Tuesday, April 7, 2009

Imam Silih Berganti, Jemaah Kekal.

Sudah lumrah para Imam-Imam yang bertugas di masjid-masjid akan ditukar ke sana ke mari mengikut arahan Jabatan Agama Negeri.Namun ada juga yang ditamatkan perkhidmatan tanpa penukaran atas beberapa alasan yang bersesuaian.Contoh yang berlaku di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan, ketiga-tiga Imam telah pun melangkaui umur 70an dan 80an, maka perkhidmatan mereka telah diambil alih oleh Imam-Imam muda yang terlatih.

Jika dikaji dari kaedah logiknya, tindakan menamatkan Imam-Imam yang sudah berumur memang wajar dilakukan.Ini disebabkan faktor umur boleh membawa kepada pembacaan Imam-Imam tersebut tidak lagi sesuai apatah lagi bila bacaan tersebut dinilai dari hukum tajwid,makhraj dan sebagainya.Adakalanya bacaan tersebut tidak jelas untuk didengar lagi oleh para makmum.

Jika mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh beberapa Jabatan Agama Negeri, maka setiap Imam yang telah melebihi 60 tahun tidak sesuai lagi untuk dilantik.Namun kesedaran segelintir Imam-Imam mengenai syarat-syarat ini sering menjadi masalah kepada pihak Jabatan Agama.Adalah lebih baik Imam-Imam yang merasakan dirinya sudah menjangkaui syarat-syarat yang ditetapkan berundur dengan rela hati daripada diberikan surat arahan pemberhentian.Maka akan terbukalah peluang Imam-Imam yang muda yang terlatih untuk menjawat jawatan tersebut.

Tindakan ketiga-tiga Imam yang ditamatkan di Masjid Nurul Hidayah amatlah dipuji dan patut dicontohi.Mereka menerima keputusan tersebut dengan rela hati kerana ada penggantinya yang dirasakan lebih baik.Ketua Imamnya Tuan Haji Azhar Bin Itam, yang sudah berumur 83 tahun sebenarnya mempunyai bacaan yang bermutu dan baik.Namun keputusan mesyuarat pemilihan menentukan siapa yang lebih layak, beliau turut akur dan bersyukur.Inilah satu contoh terpuji yang patut dimiliki oleh seorang Imam.Janganlah disebabkan kita ditamatkan maka akan berlaku pertikaian sedangkan kita sebenarnya tidak mampu lagi memberikan perkhidmatan terbaik.Walaubagaimana pun, penukaran atau penamatan Imam-Imam tidak menjejaskan kehadiran jemaah ke masjid.Adakalanya ia lebih baik lagi kehadiran jemaah tanpa kita menjadi Imam kerana jemaah kini lebih pandai menilai keilmuan dan baik bacaannya seorang Imam.

No comments: