Saturday, May 9, 2009

Coretan Wahabi Di Utusan Malaysia Dulu Tapi Kini............

Utusan Malaysia 27/11/2005

Fahaman Wahhabi menular -- Dikatakan semakin berkembang di kalangan cerdik pandai muda

Nazeri Nong Samah

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Fahaman Wahhabi yang mengetepikan amalan sunah umat Islam negara ini sejak turun-temurun, kini dikatakan semakin berkembang terutama di kalangan cerdik pandai muda.

Kumpulan ini menolak amalan membaca al-Quran untuk orang yang meninggal dunia, membaca Yasin, qunut, tahlil, talkin, berdoa, berzikir, ziarah kubur dan pelbagai lagi perkara harus dan sunat yang menjadi amalan Ahli Sunah Waljamaah.

Mingguan Malaysia difahamkan, beberapa buah universiti menjadi pangkalan dan pusat bagi aliran yang disifatkan sebagai ultrakonservatif ini.

Difahamkan juga, aliran ini menjadi ikutan golongan muda yang mahu melakukan ibadah dengan mudah dan cepat, selain menganggap amalan yang sering dilakukan oleh umat Islam di negara ini sebagai bidaah dan khurafat.

Fellow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady yang banyak mengkaji mengenai fahaman ini bimbang ia mungkin menyebabkan berlaku pergeseran serius di kalangan ummah berhubung adat dan ibadat yang diamalkan di negara ini.

"Ahli Sunah Waljamaah mengikut Imam Al-Shafie yang kita amalkan sekarang jelas telah diterima dengan baik dalam kerajaan dan rakyat, tetapi sudah diresapi pula fahaman lain.

"Fahaman Wahhabi mengambil pendekatan keras, semata-mata memberi penekanan kepada Allah dengan menolak sunah Rasulullah, tawassul, syafaat dan lain-lain,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, adalah lebih wajar fahaman ini ditolak kerana ia bertentangan dengan Sunah Waljamaah yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara ini.

"Malah fahaman Wahhabi itu sendiri berkembang luas sehingga menjatuhkan kerajaan Uthmaniah serta melenyapkan khalifah Islam di Turki,'' katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Uthman berkata, keupayaan pengaruh fahaman ekstrem Wahhabi sehingga berjaya menggulingkan kerajaan Uthmaniah itu wajar menjadi peringatan kepada kerajaan negara ini.

"Mengikut fahaman ini, apa-apa yang menjadi adat dan ibadat selain daripada fahamannya adalah bidaah semata-mata,'' ujarnya.

"Kita tidak mahu pertembungan kedua-dua ikutan itu akan menjadikan kita dilaga-lagakan seperti puak sunni dan syiah di Iran dan Iraq sehingga mengakibatkan perpecahan Islam,'' katanya.

Utusan Malaysia 28/11/2005

Berpegang pada Sunnah Wal-Jamaah

Lidah Pengarang

Selain dari Perlis yang mempunyai tradisi Islam tersendiri, semua negeri di seluruh Malaysia telah menetapkan untuk menerima pakai amalan Sunnah waljamaah mengikut Imam Syafie turun-temurun sejak orang Melayu memeluk agama Islam.

Ternyata bahawa setelah generasi bergenerasi berlalu, sama ada semasa pemerintahan mutlak raja-raja Melayu atau ketika dijajah kuasa asing, hinggalah negara mencapai kemerdekaan, pegangan dan amalan umat Islam di negara ini telah mendatangkan perpaduan dan keharmonian yang dinikmati turun-temurun.

Raja-raja Melayu melalui ulama-ulama yang menjadi penasihatnya telah menerima pakai amalan dan pegangan Sunah waljamaah mengikut Imam Syafie yang didapati praktikal, menepati keperluan masyarakat setempat dan menjadi sebahagian daripada tonggak kestabilan negara.

Selepas mencapai kemerdekaan, negara meningkatkan kecekapan birokrasi agama melalui Jabatan-jabatan Agama Islam negeri-negeri, Majlis Fatwa Kebangsaan, Mahkamah Syariah dan lain-lain institusi Islam negara ini yang kesemuanya berlandaskan kepada Sunah waljamaah mengikut Imam Syafie.

Tambahan pula, apa lebih membimbangkan kita kalau-kalau fahaman lain daripada Sunah wal Jamaah mengikut Imam Syafie membawa unsur-unsur fanatisme, radikalisme dan ultrakonservati dan ada kalanya boleh mengheret pengikutnya kepada ciri-ciri militan dan keganasan.

Jika perkara ini berlaku, ia sudah menjadi ancaman keselamatan pada negara. Perlu diingat insiden-insiden keganasan bunuh diri mempunyai asal usul yang bersifat fahaman dan amalan yang menolak kaedah Imam Syafie.

Utusan Malaysia 28/11/2005

Wahhabi jejaskan perpaduan umat Islam

Jakim

PUTRAJAYA 27 Nov. - Fahaman wahhabi jika tidak disekat amalannya boleh menjejaskan perpaduan umat Islam di negara ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Beliau berkata, Jakim berpandangan serius mengenai penyebaran fahaman ini yang boleh menyebabkan umat Islam bertelingkah dan tidak sealiran pendapat mengenai sesuatu amalan sunat yang sudah diketahui ia biasa diamalkan di negara ini.

Katanya Jakim berpandangan fahaman itu tidak wajar diikuti kerana boleh membawa kepada situasi umat Islam mempunyai pendapat yang berbeza dan terdorong menjadi ekstrimis agama.

Fahaman itu yang dikenalpasti diamal dan disebar di kalangan orang Islam oleh segelintir pensyarah tidak wajar diikuti kerana ia boleh membantutkan semangat kesederhanaan dan ukhwah dalam Islam yang dibawa dan diamalkan sejak Islam bertapak di Malaysia, menurutnya.

Katanya Jakim sedang mengawasi golongan pangamal Wahhabi ini dan sedang memantau kegiatan dan cara fahaman ini disebarkan oleh pengamalnya, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mustafa berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar Mingguan Malaysia hari ini mengenai fahaman wahhabi yang dikatakan sedang tersebar meluas di negara ini terutamanya di kalangan golongan intelek Islam.

Menurut laporan itu, universiti tempatan difahamkan telah dijadikan pangkalan dan pusat bagi aliran yang disifatkan sebagai ultrakoservatif itu.

"Tapi bagi kita (Jakim) dan orang Islam yang lain amalan-amalan seperti tahlil arwah, membaca surah Yasin pada malam Jumaat, membaca qunut dan talqin misalnya) tiada apa salahnya daripada segi Islam.''

"Daripada segi Islam, amalan yang diamalkan orang Islam adalah sama ada termasuk di dalam `bid'ah Hassanah' atau `bida'ah Sayyi'ah` maknanya (amalan) baik dan juga tidak baik."

Katanya Jakim akan bertegas untuk menyekat daripada tersebarnya fahaman ini bagi mengelakkan daripada perpaduan Islam terancam.

Beliau berkata Jakim telah mengadakan kajian mengenai fahaman ini dan boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang kepada sesiapa terbukti menyebarkan fahaman ini. - Bernama

Utusan Malaysia 28/11/2005

Nordin Mat Top dipercayai semai fahaman Wahhabi

oleh Azian Aziz

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Orang paling dikehendaki, Nordin Mat Top dipercayai antara pihak bertanggungjawab menyemai fahaman Wahhabi radikal yang membentuk rangkaian Jemaah Islamiah (JI) di Malaysia, melalui ajaran guru agama Indonesia, Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir.

Abdullah merupakan pengasas JI Indonesia dan Abu Bakar pula penggantinya selepas Abdullah meninggal dunia.

Nordin pula yang merupakan anak murid Abu Bakar bertindak sebagai Operatif Kanan JI.

"Abdullah dan Abu Bakar kemudian membuka sebuah madrasah agama rendah di Ulu Tiram, Johor pada awal 90-an dan membawa guru-guru agama dari Indonesia sebagai tenaga pengajar.

Akhbar Mingguan Malaysia hari ini mendedahkan perkembangan fahaman Wahhabi yang mengetepikan amalan sunah waljamaah yang diamalkan di negara ini sejak turun-temurun. Aliran itu, menurut laporan itu kini semakin berkembang terutama di kalangan cerdik pandai muda.

Kumpulan itu menolak amalan membaca al-Quran untuk orang yang meninggal dunia, membaca Yasin, qunut, tahlil, talkin, berdoa, berzikir, ziarah kubur dan pelbagai lagi perkara harus dan sunat yang menjadi amalan Ahli Sunnah Waljamaah.

Difahamkan, beberapa buah universiti menjadi pangkalan dan pusat bagi aliran yang disifatkan sebagai ultrakonservatif ini.

""Susulan siasatan itu menyebabkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengambil tindakan menutup madrasah tersebut pada tahun 2001,'' jelasnya.


ULASAN: Apakah kini JAKIM nasih lagi berpendirian sepertimana yang diterajui oleh Dato' Mustafa Abdul Rahman?Adalah difahamkan ada beberapa kakitangan-kakitangan dari JAKIM sendiri kini telah diresapi oleh virus Wahabi.Malah ada juga pegawainya yang menulis tentang idola mereka iaitu pengasas Wahabi sendiri, Muhammad Ibn Wahab.Kalaulah kota Mekah dan Madinah dapat ditawan oleh puak-puak Wahabi, apalah sangat dengan JAKIM untuk mereka kuasai.Begitu juga dengan akhbar Utusan Malaysia kini tidak segan silu menyiarkan rencana yang ditulis oleh tokoh-tokoh Wahabi yang berselindung dengan nama Salafi.Nampaknya puak-puak Wahabi ini secara terancang telah hampir mengusai media-media sehingga mengenepikan enakmen yang telah ditetapkan bahawa negara ini berpegang dengan fahaman Mazhab As-Syafie.


No comments: