Friday, January 2, 2009

Dari Mimbar Jumaat Masjid Nurul Hidayah.

Tanggal 5 Muharam 1430 Hijrah bersamaan dengan 2hb. January 2009, mimbar Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan digegarkan oleh khutbah yang amat bermutu dan bernilai yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Raihan Bin Abd. Aziz daripada Bank Islam Malaysia.Ustaz Raihan yang dikenali dengan kelantangannya memulakan bicara pada sesi tazkirah Juma'at yang menyentuh bab hidayah.Beliau membahagikan hidayah itu kepada 3 bahagian iaitu hidayah semulajadi,hidayah akal dan hidayah daripada Al-Quran.Dengan huraian yang cukup teliti beliau bertazkirah serta menempelak mereka-mereka yang suka mengatakan bahawa dirinya belum sampai seru untuk mengikut ajaran Islam sepenuhnya.
Selepas azan kedua dilaungkan oleh Ustaz Anas, maka tugas Ustaz Raihan pula menyampaikan khutbah Juma'at di atas mimbar.
Kandungan khutbah yang dibaca oleh Ustaz Raihan ialah berkenaan hukum Allah yang termaktub di dalam Al-Quran iaitu hukum hudud yang hangat diperkatakan.Penjelasan yang cukup rapi daripada beliau kerana ada pihak yang tidak faham dengan hukuman hudud lantas mempersoalkannya malah ada yang berani menentang.Sesungguhnya hukuman yang dicipta oleh manusia di dunia ini tidak dapat mengekang jenayah yang semakin berleluasa dewasa ini.Beliau juga menempelak sikap beberapa wartawan akhbar dan televisyen yang menerima pakai pandangan beberapa pihak dari bukan Islam tentang hukuman hudud.
Dengan nada yang tegas Ustaz Raihan berkata, apakan soal solat,puasa,zakat,haji dan lain-lain hukuman yang disyariatkan oleh Islam mesti dirujuk terlebih dahulu daripada golongan kafir?
Ustaz Raihan juga menyentuh tentang permasalahan remaja yang semakin tidak dapat dibendung dengan hukuman dunia ciptaan manusia.Masalah seks bebas,meminum arak,melahirkan anak luar nikah,murtad semakin menjadi-jadi kerana hukum Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya.Sambil memberi contoh di zaman Rasullullah s.a.w di mana peminum arak akan disebat sebanyak 40 kali rotan dan ini juga dilaksanakan semasa pemerintahan Syaidina Abu Bakar r.a.Syaidina Umar r.a pula melaksanakan hukuman rotan 80 kali kepada peminum arak dan Syaidina Ali kwj suka kepada 40 kali rotan.Namun kini peminum arak bebas tanpa hukuman kerana Al-Quran bukan lagi dijadikan rujukan untuk mendidik umat Islam masa kini.
Selain itu Ustaz Raihan juga menyentuh tentang gejala murtad yang mana gejala ini pernah disuarakan oleh SS Dato' Seri Harussani, Mufti Perak tetapi dipandang sepi oleh pihak berwajib.
Malah Ustaz Raihan membawa jemaah semua melihat kepada gejala seks bebas yang berlaku sepanjang sambutan tahun baru 2 hari yang lepas.Maka dengan itu jadilah negara ini sebuah negara yang semakin hancur kerana hukum Al-Quran diperlekehkan oleh beberapa pihak.Akibatnya yang beriman pada awalnya menjadi kafir di penghujung hidupnya kerana tidak menggunakan akal yang sihat menggunakan Al-Quran sebagai rujukan.Ustaz Raihan juga menyentuh tentang sikap individu yang suka menuduh orang yang beriman dengan kes liwat tanpa membawa saksi dan bukti.Maka sepatutnya orang itu dihukum 80 sebatan namun undang-undang dunia ciptaan manusia menyebabkan perkara begini semakin menjadi-jadi.
Akhir sekali Ustaz Raihan memberi contoh tentang kehancuran Islam di Turki,Sepanyol dan akibat dari kelemahan itu, umat Islam diganyang di Palestine,Iraq dan lain-lain lagi.
Khutbah yang dibaca oleh Ustaz Raihan berlarutan dan jemaah mengakhiri solat Jumaat pada jam 2.30 petang.Ramai yang berpuashati dengan khutbah tersebut kerana sebelum ini teks khutbah yang dibaca hanyalah sekadar ucapan yang tidak memberi kesan kepada sidang jemaah.Penulis sempat berjumpa dengan Ustaz Raihan dan alhamdullillah kerana beliau masih lagi mengenali penulis kerana pernah berceramah di Masjid Ar-Rahimah.Mungkin disebabkan kelantangan beliau menyampaikan kebenaran maka Ustaz Raihan tidak lagi dibenarkan berceramah di Masjid Ar-Rahimah.Maka yang tinggal hanya para penceramah yang menyentuh bab wuduk,membaca kitab tafsir,bab solat dan bab fardhu 'ain sahaja.Bukannya bab ini tidak baik diperkatakan tetapi sekali-sekala biarlah para jemaah diberi kesedaran tentang hukum remaja murtad,hukum hudud dan bab yang boleh membuatkan umat Islam sedar dan bangun untuk memuliakan hukuman dari Al-Quran.Semoga Allah s.w.t. memberkati Ustaz Raihan dalam penyampaiannya yang lebih berani tanpa berselindung.

No comments: