Friday, September 25, 2009

Perginya Seorang Pemimpin Rakyat. (Dato' Hj Abd Rahim Bin Hj Abu Bakar)


KUALA LUMPUR- – Bekas Menteri Besar Pahang Datuk Abdul Rahim Abu Bakar meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Thant di sini pukul 7.10 malam dipercayai akibat serangan jantung. Allahyarham berusia 66 tahun.
Datuk Abdul Rahim merupakan seorang pemimpin, penasihat, sahabat yang sukar dicari ganti selepas kehilangannya. Sepanjang kehidupannya, beliau adalah seorang yang senantiasa berjemaah di masjid pada waktu solat fardhu. Pemergian beliau amat dirasai oleh jemaah Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan kerana keramahannya bergaul tak kira dengan siapa sahaja. Banyak cetusan idea yang dikemukakan oleh Allahyarham kepada penulis untuk pembaikan Masjid Ar-Rahimah. Allahyarham diura-urakan akan dilantik sebagai Pengerusi Masjid Ar-Rahimah namun Allah swt lebih menyayangi beliau lalu menjemputnya ketika beliau sedang menunggu azan untuk berbuka puasa sunat. Kali terakhir beliau berjemaah ialah pada waktu Asar sebelum beliau pergi menemui Illahi pada petangnya. Allahyarham masih lagi sempat berseloroh apabila ditanya tentang kesihatannya, tanpa ada tanda-tanda menunjukkan beliau akan pergi buat selama-lamanya. Walaupun Allahyarham seorang yang sibuk dengan tugas-tugas yang diamanahkan, namun Allahyarham tidak pernah lalai untuk melazimkan dirinya berjemaah di masjid dan surau setiap waktu solat. Allahyarham juga amat disegani oleh parti pembangkang kerajaan kerana sikapnya yang tidak mencampur-adukkan hal-hal politik dalam soal beribadat. Sikap warak dan tawaduk yang ditunnjukkan oleh beliau sepatutnya menjadi contoh kepada pemimpin-pemimpin politik yang lain.
Sesungguhnya seluruh penduduk Kampung Pandan khasnya jemaah Masjid Ar-Rahimah merasa satu kehilangan besar seorang pemimpin yang jujur, amanah serta seorang insan yang senantiasa merendah diri. Al-Faqir turut serta memandikan jenazah Allahyarham dan dapat sama-sama menunaikan Solat jenazah serta mengiringi Allahyarham ke kuburnya di Ampang.Semoga Allah swt mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarham dan dimasukkan bersama-sama orang yang beriman. Al-Fatihah.

No comments: