Sunday, November 30, 2008

Berakhirnya Satu Kecelaruan.

Sambil menghirup kopi di pagi minggu,saya sempat membelek-belek akhbar dan membaca artikel di ruangan Bicara Mufti yang ditulis oleh Dr Asri.Itulah ruangan terakhir bagi Dr Asri menulis setelah penamatan kontraknya sebagai Mufti Perlis.
Dalam penulisan beliau, ada beberapa nama tokoh yang disebutkan seperti Tun Mahathir dan Profesor Ungku Aziz.Kedua-dua tokoh ini dikatakan adalah sebagai beberapa orang yang membaca dan secara tak langsung menyokong beberapa tindakan yang dilakukan oleh Mufti muda ini.Namun jika diimbau kembali kepada tokoh yang disebutkan, adakah mereka-mereka ini sebagai pejuang Islam yang sebenar yang membawa Islam sebagai agama yang disanjungi.
Saya dahulukan dengan Mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Mahathir Mohammad.Jika kita pandang di sudut kepesatan ekonomi negara, memanglah Tun Mahathir boleh dikagumi kerana telah membawa negara ke persada antarabangsa dengan kebijaksanaan beliau mentadbir negara.Tetapi apakah beliau seorang yang hebat juga memertabatkan agama Islam agar Islam itu dihormati?Kita masih ingat bagaimana penamatan kontrak Almarhum Dato' Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor dilakukan sewaktu pemerintahan Tun Mahathir.Kita juga masih ingat bagaimana Tun Mahathir memperlekehkan tokoh agama Dato'Haroon Din Al-Hafiz.Kita juga masih ingat bagaimana Tun Mahathir menempelak bekas Mufti Selangor kerana mengharamkan konsert Micheal Jackson.Yang lebih buruk lagi apabila Tun Mahathir mengulas mengenai sunnah Rasullullah s.a.w berkenaan menyimpan janggut.Apakah beliau perlu dijadikan tokoh memperjuangkan agama Islam?
Bagi tokoh selanjutnya iaitu Profesor Ungku Aziz.Saya tidak mahu mengulas lebih panjang mengenai beliau tetapi cukuplah saya katakan, tanyalah sendiri kepada beberapa penuntut Universiti Malaya tentang tokoh ini tentang perjuangan beliau menegakkan agama Islam.Ini bagi saya adalah lebih adil kerana tokoh ini adalah salah seorang pensyarah di Universiti Malaya sebelum ini.
Dalam ruangan Minda Mufti, Dr. Asri juga menulis,"Bahkan rakan-rakan sejawatan beberapa negeri menghalang saya berceramah di negeri mereka.Selangor umpamanya membenarkan semua Mufti berceramah kecuali Mufti Perlis.JAKIM pula tidak akan melantik saya dalam sebarang panel fatwa,walaupun Mufti negeri lain dilantik".
Ulasan saya adalah sememangnya amat wajar sekali penyekatan ceramah Dr.Asri oleh Mufti-Mufti lain kerana fahaman yang dibawa amatlah bertentangan dengan amalan ulama-ulama terdahulu.Sayidina Ali Bin Abi Talib k.w,menyatakan bahawasanya beliau mendengar Rasullullah s.a.w bersabada,"Pada akhir zaman nanti akan muncul kaum berusia muda (ahdasul asnan) berfikiran pendek (safahaul ahlam),mereka memperkatakan sebaik-baik ucapan kebaikan,mereka membaca Al-Quran tetapi bacaan mereka itu tidak melebihi kerongkong mereka,mereka memecah agama sebagaimana keluarnya anak panah dari busurnya maka di manapun kamu menjumpai mereka, maka perangilah mereka kerana dalam memerangi mereka terdapat pahala di sisi Allah pada hari kiamat kelak".(Bukhari/6930,Muslim/2462,Abu Daud/4767,Nasai/4107,Ibnu Majah/168,Ahmad/616).
Adalah lebih baik Dr.Asri muhasabah diri dan saya doakan beliau diberikan perlindungan oleh Allah swt dalam usaha beliau menambahkan lagi ilmu pengajian ke London.Adalah diharapkan kerajaan Negeri Perlis akan melantik mereka yang benar-benar berpengalaman luas dalam menentukan arah tuju Islam yang sebenar dan selari dengan amalan-amalan yang telah disepakati oleh Ijma'Ulama.Selamat Tinggal Mufti Muda.

No comments: