Monday, June 15, 2009

Mat Rempit, Kacip Fatimah, Tongkat Ali & Minah Kilang.




Apabila disebut keempat-empat nama ini apakah yang akan terfikir di benak fikiran kita?Mat Rempit akan membayangkan anak muda yang membawa motosikal dengan lajunya. Kacip Fatimah adalah herba yang digunakan untuk kepentingan kaum Hawa. Tongkat Ali adalah untuk kekuatan tenaga kaum Adam dan Minah kilang pula adalah gelaran untuk wanita yang bekerja di kilang-kilang.
Sebenarnya ada agenda tersembunyi yang tidak disedari oleh umat Islam khasnya orang-orang Melayu tentang penjenamaan nama-nama tersebut. Penjenamaan-penjenamaan ini sebenarnya jika dikaji dengan teliti, merupakan satu penjenamaan yang menghina umat Islam itu sendiri. Di sini biarlah saya kupas satu persatu tentang penjenamaan-penjenamaan ini mengikut apa yang telah disampaikan oleh seorang Ustaz kepada saya dalam satu sesi kuliah Subuh.

1) MAT REMPIT.

Apabila istilah "MAT" ini digunakan, ia adalah merujuk kepada nama seorang Melayu beragama Islam dari singkatan nama Muhammad. Kalau dipanjangkan ia akan menjadi Muhammad Rempit. Siapakah dia yang bernama Muhammad ini apabila sering ditanya kepada umat Islam? Jawapannya tentulah ia merujuk kepada Nabi kita yang mulia tetapi secara tidak sedar penjenamaan ini telah mengelirukan umat Isam itu sendiri khasnya bangsa Melayu. Ini menunjukkan betapa buruknya perilaku seseorang yang bersingkatan nama MAT yang digambarkan sebagai samseng jalanan.

2) KACIP FATIMAH.

Istilah nama FATIMAH ini juga adalah salah satu penjenamaan rawatan herba Kacip Fatimah untuk wanita khususnya dalam permasalahan tenaga batin. Siapakah dia FATIMAH jika ditanya kepada umat Islam dalam salasilah keturunan Nabi? Jawapannya ialah FATIMAH merupakan anak perempuan Rasulullah s.a.w yang amat baginda kasihi. Kenapa harus nama FATIMAH digunakan dalam penjenamaan rawatan herba ini? Inilah dia satu lagi tipu daya syaitan untuk mengelirukan umat Islam dan orang-orang Melayu.

3) TONGKAT ALI.

Satu lagi penjenamaan rawatan herba yang mengaitkan nama ALI yang digunakan bagi kaum Adam khususnya dalam permasalahan tenaga batin. Siapa pula ALI dalam salasilah sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w? Beliau tidak lain ialah menantu Rasulullah s.a.w dan suami kepada Fatimah, puteri Rasulullah s.a.w. Kenapa nama ALI dikaitkan dalam penjenamaan tersebut? Sekali lagi umat Islam dan bangsa Melayu diperdaya secara halus oleh musuh-musuh Islam dalam penjenamaan sesuatu barangan.

4) MINAH KILANG.

Istilah nama MINAH KILANG ini sebenarnya sudah lama bermain-main dalam benak fikiran umat Islam dan bangsa Melayu. Nama MINAH adalah singkatan kepada nama AMINAH. Jika dikaji secara teliti, nama AMINAH adalah merujuk kepada nama bonda Rasulullah s.a.w sendiri. Kenapa pula nama AMINAH dikaitkan bagi menggambarkan pekerjaan gadis-gadis di kilang?Ia pula disingkatkan dengan panggilan MINAH bagi mengaburi mata hati umat Islam dan orang-orang Melayu sendiri.

Kesimpulannya, penjenamaan-penjenamaan ini adalah salah satu tipu helah golongan tertentu kepada umat Islam dan bangsa Melayu sendiri. Adalah lebih baik pihak-pihak tertentu seperti Persatuan Pengguna Islam mengkaji penjenamaan-penjenamaan ini secara halus dan menukar nama-nama ini kepada nama-nama yang lain agar ia tidak berhubung-kait dengan keturunan dan salasilah Rasulullah s.a.w. Kelalaian kita sebagai umat Islam telah diperbodohkan oleh golongan -golongan tertentu sehingga kita sendiri tidak sedar bahawa kita sebenarnya telah ditipu oleh golongan-golongan tertentu dalam penjenamaan-penjenamaan ini. Istilah-istilah ini adalah diperjelaskan oleh salah seorang pegawai JAWI sewaktu menyampaikan kuliah Subuh di salah sebuah masjid. Apakah istilah ini secara kebetulan ataupun disengajakan, maka kajian terperinci harus dilakukan.

1 comment:

Priceless to Refuse said...

Salam ukhwah..

Saya artikel menarik untuk kita fikirkan bersama..