Friday, November 21, 2008

Rasul Dahri Dan Sang Mufti Yang Terlampau.

"Taburkanlah kiranya, Ya Allah, pusara baginda yang mulia dengan wangi-wangian semerbak aneka puspa, berupa doa restu dan kesejahteraan kepadanya"
"Ya Allah, Limpahkanlah selawat,salam dan keberkatan ke atasnya"(Nabi Muhammad s.a.w).
Begitulah indahnya doa yang dinukilkan oleh Syaikh Ja'afar Barzanji setiap kali akhiran bacaan rawi barzanji.Bacaan Barzanji yang menjadi amalan umat Islam Nusantara telah diperlekehkan dan dianggap bathil oleh Rasul Dahri, seorang pendukung Wahabi.Syaikh Ja'afar Barzanji adalah Mufti Syafi'i Madinah mengarang kisah Rasullullah s.a.w untuk dibacakan kepada generasi-generasi baru yang masih belum mengenali Rasullullah s.a.w dengan lebih dekat.
Tidak cukup dengan mengatakan amalan berzanji sebagai pekerjaan mungkar, Rasul Dahri juga mengatakan sambutan maulid Nabi sebagai amalan yang keji juga.Malah dalam menyokong Rasul Dahri ini, ada juga seorang Mufti yang dah tak lama lagi akan lenyap turut memperlekehkan amalan berzanji.Tidak puas dengan itu Sang Mufti yang hampir lenyap ini menganggap perarakan sambutan maulidur Rasul sebagai amalan orang-orang Kristian.
Kupasan demi kupasan oleh kedua-dua tokoh Wahabi ini takkan melemahkan semangat kita untuk terus menentangnya.Sambutan Maulidur Rasul perlu dilihat kepada aspek intipati sambutan tersebut.Dalam sambutan itu umat Islam bergembira dan memperingati perjuangan Rasullullah s.a.w dalam membawa sinar Islam kepada kita semua.Dalam perarakan Maulidur Rasul, kita sama-sama berselawat ke atas Baginda kerana berselawat ke atas Baginda amatlah dituntut oleh Allah swt.
Sang Mufti yang hampir lenyap ini juga dengan bersahaja mengatakan di awal bacaan Barzanji maksudnya "Ku mulakan menggores penaku dengan nama Tuhan,Zat Yang Maha Agung", jadi sipembaca tak faham siapa yang karang kitab Barzanji itu?Kata Sang Mufti kepada pembacanya,"Hang ke yang karang'?
Teringat saya satu lagu lama yang mana liriknya ditulis oleh orang lain dan dinyanyikan oleh orang lain berbunyi,"Ku tuliskan lagu ini......"Kenapa yang mendengar lagu tersebut tak kata "Hang ke Yang Tulis"?Begitu juga bila Rasul Dahri dan Sang Mufti tersebut mempertikaikan "Dan berkata-katalah seluruh haiwan yang melata di bumi Arab dengan bahasa Arab yang fasih perihal mengandungnya Aminah"(Ibu Rasullullah s.a.w).Dalam pengajian kitab Barzanji, apa yang diucapkan oleh haiwan tersebut merupakan tasbih yang memuji-muji kebesaran Allah dan bersyukur atas kelahiran Rasullullah s.a.w.Apakah Rasul Dahri dan Sang Mufti tidak percaya bahawa segala makhluk di bumi ini bertasbih termasuklah pokok dan batu?.Kita bertasbih "Subhanallah dan Alhamdullillah" di mana kedua-duanya adalah Bahasa Arab.Kata Sang Mufti tidak logik unta-unta bercakap Arab.Inilah susahnya kalau akal digunakan untuk memikirkan yang logik sahaja.Sedangkan pohon kurma juga menangis teresak-esak dan dipujuk oleh Rasullullah s.a.w, apakah nak logik juga?
Betapa ramainya di Nusantara ini pengamal kitab Barzanji, maka apakah mereka-mereka ini semua pengamal perkara mungkar?Kemunculan kedua-dua tokoh ini telah mengakibatkan perpecahan kepada golongan muda dengan yang lama kerana yang muda yang baru nak kenal agama telah diracun dengan pemahaman bida'ah dan mungkar.Kepada golongan muda ini apakah mereka sanggup mengatakan ibu-bapa,saudara-mara mereka yang mengamalkan berzanji sebagai melakukan pekerjaan mungkar?Jika sanggup, maka anda semua telah menderhaka kepada kedua orang tua yang mana azab Allah itu terbentang untuk mereka yang menderhaka kepada orang tuanya.Ikutilah amalan ulama-ulama muktabar kerana ulama itu pewaris Nabi dan kita tidak akan sesat selamanya.

No comments: