Sunday, May 17, 2009

Realiti TV - Agenda Siapa?



Sedihnya Penonton Kerana Artis Pujaannya Terkeluar.



Program realiti TV yang diciplak dari negara luar ini semakin menjadi kegilaan bangsa Melayu atau umat Islam sehinggakan tidak memperdulikan lagi teguran ulama-ulama tentang hukum-hakam haramnya program tersebut.Jika ada program-program tertentu yang dianjurkan oleh pihak masjid pada malam minggu, maka akan kelihatanlah hanyalah kerusi atau tiang-tiang yang memenuhi masjid.Sementara tempat berlangsungnya konsert realiti TV ini dipenuhi oleh rata-rata umat Islam walaupun mereka terpaksa membayar tiket dan mengharungi kesesakan jalanraya untuk menyaksikan secara langsung konsert tersebut.Ini juga tidak termasuk dengan kemaruknya ibu-bapa yang sama-sama tidak sedar diri menjadi penonton tetap menyaksikan realiti TV ini di hadapan televisyen.
Alangkah sedihnya apabila umat Islam semakin hanyut dilalaikan dengan program seperti ini.Mereka tidak akan menangis jika mendengar tentang kesusahan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w untuk membawa Islam kepada umatnya, namun mereka lebih sedih apabila ada peserta yang terkeluar dari program tersebut.Nampaknya agenda Nasrani dan Yahudi semakin berjaya melalaikan umat Islam dengan hiburan kerana umat Islam masih tidak sedar dengan perangkap yang dipasang oleh musuh Islam.Selama 10 minggu pelajar-pelajar dididik untuk menjadi penyanyi tanpa matlamat atau arah tuju yang sebenar.Jika masa 10 minggu itu digunakan untuk mendidik pelajar-pelajar ini memghafal Al-Quran, rasanya dah boleh sampai 15 juzuk mereka menghafalnya.Program realiti TV ini pula ditaja dengan ganjaran yang lumayan sedangkan apakah ini terjadi dalam program-program yang berteraskan Islam seperti Akedemi Al-Quran atau Tilawah Al-Quran?Ini disebabkan umat Islam sendiri tidak menyokong program-program yang berteraskan Islam, malah lebih memberi sokongan padu kepada program yang melalaikan.Anak-anak muda yang beragama Islam pula menjerit-jerit kegilaan seolah-olah sudah lupa dirinya kepunyaan Allah swt.
Saya sempat melintasi sebuah restoran sewaktu pulang dari menghadiri majlis zikir di rumah salah seorang sahabat saya.Bunyi jeritan penonton dari suara televisyen yang dipasang di restoran tersebut amat menggerikan seolah-olah seperti bunyi yang sama di mana rakaman jeritan orang-orang yang sedang diseksa di alam barzakh.Rakaman tersebut pernah menggemparkan umat Islam sehinggakan menjadi pertikaian tentang kesahihan rakaman tersebut.Kenapa perlu dipertikaikan?Jika tidak benar sekalipun anggaplah ia sebagai satu jalan dakwah untuk menyedarkan umat Islam tentang adanya seksa kubur di alam barzakh.
Seandainya program-program realiti TV seperti ini masih diteruskan, maka suatu hari nanti realiti sebenar agenda Nasrani dan Yahudi untuk menghancurkan umat Islam akan menjadi kenyataan.Tidak cukup dengan Akedemi Fantasia, umat Islam dilalaikan pula dengan One In A Million, Mentor, Malaysian Idol,Geng Starz,Konsert Jom Heboh, Raja Lawak dan lain-lain lagi.Ini ditambah pula dengan persembahan konsert artis-artis luar negara yang rata-rata mempengaruhi anak-anak muda Islam kita.Jika inilah hakikatnya maka remaja-remaja Islam akan terus hanyut, maka tidak hairanlah jika sekarang ini masalah sosial anak-anak muda khasnya yang beragama Islam semakin membimbangkan.Siapakah yang harus dipersalahkan?Jawapannya umat Islam sendiri yang tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama tentang hukum-hakam program-program sebegini.

No comments: