Sunday, January 25, 2009

Serban, Jubah Dan Janggut.

Gambar Hiasan Sahaja.

Pemakaian jubah, berserban dan menyimpan janggut adalah mengikut sunnah Rasullullah s.a.w kerana ia adalah pakaian yang digunakan oleh Rasullullah s.a.w.Namun begitu ia bukanlah menjadi satu pemakaian yang wajib sepanjang hari maka tidak pula berdosa bagi mereka yang tidak memakainya.Jika ia dipakai dengan niat ingin mencontohi pemakaian Rasullullah s.a.w dan bukan untuk kelihatan seperti seorang yang 'alim maka pahala mengikut sunnah itu akan dikira sebagai menghidupkan sunnah Rasullullah s.a.w.
Yang menjadi persoalan dan agak menyedihkan, kerana persepsi masyarakat kita memandang seseorang yang berpakaian sedemikian sebagai seorang yang 'alim,warak dan hebat walaupun sipemakainya bukanlah dari kalangan yang hebat keilmuannya.Inilah yang terjadi kepada pemahaman masyarakat kita kerana beranggapan seseorang yang berjubah, berserban dan berjanggut itu adalah orang yang tinggi ketakwaannya dan ilmunya.Nilai sebenar takwa itu bukanlah terletak pada jubah, serban atau janggut.Malah ada di antara mereka yang hanya berseluar, berbaju Melayu dan bersongkok hitam lebih tinggi keilmuannya dan pemahamannya tentang amalan-amalan dalam agama.
Ini pernah terjadi kepada diri penulis sendiri di mana penulis pergi mengejakan solat Subuh di salah sebuah masjid di Ampang, Selangor. (nama masjid dirahsiakan).Memang menjadi kelaziman penulis memakai jubah dan membawa serban sewaktu solat Subuh.Jubah tersebut adalah hadiah daripada kenalan yang pulang dari mengerjakan haji dan serban tersebut pula adalah peninggalan arwah ayah penulis.Untuk memenafaatkan pemberian seseorang maka penulis pun memakainya kerana ia akan memberi pahala kepada kenalan yang menghadiahkannya.Tambahan pula waktu itu ialah hari Juma'at, penghulu segala hari.Malangnya Imam yang bertugas pada waktu itu tidak hadir mungkin atas sebab-sebab tertentu maka bilal dan seorang lagi jemaah meminta penulis mengimami solat Subuh Juma'at pada hari itu.Alhamdullillah, atas kuasa Allah jua penulis dapat melakukannya kerana pada hari itu sebagaimana lazimnya, Surah As-Sajadah dan Al-Insan sememangnya menjadi amalan setiap Imam pada waktu Subuh, Juma'at.
Sebenarnya, penulis bukanlah seorang Imam ataupun yang tinggi ilmunya.Penulis hanyalah seorang yang pernah mengaji di pondok-pondok sahaja tetapi disebabkan sudah menjadi kelaziman membaca Surah As-Sajadah dan Al-Insan maka permintaan tersebut kita tunaikan.Yang ingin dipersoalkan ialah disebabkan pemakaian jubah dan membawa serban, maka persepsi masyarakat memandangnya sebagai seorang yang hebat.Dengan itu janganlah kita hanya memandang seseorang dari luaran sahaja sedangkan pada masa yang sama, kita menganggap mereka-mereka yang berseluar panjang, berbaju Melayu dan bersongkok hitam bukanlah di kalangan yang berilmu.Sebaiknya kita harus menukar persepsi kita dalam menilai seseorang dan tidak semestinya bila berjubah, berserban dan berjanggut panjang itu hebat dan berilmu.Inilah pengajaran yang perlu kita renungi bersama agar tidak cepat mengukur keupayaan seseorang melalui pemakaian sahaja.

No comments: