Sunday, January 4, 2009

Tidak Bermahzab Lebih Bahaya Dari Tidak Berparti.

Akhir-akhir ini telah muncul golongan yang menolak untuk tidak bermahzab dengan mana-mana Imam yang 4 kerana terlalu taksub dengan gelaran Salafi.Mereka mendakwa hanya ingin mengikut sebagaimana zaman Rasullullah s.a.w dan para sahabat kerana di zaman tersebut tiada mahzab yang diikuti.Maka timbullah dengan berbagai tindakan golongan ini dengan membida'ahkan amalan-amalan umat Islam yang tidak pernah dilakukan di zaman Rasullullah s.a.w.Mereka mempertikaikan ajaran sifat 20,amalan bacaan Yassin pada malam Juma'at,amalan bertahlil,amalan bertalqin,amalan berzanji, marhaban,sambutan Maulidur Rasul dan macam-macam lagi dengan mendakwa segala amalan ini tidak pernah terdapat di zaman Rasullullah s.a.w.Maka segala amalan-amalan ini dihukum bida'ah yang sesat walaupun ia adalah amalan yang diajar oleh para ulama-ulama Muktabar pada masa dulu.
Lain pula jadinya dengan fenomena hari ini di mana ada golongan-golongan yang lebih taksub kepada kepimpinan parti politik dalam menentukan arah tuju kepimpinan negara.Ada parti yang mendakwa sebagai memperjuangkan Islam,ada parti yang lebih cenderung kepada keduniaan dan Islam hanya sebagai satu landasan,ada parti yang memperjuangkan keadilan sejagat dan ada parti yang secara terang-terangan menentang Islam walaupun tidak dizahirkan secara terbuka.Fenomena inilah yang sedang melanda negara kita kerana Islam hanyalah sebagai penampal untuk dijadikan sesebuah parti diterima pakai.Maka lahirlah sebuah parti Islam yang memperjuangkan Islam pada asalnya tetapi akhirnya mengenepikan prinsip asalnya untuk berjaya.Dengan itu mereka sanggup bersekongkol dengan golongan kafir agar perjuangan mereka diterima.
Apabila ini terjadi, maka golongan kafir semakin berani menentang hukum Allah secara terang-terangan dan parti yang kononnya Islam pada asalnya terpaksa akur dengan kehendak golongan kafir ini.
Bagi parti yang secara terang-terangan yang bukan dari umat Islam pula menjadikan pemerintah Islam seperti Khalifah Umar Abd Aziz sebagai ikutannya untuk memerintah.Apakah ini caranya golongan ini mengaburi mata rakyat agar partinya diterima?Begitu juga dengan parti yang diterajui oleh orang Islam, tetapi membiarkan segala jenis kemaksiatan berleluasa tanpa apa-apa tindakan.Apakah kesemua parti yang ada di negara kita ini boleh kita jadikan wadah untuk menegakkan syiar Islam?Kesimpulannya tiada satu pun yang boleh diikuti kerana Islam itu dijadikan satu iklan sahaja untuk menarik umat Islam menyertainya.Oleh itu tidak berparti bukanlah sesuatu yang haram dan berdosa tetapi jika tidak bermahzab, maka umat Islam akan terumbang ambing dalam menentukan kehidupan sebagai seorang Muslim yang sejati.
Ulama-ulama Muktabar terdahulu telah menggali segala isi kandungan Al-Quran dan Sunnah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan amalan umat Islam masa kini.Mereka-mereka ini diibaratkan sebagai seorang penyelam mutiara yang bersusah-payah menaikkan mutiara tersebut dari dasar laut tetapi diperlekehkan oleh golongan-golongan yang mendakwa sebagai hanya mengikut Al-Quran dan Sunnah Rasullullah s.a.w.

No comments: