Wednesday, May 13, 2009

Desakan Pembaca Bahaya Wahabi.

Seminar Anjuran Pendukung Wahabi Di Malaysia.
ARKIB : 06/12/2005

Hukum: Jangan disuruh orang awam berijtihad sendiri

Saudara Pengarang,
AMALAN bermazhab kepada Ahlul Sunnah Waljamaah adalah merujuk kepada hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim (kedua-dua bermazhab Syafie) yang bermaksud:

``Sebaik-baik manusia ialah yang berada pada kurun ku, kemudian mereka yang selepas kurun tersebut dan kemudian mereka yang mengiringi kurun selepas itu.''

Tiga kurun itu bermaksud zaman selepas Rasulullah yang juga dinamakan zaman Tabiin oleh pengikut Ahlul Sunnah atau zaman Salaf oleh sesetengah pihak yang lain. Dalam pengertian lain kita digalakkan mencontohi Rasulullah serta umat pada zaman Tabiin.

Apatah lagi mencontohi amalan Sahabat Rasulullah yang mengikut hadis, ``Sahabat-sahabatku ibarat bintang-bintang di langit, ulama-ulamaku ibarat nabi di kalangan Bani Israil.'' Sebab itu hukum-hukum ilmu dalam Islam merujuk kepada al-Quran dan hadis, qias dan ijmak ulama.

Jadi mana mungkin boleh berijtihad setakat al-Quran dan hadis sahaja? Kalau begitu bolehkah dianggap bidaah pembukuan al-Quran pada zaman Saidina Uthman bin Affan sedangkan Rasulullah tidak pernah membukukan al-Quran?

Kemudian bagaimana pula dengan perawi hadis seperti Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan hadis Nabi dalam buku pada hal pada zaman Rasulullah hadis tidak dibukukan. Hadis hanya dikitabkan selepas zaman Khulafa Ar-Rasyidin yang keempat.

Kemudian bagaimana pula dengan Saidina Umar yang membuat azan sebanyak dua kali pada waktu solat Jumaat, pada hal pada zaman Rasulullah azan berkumandang hanya sekali sahaja. Adakah ini bidaah namanya?

Keadaan umat Islam semakin berserabut dengan pelbagai aliran dan pemikiran selepas kewafatan Rasulullah, terutama pada zaman Saidina Ali. Muncul pelbagai fahaman seperti Khawarij, Muktazillah, Syiah dan selepas itu muncul pula aliran selepas Saidina Ali seperti Qadariyah, Jabariyah, Musyabihah dan fahaman Ibnu Tamiyah dengan konsep Tauhid Rubuhiyah dan Uluhiyah.

Oleh kerana terdapat pelbagai aliran ini, tepatlah hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Thabarani: ``Bahawa pada akhir zaman, umatku terbahagi pada 73 golongan, hanya satu golongan sahaja yang dapat memasuki syurga manakala yang lain terjun ke dalam neraka. Maka sahabat pun bertanya, siapakah golongan yang satu tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda Ahlul Sunnah Waljamaah.''

Apabila disebut Ahlul Sunnah ialah mereka yang mengikut sunnah Rasulullah dan juga sunnah sahabat-sahabat baginda serta sunnah umat zaman Tabiin (zaman 300 tahun selepas Rasulullah)

Keempat-empat Imam Ahlul Sunnah Waljamaah iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Hambali hidup pada zaman Tabiin yakni lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah.

Imam Hanafi lahir pada 80 Hijrah dan Imam Malik lahir pada 93 Hijrah, Imam Syafie pada 150 Hijrah dan Imam Hambali pada 164 Hijrah. Mereka bukan sahaja ulama pilihan di kalangan para ulama, tetapi juga merupakan ulama yang soleh, warak, tegas memegang hukum, bebas yakni tidak makan gaji atau terikat dengan tugas rasmi. Keempat-empat mereka juga menulis kitab untuk rujukan umum.

Keempat-empat imam tersebut apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan hukum, mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah. Kalau ada mana-mana pihak yang mengikuti salah satu daripada empat mazhab tersebut, ertinya mereka juga telah mengikut al-Quran dan hadis.

Banyak perawi hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam Tarmizi dan lain-lain adalah bermazhab walaupun mereka mengumpul dan menilai hadis. Misalnya Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Tarmizi adalah bermazhab Syafie. Dalam segi kefahaman dan mengeluarkan hukum, mereka berpandukan kepada empat imam mazhab. Kalau sebagai perawi hadis dengan ketinggian ilmu mereka tetap bermazhab, apa ukurannya pada orang awam akhir zaman ini yang tidak mahu bermazhab? Mampukah orang awam yang jahil dalam ilmuwan agama walaupun lepasan Al-Azhar berijtihad tanpa mazhab?

Begitu juga imam-imam besar yang lain seperti Abu Hassan Al Asyaari (mujadid kurun ketiga), Imam Al Ghazali (pengarang kitab Ehya Ulumudin/ mujadid kurun kelima), Imam Sayuti (mujadid kurun ke-9) juga bermazhab Syafie.

Malah para ulama dan wali yang menetap di Malaysia seperti Tokku Paloh, Tok Kenali, Syeikh Hussein Al-Banjari, Habib Noh (di Singapura) serta sembilan Wali Songo (Indonesia), kesemuanya bermazhab Syafie.

Memang sudah menjadi sunnahtullah sejak Nabi Adam sehingga pada akhir zaman, orang yang jahil tentang ilmu Islam lebih ramai dari orang alim. Begitu juga dalam ilmu pengetahuan, sedikit sahaja yang berilmu tetapi yang jahil amat ramai.

Oleh itu patutkah diminta pendapat orang awam mengkaji dan menggali sendiri al-Quran dan hadis? Munasabahkah meminta mereka berijtihad sendiri kepada al-Quran dan hadis?

Ibarat kita memaksa semua orang yang hendak memiliki emas, jangan membeli emas di kedai emas. Kita mengajak mereka sendiri mengorek dan melombong emas untuk diambil yang benar-benar asli.

Begitulah ibarat kita hendak menyuruh semua orang berijtihad pada al-Quran dan hadis dengan tidak bermazhab atau bersandar pada ulama mujtahidin. Sampai bila pun mereka tidak dapat beramal dengan ajaran Islam.

Kalau kita hendak menyuruh semua manusia sama ada alim atau orang awam supaya tidak bermazhab dan bersandar pada ijtihad sendiri kepada al-Quran dan hadis, maka ramailah orang awam yang akan sesat!

Ulama yang mengajak jangan bermazhab ialah ulama Mutaakhirin. Fahaman mereka bertambah popular selepas kemunculan gerakan Muhamad bin Abdul Wahab. Dan gerakannya belum sampai 100 tahun lagi. Fahaman ini yang menganjurkan jangan bermazhab kerana bidaah.

Oleh yang demikian ulama mana yang hendak kita ikuti? Ulama Mutaakhiran atau ulama Mutaqadimin. Kalau mengikut hadis kita perlu kembali pada ulama Mutaqadimin (ulama zaman Tabiin). - HAMBASUFI, Taiping.

ARKIB : 01/12/2005 (Utusan Malaysia)

Jakim perlu perjelas bahaya fahaman Wahhabi

Saudara Pengarang,
SETELAH membaca komentar daripada Khairul Effendi Hashim di dalam ruangan Pendapat pada 29 November 2005, saya dapat merasakan bahawa beliau belum begitu memahami mengenai fahaman Wahhabi.

Kebanyakan orang awam menyangka bahawa perselisihan golongan Wahhabi dengan golongan ahli sunnah (Al-Asya'irah & Al-Maturidiah) hanya tertumpu di bidang ranting dan furuk syariat semata-mata dan tidak lebih daripada itu.

Namun jika kita membaca tulisan tokoh-tokoh Wahhabi maka kita akan mendapati bahawa perselisihan antara mereka dengan golongan Ahli Sunnah Waljamaah juga bersangkut paut dengan soal akidah. Tidak pernahkah saudara Khairul Effendi membaca atau terbaca tulisan tokoh-tokoh Wahhabi yang mengharamkan pembelajaran tauhid sifat 20 yang merupakan suatu ilmu yang dipelajari oleh umat Islam yang tinggal di rantau Asia Tenggara bahkan hampir di seluruh dunia Islam?

Tidakkah saudara pernah terbaca buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh Wahhabi yang mendakwa Allah Taala itu tempat-Nya di langit? Sebagai seorang pembimbing jemaah haji yang sudah tentu sering berulang alik dari tanah air ke tanah suci maka adalah suatu yang agak ganjil jika saudara tidak mengetahui mengenainya. Iktikad yang dipegang oleh golongan Wahhabi yang mendakwa bahawa Allah itu wujud dengan memerlukan tempat sudah cukup untuk membuktikan bahawa golongan Wahhabi tergelincir daripada kelompok Ahli Sunnah Waljamaah.

Berbalik kepada soal ranting seperti masalah qunut subuh, tahlil, talqin mayat, baca Yasin malam Jumaat, berzikir dengan kuat selepas solat dan beberapa perkara lain maka hal ini sebenarnya sudah lama diselesaikan oleh ulama-ulama mazhab yang empat. Namun sayangnya golongan Wahhabi mengeruhkan kembali isu ini dengan mendakwa bahawa orang yang melakukan amalan-amalan yang disebutkan itu tadi telah melakukan suatu perkara mungkar dan bidaah yang melayakkan diri mereka dihumban ke dalam neraka!

Orang yang bermazhab Syafie tidak akan marah kepada orang-orang yang tidak berqunut di dalam solat subuh seandainya mereka itu tidak menghukumkan sesat ke atas orang-orang yang melakukan qunut. Apalah sangat orang yang tidak berqunut jika dibandingkan dengan orang yang langsung tidak menunaikan solat subuh. Selama ini pun orang-orang yang bermazhab Syafie juga mengetahui bahawa sahabat-sahabat mereka yang bermazhab Hanafi tidak membaca doa qunut di dalam solat subuh.

Namun demikian tidak timbul sebarang perselisihan di antara mereka disebabkan sahabat-sahabat mereka yang bermazhab Hanafi tersebut tidak pernah menghukumkan sesat ke atas saudara-saudara mereka yang bermazhab Syafie yang membaca doa qunut sewaktu solat subuh. Ini jauh berbeza dengan sikap dan tindakan golongan Wahabi yang menuduh orang-orang yang tidak sealiran dengan mereka sebagai ahli bidaah.

Oleh itu sewajarnya pihak berkuasa agama seperti Jakim menjelaskan kepada umat Islam tentang bahaya fahaman Wahhabi ini kerana ia sememangnya suatu fahaman yang boleh memusnahkan perpaduan umat Islam, sekali gus membahayakan negara Islam itu sendiri. - MUHIB AL-GHUMARY, Ulu Tiram, Johor.

No comments: