Thursday, March 19, 2009

Artikel Dari Peguam Syarie MAIS

Diari - Mesyuarat Anti Wahabi


Salam semua,

Semalam, saya dijemput untuk hadir bersama di dalam satu mesyuarat yang dibuat bertujuan untuk membincangkan mengenai strategi-strategi mengekang fahaman Wahabi yang semakin berleluasa di kalangan masyarakat kita melalui penubuhan satu NGO menentang gerakan ini. Tentunya sahabat-sahabat tertanya-tanya, apa sebenarnya Wahabi itu dan mengapa perlu dikekang. Sedikit sebanyak bolehlah saya kongsikan di sini, fahaman ini dipelopori oleh golongan yang selalu menganggap orang lain yang bermazhab ahli sunnah wal jamaah sebagai ahli bida'ah, kerana melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah saw semasa hayat baginda, berdasarkan hadis-hadis yang dirujuk oleh mereka. Golongan ini juga sering membidas dan mencela ulamak-ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah dan membida'ahkan orang lain. Golongan ektrimis Wahabi ini juga menghalalkan darah saudara seislam mereka untuk dibunuh disebabkan perselisihan pendapat mengenai perkara-perkara cabangan di dalam Al-Quran. Untuk penjelasan lanjut, boleh layari laman blog sahabat saya al-subki.blogspot.com. yang membicarakan dengan lebih terperinci lagi mengenai fahaman ini. Atau sekiranya ada soalan, saya akan cuba memberi jawapan sebaik mungkin.

Kalau sahabat-sahabat ingat, ada beberapa ulamak besar di negara kita ini yang menganggap sambutan Maulidurrasul sebagai bida'ah, tahlil, talkin, bacaan Yasin malam Jumaat, semuanya sebagai bida'ah. Memanglah mungkin sesetengah ulamak berpandangan bahawa ini hanya pertikaian mengenai perkara cabangan, tetapi setelah mendengar pengalaman tokoh-tokoh agama yang lebih berpengalaman dalam isu ini, golongan Wahabi yang ekstrim boleh mengancam keselamatan sesebuah negara kerana fahaman yang dibawanya menghalalkan saudara seislam mereka dibunuh, kerana mengamalkan bida'ah, sedangkan kalau mengikut ajaran ulamak ahli sunnah wal jamaah, selama mana seseorang itu mengakui bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan Muhamad itu pesuruh Allah, bukan sewenang-wenangnya dia boleh dibunuh. Golongan ini juga menentukan Hukum untuk sesuatu perkara secara liberal, sehingga boleh menghalalkan enzim babi, dan nikah tanpa wali!!

Mengikut pengalaman saya sendiri, terdapat beberapa masjid yang mempunyai masalah pengurusan disebabkan AJKnya berfahaman Wahabi. Sebagai contoh, Imam yang dilantik diminta untuk tidak membaca Qunut semasa solat Subuh, sedangkan telah menjadi amalan seluruh umat Islam di Malaysia untuk membaca Qunut semasa rakaat kedua solat Subuh. Di beberapa masjid lain, terdapat juga arahan supaya tidak membuat tahlil, talkin, wirid selepas solat, dengan alasan tiada sunnah atau hadis yang menyokong perbuatan-perbuatan tersebut. Ini tentunya akan menimbulkan pertikaian dan kekeliruan di kalangan jemaah, yang mengakibatkan masjid tidak dapat diimarahkan. Semasa bulan Ramadhan pula, timbul isu mengenai jumlah rakaat tarawih, 20 atau 8 rakaat sahaja.

Apapun, saya 100% bersetuju dengan penubuhan NGO untuk mengekang fahaman Wahabi ini, sebagai salah satu cara untuk menyekat pergerakan fahaman ini, di samping 1001 cara-cara lain. Untuk penyokong-penyokong Wahabi, bersedialah untuk diperangi dari segenap penjuru. Untuk rakan-rakan, demi menjaga agama masing-masing, saya menyeru kepada diri saya dan sahabat-sahabat semua, supaya bersama-sama mencegah fahaman ini daripada terus berkembang. Sebagai langkah permulaan, pencegahan ini hendaklah dibuat dengan bermula di rumah, iaitu keluarga masing-masing. Pastikan tidak berlaku unsur-unsur konflik yang saya nyatakan tadi. Sekiranya di kawasan anda ada berlaku pertikaian atau isu seperti yang saya nyatakan tadi, bolehlah membuat aduan lisan/bertulis kepada Bahagian Pengurusan Masjid JAIS atau Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk diambil tindakan lanjut. Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini dapat membantu menjaga agama Islam yang merupakan tujuan utama Syariah.

Tokoh-tokoh ulamak besar Ahli Sunnah Wal Jamaah yang turut menyertai mesyuarat ini, antaranya Dr Othman El-Muhammady (Pengarah ISTAC, UIAM) Dato' Salleh Ahmad (AJK Fatwa Selangor), Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Abu Bakar Abdul Hamid, OBD Daerah Petaling Selangor, Yusri Mohamed, (Presiden ABIM), wakil JAKIM, wakil masjid-masjid dll.

Ahli-ahli mesyuarat sedang tekun mendengar maklum balas yang disampaikan oleh salah seorang ahli yang hadir.

Saya dan beberapa muslimat yang hadir walaupun duduk di belakang, tetapi masih diberi peluang untuk menyuarakan pandangan dan mendengar penjelasan mengenai kebahayaan fahaman Wahabi ini.

Mudah-mudahan segala keputusan yang diperolehi di dalam Mesyuarat ini berjaya dilaksanakan. Amin..

Artikel di atas dipetik dari blog Norhani Salwa yang juga salah seorang AJK dalam SAFWAH.

No comments: