Thursday, August 27, 2009

Amalan Menjadi Budaya.

Apabila datang bulan Ramadhan apakah budaya yang seringkali kita lihat di kalangan umat Islam di negara kita? Budaya yang saya maksudkan ialah budaya mengerjakan solat Tarawikh secara "melepaskan batuk di tangga".
Seperti tahun-tahun kebelakangan yang lalu, masjid-masjid akan dipenuhi oleh umat Islam untuk mengejakan solat Tarawikh secara berjemaah. Apabila selesai sahaja 8 rakaat, maka berpusu-pusulah mereka keluar meninggalkan saf, keluar dari masjid tanpa ada apa-apa keperluan untuk dilakukan. Ada yang tersadai di luar masjid menjamu selera sambil berbual-bual kosong dan ada juga yang bersantai di warong-warong kopi. Apakah mereka ini mengerti tentang menghidupkan malam Ramadhan dengan beribadah dengan sepenuh hati? Cara perlaksanaan ibadat ini seolah-olah hanyalah cara ikut-ikutan asalkan tidak dikutuk oleh teman-teman kerana tidak bertarawikh.
Memang benar ada kekhilafan dalam mengerjakan solat Tarawikh samada 8 rakaat ataupun 20 rakaat.Namun apabila dilihat fenomena meninggalkan saf setelah selesai 8 rakaat, seolah-olah hanyalah beribadah seperti "melepaskan batuk di tangga", asal buat sudahlah.....kata mereka.
Walaubagaimana pun, bagi puak-puak yang mengatakan mengerjakan solat Tarawikh 8 rakaat itu sebagai sunnah Rasulullah, ternyata mereka silap kerana Rasulullah s.a.w tidak pernah mengekalkan solat Tarawikh secara berjemaah sehingga akhir Ramadhan.Ini cumalah alasan bagi mereka-mereka yang malas untuk terus beribadah dengan seikhlas hati.
Yang lebih pelik sekali, ada yang hanya datang untuk solat Tarawikh berjemaah setelah jemaah selesai mengerjakan solat Isya' secara berjemaah.Nampaknya mereka lebih mengutamakan solat sunat berjemaah daripada mengerjakan solat fardhu secara berjemaah.Inilah dia dikatakan budaya orang kita yang beribadah secara ikut-ikutan tanpa mengerti tentang pengisian Ramadhan itu sendiri.

Tuesday, August 25, 2009

Selaraskah Hukum Islam Di Malaysia?

Kini heboh diperkatakan tentang hukuman sebat ke atas Kartika Sari kerana kesalahan meminum arak yang dijatuhkan oleh JAIP kepada beliau. Hukuman tersebut dikatakan terpaksa ditangguhkan demi menghormati bulan Ramadhan. Maka terpinga-pingalah mangsa iaitu Kartika sendiri kerana seolah-olah beliau diperlakukan seperti ujikaji hukuman Islam lagaknya. Pujian harus diberi kepada Kartika kerana mengaku kesalahan yang dilakukan dan sanggup menerima hukuman yang dikenakan demi Islam tercinta.
Yang menjadi tanda- tanya ialah tentang penyelarasan hukuman sebat ke atas peminum arak ini. Apakah semua negeri melaksanakan hukuman yang sama jika ada peminum arak dari kalangan umat Islam ditangkap? Ataupun penangkapan dan hukuman ke atas Kartika hanyalah ingin menonjolkan bahawa kita mengikut cara dan ajaran Islam. Yang menjadi mangsa ialah Kartika sendiri. Kalau nak diikutkan dah ramai boleh dihukum sebat kerana meminum arak sebagaimana kalau di Bintang Walk, bersepah umat Islam yang tak sedar diri meneguk air syaitan ini. Lihat saja di lounge hotel, pusat karaoke, pub-pub, disko-disko, kelab-kelab dangdut di Kuala Lumpur, bersepah umat Islam yang minum arak. Disebabkan kelembutan Kartika, maka beliau dijadikan korban yang pertama demi undang-undang Islam.
Memang betul, hukuman Islam tidak boleh diperkatakan lagi kerana ia adalah hukuman dari Allah. tetapi memilih bulu itu yang salahnya dalam perlaksanaan. JAIP adalah jabatan agama dari negeri Pahang yang melaksanakan hukuman ini, saya nak tanya sikit, di Genting Highland tu tak pantau ke? Yang minum arak ada, yang berjudi pun ada dan hasil cukai duit judi tu, kerajaan negeri buat apa?Kalau nak laksanakan hukuman biarlah dengan cara yang adil dan bukan hanya terpilih. Begitu juga sebelum ini apabila saya katakan, kalau nak rujuk ulama, rujuklah kesemuanya, janganlah hanya yang dipilih-pilih sahaja.

Tuesday, August 18, 2009

Majlis Fatwa Perlu Bertindak.


Muhyiddin minta Majlis Fatwa ulas tuduhan Nik Aziz

18/08/2009 4:48pm

PUTRAJAYA 18 Ogos - Majlis Fatwa Kebangsaan dan ulama diminta mengeluarkan kenyataan berhubung tuduhan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya ajaran Islam yang dibawa oleh UMNO tidak boleh membawa seseorang Muslim masuk syurga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah wajar jika ulama meneliti apa yang telah diungkapkan oleh Nik Aziz dan memberikan pandangan sama ada kenyataan Mursyidul Am Pas itu benar daripada segi Islam, atau jika bercanggah dan apakah pula hukumnya.

“Saya dah cakap akan keluarlah fatwa-fatwa baru (daripada pembangkang). Jadi, jangkaan saya betul kerana kita menghadapi pilihan raya kecil di Permatang Pasir.

“Walaupun saya faham agama, tetapi kenyataan saya berbaur politik. Dalam soal ini, saya tidak mahu guna politik. Ini soal hukum, soal akidah dan soal agama.

“Lebih baik para alim ulama dan Majlis Fatwa Kebangsaan buat keputusan sebenarnya. Kalau lebih cepat, lebih bagus,” katanya selepas melancarkan siri Buku Evolusi Kepimpinan karya Prof. Khairil Annas Jusoh di sini hari ini.

Ini adalah permintaan Timbalan Perdana Menteri yang merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan. Nampaknya ulama-ulama dijadikan rujukan apabila ada perkara-perkara berbangkit seperti ini. Kenapa tak nak rujuk ulama kepada perkara-perkara yang lain. Ada banyak perkara yang menyanggah dengan nilai-nilai Islam sepatutnya dirujuk juga kepada ulama dan bukan hanya perkara-perkara terpilih sahaja.

Perkara-perkara seperti Konsert Jom Heboh, Akedemi Fantasia, Malaysia Idol, Geng Starz, Mentor, One In A Million dan berbagai-bagai lagi yang telah melibatkan umat Islam secara keseluruhannya seharusnya dirujuk juga pada ulama-ulama untuk difatwakan hukumnya. Begitu juga dengan penganjuran konsert sambutan Tahun Baru, Hari Merdeka dan entah apa-apa lagi, kenapa tak dirujuk dengan ulama adakah ia dibolehkan dalam Islam. Begitu juga dengan pakaian artis-artis yang menjolok mata, filem-filem yang menyumbang kepada maksiat, rujuk jugalah dengan ulama dan minta Majlis Fatwa Kebangsaan keluarkan Fatwa.

Kalau kita nak jadi orang Islam, maka kena ambil keseluruhannya dalam Islam. Kita tidak boleh sekerat Islam, sekerat lagi tak Islam. Kalau pakai tudung bagi wanita, kena pakai betul-betul yang menutup aurat dan bukannya pakai sekerat-sekerat seperti apa yang ditampilkan oleh beberapa pemimpin wanita Islam. Ini juga perlu dikeluarkan Fatwa biar mereka faham sebab mereka baca Quran tapi tak faham isi kandungannya tentang hukum-hakam tak guna juga. Majlis Fatwa Kebangsaan mestilah menjadi badan yang berkecuali dalam hal ini dan tidak berpihak dengan mana-mana parti politik. Jika apa yang dikatakan oleh Dato' Nik Aziz itu ada asasnya, perlu juga dikaji kenapa beliau berkata begitu. Kalau lain yang dikata dan lain yang dilaporkan maka Majlis Fatwa Kebangsaan kena juga keluarkan Fatwa tentang fitnah dalam penulisan oleh akhbar.

Saturday, August 15, 2009

Artis Melayu Islam Ambil Iktibar.

Pemergian Ustaz Asri Ibrahim ke rahmatullah dalam usia yang agak muda mengejutkan banyak pihak terutamanya rakan-rakan artis yang mengenali beliau secara rapat. Namun itulah ketentuan Illahi dan tiada siapa yang dapat menghalang kehendak Illahi. Sesungguhnya Allah amat menyayangi beliau dan kita tidak tahu segala hikmah yang terkandung di sebaliknya.
Bagi saya, Allahyarham Ustaz Asri bukanlah seorang penghibur, tetapi beliau adalah seorang pendakwah yang bijak menyampaikan dakwahnya dalam lagu. Jika diamati pada bait-bait lagu yang dinyanyikan oleh beliau seperti "Pergi Tak Kembali", sebenarnya membawa mesej kesedaran kepada umat Islam. Begitu juga dengan lagu-lagu yang memuji keagungan Rasulullah s.a.w, sebenarnya mengajak umat Islam sama-sama berselawat tidak kira dalam bentuk apa jua penyampaiannya.
Seharusnya rakan-rakan artis Melayu yang beragama Islam mengambil iktibar dengan pemergian beliau dalam usia muda. Janganlah hanya menyebut "satu kehilangan besar dalam industri hiburan", tetapi sebutlah ia sebagai "sebutir mutiara yang menyampaikan dakwahnya melalui lagu perlu dicontohi". Apa guna kalau menjadi penghibur yang melalaikan umat Islam dengan lagu-lagu yang mengasyikkan tentang keduniaan. Berjoget, berdansa, terpekik terlolong tak bermesej langsung, apakah itu cara Islam?
Sedarlah wahai artis-artis Melayu Islam semua. Kamu juga akan dijemput kelak oleh Allah swt tetapi apakah yang nak kamu jawab nanti kepada Allah tentang persembahan kamu nanti. Dengan pakaian yang menjolok mata, mendedahkan aurat, bercampur gaul dengan yang bukan muhrim, apakah itu yang kamu banggakan?Tanyalah pada diri kamu sendiri apakah faedahnya kamu berketerampilan sedemikian? Cukuplah dengan artis yang bukan Islam dengan cara mereka dan janganlah kamu meniru tingkah laku mereka yang sesat.
Semoga Allah memberi rahmatNya ke atas roh Almarhum Ustaz Asri yang telah berjuang menegakkan syiar Islam dengan penyampaian berlagu. Inilah dia insan yang sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada semua artis-artis yang mengaku Islam.

Thursday, August 13, 2009

Selamat Bersemadi Wahai Sahabat.






Al-Fatihah untuk Ustaz Asri yang telah kembali ke rahmatullah dalam usia 40 tahun. Pertemuan bersama Almarhum Ustaz Asri sewaktu Pameran Buku Antarabangsa pada bulan April yang lepas adalah pertemuan terakhir saya bersama beliau. Sikapnya yang senantiasa merendah diri dan tidak lokek untuk melemparkan senyum membayangkan bahawa beliau adalah seorang insan yang berakhlak tinggi lagi warak. Semoga Allah swt menempatkan rohnya bersama-sama orang yang soleh dan beriman.

Wednesday, August 12, 2009

Syurga Buat Mu.












Tiada kata yang boleh diucapkan lagi kepada golongan-golongan syahid ini selain daripada syurga yang dijanjikan oleh Allah swt.Mereka dibunuh dengan kejam sewaktu sedang menunaikan kewajipan mendirikan solat berjemaah di surau.Semoga Allah swt mengurniakan pahala syahid kepada mereka-mereka yang terkorban ini.Amin.

Monday, August 10, 2009

Sambut Nisfu Sya'aban Bukan Bidaah Terkeji.

Hadis Palsu Rejab, Syaaban.

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w. - Petikan Tulisan Dr. Asri (mantan Mufti Perlis)

Membaca Yasin Beramai-ramai.

Jawapan Untuk Dr. Asri.

Tidak beberapa hari lagi, kita akan, insya-Allah memasuki gerbang Ramadan yang penuh keberkatan dan keistimewaan termasuklah malam yang paling mulia, lailatul qadar. Semoga kita menemukannya pada tahun ini. Amin.

Jelas kelihatan bagaimana Rejab dan Syaaban dijadikan sebegitu rupa agar berperanan sebagai kelas persediaan untuk memasuki madrasah Ramadan termasuklah yang baru kita tempuhi iaitu malam nisfu Syaaban yang mana Rasulullah SAW amat menghargainya dan tidak melepaskan peluang menghidupkannya dengan munajat dan qiam.

Ada kalangan para ulama yang berpandangan bahawa malam nisfu Syaaban berkedudukan di tangga kedua sebagai malam yang paling mulia di sisi Tuhan selepas lailatul qadar. Bersungguh-sungguh menghidupkan malam nisfu Syaaban turut bermakna kita mencalonkan nama-nama kita untuk 'meminang' lailatul qadar.

Di antara kebesaran dan kehebatan sesuatu perkara ialah banyaknya nama dan gelaran baginya. Nisfu Syaaban turut memiliki ciri ini. Ia digelar oleh para pemuka ulama dari kalangan salaf dan khalaf dengan pelbagai nama yang mulia termasuklah Lailah al-Barakah (Malam Keberkatan), Lailah al-Ghufran (Malam Pengampunan) dan Lailah al-'Itq min al Nar (Malam Pembebasan Dari Api Neraka) Lailah al Baraah (Malam Pelepasan).

Semua nama ini bukanlah gelaran kosong kerana memang perkara-perkara inilah yang ditawarkan dan diburu pada malam tersebut.

Merayu bantuan

Nisfu Syaaban adalah antara sebaik-baik malam untuk kita bermesra, mengadu hal dan merayu bantuan dan pertolongan Tuhan. Maka sudah menjadi kebiasaan para solehin umat ini mengikut jejak langkah Penghulu mereka yang telah meninggalkan contoh yang agung dalam memuliakan malam yang penuh mustajab dan berkat ini.

Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq ibn Humam daripada Ali ibn Abu Talib r.a daripada Nabi SAW bersabda: "Apabila tiba malam nisfu Syaaban, hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana Allah SWT menurunkan perintah-Nya pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari. Lalu Allah berfirman, "Adakah terdapat di kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Aku ampunkannya. Adakah terdapat di kalangan mereka yang memohon rezeki, maka akan Aku turunkan rezeki untuknya. Adakah di kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Aku sejahterakannya. Adakah di kalangan mereka begini dan adakah di kalangan mereka begini sehinggalah menjelangnya fajar". (Dikeluarkan oleh Ibnu Majah di dalam Sunannya)

Dikeluarkan oleh Imam al-Dar al-Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Aisyah r.a, beliau berkata: "Pada suatu malam, aku kehilangan Rasulullah maka aku pun keluar mencarinya dan aku menemui Baginda SAW di Baqi' sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda, "Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?" Aisyah berkata: Aku berkata, "Bukan begitu, wahai Rasulullah! Aku cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain". Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah SAW turun (menurunkan rahmat atau perintah-Nya) ke langit dunia pada malam nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab".

Al Dar Qutni telah meriwayatkan juga hadis Bakar ibn Sahl daripada Hisyam ibn 'Urwah daripada bapanya, daripada Aisyah r.a: "Malam Nisfu Syaaban adalah malam giliranku bersama Rasulullah SAW. Pada malam itu, Rasulullah SAW bermalam di sisiku. Tatkala tengah malam, aku kehilangan Baginda SAW dari alas tempat tidurku. Demi Allah! Alas kain tempat tidurku itu bukanlah kain bulu yang ditenun dengan sutera, atau kapas". Aisyah ditanya, "kain apakah itu?" Jawab Aisyah, "Ia adalah kain bulu dan isinya daripada bulu unta. Maka aku mencarinya di bilik-bilik isterinya yang lain tetapi aku tidak menemuinya. Lalu aku kembali semula ke bilikku, dan aku mendapati Baginda SAW seperti sehelai baju yang jatuh ke tanah sedang sujud dan Baginda SAW menyebut di dalam sujudnya: "Telah sujud kepada-Mu jasad dan wajahku, telah beriman denganMu kalbuku. Inilah tanganku dan jenayah ke atas diriku yang telah aku lakukan dengannya. Wahai Tuhan Yang Maha Besar yang diharapkan oleh segala yang besar! Ampunilah dosaku yang besar. Telah sujudlah wajahku kepada Allah yang menciptakannya, membentukkan rupa parasnya, memberikan pendengaran dan penglihatannya".

Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca: "Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. Tidak terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas Zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh saudaraku, Daud a.s: "Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan berhaklah baginya sujud kepada-Nya".

Kemudian Baginda SAW mengangkat wajahnya dan berdoa: "Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan tidak celaka".

Aku mendengar Baginda SAW membaca dalam sujudnya: "Aku memohon perlindungan dengan keampunan-Mu dari balasan azab-Mu dan aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada azab-Mu. Sungguh besar Zat-Mu yang tidak terhitung pujiannya ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas Zat-Mu".

Solat tasbih

Itulah suatu gambaran bagaimana Nabi kita SAW begitu menghayati dan memuliakan malam nisfu Syaaban. Sunnah baginda ini telah menyuntik inspirasi kepada para pemuka ulama umat ini untuk turut menghidupkan malam tersebut.

Selain itu, kita juga dianjurkan agar menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan solat tasbih. Menerusi hadis yang panjang itu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa solat tasbih adalah antara 10 perkara yang jika dilakukan akan mengampunkan dosa yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan disengajakan, yang kecil mahupun besar malah, yang dilakukan secara sembunyi atau terang-terangan.

Malah baginda SAW turut menyarankan agar kita menunaikan solat tasbih setiap hari, seminggu sekali, sebulan sekali, setahun sekali atau setidak-tidaknya seumur hidup sekali.

Menurut Sheikh Soleh al-Jaafari al-Azhari, mantan Imam Besar dan tenaga pengajar di Masjid al-Azhar, malam tersebut juga boleh dihidupkan dengan pelbagai jenis ibadah lain untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan berselawat ke atas Nabi SAW.

Namun Sheikh Salim al-Sanhuri al-Maliki lebih mengutamakan solat tasbih kerana galakan yang kuat daripada Nabi SAW kepada bapa saudaranya, al-Abbas r.a dan pahalanya yang amat besar.

Adalah amat tidak wajar jika kebiasaan sesetengah umat untuk menghidupkan malam tersebut dengan cara tertentu dijadikan pertikaian termasuk atas alasan cara tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Oleh kerana galakan Nabi SAW itu umum sifatnya maka terserahlah kepada umat untuk memilih cara yang paling baik sesuai dengan kemampuan mereka. Tidak peliklah misalannya jika mereka memilih untuk membaca surah yasin pada malam itu kerana surah tersebut adalah yang paling mudah dibaca oleh kebanyakan orang dan pada masa yang sama adalah antara surah yang teristimewa dalam al-Quran.

Alasan bahawa Rasulullah SAW tidak melakukannya tidak semestinya menunjukkan ke atas pengharaman sesuatu kerana kaedah syariat ada al-Tarku la yuntiju Hukman yang bermaksud bahawa setiap perkara yang ditinggalkan oleh Nabi SAW tidak membawa implikasi hukum.

Oleh itu apa-apa yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda SAW yang tidak bercanggah dengan syarak dan tidak disertai larangan daripada Baginda SAW, tidaklah menunjukkan pengharamannya.

Menerusi sekian banyak hadis dan athar yang merakamkan bagaimana Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh yang lain memburu peluang menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan berdoa dan beribadat kepada Allah SWT, jelas kepada kita tentang keistimewaan dan kelebihan malam yang penuh berkat ini.

Bagi mereka yang telah ditaufiqkan menghidupkannya pada tahun ini, tahniah kita ucapkan dan semoga amalan mereka ditempatkan ditempat yang mulia di sisi Tuhan, rabbul jalil.

Bagi mereka yang ketinggalan atau tertinggal pada kali ini, wajarlah mereka merasa kesal dan menyesal di atas kelalaian mereka itu. Mungkin sahaja jika kekesalan mereka itu benar-benar jujur dan mendalam ia akan turut melayakkan mereka mendapatkan ganjaran seolah-olah mereka telah pun turut memuliakan malam tersebut.

Semoga kedua-dua kelompok ini akan dikira layak untuk memuliakan malam ini di tahun-tahun mendatang serta dipilih untuk menjadi calon-calon terbaik untuk lailatul qadar dan madrasah Ramadan yang bakal tiba. Amin ya rabbal alamin.

Monday, August 3, 2009

Demonstrasi Jalanan Mengundang Permasalahan.



Pada 01/08/2009, negara kita dikejutkan dengan tindakan agresif rakyat Malaysia berdemo untuk menuntut keadilan. Tujuan demonstrasi adalah untuk menuntut agar perundangan ISA dimansuhkan dengan berarak ke istana negara bagi menyerahkan memo kepada Yang DiPertuan Agong.
Undang-undang ISA yang digunapakai di negara kita ini sebenarnya sudah terlalu lama maka kerajaan telah menyatakan untuk mengkaji semula undang-undang tersebut. Apakah dengan cara berdemonstrasi akan menyelesaikan masalah? Apakah implikasi demonstrasi ini kepada negara?
Sebenarnya rakyat tidak perlu berdemonstrasi kerana hanya nak menyerahkan memo kepada Yang DiPertuan Agong.Cukuplah dengan menghantar beberapa wakil baik dari pertubuhan parti politik ataupun NGO untuk menyampaikan hasrat mereka. Wakil-wakil ini juga boleh mendapatkan tanda-tangan daripada rakyat yang bersetuju agar undang-undang ISA ini dimansuhkan.
Apabila dilakukan demonstrasi jalanan, banyak implikasi yang buruk terjadi. Para peniaga terpaksa menutup premis perniagaan mereka, manakala orangramai yang tidak berdosa pula terjebak dengan permasalahan ini. Sememangnya undang-undang ISA ini perlu dikaji semula namun berdemonstrasi bukanlah satu jalan penyelesaiannya kerana terlalu banyak implikasi buruk yang terjadi.