Saturday, December 27, 2008

Kenali Wahabi Yang Bertopengkan Al-Salafi.


Puak yang mempromosikan nama mereka sebagai golongan Salaf ataupun golongan Tajdid sebenarnya adalah golongan Wahabi yang membawa aliran atau fahaman Muhammad Ibn Abdul Wahab.Golongan ini bergerak di negara kita dengan menjadikan anak-anak muda sasaran mereka untuk memecah-belahkan umat Islam.Di antara fahaman yang dibawa oleh mereka didakwa mengikut Al-Quran dan As-Sunnah maka pendapat atau fahaman yang lain dari mereka dihukum sesat dan terpesong.Di antaranya ialah:
1) Menolak fahaman bermahzab kepada Imam-Imam yang empat, pada hakikatnya mereka bermahzab "TANPA MAHZAB".
2) Mengadunkan amalan empat mahzab dan pendapat-pendapat lain sehingga membawa kepada talfiq yang haram.
3) Memandang amalan bertaqlid sebagai bida'ah, kononnya mereka berittiba'.
4) Sering mengungkit soal-soal khilafiyyah.
5) Sering menggunakan dakwaan Ijma' Ulama dalam masalah khilafiyyah.
6) Sering bercanggah dengan Ijma' Ulama.
7) Menganggap apa yang mereka amalkan adalah sunnah dan pendapat lain adalah bida'ah.
8) Sering mendakwa orang yang bermahzab sebagai taksub mahzab.
9) Salah faham makna bida'ah sehinggakan mudah membida'ahkan orang lain.
10) Sering berhujah dengan al-tark, sedangkan al-tark bukanlah satu sumber hukum.
11) Mempromosikan mahzab fiqh baru yang dinamakan Fiqh al-Taysir, Fiqh al-Dalil, Fiqh Musoffa dan lain-lain.(yang jelas terkeluar dari empat mahzab).
12) Sering mewar-warkan agar hukum-hakam fiqh dipermudahkan dengan menggunakan hadis "Yassiru wa la tunnaffiru" sehingga menjadi lebih parah daripada "tatabbu' al-rukhas".
13) Sering mengatakan bahawa fiqh empat mahzab sudah ketinggalan zaman.
14) Menolak beramal dengan hadis dhaif.
15) Perbincangan hanya terhad kepada riwayah dan bukan dirayah.

Oleh itu "AWAS" dengan kemunculan dan penerangan mereka tentang fahaman bernama Salafi.

Wednesday, December 24, 2008

Bila Anak Membebani Ayah.

Selalu kita berdoa selepas solat agar diberikan zuriat yang baik yang melembutkan hati memandang dan penyenang hati kita.Itulah harapan setiap manusia yang bergelar "Ayah" agar anak-anak tidak menyusahkan ibu-bapanya sendiri dalam apa jua permasalahan.Doa yang dirakamkan dalam Surah Al-Furqaan:74 begitu dalam maksudnya namun adakah ia sekadar dibaca tanpa memahami maksud dan pengertiannya yang tersirat?.
Dalam hal sedemikian anak-anak sepatutnya memainkan peranan agar "Ayah" tidak menanggung segala beban walaupun dalam hal yang berkaitan dengan permasalahan kita sendiri.Kadang-kadang anak-anak tahu kesusahan yang ditanggung oleh "Ayah" tetapi masih lagi meletakan beban untuk digalas oleh "Ayah" sendiri.Adakalanya anak yang menimbulkan masalah dalam kerjaya mereka dan diambil tindakan oleh pihak berwajib serta diberi amaran, maka anak cuba mendapatkan sokongan dari "Ayah" dan ingin "Ayah" berkongsi permasalahan tersebut.Anak yang menimbulkan masalah dan dikenakan tindakan tata-tertib masih mahu "Ayah" menanggungnya dengan memutarkan cerita dan fakta sebenar kepada "Ayah".
Begitu juga apabila anak diberikan sesuatu bil kerana menggunakan peralatan untuk majlis kenduri keluarga yang dipinjam dari tempat lain, maka anak terus membebani "Ayah" tanpa berfikir dan bercerita keadaan sebenarnya.Sedangkan si-anak telah pun diberi taklimat dan penjelasan berkenaan barang-barang yang dipinjam untuk keperluan keluarga tetapi tidak pula diceritakan oleh si-anak kepada "Ayah".
Pernah juga si-anak dihadapkan dan diberi kaunseling oleh pihak berwajib sehinggakan si-anak dipanggil dengan panggilan "Syaitan Besar" oleh pihak kaunseling.Maka si-anak terus menceritakan kepada "Ayah" untuk mendapatkan sokongan.Namun tidak pula si-anak memberitahu "Ayah" bahawa sebelum dia dipanggil sebagai "Syaitan Besar", si-anak terlebih dahulu menggelarkan rakan-rakan sejawatnya sebagai "Syaitan" apabila dihalang berkhutbah.Maka "Ayah" akan menaruh marahnya terhadap orang lain kerana terlalu percayakan dengan kata-kata anak.
Seharusnya anak apabila sudah meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri tidak patut membebankan "Ayah" dalam apa jua permasalahan.Adalah lebih baik apa jua kesusahan atau permasalahan kita tidak diceritakan kepada "Ayah" kerana ini akan menjadikan "Ayah" semakin runsing dan sakit memikirkan permasalahan kita.Jika kita lihat sang "Ayah" adalah orangnya yang terpaksa bangun pagi membuka pintu masjid, maka sebaik-baiknya kita sebagai anak membantunya melakukan pekerjaan itu.Dengan itu akan meringankan tugas "Ayah" kerana kita tahu keuzuran "Ayah" kita.Namun sebaliknya kita lebih suka "Ayah" berkongsi segala masalah yang kita tanggung dan permasalah itu biarlah diselesaikan oleh "Ayah" tanpa berfikir panjang.Akibatnya permasalahan kita yang ditanggung oleh "Ayah" membuatkan nama dan imej "Ayah" tercalar dek perbuatan kita sendiri.

Monday, December 22, 2008

Kejahilan Dan Kebodohan Terpancar.


Babi ada kat malaysia nihhhh, harammmmm lahhhh kita semuaaaaa. Oh Malangnya Tuhan jadikan kauuu babiiiiiiiii. Tolol nya aku. Oh satu lagi, laman rumahku dilalui babiii, aku kena samak seluruh laman rumahkuuuuuu, lagi tolol akusalm, aku pergi pasar, beli sayur kat melayu, bagi duit ringgit, lepas tu aku tengok melayu tu pulak pergi ke kedai cina, ambil sayur yang dah habis, diapun ambil baki duit cina tu, petang tu lagi aku nampak cina tu jual daging babi. Dalam ati aku duit ringgit cina yang ada sentuhan babi itu dah beralih tangan kepada tauke melayu tu, dan sekarang beralih tangan kepada aku, sekarang AKU HARI-HARI SAMAK ANGGOTA BADAN AKU. he he BODOH BANGANG nya AKU

Artikel di atas dipetik dari pengomentar isu babi dalam blog Ustaz Zamihan Al-Ghari.Pengomentar yang bernama mamah secara terang-terangan menunjukkan kejahilannya dalam menangani isu najis khinzir.Ini disebabkan terlalu mengikut fahaman pilot Hafiz Firdaus dan Rasul Dahri yang menghalalkan penggunaan barangan dari unsur babi.

Fatwa daripada Prof. Mutawalli Sya'rawi dalam 'anta tasal wa Islam yujib' telah mengharamkan kulit babi dan inilah pandangan jumhur fuqaha' Imam Syafi'i,Maliki,Hambali dan Hanafi yang mengketogorikan babi tergolong dalam najis berat (Mughalazzah).
Fatwa Majlis Tertinggi Urusan Keselamatan Mesir dalam kitab "al-Muntakhabu minas Sunnah jilid 9, menjelaskan haram menggunakan kulit babi walaupun setelah disamak kerana haramnya babi ialah pada lafaz umum ayat Al-Quran iaitu haramnya babi kerana zatnya ('ain).

Apabila kita mengaku sebagai pengikut Mahzab Syafi'i maka tidak perlulah kita berdolak dalih dalam mengharamkan babi secara keseluruhannya.Namun tuduhan Rasul Dahri mengatakan umat Islam di Malaysia bertaklik buta dengan Imam Syafi'i hanyalah memberikan satu kekeliruan kepada mereka-mereka yang jahil agama.

Monday, December 15, 2008

Tokoh Ulama Di Selangor.

Al-Zalil Mahfuz Muhammad Al-Khalil.

Latar belakang kelahiran

Nama beliau ialah Ma'sum bin Muzayyin dan berasal dari Lasem Jawa Tengah, Indonesia. Lasem dikenali sebagai Tiongkok kecil kerana merupakan kota awal pendaratan orang Tionghoa di tanah Jawa. Beliau dilahirkan pada awal tahun 1900an, namun tanggal kelahiran beliau tidak dapat dipastikan secara tepat.

Penukaran nama kepada Muhammad Khalil adalah kerana mengambil tabarruk guru yang dikasihinya yang bernama Kiai Khalil Bengkalan yang berasal dari Pulau Madura Jawa Timur.

Maka masyhurlah nama beliau di Malaya pada ketika itu dengan nama Kiai Khalil Bin Abu Ammar. Sementara ayahnya iaitu Kiyai Muzayyin, menukar nama kepada Kiai Abu Ammar selepas menunaikan haji di Mekah al-Mukarramah.

Ini kerana telah menjadi adat masyarakat Jawa akan menukar nama yang baru setelah menunaikan haji. Ia juga berkemungkinan tabarruk nama panggilan baru dengan tanah suci Mekah yang penuh barakah.

Pendidikan awal

Beliau mula belajar di Pesantren Rembang dan kemudian berpindah ke Pesantren Pati, dan akhir sekali di Tebu Ireng Jombang Jawa Timur. Dikatakan pada awal pengajiannya, beliau selalu cuai dalam belajar. Sikap beliau tersebut sampai kepada pengetahuan bapanya, lalu beliau dipanggil pulang dan diserahkan tugas memelihara kambing ternakan.

Setelah melalui tugasan tersebut, maka beliau menyedari bahawa peritnya sebagai penggembala kambing. Ekoran itu, beliau memohon kepada ayahnya untuk kembali meneruskan pembelajaran di pondok.

Di Pondok Tebu Ireng , beliau telah berguru dengan Kiai Hasyim Asy'ari. Kiai Hasyim Asy'ari adalah seorang ulama terkenal di Indonesia dan merupakan salah seorang pengasas Nahdhatul Ulama (NU).

Di samping itu, Kiai Khalil turut berguru dengan Kiai Khalil Bengkalan/Madura, iaitu ulama yang diambil tabarruk namanya.


Kiai Ma’sum bin Muzayyin @ Kiai Khalil bin Abu Ammar


Kiai Khalil Bengkalan/Madura merupakan guru kepada Kiai Hasyim Asy'ari sewaktu beliau belajar di daerah Madura. Namun terjadi satu peristiwa pelik di mana Kiai Khalil Bengkalan datang untuk berguru dengan bekas anak muridnya di Tebu Ireng. Puas ditolak namun Kiai Khalil Bengkalan tetap dengan pendiriannya untuk berguru dengan Kiai Hasyim Asy'ari. Akhirnya permintaannya itu dipersetujui beliau. Kiai Khalil Bengkalan/ Madura adalah seorang yang mahir dalam pelbagai ilmu, terutama dalam ilmu Nahu, Sorof, Balaghah, Fiqh dan lain-lain.

Hasil perguruan ulama yang dibicarakan ini dengan Kiai Khalil Bengkalan/Madura tersebut, beliau mempunyai kemahiran yang agak luar biasa dalam ilmu nahu bahasa Arab. Antara kitab yang menjadi kebiasaan dalam kelasnya ialah kitab Alfiah. Hal ini turut diperakui sendiri oleh Sheikh Mahmud al-Bukhari, yang menyatakan bahawa kemahirannya mendatangkan syahid dalam masalah nahu Arab, sehingga digelar sebagai Khalil Imran.

Menurut Ustaz Ahmad Mukhit, iaitu Mu'allim Indra Wangsa, menyatakan bahawa Kiai Khalil belajar hanya tiga tahun sahaja. Namun dalam masa tersebut beliau dikurung oleh gurunya dan menghabiskan seluruh masanya untuk mempelajari pelbagai ilmu. Dikatakan beliau tidak tidur sepanjang malam untuk mentelaah kitab-kitab sehingga menjelang Subuh. Bahkan, beliau juga dikatakan mendapat ilmu secara ladunni.

Karya penulisan

Kiai Khalil bin Abu Ammar juga menghasilkan karya-karya penulisan yang banyak. Boleh dikatakan hampir kesemua karya penulisan beliau adalah berasal daripada tulisan tangan beliau sendiri.

Berdasarkan penemuan karya penulisan tersebut, dilihat beliau banyak menghasilkan karya-karya dalam bidang-bidang tertentu iaitu ilmu nahu bahasa Arab, ilmu Falak, ilmu Qawa'id Fiqh dan sebagainya.

Kewafatan

Ketika berusia lebih 70 tahun, beliau kembali ke rahmatullah pada penghujung tahun 1978 selepas menunaikan haji bersama isteri, Nyai Salbiah dan anak perempuan mereka, Hajah Sofiyyah di Mekah. Jasadnya telah disembahyangkan di hadapan Kaabah dan dikebumikan di perkuburan Ma'la.

Waris.

Kiai Khalil Bin Abu Ammar meninggalkan salah seorang warisnya yang tidak kurang hebatnya dalam pendakwahan Islam.Ustaz Haji Mahfuz Bin Muhammad @ Haji Khalil seorang pendakwah bebas yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.Pendakwah yang berpendidikan Universiti al-Azhar Kaherah Mesir ini banyak membentangkan kertas kerja berhubung Akidah ahli Sunnah wal Jamaah dah aliran-aliran moden yang bercanggah dengan Al-Quran,Al-Sunnah,Ijma' dan Qias yang pada hari ini semakin menular dalam masyarakat Islam.Anak didik dari Pondok Madrasah Manabi'ul Ulum,Kubang Ulu, Penanti Seberang Prai ini berjuang untuk menentang fahaman-fahaman Wahabiy yang semakin merebak di negara kita.Semoga darah Kiai Khalil Bin Abu Ammar ini akan senantiasa mengalir ke tubuh anaknya Haji Mahfuz untuk menterjemahkan konsep Islam yang sebenarnya kepada umat Islam semua.

Sunday, December 14, 2008

Bekas Orang Kuat Perlis Di London.

Saya bertolak ke sini pada 1 Disember lepas. Masih belum mendapat rumah untuk tinggal. Bukan tiada rumah, tapi menghitung ‘bajet’ yang sesuai. Belum dapat mengikuti perkembangan Malaysia sepenuhnya. Pada ‘Idil Adha baru-baru ini saya berkhutbah di Malaysia Hall di London. Bertemu dengan orang-orang Malaysia. Turut hadir Dato’ Seri Shahidan Kassim, bekas Menteri Besar Perlis. Beliau bermurah hati menjamu orang Malaysia di sini. Di samping membawa saya mengenali London.

Saya tinggalkan Malaysia dalam keadaan ramai yang amat tidak bersetuju dengan tindakan ini. Ratusan email dan sms yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka. Kata mereka saya mesti teruskan agenda yang telah berjalan dan mula membuatkan hasil yang agak lebat. Sehingga baru-baru ini saya bertemu seorang tua warga Malaysia di London berkata dengan nada yang sebak “Tidak patut Dr tinggalkan Malaysia. Sepatutnya berjuang sehingga habis”. Sehingga ada yang menyebut: “Tak baik tinggalkan Malaysia, nanti jadi macam Nabi Yunus yang tinggalkan kaumnya, lalu dia ditelan ikan”.

Ramai tokoh Islam tersasar menjadi fanatik parti, taksub mazhab, berjuang untuk kedudukan bagi mendapatkan harta dan kedudukan semata, menolak nas-nas agama yang jelas kerana mempertahankan pegangan peribadi atau tempatan, semuanya berpunca niat yang tidak dibulatkan kerana Allah semata dalam mencari kebenaran.

Artikel di atas ditulis oleh Dr.Asri dan yang pertama dari London setelah tidak lagi bergelar Mufti.Satu persoalan timbul di sini, kenapakah kedua-dua tokoh bekas orang besar Perlis ini berada di Malaysia Hall sewaktu umat Islam menyambut Hari Raya IdilAdha?Kalau bekas Mufti dengan alasan menyambung pengajiannya tetapi apahal pula dengan Shahidan Kasim?Nampaknya kedua-duanya yang telah terbuang seakan menyusun satu strategi baru untuk menyebarkan fahaman-fahaman Wahabinya pula di London.

Ulasan seterusnya apabila Dr.Asri menulis tentang pertanyaan beberapa orang kepadanya kenapa dia tinggalkan Malaysia dan tidak terus berjuang?
Jawapannya, bukan tinggalkan Malaysia tetapi hanya tidak diperlukan lagi di Perlis kerana penyokong kuatnya juga iaitu Shahidan Kasim sudah tersingkir.Tidak ada apa yang diperbuat oleh bekas Mufti Perlis ini untuk negara tetapi hanya memecah-belahkan umat Islam sahaja dengan fahaman-fahamannya.Adakah layak beliau disamakan dengan Nabi Nuh yang meninggalkan kaumnya?

Seterusnya sekali lagi dengan sombong Dr. Asri mengatakan ramai tokoh Islam yang tersasar kerana berpunca niat yang tidak dibulatkan kerana Allah swt.Siapakah yang beliau maksudkan?Penjelasan daripada SS Dato' Harussani dan Dato' Haron Din tentang Dr.Asri sudah cukup bagi kita menilai siapakah Asri sebenarnya.Dr.Asri sering memperlekehkan ulama-ulama muktabar kerana berpengajian pondok.Dr.Asri juga mensyirikkan bacaan selawat untuk perubatan yang diamalkan oleh Tuan Guru Dato' Haron Din.Sikap angkuh yang ditunjukkan oleh Asri sebenarnya memakan dirinya sendiri kerana jawatan Mufti yang disandang hanya bertahan selama 2 tahun sahaja. Namun masih ada puak-puak yang membuta tuli mengikut fahaman yang disampaikannya.

Islam itu mudah dan perlu dipermudahkan untuk semua memahaminya.Tetapi janganlah Islam itu diambil mudah.Itulah yang dibawa oleh Asri kepada mereka-mereka yang malas beramal.Bagi yang beramal sunat dikatakan bida'ah yang sesat dan tidak mengikut Al-Quran dan Sunnah.Al-Quran terkandung ilmu-ilmu yang bermanafaat seperti yang ditulis oleh Tuan Guru Haron Din dalam bukunya "Ikhtiar Penyembuhan Penyakit Dengan Ayat-Ayat Dan Doa Mustajab".Namun tuduhan Asri mengatakan seolah-olah mereka yang mengamalkannya mendapat wahyu dari Allah.Ini satu tuduhan yang melampau dan Asri sendiri gagal membongkar rahsia ayat-ayat Al-Quran untuk perubatan.Kesucian dan kehormatan jawatan Mufti telah dicalar oleh Asri sendiri hinggakan ada pihak yang mempertikaikan fatwa-fatwa dan usaha murni Mufti-Mufti yang lain mencegah kemungkaran.Ternyata kesepakatan Asri dan Shahidan tidak diterima lagi di Malaysia.

Thursday, December 11, 2008

Selawat Syifa Syirik!!!!!!!!!


Buletin Jabatan Mufti Negeri Perlis Bil 1, April 2007 memberitakan tentang kesalahan dan kesyirikan Selawat Syifa.Kemudian diikuti pula oleh Nawawi Subandi dalam blognya tentang kesyirikan Selawat Syifa.Akibatnya terpaksalah TG Professor Dato' Haron Din menjelaskan tentang pengertian Selawat Syifa dan Selawat Tafrijiyah yang digunapakai dalam perubatan Islam.Umum mengetahui bahawa Nawawi Subandi adalah orang yang senantiasa bersama Rasul Dahri menyampaikan fahamannya untuk memecah-belahkan umat Islam.Nampaknya puak-puak Wahabi yang menamakan diri mereka sebagai golongan Salaf semakin galak meletakkan hukum bida'ah dan syirik kepada umat Islam.Antara tudahan lain yang dilemparkan oleh golongan yang dinamakan golongan Salaf ini adalah:

1)Menganggap lafaz usolli sebagai bida'ah.
2)Menganggap bacaan qunut Subuh sebagai bida'ah.
3)Tahlil / talqin/kenduri arwah sebagai bida'ah.
4)Penambahan bacaan "wa bihamdihi" pada ruku' dan sujud sebagai bida'ah.
5)Menyapu muka selepas salam bida'ah.
6)Menolak sembahyang sunat qabliyyah sebelum Juma'at.
7)Menganggap lafaz sayyidina (taswid) dalam solat bida'ah.
8)Tidak ada qadha' dalam solat yang sengaja ditinggalkan.
9)Boleh jamak dan qasar walaupun kurang dari 2 marhalah.
10) Membaca Yassin malam Juma'at bida'ah.
11)Barzanji dan Marhaban bida'ah.
12)Membaca Al-Quran di kubur haram.
13)Membaca Selawat Syifa dan Tafrijiyah syirik.
14)Bacaan Yassin malam Nisfu Sya'aban bida'ah yang haram.
15)Azan Juma'at sekali sahaja dan yang kedua ditolak.
16)Penggunaan tasbih sebagai bida'ah.
17)Solat Tarawikh hanya 8 raka'at sahaja.
18)Mengangkat tangan sewaktu berdoa bida'ah.
19)Menyamakan Sambutan Maulidur Rasul dengan Sambutan Nasrani / Kristian.
20)Menolak sifat 20 Allah.
21)Menganggap ziarah makam Rasullullah s.a.w dan para sahabat sebagai bida'ah.
22)Menganggap kubur bersebelahan masjid sebagai bida'ah yang haram.
23)Menolak zikir isim mufrad, Allah,Allah.
24)Mengatakan bacaan "Sodaqallahul-'azim' selepas bacaan Al-Quran sebagai bida'ah.
25)Meletakkan tempat bagi Allah dengan memahami ayat Mutashabihat secara zahir.

Ada banyak lagi kecelaruan puak-puak ini berfahaman dan jika hanya perkara-perkara furu' tidaklah terlalu berat tetapi apabila berakidah Allah di langit maka ini yang perlu ditentang dengan sungguh-sungguh.Tuduhan yang dilemparkan oleh puak-puak ini amat berat kerana ia melibatkan majoriti umat Islam di seluruh dunia.

Sunday, December 7, 2008

Selamat Hari Raya Korban / Haji / AidilAdha.






Alhamdullillah bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana diberi sekali lagi peluang untuk menyambut Hari Raya Korban.Sekali lagi semua masjid-masjid dan surau-surau bergema suara takbir memuji Allah yang Maha Esa.Banyak pengajaran korban yang dapat kita fahami selain daripada korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s ke atas puteranya Nabi Ismail a.s kerana menurut perintah Allah.
Pengorbanan masa yang kita peruntukkan untuk hadir setiap waktu berjemaah di masjid dengan meninggalkan anak dan isteri adalah satu pengorbanan yang suci.Namun pengorbanan begini amat payah untuk dilakukan oleh beberapa umat Islam kerana sayangkan harta,anak-isteri,program teleivisyen dan sebagainya maka kita lupa untuk mengorbankan masa bagi menghabiskan sisa-sisa hidup menyerah diri kepada Allah swt.Ada juga yang sanggup mengorbankan wang ringgit kepada perkara-perkara yang melalaikan tetapi tidak sanggup berkorban untuk ternakan sembelihan bagi diagih-agihkan kepada yang hak.
Seharusnya umat Islam perlu sedar pengorbanan terhadap agama Islam perlu diletakkan yang teratas sekali melebihi pengorbanan masa yang diperuntukkan untuk mencari kekayaan dunia.
Sedar atau tidak saban tahun kita masih boleh lagi bernafas setiap kali menjelangnya Hari Raya Aidiladha tetapi jika dihitung dengan umur kita, ia semakin bertambah dan hanya menunggu dijemput oleh Allah swt.Sesungguhnya bagi mereka yang berkesempatan mengerjakan fardhu haji di Mekah adalah satu lagi bentuk pengorbanan.Segala kesenangan dan kemewahan ditinggalkan demi menyahut seruan Illahi untuk mengerjakan haji.Kepayahan dan kesulitan dalam mengerjakan fardhu haji akan dibalas dengan pahala yang berlipat ganda oleh Allah swt.
Sesungguhnya pengertian korban itu perlu dipandang dari sudut yang lebih luas lagi dan bukannya sekadar mengambil bahagian dalam ibadah korban binatang ternakan.Selamat Hari Raya Korban.

Friday, December 5, 2008

Kiamat Kecil.


































"Wahai orang-orang yang beriman!Ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika bala tentera datang kepadamu,lalu kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan bala tentera yang tidak dapat terlihat olehmu.Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan".-Maksud Surah Al-Ahzab -9.

Sejak kebelakangan ini banyak berlaku musibah-musibah di negara kita.Apakah ini tandanya kemurkaan Allah swt telah mula mengirimkan bala ke atas hambaNya yang lalai?Harta benda musnah dalam sekelip mata kerana Allah memberikan peringatan kepada hambaNya yang lalai.
Firman Allah swt,"Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat kami, dia berpaling dengan menyombongkan diri seolah-olah dia belum mendengarnya, seakan-akan ada sumbatan di kedua-dua telinganya,maka gembirakanlah dia dengan azab yang pedih". Maksud Surah Luqman - 7.
Bagi mereka-mereka yang lalai dan sibuk mengumpul harta dunia,bekerja sepanjang masa tanpa had dan melalaikan suruhan Allah swt, maka diberi peringatan oleh Allah tentang azab yang menimpa mereka.Sesungguhnya harta-benda dan anak-pinak tidak dapat menolong kita di akhirat nanti.Inilah janji Allah yang selalu diperolok-olokkan oleh hambaNya kerana terpedaya dengan hasutan Syaitan tentang keseronokan mengumpul harta dan wang.Tidak pernah rasa bersalah terhadap kelalaian mereka kepada perintah Allah swt dan hanya mengucap syukur di mulut tetapi gagal mempraktikkan dan beramal dengan sejujur-jujurnya.Mereka yang lalai hanya beramal sekadar "melepaskan batuk di tangga" tanpa ilmu dan hanya secara ikut-ikutan.Sesungguhnya mereka telah menzalimi diri mereka sendiri dan alangkah ruginya kerana hanya bersungguh-sungguh merebut peluang mencari harta dunia tetapi mempelajari agama secara sambil lewa sahaja.
Sesungguhnya segala kemusnahan dan musibah yang berlaku adalah kerana dosa dan kesalahan manusia itu sendiri. Dari itu berbanyakkanlah bersyukur dengan menambahkan amalan sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat nanti.Dunia ini hanyalah sebagai transit untuk kita dan yang kekal hanyalah alam akhirat.Kembalilah kepada Allah dan rasulNya, dan itulah yang sebaik-baiknya.