Tuesday, January 13, 2009

Perlaksanaan Hukum Yang Terpuji.

KUANTAN 12 Jan. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan sebatan enam kali mengikut syariah ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah meminum arak.

Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh, Mohd. Nasir Mohamad @ Sulaiman, 38, dan Noorazah Baharuddin, 22, mengaku melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama Islam itu.

Mohd. Nasir dituduh meminum arak jenama Tiger Beer di Fun Pub, Holliday Villa, Cherating, pada kira-kira pukul 11.37 malam, 11 Julai 2008. Dia telah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak, bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Kemaman, Terengganu.

Sementara Noorazah yang bekerja sebagai seorang pelayan di sini, dituduh meminum arak jenama Heineken di Black Forest Pub, Jalan Gambut dekat sini kira-kira jam 1.20 pagi pada 12 Julai 2008.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum di bawah Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Enakmen tersebut turut memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Pelaksanaan hukuman sebat dibuat mengikut Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Rahman berkata, sungguhpun kedua-dua tertuduh tidak dikenakan hukuman penjara, namun jumlah denda yang tinggi dan sebatan yang dikenakan diharap dapat menginsafkan mereka mengenai kesalahan yang dilakukan.

Mengenai hukuman sebat pula, Hakim Abdul Rahman berkata, ia bertujuan bukan untuk menyeksa, tetapi hendak memberi pengajaran dan perasaan malu kepada diri tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Pahang, Saiful Idham Sahimi. (petikan dari Utusan Malaysia)

Ulasan: Seandainya hukuman sedemikian dilaksanakan di beberapa negeri lain, alangkah bagusnya.Lihat saja di Kuala Lumpur seperti beberapa tempat di Bukit Bintang,Bangsar dan lain-lain, berapa ramai umat Islam hanyut dengan pengaruh meneguk air syaitan ini.Tanpa segan silu umat Islam secara terbuka meminum arak di pusat-pusat hiburan dengan diapit oleh perempuan-perempuan GRO yang juga beragama Islam.Apakah perlaksanaan undang-undang seperti yang dilaksanakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan tidak boleh di laksanakan di negeri-negeri lain?Ini adalah tuntutan agama yang wajib dipatuhi oleh semua yang beragama Islam tanpa persoalan.

No comments: