Wednesday, September 30, 2009

Cinta Dunia.

"Bersabda Rasulullah s.a.w,"Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah"-Riwayat Ibnu Majah.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya,"Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukuman.-Riwayat al-Tirmidzi.
Diriwayatkan oleh Tsauban r.a. katanya, "Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara yakni yang menjadi penghubung antara keduanya".-Riwayat Ahmad.
Ibnyu "Umar r.a meriwayatkan katanya,"Bersabda Rasulullah s.a.w,"Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka".-Riwayat ath-Thabrani.

Terlalu banyak hadis yang menerangkan tentang keburukan melakukan rasuah, samada pemberi ataupun penerima.Begitu juga dengan amaran Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 188 berkaitan dengan rasuah.Namun segala amaran Allah dan Rasulullah s.a.w dipandang sepi oleh masyarakat Islam yang cintakan dunia.
Pilihanraya kecil Bagan Pinang yang akan diadakan tidak lama lagi diwakili oleh Tan Sri Isa Samad (Bekas MB N. Sembilan selama 22 tahun) sebagai calon bagi pihak kerajaan pemerintah. Beliau pernah digantung dan disabitkan dengan kesalahan rasuah bagi pemilihan UMNO pada tahun 2004. Namun bagi beliau seperti tiada apa kesalahan yang berlaku kerana telah menerima hukuman sebelum ini. Itu hukuman dunia, bagaimana pula dengan hukuman akhirat!!!
Nampaknya calon ini masih lagi ingin menjadi wakil rakyat walaupun sudah bergelar Menteri Besar selama 22 tahun. Apakah sebenarnya yang dicari? Apakah tidak cukup lagikah dengan memegang tampuk pemerintahan selama 22 tahun di Negeri sembilan? Nampaknya kecintaan kepada duniawi terlalu kuat untuk menjadi seseorang yang berpengaruh.Sikap untuk mengundurkan diri bagi menghabiskan sisa-sisa hidup yang ada untuk mengabdikan diri kepada Allah langsung tak terdetik di benak hati kita. Maklum sajalah, sewaktu kita berjawatan tinggi, kita terlalu sibuk dengan kerja dunia, mesyuarat sana-sini, perasmian sana-sini, lawatan sana-sini dan sebagainya. Apalah salahnya dengan umur yang berbaki inilah kita nak habiskan masa untuk berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau seperti apa yang dilakukan oleh Allahyarham Dato' Haji Abd Rahim Bakar (Bekas MB Pahang).
Allahyarham Dato' Hj. Abd. Rahim Bakar adalah pemimpin contoh yang perlu ada kepada pemimpin-pemimpin sekarang, baik dari UMNO,PAS ataupun PKR. Allahyarham adalah seorang yang disegani dan disanjung oleh kawan dan lawan. Kecintaan kepada dunia langsung tidak ada pada diri beliau apatah lagi untuk terus-menerus mengejar pangkat dan kedudukan. Sepatutnya sebagai pemimpin yang pernah menerajui tampuk pemerintahan selama 22 tahun di Negeri Sembilan tahu menilai diri sendiri tanpa disuruh untuk berundur.

Monday, September 28, 2009

Perlis Dah Lama Di Wahabikan.

Pusat Kegiatan Wahabi Di Kuala Pilah Solat Raya.

Arahan pertukaran beberapa orang imam di Perlis baru-baru ini telah mencetuskan tanggapan mengenai kemungkinan wujudnya usaha untuk memperluaskan fahaman 'Sunnah Perlis' atau 'Salafi' yang pada masyarakat umum, dikenali sebagai Wahabi.

Walaupun negeri-negeri di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafie dalam pengamalan fekah masing-masing, tetapi Perlis merupakan satu-satunya negeri yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab, sebaliknya menggunapakai hujah yang terkuat daripada keempat-empat mazhab utama bagi mengeluarkan sesuatu hukum.

Perdebatan agama sentiasa tercetus di negeri itu ekoran terdapat fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan dalam fahaman 'Sunnah Perlis; antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah, tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh, manakala bacaan bismillah sebelum bacaan al-Fatihah dalam solat, dibaca secara perlahan, berbanding yang diamalkan dalam Mazhab Shafie.

ulasan: Ini adalah sedikit petikan yang dipaparkan oleh Malaysiakini.com. Sebenarnya dah lama dah fahaman Wahabi ini diamalkan di negeri Perlis dan ia juga cuba dikembangkan ke negeri-negeri lain. Contohnya di Selangor, beberapa surau cuba diWahabikan oleh penceramah-penceramah yang tidak bermahzab dan mereka cuba melebarkan fahaman ini melalui pendidikan di sekolah-sekolah.
Di Negeri Sembilan tempat fahaman ini dikembangkan ialah di I'tiba as-Sunnah, Kg Parit Kuala Pilah. Ustaz-ustaz yang berfahaman sebegini dijemput untuk mengWahabikan penduduk setempat dengan slogan "Berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah". Pihak jabatan agama seperti JAKIM perlu memantau pengaruh yang memecah-belahkan kesatuan umat Islam. Bagi mereka-mereka yang tidak mengikut fahaman sebegini akan dituduh oleh mereka sebagai mengamalkan perkara bida'ah, melakukan kesyirikan dan sebagainya. Cegah sebelum parah kerana amalan mereka ini bukanlah "sunnah nabi" seperti yang diwar-warkan, tetapi hanyalah "sunnah Perlis"( seperti yang ditulis dalam Malaysiakini).

Sunday, September 27, 2009

Yang Asli Dan Yang Palsu.

Lemang Palsu.
Lemang Asli (Original)

Apabila tiba Hari Raya, makanan yang sinonim dengan masyarakat Melayu di negara ini ialah hidangan lemang dan rendang. Kesempatan berniaga lemang ini digunakan untuk memperolehi pendapatan sampingan disebabkan permintaan yang tinggi oleh masyarakat setempat. Namun ada juga yang tidak jujur dalam menjalankan perniagaan lemang ini. Contohnya di bandaraya Kuala Lumpur sendiri, ramai di antara peniaga hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Amat sukar sekali untuk kita mencari lemang yang betul-betul asli untuk dijadikan santapan Hari Raya.
Kebanyakan peniaga menggunakan kaedah merebus lemang terlebih dahulu di dalam tong yang berisi air panas sebelum dijual kepada pelanggan. Lemang tersebut kemudian dipanaskan semula pada bara api yang telah disediakan dan ini adalah gimik penjual semata-mata. Untuk mengetahui keaslian dan kepalsuan lemang tersebut, kita boleh lihat gambar di atas. Daun pisang dari lemang yang palsu akan bertukar kekuningan akibat direbus lemang tersebut terlebih dahulu. Daun pisang juga tidak berminyak dan ia juga tidak mudah melekat pada lemang. Ada di antara pelanggan yang tertipu dengan muslihat peniaga sebegini. Namun demi mencari keuntungan duniawi, soal tipu atau tidak, tidak lagi diperdulikan oleh para peniaga. Sesungguhnya pada hari yang penuh barakah ini, ramai peniaga yang mencari rezeki dengan cara yang tidak berkat.

Friday, September 25, 2009

Perginya Seorang Pemimpin Rakyat. (Dato' Hj Abd Rahim Bin Hj Abu Bakar)


KUALA LUMPUR- – Bekas Menteri Besar Pahang Datuk Abdul Rahim Abu Bakar meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Thant di sini pukul 7.10 malam dipercayai akibat serangan jantung. Allahyarham berusia 66 tahun.
Datuk Abdul Rahim merupakan seorang pemimpin, penasihat, sahabat yang sukar dicari ganti selepas kehilangannya. Sepanjang kehidupannya, beliau adalah seorang yang senantiasa berjemaah di masjid pada waktu solat fardhu. Pemergian beliau amat dirasai oleh jemaah Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan kerana keramahannya bergaul tak kira dengan siapa sahaja. Banyak cetusan idea yang dikemukakan oleh Allahyarham kepada penulis untuk pembaikan Masjid Ar-Rahimah. Allahyarham diura-urakan akan dilantik sebagai Pengerusi Masjid Ar-Rahimah namun Allah swt lebih menyayangi beliau lalu menjemputnya ketika beliau sedang menunggu azan untuk berbuka puasa sunat. Kali terakhir beliau berjemaah ialah pada waktu Asar sebelum beliau pergi menemui Illahi pada petangnya. Allahyarham masih lagi sempat berseloroh apabila ditanya tentang kesihatannya, tanpa ada tanda-tanda menunjukkan beliau akan pergi buat selama-lamanya. Walaupun Allahyarham seorang yang sibuk dengan tugas-tugas yang diamanahkan, namun Allahyarham tidak pernah lalai untuk melazimkan dirinya berjemaah di masjid dan surau setiap waktu solat. Allahyarham juga amat disegani oleh parti pembangkang kerajaan kerana sikapnya yang tidak mencampur-adukkan hal-hal politik dalam soal beribadat. Sikap warak dan tawaduk yang ditunnjukkan oleh beliau sepatutnya menjadi contoh kepada pemimpin-pemimpin politik yang lain.
Sesungguhnya seluruh penduduk Kampung Pandan khasnya jemaah Masjid Ar-Rahimah merasa satu kehilangan besar seorang pemimpin yang jujur, amanah serta seorang insan yang senantiasa merendah diri. Al-Faqir turut serta memandikan jenazah Allahyarham dan dapat sama-sama menunaikan Solat jenazah serta mengiringi Allahyarham ke kuburnya di Ampang.Semoga Allah swt mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarham dan dimasukkan bersama-sama orang yang beriman. Al-Fatihah.

Monday, September 21, 2009

Tewas Di Hari Raya.

Madrasah Ramadhan yang ditempuhi oleh kebanyakan umat Islam akhirnya menemui kegagalan di Hari Raya Idilfitri. Keseronokan menyambut malam Hari Raya hinggalah keesokan harinya diraikan bukan dengan sikap ketakwaan seorang hamba yang berjaya.
Pada malam Hari Raya, umatIislam sibuk memuji keagungan Allah swt dengan bertakbir, bertasbih dan bertahmid, namun ada yang alpa dengan kesibukan melayan kerenah anak-anak dengan mainan bunga api dan mercun. Keesokan harinya masing-masing terlalu sibuk merayakan hari yang penuh barakah dengan berjalan ke sana ke mari hingga melupakan tanggungjawab sebagai umat Islam untuk menunaikan solat fardhu. Manakala media-media elektronik pula sibuk melalaikan umat Islam dengan hiburan yang tak berkesudahan dari pagi hinggalah ke malam hari. Berbagai rancangan yang penuh alpa disajikan agar manusia menjadi lalai dengan tuntutan ziarah-menziarahi, lalai dengan solat kerana takut terlepas peluang menonton rancangan-rancangan yang disajikan. Pengacara-pengacara telivisyen yang berpesan agar umat Islam menginsafkan diri di hari yang mulia, namun pada masa yang sama mengajak umat Islam menonton rancangan-rancangan yang melalaikan. Adakan ini caranya sambutan Hari Raya ditafsirkan? Hari Raya adalah hari kemenangan umat Islam malawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan ditafsirkan dengan kegembiraan berupa hiburan-hiburan yang penuh dengan kelalaian. Akhirnya bukanlah kemenangan yang berpihak kepada umat Islam, tetapi sebenarnya hanyalah ketewasan yang menurut hawa nafsu dalam merealisasikan Hari Raya itu sendiri.

Friday, September 18, 2009

Selamat Tinggal Ramadhan, Selamat Tinggal Masjid.

Tinggal sehari sahaja lagi umat Islam akan berpuasa dalam bulan Ramadhan iaitu pada Hari Sabtu 19/09/09. Pada Hari Ahad 20/09/09, semua umat Islam akan menyambut Hari Raya Idilfitri. Nampaknya di penghujung Ramadhan ini masjid-masjid mulai lengang, mungkin ramai di antara warga kota yang pulang ke kampung. Namun tak mungkin semua balik kampung sampai setahun? Ini disebabkan bila tiba Ramadhan barulah masjid-masjid dikunjungi oleh umat Islam. Selepas Hari raya nanti, tengoklah, hanya dua atau tiga saf aja jemaah dalam satu-satu masa.
Dalam masa bulan Ramadhan kali ini, saya membuat satu penelitian agak terperinci, kenapakah masjid-masjid agak kosong selepas ini. Mungkin penelitian yang saya buat ini agak kurang betul namun ia juga boleh dijadikan satu alasan, kenapakah masjid-masjid kurang dikunjungi. Rupa-rupanya kemesraan di antara para jemaah dengan jemaah, antara petugas masjid dengan jemaah, sikap berpuak-puak dan sebagainya menjadi sebab musabab kenapakah masjid kurang dikunjungi. Berbeza dengan tempat ibadat yang bukan Islam seperti di gereja seperti yang kita tonton di dalam kaca telivisyen, kemesraan di antara mereka terpancar begitu hebat sekali.
Adakalanya sikap berpuak-puak di dalam masjid menjadikan kita tidak begitu senang. Manakan tidak, bila nak bersalam untuk berpisah langsung tak ada rasa silaturrahim, jika orang yang bersalam dengan kita memandang dan berbuial-bual dengan orang lain. Orang yang kita salam bukanlah musuh, tetapi disebabkan kita bukanlah di kalangan kroninya maka salam tak payahlah nak pandang-pandang muka. Ini termasuklah petugas-petugas masjid sendiri yang merasa sudah hebat hinggakan tak menghiraukan jemaah yang bukan gengnya.
Jika inilah sikap yang ditunjukkan oleh umat Islam yang menjadi petugas di masjid-masjid, maka tahulah saya kenapakah masjid-masjid senantiasa lengang tak seperti rumah ibadat yang bukan Islam. Kalau yang jadi Imam, yang jadi Bilal pun susah nak senyum, maka lupakan sajalah hasrat untuk menrik orangramai datang ke masjid.

Wednesday, September 16, 2009

Sepandai-Pandai Tupai Melompat.


Abd. Kahar ditangkap sewaktu bersarapan ( Si Gila Yang Tak Berpuasa)

Abdul Kahar ditahan pasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 9.45 pagi tadi di Sungai Long, Kajang.
Akhirnya Abd. Kahar yang mengaku sebagai Rasul Melayu dapat diberkas untuk dibicarakan. Sebaik-baiknya pihak berkuasa jangan lepaskan si Malaun ini kerana ternyata beliau kaki penipu malah menyesatkan umat Islam di negara kita. Biarkan dia duduk di dalam penjara dan jangan dihiraukan rayuan Kahar ini. Tahniah kepada JAIS kerana setelah lebih 3 tahun menjejaki Kahar, akhirnya dapat juga memberkas. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah jua.

Sunday, September 13, 2009

Orang Islam Malaysia Semakin Maju.

Tahniah kepada salah seorang anak Melayu Islam negara kita di atas perlantikannya sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat arak terbesar di Filipina. Sebelum ini ada juga anak Melayu Islam yang menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat arak Carlsberg. Anak Melayu Islam tersebut adalah dari kalangan orang istana. Namun kali ini adalah anak salah seorang bekas Perdana Menteri.
Nampaknya pencapaian anak Melayu Islam negara kita semakin memberangsangkan. Mungkin disebabkan dengan konsep Islam Hadhari maka segala-galanya halal belaka. Ucapan tahniah ini bukanlah dari saya, tetapi adalah ucapan dari Iblis-Iblis dan Syaitan-Syaitan yang ada. Mereka kagum dan bangga apabila ada anak Melayu Islam berjaya diangkat sebagai orang yang bertanggung-jawab memperluaskan lagi penyebaran arak ini serata dunia. Maka dengan itu mudak sikitlah kerja Iblis ni sebab dah ada pembantu. Tahniah anak Melayu Islam, kita juga boleh maju macam orang kafir tak kira apa bidang sekali pun. Soal halam haram belakang kira, janji masyukkkkkk........

Sunday, September 6, 2009

Tarawikh Oh Tarawikh!!!!!!!!

Saban tahun perkara yang sama akan berlaku dalam bulan Ramadhan khasnya dalam menjalankan ibadah solat Tarawikh di masjid. Ia seolah-olah sudah menjadi satu trend di mana masjid-masjid mulai lengang apabila memasuki 2 minggu Ramadhan. Syaitan dan Iblis sudah ditambat agar tidak menggangu-gugat umat Islam untuk beribadat, namu nafsu masih lagi mengawal keadaan menggantikan tempat Syaitan dan Iblis.
Yang lebih malang lagi ada di antara mereka yang langsung tidak terdetik di hati untuk mengimarahkan masjid-masjid dan surau-surau dalam bulan yang penuh dengan seribu rahmat ini. Berbagai-bagai alasan yang diberi agar diri terlepas daripada mengunjungi masjid-masjid dan surau-surau untuk sama-sama berjemaah solat Tarawikh. Ada yang beralasan ianya solat sunat, kenapa nak kecoh-kecoh. Ada pula yang berkata, alahai...Tarawikh boleh buat di rumah sendirian macam Nabi pernah buat.(entahkan buat entahkan tidak).
Kenapakah fenomena ini masih berlaku dalam masyarakat kita? Jawapan yang pernah saya berikan kepada sahabat-sahabat yang bertanya tentang hal ini ialah, mereka-mereka ini tidak pernah melazimkan diri untuk berjemaah di masjid-masjid sewaktu bulan-bulan yang lain. Maka mereka akan merasa gelisah apabila berada lama sedikit di masjid, apatah lagi nak bertarawikh yang banyak rakaatnya.
Nampaknya masih belum ada kesedaran di hati mereka-mereka ini walaupun berbagai-bagai peristiwa yang tak terjangkau dalam akal fikiran kita sudah ditunjukkan oleh Allah swt.Musibah, bala bencana, kiamat kecil, penularan wabak penyakit dan macam-macam lagi, namun kekerasan hati mereka masih belum lagi dapat dilembutkan. Ini disebabkan kurangnya zikir untuk melembutkan hati yang keras. Apakah cukup amal yang kita lakukan ini dengan hanya beralasan itu dan ini? Jika Allah swt tidak pernah berkira dengan hambaNya, kenapakah hambaNya terlalu berkira denganNYa. Kalau nak dihitung amal yang kita lakukan di dunia ini, rasanya masih belum cukup lagi untuk membayar nikmat sebelah mata yang dianugerahkan oleh Allah swt kepada kita. Apa lagi untuk kita membeli syurga Allah dengan amal kita yang sedikit ini. Semoga Allah swt memberi rahmatNya, kasih sayangNya dan kesihan dengan hambaNya di bulan yang mulia ini.

Thursday, September 3, 2009

Tindakan Bodoh,Biadab,Tak Bertamadun.



Konon-kononnya nak tunjuk kita ini Islam dan memperjuangkan Islam. Islam ajar cara begini ke?Sungguh tak sangka apabila golongan yang mendiami kawasan agak elit yang terdiri daripada mereka-mereka yang berpelajaran bertindak bodoh,biadab dan tak bertamadun sekali sanggup melakukan perkara sebegini.
Insiden ini dilakukan oleh segelintir penduduk di Seksyen 23 Shah Alam yang ingin menunjukkan bantahan terhadap pembinaan kuil di kawasan mereka. Kuil yang ingin dibina adalah untuk memudahkan penganut agama Hindu melakukan ibadat mereka. Kenapa pula mereka-mereka ni yang sibuk?
Adalah lebih baik mereka-mereka ini mengimarahkan masjid yang ada di kawasan mereka setiap kali waktu solat, kalaulah nak tunjukkan kita ini Islam sejati. Bila dah ada masjid di kawasan mereka, nak ke mereka-mereka ni pergi berjemaah setiap waktu terluang? Kuil yang hendak dibina tidak ada kena mengena dengan mereka-mereka ini, kenapakah mereka begitu gusar sekali? Agaknya mereka-mereka ini takut malu jika dilihat kuil lebih ramai dipenuhi oleh penganut beragama Hindu daripada masjid. Seringkali kita lihat masjid lengang sewaktu solat fardhu kecualilah solat Jumaat, solat Hari Raya dan solat Tarawikh.Yang jadi mangsa ialah kepala lembu diarak ke sana kemari sehinggakan tidak menghormati kepada makhluk ciptaan Allah. Nampaknya mereka-mereka ini lebih bodoh daripada lembu itu sendiri kerana lembu tidak pernah melakukan sedemikian rupa ke atas manusia. Malah lembu sering dimanafaatkan oleh manusia untuk berbagai-bagai tujuan.Tak cukup dengan itu, dinding dan paip air diconteng-conteng. Rupa-rupanya inilah guru-guru kepada budak-budak yang suka melakukan vandalisme di negara kita.Kalau bapak dah ajar anak conteng dinding bila nak membantah sesuatu, maka jangan salahkan anak-anak bila ikut perangai buruk kita. Ini disebabkan kita dah ajar anak-anak dengan tindakan bodoh, biadab dan tak bertamadun.