Thursday, August 27, 2009

Amalan Menjadi Budaya.

Apabila datang bulan Ramadhan apakah budaya yang seringkali kita lihat di kalangan umat Islam di negara kita? Budaya yang saya maksudkan ialah budaya mengerjakan solat Tarawikh secara "melepaskan batuk di tangga".
Seperti tahun-tahun kebelakangan yang lalu, masjid-masjid akan dipenuhi oleh umat Islam untuk mengejakan solat Tarawikh secara berjemaah. Apabila selesai sahaja 8 rakaat, maka berpusu-pusulah mereka keluar meninggalkan saf, keluar dari masjid tanpa ada apa-apa keperluan untuk dilakukan. Ada yang tersadai di luar masjid menjamu selera sambil berbual-bual kosong dan ada juga yang bersantai di warong-warong kopi. Apakah mereka ini mengerti tentang menghidupkan malam Ramadhan dengan beribadah dengan sepenuh hati? Cara perlaksanaan ibadat ini seolah-olah hanyalah cara ikut-ikutan asalkan tidak dikutuk oleh teman-teman kerana tidak bertarawikh.
Memang benar ada kekhilafan dalam mengerjakan solat Tarawikh samada 8 rakaat ataupun 20 rakaat.Namun apabila dilihat fenomena meninggalkan saf setelah selesai 8 rakaat, seolah-olah hanyalah beribadah seperti "melepaskan batuk di tangga", asal buat sudahlah.....kata mereka.
Walaubagaimana pun, bagi puak-puak yang mengatakan mengerjakan solat Tarawikh 8 rakaat itu sebagai sunnah Rasulullah, ternyata mereka silap kerana Rasulullah s.a.w tidak pernah mengekalkan solat Tarawikh secara berjemaah sehingga akhir Ramadhan.Ini cumalah alasan bagi mereka-mereka yang malas untuk terus beribadah dengan seikhlas hati.
Yang lebih pelik sekali, ada yang hanya datang untuk solat Tarawikh berjemaah setelah jemaah selesai mengerjakan solat Isya' secara berjemaah.Nampaknya mereka lebih mengutamakan solat sunat berjemaah daripada mengerjakan solat fardhu secara berjemaah.Inilah dia dikatakan budaya orang kita yang beribadah secara ikut-ikutan tanpa mengerti tentang pengisian Ramadhan itu sendiri.

No comments: