Tuesday, June 2, 2009

Wahabi Tolak Amalan Cukur Jambul.

Masalah Mencukur Jambul: Adakah Suatu Bid'ah?

Terdapat setengah golongan yang menimbulkan bahawasanya, amalan cukur jambul adalah bid'ah kerana amalan tersebut tidak ada sandarannya dari Nabi s.a.w.. Setengahnya menyatakan bahawa amalan cukur yang warid ialah amalan cukur secara keseluruhannya, bukan sebahagiannya sahaja. Walau apapun, kalau diperhatikan dalam pengamalan kita, memanglah mereka mencukur keseluruhannya, tetapi amalan itu dilakukan selepas daripada selesai majlis mencukur jambul. Ini kerana, masa yang ada amat terbatas, untuk mencukur rambut bayi yang masih lembut kulitnya. Ia perlu dilakukan secara berhati-hati dengan mengambil masa yang panjang.

Amalan mencukur jambul ini sebenarnya adalah warid daripada Nabi s.a.w., di antaranya apa yang telah diriwayatkan oleh Abu Umar bin Abdil Barr. Maka menurut perkataan Abu Umar tersebut, mencukur rambut bayi yang baru lahir di ketika hari aqiqah, maka para ulama' menganggap amalan tersebut adalah suatu yang sunat, dan amalan ini thabit dari Nabi s.a.w. di dalam hadith aqiqah yang bermaksud: "(bayi tersebut) dicukur rambutnya dan diberi nama kepadanya".

Al-Khallal telah berkata di dalam Al-Jami'e, di dalam menyebut tentang mencukur rambut kanak-kanak dan bersedekah dengan timbangan rambutnya, bahawasanya telah dikhabarkan kepadanya dari Muhammad bin Ali Fana Soleh bahawasanya, bapanya berkata: sunat mencukur rambut di hari yang ketujuh.

Hanbal berkata, bahawa dia mendengar bapanya Abdullah berkata, dicukur rambut kanak-kanak itu. Dikatakan bahawa, Fatimah r.a. mencukur rambut Saidina Al-Hasan dan Saidina Al-Husein, lalu bersedekah dengan timbangan rambutnya.sekadar satu timbangan emas.

Diriwayatkan dari Imam Malik dalam Al-Muwattho', dari Ja'far bin Muhammad, dari bapanya, bahawasanya dia berkata: "Fatimah telah menimbang rambut Al-Hasan, Al-Husein, Zainab dan Ummu Kalthum, lalu bersedekah dengan timbangan rambut itu dengan emas.

Abdul Razzak berkata bahawasanya, Ibn Juraij memberitahu kami bahasanya, beliau mendengar Muhammad bin Ali berkata: "Fatimah binti Rasulullah s.a.w. tidak melahirkan anak, melainkan diperintahkan dengan mencukur rambut anak-anak tersebut dan bersedekah dengan nilai berat timbangan rambutnya itu dengan emas.

Kesimpulannya, dengan ini, amalan yang dilakukan oleh kita adalah suatu amalan yang baik dan wajar diteruskan dan mereka yang menolaknya adalah mereka yang berfahaman kaum muda atau telah diresapi dengan fahaman salafi moden.

Wallahu a'lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil



No comments: