Friday, July 31, 2009

Allah Pelihara Al-Quran.







Gambar-gambar di atas adalah kiriman daripada seorang sahabat kepada saya. Subhanallah, Al-Quran yang berada di dalam kenderaan yang terbakar hangus masih boleh lagi dibaca kerana kandungannya tidak turut terbakar. Inilah kebesaran Allah swt memelihara kalamNya dan penyaksian ini adalah satu bukti betapa Agungnya keEsaan Allah swt. Sama-samalah kita menjadikan gambar ini sebagai satu pengajaran agar kita senantiasa bertasbih mengagungkan Allah swt.

Thursday, July 30, 2009

Al-Quran Perlembagaan Islam.

Pada 01/08/2009, akan tercatatlah satu sejarah di mana 2 kumpulan yang berbeza pandangan akan berhimpun untuk menyatakan pendirian masing-masing. Satu pihak yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai GMI (Gabungan Mansuhkan ISA) dan satu lagi ialah PEWARIS. GMI berpendirian bahawa undang-undang ISA mesti dimansuhkan, manakala PEWARIS pula mempertahankannya. Apakah jalan penyelesaiannya nanti tentang pendirian kedua-dua pihak ini?
Seperkara yang perlu dijawab apakah undang-undang yang digunapakai di negara kita ini mengikut acuan dan perlembagaan yang termaktub dalam kitab suci Al-Quran? Mungkin kedua-dua pihak ini mempunyai alasan tersendiri untuk menyatakan pendirian mereka, tetapi perlu diingat bahawa Al-Quran dan Hadis perlu dijadikan pedoman sebagai rujukan apabila berlaku perselisihan.
Tindakan pihak polis untuk menghalang perhimpunan ini diadakan adalah satu langkah yang bijak dan amat berkesan. Ini bertujuan agar negara kita tidak dihuru-harakan dengan permasalahan yang sekian lama tiada penyelesaiannya. Maka dengan itu, pihak yang berauthority seperti Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menyatakan pendirian mereka mengenai masalah yang berbangkit dengan berpandukan Al-Quran dan bukannya berpandukan arahan pihak lain. Adalah baik jika kedua-dua kumpulan ini dikumpulkan dalam satu majlis dailog yang mana ahli panelnya terdiri daripada para alim ulama bagi menghuraikan segala kekusutan yang ada. Namun penolakan sesetengah pihak kepada ulama maka negara ini akan terus diselubungi dengan permasalahan yang tiada berkesudahan.

Sunday, July 26, 2009

Sister In Islam Lawan Hukum Allah.

Sisters In Islam (SIS) urges the government to review whipping of women as a form of judicial punishment by the Syariah Courts. It constitutes further discrimination against Muslim women in Malaysia and violates Constitutional guarantees of equality and non-discrimination.

Whipping of women under Syariah Criminal Offences legislation also contradicts civil law where women are not punishable by whipping under Section 289 of the Criminal Procedure Code. Whipping of men too are limited by age. Under state Syariah Criminal Offences Codes, only Pahang, Perlis and Kelantan provide whipping of women.

Kenyataan daripada pertubuhan Sister In Islam ini adalah rentetan daripada kes seorang model perempuan yang ditangkap di Kuantan Pahang kerana kesalahan meminum arak.Nampaknya pertubuhan Sister In Islam masih jahil tentang hukum-hakam yang diperintahkan oleh Allah swt ke atas hambanya.Arak adalah ibu kepada segala maksiat kerana dengan meminumnya, seseorang akan bermaksiat pula dengan hal-hal yang lain. Walaupun ada yang mengatakan tidak berlaku maksiat seperti seks bebas, mencuri dan sebagainya setelah meminum arak, tetapi apakan setelah kita meminum arak boleh melakukan solat dengan kusyuk? Sudah tentu si peminum tidak solat dan ini juga merupakan satu maksiat terhadap Allah swt.

Menurut hukum Islam, seseorang yang didapati bersalah meminum arak perlu disebat dengan 40 kali sebatan.Malah sebahagian ulama menyatakan 80 sebatan. Apakah SIS cuba mengubah hukum Allah dengan alasan hak kebebasan manusia sejagat? Kalau begitu apabila di akhirat nanti Allah swt membalas setiap perbuatan buruk hambanya di dunia ini dengan siksaan yang pedih, jawablah oleh kamu ini adalah hak kebebasan kami sebagai manusia.

Pihak berwajib di negara ini seharusnya peka dengan kenyataan songsang Sister In Islam agar umat islam tidak dipesongkan kefahaman agamanya. Adalah amat malang sekiranya negara yang kononnya mendaulatkan Islam tunduk dengan kemahuan SIS yang ternyata jahil dalam menentukan arah tuju perlembagaan negara kita berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah.


Monday, July 20, 2009

Isra' Mikraj Bukan Dongengan.

Isra'

“ Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjid Al-Haram menuju ke masjid Al-Aqso yang telah Kami berkati sekelilingnya untuk Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan) Kami, dan sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat ”.

Maka wajib beriman bahawa Allah ta’ala telah memperjalankan (mengisra’kan) Nabi Muhammad pada waktu malam dari bumi Mekah ke masjid Al-Aqso dan ulama Islam dari kalangan ulama Salaf hakiki, Khalaf, para Muhaddith, para Mutakallimin, para Mufassirin, para Fuqoha dan ulama-ulama Islam yang lain telah mempersepakati bahawa berlakunya peristiwa Isra’ terhadap Nabi Muhammad itu adalah dengan ruh dan jasab baginda, dan bukanlah suatu mimpi.



Perkara Ajaib Yang Berlaku Ketika Isra’

Diantara perkara-perkara pelik yang berlaku ketika isra’ Rasulullah adalah Rasulullah melihat kubur Saiyidah Masyitah Binti Fir’aun dan baginda mencium bauan yang amat wangi dari kuburnya.Masyitah merupakan seorang mukminah solehah. Kisahnya, ketika Masyitah sedang menyikat rambut anak Firaun, tiba-tiba sikatnya terjatuh dari genggaman tangannya seraya menyebut : Dengan nama Allah. Lalu anak perempuan Firaun bertanya : Adakah anda mempunyai tuhan selain bapaku? Masyitah menjawab : Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah. Anak Firaun itu berkata : Aku beritahu bapaku? Masyitah menjawab : Beritahulah. Anak Firaun pun memberitahu ayahnya dan Firaun meminta Masyitah kembali kepada agama asalnya. Namun, Masyitah enggan. Mendengar pendirian Masyitah, Firaun pun memanaskan air sehingga benar-benar panas lalu mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam didihan air tersebut.

Akhirnya, apabila tiba giliran anaknya yang sedang menyusu di kendongannya, Masyitah menjauhkan diri ( melambatkan penyerahan bayinya ). Masyitah sangat takut, terkejut dan bimbang. Dengan kuasa Allah, bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut :
“ Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia, usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar ”.
Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata : Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau
( Firaun ) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata : Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.

( Nota Penting Berkaitan Al-Isra’ )

1- Barangsiapa yang mengingkari Isra’ maka dia jatuh kafir.

Peristiwa Isra’ telah jelas berdasarkan firman Allah dalam Al-Isra’ ayat 1 dan berdasarkan kisah peristiwa Isra’ dari Hadith Nabawi yang telah diriwayatkan oleh Imam Baihaqi. Maka sesiapa yang mengingkari peristiwa Isra’ setelah dijelaskan dalil kebenarannya maka terkeluar dari Islam.

2- Isra’ berlaku dengan ruh dan jasad Nabi Muhammad.

Peristiwa Isra’ berlaku pada Nabi bukan mimpi bahkan secara yaqozoh iaitu secara jaga dengan ruh dan jasad Nabi sendiri.

AL-MI'RAJ

Mikraj merupakan perjalanan yang dimulai dari masjid Al-Aqso di Palestin hingga ke langit yang ketujuh dengan menaiki tangga yang terpaut di antara langit dan bumi mengunakan anak tangga yang diperbuat daripada emas dan perak. Antara tujuan diMi’rajkan Nabi ke langit adalah untuk diperlihatkan keajaiban di alam atas dan bukannya untuk bertemu dengan Allah kerana Allah wujud tanpa tempat.

( Nota Penting Berkaitan Al-Mi’raj )

1- Difardhukan solat lima waktu.
Solat lima waktu telah difardhukan pada malam Mi’raj tersebut juga berdasarkan hadist riwayat Muslim. Nabi Musa menyuruh Nabi Muhammad memohon kepada Allah agar solat yang pada mulanya difardhukan sebanyak 50 solat agar dikurangkan, maka jadilah 5 waktu solat. Ini membuktikan para Nabi memberi manfaat walaupun selepas kewafatan mereka.Apabila Nabi Musa mengatakan pada Nabi Muhammad agar kembali kepada Tuhanmu ianya bererti pergilah ke tempat yang kamu mendengar kalam Allah dan bukannya zat Allah berada disitu.

2- Allah Wujud Tanpa Memerlukan Langit, Arasy dan tempat-tempat lain.
Ketahuilah bahawa tidak ada dalil dari nas Al-Quran mahupun Al-Hadith bahawa Allah memerlukan tempat, bahkan di sana pelbagai dalil yang menyatakan bahawa Allah wujud tanpa bertempat seperti firman Allah dalam surah As-Syura ayat 11 yang bermaksud : “Tiada sesuatupun yang menyerupai Dia (Allah)”.

*Penambahan penting :
- Awasi golongan Wahhabi kerana Wahhabi beriktikad bahawa Arash merupakan tempat bagi zat Allah dan kononnya Allah duduk di atas arasy.Lihat kitab WahhabiFathul Majid Syarah Kitabut Tauhid m/s 485, 627, 629.

- Dalil Al-Hadith bahawa Allah wujud tanpa memerlukan tempat adalah sabda Rasulullah yang bermaksud : “ Dan Engkau Ya Allah, Yang Az-Zhohir, maka tiada sesuatu diatasMu, dan Engkau Ya Allah, Yang Al-Bathin, maka tiada sesuatu dibawahMu ”. Sohih Muslim.
Didalam hadith yang sama riwayat Imam Baihaqi didalam kitab beliau yang berjudul Al- Asma’ Wa As-shifat m/s 400 dinyatakan selepas sabda Nabi : “ Maka, jika diatas Allah tiada sesuatu dan dibawahNya pula tiada sesuatu ini menunjkkan bahawa Allah bukan ditempat ”.

- Awasi kitab yang disandarkan kepada Ibnu Abbas berjudul Kitabul Mi’raj kerana terdapat pelbagai kisah yang dongeng dan karut-marut serta hadith palsu. Ketahuilah bahawa Ibnu Abbas tidak menyatakan seperti yang termaktud dalam kitab dusta tersebut.

Disediakan oleh: www.abu-syafiq.blogspot.com

Thursday, July 16, 2009

Rintihan Seorang Ustaz.









Inilah pertama kali dalam hidup saya, sejak bergelar ustaz, tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan.

Hari ini 23 Jun jam 12.30 tengah hari, saya bersama pesakit HIV positif. Pada hal ketika ini, penghuni semua sedang tidur, berehat setelah makan ubat. Tetapi mereka semua bangun kerana mendapat tahu seorang ustaz datang melawat mereka.

Saya tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan bukan kerana mereka pesakit HIV. Tetapi, tempat kami menyampaikan kuliah agama ini ialah di dalam sebuah gereja.

Tetapi inilah hakikatnya. Tempat perlindungan pesakit HIV bagi orang dewasa adalah di gereja. Orang bukan Islam yang menaungi mereka, dan sudah beberapa yang mati di sini.

Menurut Kak Liza, bagi pesakit HIV dewasa, tidak ada tempat perlindungan yang dibuat oleh orang Islam.

Majlis Agama Islam Selangor pernah bercadang untuk membuatnya, tetapi hingga sekarang belum menunjukkan apa-apa perkembangan.

Saya malu pada diri saya saat ini. Seolah-olah, saya diberi tahu, "apa lah kamu orang Islam ni, cakap aje pandai, saudara seIslam yang sakit pun tidak dihiraukan".

Selesai taaruf, salah seorang dari mereka memberi tahu, "Imam masjid sebelah selalu datang"

Hati saya menyapa:-

Kenapa tidak dibuat di masjid sahaja tempat perlindugan ini, bukannya tak ada tanah..."

"Pihak MAIS ada jugalah jengok kami, tapi jarang-jarang. Dalam sebulan sekali lah."

Hati saya menyapa:-

"Kena sampaikan ni, pada sahabat-sahabat dari MAIS. Kena buat sesuatu."

Saya masih kelu dan tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan. Tajuk apa yang saya nak sampaikan?

Tajuk Ukhuwah? Tajuk berkasih sayang sesama Islam? Tajuk "semua perkara ada hikmah"? Tajuk apa? Tajuk apa yang sesuai?

"Aduhai Tuhan.. kenapa aku di sini hari ini.." rintih hati saya atau lebih tepat:-

"Kenapa sekarang baru dapat tahu, kenapa tidak peka, kenapa tidak dari dulu lagi aku datang menjenguk sahabat-sahabat seIslam di sini.."

Akhirnya saya menyampaikan sedikit tazkirah, tak sampai dua minit. Saya hanya membicarakan mengenai kasih sayang Allah pada manusia. Semakin banyak saya berkata, semakin banyak hati saya berkata:-

"Ah.... pandai cakap aje, apa yang kamu buat hah..."

Tazkirah di akhiri dengan sedikit ucapan dari kak Liza.

Majlis berakhir dengan bersalaman. Salah seorang penghuni, dengan suara yang rendah, berkata pada saya:-

"Ustaz.. terima kasih sebab datang ye.."

Nak menitik air mata saya melihat mereka. Dari mata mereka, mereka seolah-olah memberi tahu saya, "Ustaz, keluarkanlah kami dari gereja ini"

Saya melangkah keluar dari dewan kuliah. Di sebelahnya terdapat salib.

Yang masih boleh berjalan, menghantar saya hingga ke kereta.

Mereka melambai ke arah kami serombongan sambil berkata:-

"Nanti datang lagi ye.."

Van yang kami naiki menuruni cerun kawasan gereja. Hati saya tak putus-putus berdoa:-

"Ya Allah, selamatkan iman mereka. Ya Allah, beri kami kemampuan, dalam tahun ini insyaAllah, kami akan usaha mengeluarkan mereka dari gereja ini Ya Allah."

Kami meninggalkan tempat ini. insyaAllah, selepas saya pulang dari Turki nanti minggu depan, kita akan usahakan sesuatu, bisik hati saya.

Pada saya, mewujudkan tempat perlindungan ini dah taraf fardhu ain dah, ini kerana tidak ada lagi tempat perlindungan bagi orang dewasa seperti ini yang dibuat. Selagi ada orang Islam yang masih duduk di gereja ini, selagi itulah tanggung jawab ini tidak terlepas dari setiap bahu orang Islam.

Saya menyeru pada semua pembaca. Mari sama-sama kita usahakan. Jika ada niat, maka, insyaAllah, pasti ada jalan.

InsyaAllah, saya akan mewar-warkan pada semua jika ia akan dimulakan.

InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan keluarkan mereka dari gereja ini. InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan usahakan rumah penjagaan bagi orang Islam.

Semoga sedikti niat ini mendapat bantuan ilahi, amin...

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

24 Ju n 09, jam 2.15 pagi

Saturday, July 11, 2009

Lagi Buku Tolak Wahabi.


Klik untuk baca.
Buku terbitan Pustaka Mujaddid hasil tulisan Tengku Zulkarnain ini adalah untuk menjawab buku tulisan Abdurrahman Al-Mukaffi yang bertajuk Rapot Merah AA Gym di Penjara Tasawuf.Buku yang ditulis oleh Tengku Zulkarnain bertajuk Ajaran Sesat sememangnya baik isi kandungannya.Sememangnya Wahabi menolak pengajian Tasawuf dan sering mengkritik golongan Sufi.
Di sini ingin saya menulis serba sedikit mengenai kandungan buku Ajaran Sesat ini yang begitu keras menghentam puak-puak Wahabi.Di antaranya ialah "Musyrik....hadis daif....khurafat....dan banyak lagi yang keluar dari mulut mereka.Tapi sayang Allah tidak pernah menurunkan wahyu bahawa sesuatu hadis itu daif, Nabi tidak pernah bersabda mendaifkan sesuatu hadis, sahabat nabi tidak pernah mendaifkan hadis.Tohmahan mereka terhadap perawi hadis itu bukan wahyu dari Allah.Itu pendapat yang datang dari bumi, buatan manusia yang kebenarannya tidak pasti".
Banyak hujah-hujah penolakan Wahabi yang ditulis di dalam buku ini dan ia adalah begitu tepat sekali kerana golongan Wahabi seringkali mendaifkan sesuatu hadis.
Buku ini seharusnya dimiliki oleh semua umat Islam bagi mengetahui penyelewengan yang dilakukan oleh Wahabi terhadap agama kita.Ia juga sebagai senjata dan hujah untuk kita menentang puak-puak yang sering membida'ahkan amalan-amalan terpuji yang selama ini kita amalkan.

Monday, July 6, 2009

Permata Yang Berharga - Hujah Tolak Wahabi.

Buku ini ditulis oleh Syed Ahmad Bin Syed Zaini Dahlan iaitu tenaga pengajar Masjidil Haram Al-Syarif dan juga Mufti Mekah bermazhab Syafie.Buku ini telah diterjemahkan oleh Syed Zain Bin Hussein Alhabshi iaitu Imam Masjid Wadi al-Hasan, Johor Bahru.
Di antara kandungan buku ini ialah hujah menolak fahaman Wahabi mengenai hukum ziarah kubur Rasulullah s.a.w, hukum bertawassul beserta dalil mengharuskan bertawassul dan banyak lagi hujah-hujah yang dikemukakan.
Penulis amat berminat untuk menghuraikan sedikit sebanyak tentang buku yang menarik ini apabila membicarakan tentang kenyataan yang amat keji yang pernah disuarakan oleh pemuka Wahabi iaitu Muhammad Bin Abdul Wahab.Di antara kenyataan-kenyataannya ialah melarang orang ramai menziarahi makam Rasulullah s.a.w.Berita tersebut sampai kepadanya dan apabila mereka kembali melalui tempat kediaman Muhammad Ibn Wahab di ad-Dar'iyah, dia mengeluarkan arahan dan perintah supaya janggut mereka dicukur dan dikehendaki pulang menunggang unta dalam keadaan terbalik daripada tempatnya di ad-Dari'yah menuju al-Ilsa.
Pernah satu masa, Muhammad Bin Abd Wahab mendapat berita satu jamaah yang ingkar dengan ajarannya datang dari satu tempat yang jauh dengan tujuan berziarah dan menunaikan fardhu haji.Rombongan itu melalui tempatnya di ad-Dariyah dan mendengar Muhammad Bin Abd Wahab berkata kepada mereka,"biarkan orang-orang musyrikin itu pergi ke Madinah dan orang-orang Islam iaitu pengikutnya tinggal bersama-samanya.
Muhammad Bin Abd. Wahab juga melarang berselawat ke atas Nabi dan tidak suka mendengarnya.Dia juga menegah orang ramai berselawat pada malam Juma'at dan menegah melaung-laungkannya di atas menara.Dia akan menyakiti sesiapa yang melakukannya dengan seksaan keras dan dashyat.Muhammad Bin Abd Wahab pernah membunuh seorang muazzin yang buta dan soleh bersuara lunak kerana berselawat ke atas Nabi ketika hendak azan.Dia mengatakan mereka yang berzina lebih kurang dosanya daripada muazzin yang berselawat di atas menara.Dia mengatakan ini adalah untuk memelihara tauhid.Alangkah buruknya ajaran yang disampaikan oleh Muhammad Bin Abd. Wahab.Inilah dia orang yang sering diagung-agungkan oleh beberapa puak Wahabi di Malaysia sehinggakan di Perlis diadakan satu seminar yang membicarakan betapa hebatnya Syeikh mereka ini.
Sebenarnya banyak lagi kekejian yang dilakukan oleh Muhammad Bin Abd Wahab yang ditulis di dalam buku ini.Orang ramai sepatutnya mendapatkan buku "Permata Yang Berharga Ini" bagi memahami tentang kesesatan yang dibawa oleh Wahabi sehingga menular di negara kita.Dengan harganya cuma RM12.00, buku ini mampu membuatkan puak-puak Wahabi yang ada di negara kita tak senang duduk apabila tembelang mereka dibongkar oleh Syed Ahmad Bin Syed Zaini Dahlan.

Thursday, July 2, 2009

Astro Jadi Agen Wahabi.

Astro Oasis yang dikatakan banyak menyiarkan rancangan-rancangan berbentuk agama rupa-rupanya berselindung dengan rancangan yang lebih cenderung ke arah Wahabiyyah.Mantan Mufti Perlis, Dr. Asri telah dijemput untuk mengendalikan rancangan Bahtera Perubahan yang kononnya sebagai satu langkah yang berani untuk merubah minda umat Islam ke arah pemikiran Islam yang sebenar.Inilah dia yang pernah dikatakan oleh Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki, golongan "sarjana" yang banyak mengerjakan perbuatan bida'ah membida'ahkan orang lain.
Dr Asri sewaktu memegang jawatan Mufti Perlis sering menimbulkan kontroversi dengan pemikirannya yang lebih banyak berpandukan fahaman Ibn Taimiyah.Malah beliau juga sering bertentangan pendapat dengan JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga Mufti-Mufti yang lain.Banyak amalan-amalan umat Islam yang sejak dahulu lagi mengikut ajaran ulama-ulama muktabar sering dituduh sebagai bidaah oleh Dr Asri.Ini termasuklah bagi amalan membaca Selaway Syifa' untuk tujuan perubatan, dituduh sebagai perbuatan syirik.Amalan sewaktu Nisfu Sya'aban juga dikatakan sebagai amalan yang tidak ada nas dan sebagainya.
Pihak Astro sepatutnya lebih berhati-hati untuk menerbitkan sesuatu rancangan keagamaan kerana ini akan menjadikan orang-orang awam lebih bercelaru dengan pemikiran yang dibawa oleh Dr Asri.Sepatutnya pihak Astro merujuk ulama-ulama atau Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum memilih seseorang yang diketahui banyak menimbulkan kontroversi dalam memberikan pandangan.Umat Islam yang menonton rancangan-rancangan agama terbitan mana-mana telivisyen juga perlulah berhati-hati agar tidak cepat terpengaruh hinggakan sanggup membidaahkan amalan-amalan yang telah disepakati oleh ulama-ulama terdahulu.Rancangan ini yang bermula pada 3hb Julai 2009 sebanyak 13 episod akan disiarkan pada jam 7.30 malam.Bagus juga Astro memilih waktu siarannya pada 7.30 malam kerana waktu itu umat Islam yang beriman sedang sibuk untuk menunaikan solat Maghrib.Kalau kita berjemaah di masjid, maka akan terselamatlah kita dari menonton rancangan ini.Bagi yang sibuk nak menonton telivisyen pada waktu tersebut, faham-faham ajalah antara sembahyang atau tidak mereka ini.