Saturday, August 15, 2009

Artis Melayu Islam Ambil Iktibar.

Pemergian Ustaz Asri Ibrahim ke rahmatullah dalam usia yang agak muda mengejutkan banyak pihak terutamanya rakan-rakan artis yang mengenali beliau secara rapat. Namun itulah ketentuan Illahi dan tiada siapa yang dapat menghalang kehendak Illahi. Sesungguhnya Allah amat menyayangi beliau dan kita tidak tahu segala hikmah yang terkandung di sebaliknya.
Bagi saya, Allahyarham Ustaz Asri bukanlah seorang penghibur, tetapi beliau adalah seorang pendakwah yang bijak menyampaikan dakwahnya dalam lagu. Jika diamati pada bait-bait lagu yang dinyanyikan oleh beliau seperti "Pergi Tak Kembali", sebenarnya membawa mesej kesedaran kepada umat Islam. Begitu juga dengan lagu-lagu yang memuji keagungan Rasulullah s.a.w, sebenarnya mengajak umat Islam sama-sama berselawat tidak kira dalam bentuk apa jua penyampaiannya.
Seharusnya rakan-rakan artis Melayu yang beragama Islam mengambil iktibar dengan pemergian beliau dalam usia muda. Janganlah hanya menyebut "satu kehilangan besar dalam industri hiburan", tetapi sebutlah ia sebagai "sebutir mutiara yang menyampaikan dakwahnya melalui lagu perlu dicontohi". Apa guna kalau menjadi penghibur yang melalaikan umat Islam dengan lagu-lagu yang mengasyikkan tentang keduniaan. Berjoget, berdansa, terpekik terlolong tak bermesej langsung, apakah itu cara Islam?
Sedarlah wahai artis-artis Melayu Islam semua. Kamu juga akan dijemput kelak oleh Allah swt tetapi apakah yang nak kamu jawab nanti kepada Allah tentang persembahan kamu nanti. Dengan pakaian yang menjolok mata, mendedahkan aurat, bercampur gaul dengan yang bukan muhrim, apakah itu yang kamu banggakan?Tanyalah pada diri kamu sendiri apakah faedahnya kamu berketerampilan sedemikian? Cukuplah dengan artis yang bukan Islam dengan cara mereka dan janganlah kamu meniru tingkah laku mereka yang sesat.
Semoga Allah memberi rahmatNya ke atas roh Almarhum Ustaz Asri yang telah berjuang menegakkan syiar Islam dengan penyampaian berlagu. Inilah dia insan yang sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada semua artis-artis yang mengaku Islam.

No comments: