoalannya, siapakah mereka-mereka ini untuk mentafsirkan Al-Quran?Adakah mereka-mereka ini juga pandai menghuraikan hadis-hadis Rasullullah s.a.w?Sememangnya di dalam Al-Quran telah dirakamkan tentang kemuliaan seseorang wanita dan juga kelebihan-kelebihan pihak wanita itu sendiri.Namun apakah yang ingin diperjuangkan lagi oleh Sister In Islam?
Dalam Islam telah digariskan cara berpakaian bagi wanita iaitu menutup aurat tetapi pertubuhan ini berpendirian itu adalah hak asasi individu itu sendiri.Ternyata mereka-mereka ini telah cuba melawan perintah Islam itu sendiri.
Kita pernah dikejutkan dengan kisah Aminah Wadud menjadi Imam untuk solat Jumaat.Ulama-ulama muktabar telah melarang perbuatan sebegini tetapi Sister In Islam mengeluarkan kenyataan seolah-olah perkara begini tidak terlarang dan dibolehkan.Dengan berhujah memetik cerita seorang wanita Khawarij iaitu Ghazala menjadi Imam bagi askar-askar lelaki di Kufa,maka Sister In Islam mempertahankan tindakan Aminah Wadud.Mereka berkata tidak terdapat larangan di dalam Al-Quran untuk seorang wanita menjadi Imam tetapi mereka tidak pula merujuk kepada hadis-hadis ataupun daripada ulama-ulama yang ada sekarang ini.
Malah mereka memperumpamakan ulama-ulama dahulu sebagai ulama klasik.Begitu biadap dan kurang ajarnya mereka di dalam Sister In Islam.
Jika pihak berwajib tidak mengambil tindakan kepada pertubuhan yang secara jelas mencabar Islam itu sendiri, maka kita takut akan lahir seorang Aminah Wadud pula di Malaysia.Inilah satu-satunya isu yang agak dipinggirkan kerana kesannya masih belum terjadi dengan parah.Takkanlah dah parah baru nak cegah?Jika ia dibiarkan maka Al-Quran sebagai kitab rujukan untuk umat Islam akan ditafsir secara zahir saja oleh sesiapa pun walaupun tidak berkelayakan.Di negara kita telah ada Jabatan Mufti di setiap negeri,Jabatan Agama Islam,Persatuan Ulama Malaysia dan berbagai-bagai lagi yang mendaulatkan Islam itu sendiri, maka pertubahan seperti Sister In Islam yang menggunakan nama Islam sepatutnya diharamkan.Kita takut pengaruh mereka-mereka ini akan membawa kepada fenomena yang tidak baik kepada generasi yang akan datang.Kalau selama ini kita menentang fahaman wahabi yang mana kita tidaklah sampai mengatakan mereka itu sesat, maka diharap pihak berwajib perlu bertindak pro-aktif terhadap Sister In Islam.Logo yang digunakan oleh pertubuhan ini ternyata mempersendakan ayat Al-Quran iaitu nama Allah swt.Perlukah kita berdiam diri lagi?Awas kemunculan pertubuhan yang boleh merosakkan akidah umat Islam di negara kita.



Saturday, November 1, 2008

Najd Kelahiran Muhammad Bin Abd. Wahab.



Najd Tempat Kelahiran Pengasas Wahabi Iaitu Muhammad Bin Abd. Wahab.
Seminar Pemurniaan Akidah 2008 yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan telah dicemari oleh fahaman yang senada dengan fahaman pendokong Wahabi yang lain.Pembentang kertas kerja yang pertama bertajuk "Siapa Salaf Dan Siapa Khalaf, Sejarah Perkembangan Tokoh-Tokoh" telah diulas oleh Us.Ahmad Faisal Bin Abd. Hamid(klik foto) dari Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam,Akedemi Pengajian Islam, Universiti Malaya.Beliau berbicara mengenai tokoh-tokoh yang banyak menyumbang pemikiran dan usaha dalam gerakan salaf di era moden termasuklah Syeikh Muhammad Ibn Abd. Wahab.Us. Ahmad Faisal juga mengatakan al-Imam Muhammad Ibn Abd. Wahab menjadi sebutan para ulama dan tulisannya yang bermatlamat untuk menghapuskan amalan-amalan khurafat dan bidaah dalam kehidupan umat Islam.Nampaknya ulasan dan tulisan Us. Ahmad Faisal agak senada dengan tulisan Dr.Azwira.Beliau hanya menyalahkan pengikut Muhammad Ibn Abd. Wahab tanpa menyedari pengasas wahabi itu sendiri adalah Muhammad Ibn. Abd. Wahab sendiri.

Penulis terasa ingin bertanya Us. Ahmad Faisal untuk menghuraikan tentang amaran Rasullullah s.a.w bahawa akan lahir dua tanduk syaitan yang membawa fitnah dari Najd.Ulama telah sepakat menghuraikan Hadis Najd yang mana dua tanduk syaitan itu dimaksudkan kepada Musaylimah dan juga Muhammad Ibn Abd. Wahab.Namun disegi peradaban majlis maka maksud bertanya itu tidak terjadi kerana tidak mahu mengaibkan penceramah di khalayak ramai.Akhirnya huraian berkenaan dengan Hadis Najd dilontarkan persoalan kepada Us.Mahfuz Bin Muhammad Al-Khalil yang mana beliau menjawab dan menghuraikan tentang kebenaran bahawa Muhammad Ibn. Abd. Wahab adalah orang yang dimaksudkan mengikut tafsiran persepakatan ulama-ulama muktabar.

Sepatutnya pihak penganjur harus berhati-hati memilih penceramah kerana gaya dan cara Us.Ahmad Faisal lebih kepada ketemadunan,adat dan budaya,sejarah Islam tanpa merujuk dahulu tentang siapakah Muhammad Ibn Abd. Wahab yang sebenarnya.Tokoh Islam yang turut hadir iaitu Dr.Utsman Muhammadiah juga agak kurang setuju dengan pembentangan kertas kerja Us.Ahmad Faisal hinggakan beliau sendiri bangun untuk bertanyakan beberapa soalan.Sayang sekali kerana Ustaz Zamihan yang sepatutnya hadir tidak muncul kerana beberapa tugasan yang perlu dilaksanakan.Para peserta yang mengikuti program ini rata-rata masih belum puas dengan kupasan demi kupasan dari Us.Mahfuz Bin Muhammad.Ini disebabkan masa yang diberi kepada Us. Mahfuz amat terhad sekali.Diharap program seperti ini akan memberi lebih ruang kepada Us.Mahfuz dan dijemput sekali Us.Zamihan sebagai penceramah untuk membentangkan kertas kerja pemurniaan akidah.

Galeri Seminar Pemurniaan Akidah 2008.