Saturday, August 30, 2008

Marhaban Ramadhan Al Mubarak.

Insyaallah pada Hari Isnin iaitu pada 1/9/2008 umat Islam akan sama-sama menunaikan satu lagi rukun Islam iaitu berpuasa di bulan Ramadhan.Kedatangan bulan yang dinanti-nantikan oleh golongan beriman kerana ganjaran berlipat ganda yang dijanjikan Allah kepada setiap amalan yang kita lakukan.Uniknya pada bulan Ramadhan sahajalah umat Islam sama-sama mengerjakan solat sunat Tarawikh yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.Masjid-masjid dan surau-surau akan mula sesak untuk umat Islam bertarawikh tapi hanya sehingga 8 rakaat sahaja.Minggu pertama akan bersemangatlah kita untuk bertarawikh namun masjid kembali suram apabila masuk minggu ketiga dan terakhir.Inilah yang berlaku saban tahun kerana ibadat puasa itu hanyalah sebagai amalan menahan lapar dan dahaga tanpa kita memahami dan mengambil iktibar kelebihan Ramadhan itu.

Sebelum kedatangan Ramadhan syurga-syurga Allah akan dihias namun umat Islam di negara kita menghias rumah apabila kedatangan Syawal.Itulah bezanya apabila kita tidak mempelajari dan mempraktikkan amalan-amalan sunat di bulan Ramadhan.Bulan Ramadhan sepatutnya adalah satu bulan untuk kita merebut peluang memohon seribu keampunan tentang dosa-dosa yang kita lakukan.Pintu langit akan senantiasa terbuka dan doa amat mustajab ketika kita berpuasa kerana Allah.Seharusnya kita tidak terlepas peluang merebutnya kerana Rasullullah s.a.w pernah bersabda,"Celakalah bagi mereka yang tidak mendapat keampunan di bulan yang mulia ini."Banyak amalan sunat yang dapat kita lakukan seperti Tadarrus Al-Quran,Qiamullail, Solat sunat Tarawikh,beriktikaf di masjid,bersedekah dan macam-macam lagi yang dijanjikan pahala berganda oleh Allah.

Penulis sempat balik ke kampung untuk sama-sama membaca surah Yassin dan tahlil arwah bersama jiran-jiran untuk dihadiahkan kepada Almarhum Ayahanda Haji Mohd Salleh Bin Jawal.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dimasukkan bersama-sama golongan beriman.Amin.

Monday, August 25, 2008

Berani Kerana Benar.


Alhamdullillah kerana masih ada umat Islam yang berkedudukan berani mengatakan tentang kebenaran daripada terus membisu.Ustaz Ramlang Porigi yang dikaitkan sebagai saksi dalam sumpah laknat yang diadakan oleh Saiful Bukhari di Masjid Wilayah Persekutuan terjawab apabila Imam ini tampil tanpa menyebelahi mana-mana pihak namun berani memberikan penjelasan.Berapa ramaikah Imam malah Ulama sendiri yang berani menyatakan yang hak dan menentang kebhatilan?

Sebagaimana yang diperjelaskan oleh Imam tersebut bahawa mubahallah perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak apabila pengadilan menemui jalan buntu.Seharusnya pihak-pihak yang berkepentingan tidak perlu melibatkan seorang Imam untuk meneruskan agenda jahat kerana kredebiliti Imam itu akan terjejas akibat difitnah dan ditohmah.Walaupun Ustaz Ramlang hanya dari Gred S17, namun keberaniannya harus dipuji kerana ada Imam yang dari Gred S41 sekalipun masih membisu kerana takut hilang jawatan.Saya kenal beberapa Imam Masjid Wilayah Persekutuan yang dari Gred S41, tapi hanya berani bercakap dalam slot-slot kuliah sahaja dalam nada sindiran yang kurang tepat.

Seperti yang saya perjelaskan sebelum ini, seharusnya para ilmuan agama seperti Ulama,Imam,Pendakwah dan lain-lain perlu tampil menyatakan tentang isu sumpah yang dilakukan kerana ia dilihat seolah-olah mempersendakan kitab suci Al-Quran dan institusi masjid itu sendiri.Ini secara tidak langsung telah membawa kepada penghinaan kepada agama Islam dan akan menjadi bahan ketawa oleh musuh-musuh Islam.Pihak JAWI seharusnya lebih peka dan menjadi penasihat kepada mereka yang suka bermain dengan sumpah.Lebih malang lagi apabila pihak-pihak media terus bermaharajalela mengulang tayang isu sumpah dan liwat ini tanpa segan silu lagi.

Nampaknya negara kita tidak selamat lagi dari menerima kutukan Allah serta bala bencana kerana Allah amat murka kepada hamba-hambanya yang menjual agama demi kepentingan diri.Maruah Islam sudah tergadai akibat perbuatan umat Islam itu sendiri yang suka mengadu domba,fitnah-menfitnah,amalan bersumpah,mengaibkan seseorang dan macam -macam lagi.Inikah yang dinamakan sebuah negara Islam contoh yang menghalalkan kebathilan dan kemaksiatan?Cukuplah kita dikejutkan dengan kiriman bala oleh Allah sewaktu sunami dahulu dan janganlah hendaknya Allah memberikan peringatan yang lebih dasyat lagi kepada negara ini.

Saturday, August 23, 2008

Sumpah Terus DiMainkan.

Sekali lagi saya beristighifar panjang membaca tajuk berita di mana pemimpin kita bersumpah di dalam rumah Allah yang mulia untuk mempertahankan diri dari tuduhan jenayah.Entah mengapa sejak akhir-akhir ini perbuatan sumpah "Wallahi,Wabillahi,Watallahi" terus berkumandang di negara yang tercinta ini.Sumpah ini seolah-olah sudah menjadi satu permainan politik yang hanya akan mengundang kemurkaan Allah swt ke atas hambanya.Adakah kita sebagai hamba yang lemah sanggup menghadapi satu ujian malapetaka yang berupa peringatan ke atas hamba-hambaNya berlaku di Malaysia?Nampaknya kesabaran kita menghadapi ujian Allah dengan tuduhan yang dilemparkan sudah tidak tertanggung oleh kita hingga kita sanggup bersumpah di dalam rumahNya yang mulia.

Bukanlah niat saya untuk mencampuri urusan politik apatah lagi kes-kes tuduh menuduh ini sudah sampai ke peringkat pengadilan mahkamah.Namun perbuatan sumpah itu amat dikesali kerana budayanya telah sampai kepada permainan anak-anak kita yang tidak tahu hukum lagi.Terus terang saya jelaskan di sini bahawa kanak-kanak yang bermain di sekitar rumah saya telah dengan sengaja mempermainkan kata-kata sumpah ini apabila berlaku perselisihan dengan teman-temannya sewaktu bermain.Apakah ini budaya yang ingin kita ajarkan kepada anak-anak kita yang hanya mengikut sahaja tanpa memahami apakah hukumnya?Para ilmuan agama sepatutnya melarang kalimah sumpah begini terus dilafazkan kerana pengaruhnya amat besar kepada rakyat.Namun sedih rasanya kerana para cendiakawan,ulama hanya membisu seribu bahasa kerana takut kehilangan jawatan yang dipikul.Maka ulama-ulama sebegini hanya menempah tiket ke neraka dan janji Allah itu ialah azab yang amat dasyat menunggu ke atas ulama yang takut berkata benar kepada pemimpin.Pintu taubat senantiasa terbuka jadi bermunajatlah kepada Allah swt semoga kita tidak disesatkan dan dibalikkan hati kita setelah diberi keimanan.

Thursday, August 21, 2008

Jangan Perlekehkan Ulama.


Dato' Harussani Zakaria seorang Mufti yang amat disegani kerana ilmu dan keberaniannya mengeluarkan fatwa.Ulama yang bertugas di Negeri Perak ini telah banyak menegur tentang kemungkaran yang berlaku di Malaysia seperti mengharamkan konsert jom heboh,melarang bersumpah menggunakan Al-Quran dan sebagainya.Namun tegurannya hanya dipandang sepi malah ada pihak terutamanya dari media elektronik dan cetak seolah-olah memperlekehkan kata-kata ulama ini.

Nampaknya ada pemimpin kita dan juga pihak media terikut-ikut dengan perangai Mufti Perlis yang mentah ini.Maka tidak hairanlah apabila ada umat Islam yang berani mempermainkan ugamanya sendiri dengan bersumpah menggunakan Al-Quran dan di dalam masjid (Rumah Allah).Kita seharusnya mengikut kata sepakat dari semua ulama sebelum bertindak bersumpah dan bukannya hanya mengikut kata mufti yang rata-rata banyak mengeluarkan fatwa berunsur perpecahan.Tanyalah beberapa tokoh ilmuan agama tentang mufti Perlis ini, ,maka jawapannya Dr. Asri ialah seorang yang menghidupkan ajaran Abu Bakar Assya'ari yang banyak membida'ahkan amalan baik umat Islam.Mufti Perlis ini ditentang oleh Us. Zamihan al-ghari,Us. Mahfuz al-subki, Us.Raihan (Bank Islam), Us. Soghir (Imam Masjid Wilayah) dan ramai lagi yang memperjuangkan pegangan Ahli Sunnah Al-Jama'ah yang sebenar tapi telah diselewengkan oleh Dr.Asri.Namun Dr.Asri tetap kekal karana dia digunakan oleh mereka-mereka yang berkepentingan duniawi sahaja.

Kita bangga dilabelkan sebagai sebuah negara Islam namun bagi saya label itu amat mengaibkan apabila kita hanya menerima undang-undang Islam separuh sahaja.Ulama diperlekehkan oleh para pemimpin bukanlah perkara baru kerana ianya pernah terjadi kepada Almarhum Dato' Ishak Baharom, seorang Mufti yang tegas dan disegani masyarakat.Apabila Almarhum melarang pertandingan ratu cantik dikalangan gadis Islam,melarang konsert Micheal Jackson di Selangor maka tindakan tegas dengan menamatkan kontrak beliau diambil.Ada dikalangan pemimpin juga berani memperlekehkan sunnah Rasullullah s.a.w seperti isu janggut, jubah dan juga serban.Kini pemimpin ini juga berani bersubahat menghalalkan kemungkaran seperti konsert-konsert terbuka yang melalaikkan.Kita takut azab Allah akan melanda negara ini seperti yang berlaku di Acheh disebabkan pemimpin-pemimpin yang hanya tahu memperalatkan ugama, Al-Quran,masjid-masjid untuk kepentingan duniawi sahaja.

Tuesday, August 19, 2008

Sister In Islam.


Buku yang telah diharamkan oleh KDN yang ditulis oleh Noraini Othman bertajuk "Muslim Women And The Challenge Of Islamic Extremism" amat dialu-alukan.Ketegasan KDN mengambil tindakan mengharamkan buku tersebut adalah satu tindakan yang harus dipuji demi memelihara kesucian ugama Islam itu sendiri.Kini Sister In Islam cuba mendapatkan kelulusan mengedarkan buku tersebut melalui kempennya.

Sepatutnya bukan buku itu sahaja yang patut diharamkan malah pertubuhan Sister In Islam itu sendiri secara terang telah cuba memesongkan aqidah umat Islam di Malaysia ini.Lihat sahaja foto ketiga-tiga wanita yang kononnya ingin memperjuangkan Islam.Beginikah cara atau peraturan pemakaian seorang yang mengaku memperjuangkan Islam?Kalau soal hukum menutup aurat pun tak dapat diikuti seperti yang disyariatkan oleh Islam, janganlah cuba nak menjadi jaguh dalam memperjuangkan hak wanita Islam.Al-Quran dan Al-Sunnah itu sudah cukup sempurna perlembagaannya maka tidak perlu untuk mempertikaikan lagi apa yang terkandung di dalamnya.

KDN harus berani bertidak menyekat perkembangan Sister In Islam ini kerana pertubuhan seperti inilah yang akan membawa kepada kemudharatan kepada umat Islam.Entah apa yang hendak mereka perjuangkan lagi sedangkan Rasullullah s.a.w telah menyempurnakan penyampaian ugama Islam itu kepada umatnya.Adakah Sister In Islam ini diiktiraf oleh ulama-ulama kita?Janganlah sewenang-wenangnya menggunakan nama Islam kepada pertubuhan yang mana anggotanya sendiri melanggar hukum Allah dalam soal yang amat mudah iaitu menutup aurat.Kebanyakan hujah dan pendapat dari pertubuhan ini hanyalah berlandaskan hukum akal dan bukannya merujuk terlebih dahulu dari ulama-ulama muktabar.Kononnya disebabkan duduk dalam institusi pengajian tinggi maka mereka-mereka ini merasakan ilmu dunia yang sedikit itu sudah cukup hebat.Ketahuilah ilmu yang dianugerahkan oleh Allah kepada hambanya hanyalah ibarat setitis air dan janganlah kita cuba melawan ilmu Allah.

Pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Rakyat Malaysia kini sibuk mengikuti perkembangan pilihanraya kecil untuk Parlimen Permatang Pauh.Hari demi hari kempen pilihanraya diadakan oleh calon-calon yang bertanding untuk meraih undi bagi mendapatkan kemenangan.Maka berbondong-bondonglah penyokong-penyokong kedua-dua parti yang bertanding berkumpul di setiap ceramah politik yang diadakan.Alangkah indahnya sekiranya ceramah ugama dihadiri oleh ribuan umat Islam seperti yang berlaku di ceramah-ceramah politik.

Dalam waktu berceramah adakalanya penceramah terlepas pandang dalam soal hukum-hakam yang terlarang malah turut mengajak pendengar sama-sama berkongsi dosa.Mana tidaknya penyokong-penyokong yang rata-rata umat Islam telah dilalaikan kerana kesibukan membantu calon-calon bertanding.Maka suburlah fitnah, mengadu domba, mengaibkan peribadi seseorang, mencaci hamun, menggelarkan dengan nama yang buruk dan sebagainya terus berkemundang akibat terpedaya dengan bisikan syaitan laknatullah.

Dalam Surah Al-Hujuraat Ayat 11 & 12 Allah berfirman,"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kaum laki-laki menghinakan kaum laki-laki (yang lain) kerana boleh jadi kaum yang dihinakan itu lebih baik dari kaum yang menghinakan, dan janganlah kaum perempuan menghinakan kaum perempuan yang lain kerana boleh jadi perempuan yang dihina lebih baik dari yang menghina.Janganlah kamu cela-mencela sesama kamu dan jangan pula panggil memanggil dengan gelaran yang tidak baik.Seburuk-buruk nama ialah fasik sesudah keimanan.Barangsiapa yang tidak bertaubat,maka mereka itulah orang yang aniaya.
Hai orang-orang yang beriman,jauhilah kebanyakan sangka-sangka buruk terhadap sesama Muslim kerana sebahagian sangka buruk itu ialah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari aib orang dan jangan pula kamu suka mengumpat yang lain.Sukakah salah seorang kamu, bahawa ia memakan daging saudaranya yang telah mati(bangkainya)?.Maka tentu kamu benci memakannya.Takutlah kamu kepada Allah.Sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Penyayang.

Dari keterangan di atas sepatutnya mereka-mereka yang berilmu seperti para ustaz, Imam yang berada sama sewaktu berkempen wajib menasihati penceramah dan penyokong akan bahayanya perbuatan mereka itu.Janganlah disebabkan kepentingan duniawi para ilmuan agama ini menjadi Syaitan bisu sedangkan mereka tahu perbuatan itu satu dosa yang amat besar dan dijanjikan Allah azab yang amat pedih.Ketahuilah kuasa Allah itulah yang sebenarnya kuasa yang akan menentukan kebenaran mengatasi kebathilan.Perbuatan kita itu akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Saturday, August 16, 2008

Al-Quran Untuk DiBaca,DiFahami & DiAmalkan.


Beristighifar panjang apabila saya mendapat berita tentang perbuatan bersumpah dengan menggunakan kitab suci Al-Quran.Al-Quran adalah salah satu mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah kepada junjungan Rasullullah s.aw.Al-Quran ditinggalkan sebagai pegangan hidup umat Islam untuk kita amalkan kandungannya setiap hari.Namun berapa ramaikan umat Islam masakini mengamalkan setiap hari membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran.Amat malang sekali apabila Al-Quran hanya digunakan sebagai alat untuk menyatakan tentang kebenaran diri membuat tuduhan kepada seseorang.Kita takut akan ramai umat Islam akan menggunakan kaedah yang sama apabila ingin membuktikan setiap tuduhan kepada umat Islam yang lain.

Sumpah laknat(Li'an) yang telahpun dilaksanakan sebenarnya ialah sumpah isteri di hadapan hakim berhubung tuduhan suami bahawa isterinya berlaku curang.Si suami mengucapkan sumpah empat kali bahawa dia mengaku benar dengan tuduhannya bahawa isterinya curang dan yang kelima ia mengucapkan "kutuk Allah ke atas dirinya kiranya dia dusta".Kemudian isterinya mengucapkan sumpah empat kali pula bahawa sisuami berdusta dengan tuduhannya dan yang kelima mengucapkan murka Allah ke atas dirinya kalau suaminya benar dengan tuduhannya.Setelah keduanya mengucapkan sumpah dengan sendirinya terjadilah penceraian di antara keduanya untuk selama-lamanya.

Sebenarnya sumpah dengan menggunakan kitab suci Al-Quran adalah amalan yang dilakukan oleh penganut kristian yang menggunakan kitab mereka dalam bersumpah.Saya amat merasa malu apabila majikan saya seorang penganut kristian menyamakan perbuatan Saiful sama dengan amalan ugama mereka.Sepatutnya sebelum kita melaksanakan sumpah tersebut haruslah dirujuk dahulu kepada ulama muktabar apakah perlu ia dilaksanakan.Namun kini negara kita telah dikuasai oleh ahli agamawan yang berkepentingan sahaja hingga sanggup menghalalkan perbuatan sumpah dalam isu liwat.Perbuatan bersumpah itu juga dihebahkan ke seluruh dunia dan disokong pula oleh mereka-mereka yang berkepentingan yang jahil ugama.

Tuduhan liwat-meliwat ini juga sudah sampai ke peringkat pihak berkuasa dan juga mahkamah.Yang menuduh mengatakan bahawa dia bersumpah dan menyerahkan kepada Allah swt untuk menghukum.Tetapi di sini saya amat kesal kerana yang menuduh hanya ke masjid untuk bersumpah tanpa menunggu waktu solat Maghrib berjemaah.Sememangnya sudah menjadi amalan masyarakat Islam kini hanya ke masjid apabila ada urusan seperti urusan nikah-kahwin,kematian dan juga yang berkepentingan peribadi.Adalah lebih baik bagi sipenuduh menyerahkan kepada Allah swt dengan banyak melakukan solat hajat dan Qiamullail bersendirian antara dirinya dengan Allah swt sahaja.Itulah pengaduan yang paling baik untuk kita amalkan.

Dirawikan pada suatu hari Rasullullah s.a.w melewati bangkai kambing lalu baginda bersabda,"Tidakkah engkau lihat bangkai ini telah dihinakan oleh pemiliknya?"Lalu dijawab oleh mereka,"Jelas saja hina.Buanglah dia".Rasullullah s.a.w bersabda,"Demi Zat yang Aku dalam kekuasaannya.Sesungguhnya dunia ini lebih hina bagi Allah daripada bangkai kambing ini bagi pemiliknya.Kalau dunia di sisi Allah sebanding dengan nyamuk,tidak akan seteguk air pun diberikan kepada orang kafir."Begitulah kehinaan dunia ini di sisi Allah maka adakah kita amat yakin bahawa Allah akan memandang kepada perbuatan kita bersumpah?Kalau hanya sekadar melafazkannya tanpa kita mengamalkan isi kandungan Al-Quran dan syariat Islam maka adakah sumpah kita itu akan dipandang oleh Allah?Sedangkan untuk berdoa perlu kita membersihkan diri dari memakan barang-barang yang haram untuk diterima Allah.Sesungguhnya Allah itu amat adil balasannya jadi cukuplah untuk kita berdoa banyak-banyak dengan sesungguh hati dan bukannya sekadar bersumpah dengan niat untuk meyakinkan orang lain.Bagi yang dituduh banyak-banyaklah melakukan solat malam,solat hajat,solat taubat dan memohon dari Allah agar senantiasa dilindungi dari fitnah dajal.

Thursday, August 14, 2008

Mufti Yang Rasa Hebat.


Umat Islam telah dikelirukan oleh fahaman dari seorang Mufti yang rasa dirinya hebat.Dr.Asri seorang Mufti Perlis yang masih muda telah banyak mengeluarkan fatwa dan juga tulisan yang lebih mengelirukan umat Islam.Beliau mempertikaikan hadis Rasullullah s.a.w tentang kelebihan bulan Rejab dan Sya'aban dan memperlekehkan amalan-amalan ulama-ulama terdahulu tentang malam Nisfu Sya'aban.Inilah Mufti yang rasa dirinya telah menguasai hadis-hadis sahih Rasullullah s.a.w sehinggakan tergamak mengeluarkan kenyataan berbau perpecahan.

Sejak dahulu lagi malah sejak kecil saya diasuh untuk senantiasa berjemaah di masjid sambil mendengar tazkirah dan majlis-majlis ilmu.Apabila masuk bulan Rejab dan Sya'aban, penceramah tidak pernah lupa memperingatkan jemaah tentang kelebihan bulan-bulan mulia ini.Masih lagi saya ingat satu ceramah daripada seorang 'alim ulama di mana katanya,"Ad-Dalami merawikan dari Aisyah ra, dia berkata,"Aku mendengar Rasullullah s.a.w bersabda,"Allah menyiramkan kebaikan pada empat malam iaitu malam Adha,Malam Fitri,Malam Nisfu Sya'aban dan Malam pertama bulan Rejab".Maka bulan Rejab dan Sya'aban digalakkan untuk berpuasa sebagai satu latihan untuk menempuh Ramadhan.

Apabila kerajaan Perlis melantik Dr.Asri sebagai Mufti maka bertambah bingunglah umat Islam di Malaysia ini kerana banyak hujah-hujahnya yang dangkal dan mengelirukan.Mufti ini seolah-olah hidup di zaman Rasullullah s.a.w sehinggakan memperlekehkan amalan-amalan umat Islam di Malaysia walaupun tidak pernah diamalkan oleh Rasullullah dan para sahabat.Bukankah ulama itu pewaris nabi maka mereka yang 'alim lagi warak telah sepakat menganjurkan amalan-amalan terpuji untuk umat Islam.Kedatangan malam Nisfu Sya'aban telah membuatkan ramainya umat Islam mengimarahkan masjid-masjid untuk sama-sama menafaatkan malam mereka dengan beramal.Adakah itu salah dan bida'ah juga?

Saya begitu hairan kenapalah Mufti muda ini banyak mengganggu amalan-amalan baik yang dikerjakan oleh umat Islam di Malaysia ini.Adalah lebih baik ilmunya yang sedikit itu dimanafaatkan untuk mencegah kemungkaran umat Islam di Malaysia ini seperti berhibur menyambut merdeka,berada di padang bola dari waktu Asar hingga Isya' kerana nak menonton lawan bola,hiburan melalaikan disajikan oleh televisyen dan macam-macam lagi.Ini tidak, apa saja amalan-amalan yang beliau malas nak buat dikatakan bida'ah, hadis palsu dan sebagainya.Betullah kata Dato'Harussani bahawa Mufti Perlis ini terlebih pandai hinggakan tak tahu membezakan yang mana satu bida'ah dan yang mana satu mungkar.Kalau dah wahabi tu wahabi juga semua orang salah dia seorang yang betul.

Monday, August 11, 2008

Contoh Ibu Bapa Kepada Anak.

Ibu-bapa memainkan peranan mencorak masa depan anak-anak mereka.Kalau ibu-bapa menunjukkan contoh yang baik maka insya'allah anak-anak mereka akan turut sama mengikuti jejak ibu-bapa mereka.Banyak yang kita lihat ibu-bapa yang taat dalam mengerjakan ibadat kepada Allah dan anak-anak mereka pula dibawa sama untuk diajar dalam mencari kehidupan yang diredhai Allah s.w.t.Ini terbukti apabila saya menghadiri satu majlis kesyukuran seorang sahabat di mana anak beliau khatam dan berjaya menghafaz Al-Quran dengan baik.Turut serta dalam majlis tersebut ialah abang beliau seorang Imam Masjid Negeri Ipoh Perak.Tidak ketinggalan juga adik beliau seorang Imam di salah sebuah pusat IKBN di negara kita.Kedua-dua Imam tersebut juga Al-Hafiz.Menurut keterangan daripada sahabat saya itu, arwah ayahnya tidak pernah lekang dengan Al-Quran sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir tetapi tangannya masih memegang Al-Quran.Tahniah untuk sahabat saya Tuan Haji Ismail yang berjaya menjadikan anaknya seorang penghafaz Al-Quran.

Dalam pada itu saya juga berkesempatan memenuhi undangan salah seorang jiran saya untuk meraikan perkahwinan anaknya.Dalam majlis tersebut saya diminta untuk membaca doa bagi kedua mempelai untuk mencari keberkatan.Pada malam hari sebelum berlangsungnya walimatul-urus saya bersama-sama jemaah masjid diundang untuk membaca tahlil arwah dan doa selamat.Alhamdulillah kerana dalam saat kegembiraan menerima menantu kita masih ingat untuk menghadiahkah doa kepada mereka-mereka yang telah pergi mendahului kita.Tapi malangnya kita mencampur-adukkan majlis tersebut dengan nyanyian karaoke yang mana bagi saya agak kurang sesuai untuk kita amalkan.Penyanyinya pula adalah di kalangan warga emas seolah-olah hilang sifat malu menyanyi di hadapan anak-anak mereka.Sepatutnya ibu-bapa perlu mempunyai sifat malu kepada anak-anak kerana inilah yang akan mencorakkan masa depan anak-anak kita.Menyanyi tu boleh tapi solat jangan lupa!!!!

Saturday, August 9, 2008

Jangan Persendakan Islam!!!!!

Majlis Peguam akan mengadakan forum "Memeluk Islam" yang mendapat bantahan daripada banyak pihak.Naib presidennya K.Ragunath berkata mereka akan terus dengan forum tersebut walaupun ada pihak yang mengesyorkan agar ia dibatalkan.

Nampaknya ada pihak yang telah berani mencabar kedaulatan ugama Islam itu sendiri tanpa memikirkan kesan sesitiviti umat Islam di Malaysia.Namun begitu pihak yang menganjur dan ahli panel seolah-olah membenarkan dan menyokong forum "Memeluk Islam" yang akan diadakan.Beginilah keadaannya apabila negara tidak memerintah mengikut syariat Islam maka pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab telah berani mencabar Islam.Ugama Islam itu adalah hak umat Islam sendiri dan tidak sepatutnya musuh-musuh Islam menggunakan kaedah forum untuk membincangkannya.Cuma Islam ugama yang diredhai oleh Allah.

Sekarang isu berkenaan Islam banyak diperkatakan oleh golongan-golongan yang amat jahil tentang Islam.Pertubuhan seperti "Sister In Islam" salah satu contoh yang banyak mempertikaikan undang-undang Islam apabila mereka membincangkan masaalah poligami.Pihak pemerintah sepatutnya harus peka dengan keadaan ini tapi malangnya pihak pemerintah sendiri amat lantang mengkritik apabila hukum yang termaktub dalam Al-Quran seperti hukum hudud,qisas,kewajipan solat dan sebagainya tidak pernah terlintas untuk memikirkannya bagaimana hukum ini dapat dilaksanakan.Kita bangga mencanangkan kepada dunia, kita adalah negara Islam tapi apakah syariat Islam itu dilaksanakan keseluruhannya.

Sebagai negara Islam kita tidak sepatutnya melalaikan umat Islam itu sendiri dengan konsert-konsert,pusat hiburan yang tumbuh seperti cendawan,pengadilan yang berat sebelah,pusat perjudian terbesar ditambah pula dengan cawangannya seperti nombor ekor,kuda dan toto.Namun pihak pemerintah seolah-olah menghalalkannya kerana hanya mahu dikenali sebagai sebuah negara Islam yang moden.Sebenarnya perkataan moden itu datang dari perkataan Madani kerana majunya Madinah sewaktu Rasullullah s.a.w datang.

Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan yang amat tegas kepada pihak yang beriya-iya menganjurkan forum "Memeluk Islam" kerana forum ini akan mencari jalan untuk memurtadkan umat Islam di Malaysia ini.

Friday, August 8, 2008

Kalimah Allah.


Biadap dan tidak bertanggung-jawab!!!!Itulah yang dapat kita katakan kepada pelukis corak atau pengilang yang mengeluarkan kain yang tertulis kalimah Allah.Kain ini dibeli oleh seorang jiran saya di Nagoya Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.Beliau membelinya dengan banyak dan diagihkan kepada Ahli Jawatankuasa di pangsapuri saya untuk dibuat baju dan memakainya sewaktu berlangsungnya kenduri kahwin yang akan diadakan pada 10/8/08.

Musykil dengan corak kalimah Allah yang jelas pada kain yang dihadiahkan oleh jiran saya maka saya terus membawanya ke masjid untuk ditunjukkan kepada Imam.Kemudian kain tersebut dirujuk ke pajabat mufti untuk mendapatkan pengesahan.Pejabat mufti mengeluarkan larangan memakainya kerana kalimah Allah yang tertera amat jelas dan banyak kelihatan pada kain tersebut.Perintah larangan itu terus saya maklumkan kepada semua AJK wanita yang menerima hadiah dari jiran yang ingin mengadakan walimatul-urus.Beliau juga tidak perasan sewaktu membelinya, mungkin tidak pernah terlintas di hati akan berlaku perkara seperti ini.

Sebenarnya bukan saja kalimah Allah diletakkan pada kain, malah musuh Islam secara halus menghina kalimah tersebut dengan meletakkan pada selipar, kasut dan sebagainya.Pernah juga terjadi di Masjid Putra di mana sejadah diletakkan lambang salib dan mengandungi gambar gajah.Inilah liciknya musuh Islam dalam diam-diam menghina Islam tanpa disedari oleh umat Islam sendiri.Umat Islam harus peka dengan penghinaan ini tanpa menganggapnya ia satu perkara yang remeh-temeh.Berhati-hatilah kita dengan muslihat musuh kerana mereka akan terus mencari jalan untuk melemahkan aqidah umat Islam itu sendiri.

Seperkara lagi pihak berkuasa iaitu polis juga harus berhati-hati apabila menggunakan lencana polis yang tertera kalimah Allah dan Muhammad s.a.w.Lencana yang dipakai di topi dan baju sekiranya di bawa ke tandas maka ini adalah satu penghinaan kepada kedua-dua kalimah tersebut.Semoga jabatan agama dalam pasukan polis senantiasa mengingatkan anggotanya tentang pemakaian lencana tersebut.

Sunday, August 3, 2008

Keutamaan Bulan Syaaban.

Dirawikan dari Umamah al Bahili ra dia berkata,"Rasullullah s.a.w bersabda,"Manakala masuk bulan Syaaban, sucikan dirimu dan pebaiki niatmu."

Dari Aisyah ra, dia berkata,"Rasullullah s.a.w berpuasa sehingga kami mengatakan,"Tidak berbuka dan berbuka sehingga kami katakan tidak puasa dan kebanyakan puasanya adalah di bulan Syaaban".Dalam kitab An-Nasai dari hadis Usamah ra,"Aku berkata,"Wahai Rasullullah, aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana engkau berpuasa di bulan Syaaban".Baginda bersabda,"Kerana itu bulan di mana manusia lupa darinya antara Rejab dan Ramadhan.Itulah bulan di mana amal dinaikkan kepada Tuhan Rabbul 'Alamin.Maka aku suka amalku dinaikkan dalam keadaan aku berpuasa."

Dikatakan untuk malaikat di langit ada dua malam raya dan untuk kaum muslimin di bumi ada dua hari raya.Malam hari raya bagi malaikat adalah malam Nisfu Sya'aban dan malam Lailatul Qadar.Sedangkan bagi kaum mslimin di bumi ialah Aidilfitri dan Aidiadha.

Malam Nisfu Syaaban kadang-kadang disebut malam Bara'ah kerana malam itu diberi Allah pengampunan kepada hamba-hambanya yang bertaqwa.Malam Nisfu Sya'aban juga disebut malam Tafkir atau malam Ihya'.Di mana dalam hadis Marfuk disebutkan bahawa sesiapa yang menghidupkan dua malam raya dan malam Nisfu Sya'aban, tidak akan mati hatinya pada hari di mana hati-hati mati.

Disamping itu juga disebut pula malam Syafa'at.Dalam satu hadis disebutkan bahawa Rasullullah s.a.w pada tanggal 13, mohon kepada Allah Syafa'at bagi umatnya.Allah memberinya sepertiga.Kemudian baginda momohon lagi pada malam 14, lalu diberi dua pertiga.Rasullullah s.a.w memohon lagi pada malam ke 15 dan diberi keseluruhannya kecuali orang yang lari dari Allah dengan membiasakan maksiat.

Malam itu juga dinamakan malam Makrifah.Imam Ahmad merawikan bahawa Rasullullah s.a.w bersabda,"Pada Malam Nisfu Sya'aban, Allah meneliti kepada hambaNya, kemudian Dia mengampuni seluruh penghuni bumi kecuali dua golongan, iaitu orang musyrik dan orang yang memberati dosanya."Kadang-kadang disebut malam pembebasan.

Rasullulah s.a.w besabda,"Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya'aban, Allah membebaskan manusia dari neraka sebanyak bilangan bulu kambing kecuali enam golongan, iaitu orang yang membiasakan dirinya minum arak, yang membiasakan zina, yang keras kepala, tukang pukul dan tukang fitnah."

Dari keterangan di atas dapatlah kita simpulkan bahawa banyak kelebihan-kelebihan yang diberi oleh Allah kepada umat Rasullullah s.a.w. pada bulan Sya'aban. Namun begitu adalah kurang tepat pendapat sesetengah golongan yang mengatakan tiada apa-apa kelebihan pada bulan Sya'aban.Yang dikatakan semua bulan adalah sama kerana perbuatan syirik yang dilakukan oleh sesetengah umat Islam yang menganggap bulan Safar sebagai bulan untuk tolak bala.Inilah yang amat ditegah dan satu perbuatan yang mungkar.Namun kelebihan mengerjakan perkara-perkara sunat seperti berpuasa di bulan Rejab dan Sya'aban adalah satu amalan Rasullullah s.a.w.Namun begitu tidaklah sampai menjadi dosa sekiranya kita tidak melakukannya.Berpuasa sunat adalah amalan Rasullullah s.aw dan setiap amalan baginda adalah sunnah.Jadi kita sebagai hambanya digalakkan meniru perbuatan Rasullullah s.a.w kerana peribadi dan akhlak Rasullullah itu adalah Al-Quran.Puak-puak yang menidakkan kelebihan bulan Rejab dan Sya'aban adalah golongan yang menentang sunnah Rasullullah s.aw. Siapalah kita untuk menandingi amalan Rasullullah s.a.w kerana amal kita yang sedikit ini belum tentu akan menjaminkan kita menghuni syurga Allah.Jadi adalah lebih baik kita menambahnya dengan amalan-amalan sunat untuk mengukuhkan keimanan kita kepada Allah swt.Adakah cukup dengan solat 5 kali sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, zakat dan haji sahaja?Ini adalah rukun Islam yang dituntut kefardhuannya bagi umat Islam.Janganlah kita sombong dan takbur hingga tidak perlu mengerjakan amalan-amalan sunat bagi memohon keampunan dari Allah swt.Muhasabahlah diri kita setiap hari dengan menghitung berapa banyakkah amalan kita dan berapa banyakkah masa yang kita peruntukkan untuk mengabdikan diri kepada Allah swt.

Friday, August 1, 2008

Ramadhan Oh Ramadhan.

Tinggal lebih kurang sebulan sahaja lagi umat Islam akan menyambut Ramadhan.Alangkah indahnya bulan Ramadhan ini jika kita tahu menghayatinya.Berbagai-bagai ganjaran yang dijanjikan oleh Allah untuk umat Rasullullah s.a.w.Namun begitu bagi mereka yang jahil Ramadhan hanya menyusahkan bagi mereka untuk memenuhi kehendak nafsunya iaitu makan.

Sudah menjadi tradisi bagi umat Islam mengadakan kenduri tahlil sebelum kedatangan Ramadhan.Maka jemaah masjid tidak menang tangan kerana terlalu banyaknya jemputan dari mereka yang berhajat.Kadang-kadang sampai bertembung waktu untuk jemputan kenduri tahlil menyambut Ramadhan.Mana tidaknya apabila masjid dikelilingi oleh flat-flat yang rata-rata dihuni oleh umat Islam, maka banyaklah undangan kenduri.

Kadang-kadang terfikir juga di benak hati saya kenapalah begitu ghairah umat Islam menyambutnya?Bulan Rejab dan Sya'aban adalah bulan-bulan mulia dan disunatkan kita berpuasa.Tetapi hakikatnya kita dijamu dengan makanan yang lazat-lazat hingga kita lupa tuntutan Islam sebenarnya cara menyambut Ramadhan.Sewaktu menghadiri kenduri tahlil ramai pula umat Islam yang hadhir tetapi di masjid hanya muka-muka yang sama sahaja berjemaah.Apakah cukup dengan menghadiri kenduri tahlil tanpa perlu berjemaah di masjid?Pening juga kita memikirkan trend umat Islam masakini.Kalau di masjid ada makan maka berduyun-duyun pula yang datang.Alahai saudara Islamku......janganlah kita ke masjid kerana makan.Tak cukup-cukup lagikah rezeki yang Allah bagi?Fikirkanlah sejenak.........