Wednesday, October 21, 2009

Ini Baru Hukum Dunia.......

Kahar Ahmad (berbaju kuning)

Ketua ajaran sesat "Rasul Melayu", Abdul Kahar Ahmad hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad turut memerintahkan Abdul Kahar, 59, dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu pada enam bulan terakhir pelaksanaan hukuman penjara itu.

Mahkamah memerintahkan agar hukuman bagi kelima-lima kesalahan itu dijalankan secara berasingan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 16 September lalu.

Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam kali sebatan bagi tuduhan di bawah Seksyen 7 iaitu menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar sahaja dan ibadah Haji sekarang ini adalah sia-sia dan merugikan.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi kesalahan mengisytiharkan diri sebagai Rasul Orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam, mengikut Seksyen 8 (a).

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 10 iaitu mempersendakan dengan perkataan amalan yang berhubung dengan Agama Islam iaitu menyatakan: "Sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran ini adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang tonggek dan membebel seorang-seorang."

ulasan: Dah kena tangkap baru kata dah insaf. Itulah dia taktik si Kahar ni nak melepaskan diri. Selama ni bukan main lagi si Kahar berhujah kononnya Surah Yasin turun kepadanya. Orang jahil bagaimana sekalipun nak mengaku wali pun takut, inikan mengaku Rasul. Si Kahar ni ingat semua orang bodoh macam pengikut-pengikut setianya? Kalau di negara Arab, dah lama situa ni kena hukum bunuh. Daripada hidup menambahkan dosa-dosa besar sanbil menyesatkan orang lain, lebih baik mati aja kamu ni. Mana dia pengikut-pengikut kamu yang setia dengan kamu, boleh sama-sama menjalani hukuman, sekurang-kurangnya duduk di penjara nanti ada juga ruang untuk kamu bertaubat. Kalau masih tak sedar diri juga tak tahulah jenis manusia apa kamu ni. Berapa banyak waktu solat yang kamu tinggalkan?Berapa banyak pula puasa yang kamu nak qada'? Jangan ingat agama Islam ni agama main-main, suka-suka hati kamu nak mendakwa jadi Rasul. Yang akan kamu hadapi ini cuma hukum dunia sahaja, fikir-fikirkanlah dengan azab kubur dan balasan dari Allah swt di Padang Masyar nanti.

Monday, October 19, 2009

Negara Maju, Rakyat Turut Maju..........


KUALA LUMPUR: Amalan seks bebas di kalangan remaja pada masa ini boleh dianggap memasuki zon kritikal apabila data dikumpul daripada dua rumah perlindungan wanita di Lembah Klang mencatatkan 2,701 kes kehamilan luar nikah sejak 1996 sehingga September lalu.

Jika diambil kira statistik rumah perlindungan lain di seluruh negara, kes yang tidak dilaporkan dan kejadian buang bayi yang berlaku hampir setiap hari, angka sebenar remaja hamil luar nikah pasti meningkat berlipat kali ganda.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, berkata sejak beliau membuka rumah perlindungan itu 21 tahun lalu yang secara khusus menguruskan kebajikan wanita hamil luar nikah, secara purata 191 bayi tak sah taraf dilahirkan di Kewaja setiap tahun atau 16 bayi sebulan.

“Lebih membimbangkan, ketika jumlah kes yang saya kendalikan meningkat, usia wanita hamil luar nikah itu makin menurun kerana ada yang baru berusia 15 tahun,” katanya.

ulasan: Petikan di atas adalah laporan muka hadapan Harian Metro yang disiarkan pada 18/10/09. Inilah akibat kalau terlampau maju sehinggakan tiada batas pergaulan di antara kaum Adam dan Hawa yang bukan muhrim. Disebabkan terlalu banyaknya ruang-ruang untuk melakukan maksiat yang disediakan maka tidak hairanlah jika perkara sebegini menjadi-jadi.

Konsep negara maju yang sering dilaung-laungkan seolah-olah cuba meniru cara hidup negara barat yang tidak membataskan pergaulan lelaki dan wanita. Ruang-ruang untuk berpeleseran seperti taman-taman rekreasi yang dibuka juga di waktu malam digunakan oleh penggemar maksiat. Ini tidak masuk lagi dengan konsert-konsert seperti sambutan kemerdekaan, sambutan Tahun Baru, konsert jom heboh, konsert-konsert yang menjemput artis barat dan sebagainya, adalah ruang maksiat yang disediakan oleh pihak berwajib. Pengendali rancangan-rancangan hiburan seperti Malaysian Idol, Geng Starz, Akedemi Fantasia, Mentor dan macam-macam lagi ruang hiburan yang membolehkan anak-anak muda masakini berpeleseran dengan teman-teman mereka sehingga terjerumus ke kancah maksiat.

Memang benar jika peranan ibu-bapa dilihat begitu penting untuk mendidik anak-anak mereka supaya menjadi anak-anak yang soleh. Namun jika ibu-bapa juga turut dilalaikan dengan program-program hiburan yang terlampau melalui saluran-saluran televisyen, maka terlalu mudahlah puak Iblis untuk menyesatkan anak-anak mereka pula. Jika dikaji, berapa ramai ibu-bapa yang turut menonton Akedemi Fantasia, Jangan Lupa Lirik, Mentor, Konsert Jom Heboh dan sebagainya, maka kita akan mendapati statistik penonton Melayu Islam amat menggalakkan. Ibu-bapa di rumah menonton, manakala anak-anak pula menonton secara "live" bersama teman-teman mereka.

Kita tidak hairan jika suatu hari nanti, anak-anak yang lahir tanpa pernikahan ini semakin bertambah jumlahnya jika ruang-ruang maksiat tidak dibendung dengan baik. Mungkin pada satu hari nanti jumlah mereka akan membolehkan kita mewartakan satu kawasan parlimen yang baru untuk anak-anak sebegini.

Monday, October 12, 2009

Elak Berdebat Perkara Furu'.


ISLAM adalah agama yang syumul dan lengkap. Jika manusia dapat mengikuti agama itu dengan khusyuk dan tertib, ia akan membawa kepada kecemerlangan.
Namun, kebanyakan umat Islam lebih cenderung mengambil bahagian-bahagian tertentu yang menguntungkan mereka dan membesarkan sesuatu yang dianggap remeh.
Akibatnya, umat Islam bercakaran sesama sendiri hanya disebabkan isu yang kecil seperti hukum menyimpan janggut, talqin di atas kubur dan membaca doa qunut.
Berbeza pandangan mengenai sesetengah perkara adalah biasa kerana ulama juga mempunyai perbezaan pendapat tetapi ia tidak sampai menjejaskan keutuhan Islam.
Di Malaysia walaupun perbalahan mengenai sesuatu perkara dalam Islam masih terkawal, ia perlu kepada tindakan segera bagi menyatukan semula hati-hati yang menunjukkan riaki terpisah.
Lebih malang apabila perkara yang dibincangkan itu tidak langsung membina tamadun Islam yang lebih gemilang kerana ia hanya berlegar di dalam perkara yang sudah menjadi perbahasan ulama terdahulu.
Jika diteliti, perdebatan mengenai perkara furu' seperti zikir secara kuat selepas solat, sudah lama diperdebatkan di kalangan cerdik pandai Islam sejak dahulu.
Malah, sampai kiamat sekalipun jika perbalahan mengenainya diteruskan ia tetap tidak berakhir. Hal ini kerana semua pihak mempunyai pandangan dan hujah masing-masing dalam pegangan mereka. Secara mudah masalah ini dapat diselesaikan jika semua pihak berlapang dada dan menghormati pandangan masing-masing.
Sebagai umat yang dididik dalam suasana kehidupan berlandaskan budi pekerti mulia, kenapa kita perlu membiarkan keutuhan tali persaudaraan terlerai begitu sahaja? Yang bersorak gembira, bertepuk tangan hanyalah musuh Islam.
Kita perlu sedar, saban hari umat Islam disepak terajang pihak musuh yang berkehendakkan umat kita bercerai-berai, teraniaya serta menjadi golongan yang ditindas.
Kini, tiba masanya kita mengetepikan hal-hal yang kecil dan lebih memberi fokus kepada pembangunan umat sejagat. Bagaimana kita mahu membantu saudara Islam jika diri kita sendiri terabai.
Perbezaan pandangan kini biasanya dilemparkan dengan bicara kata-kata. Jadi awas dengan segala tindak tanduk serta setiap perkataan yang keluar dari mulut kita.
Sesungguhnya, setiap perbezaan yang timbul tidak seharusnya dijadikan tiket untuk satu pihak mencerca, menghina, menghukum satu puak yang lain.
Menurut Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan merangkap Timbalan Dekan ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, berkata, perselisihan faham di dalam masyarakat adalah berpunca dari sikap tidak mahu bertolak ansur.
“Kita perlu berubah sikap dan menjauhkan diri daripada bertikam lidah, tuduh menuduh serta melakukan serangan peribadi kepada pihak lain.
“Islam sudah memberi garis panduan kepada umatnya bagi menghayati agama mengikut kesesuaian persekitaran yang ada,” katanya.
Mahmood Zuhdi turut menyarankan satu tindakan segera bagi mengelak masyarakat terus memusuhi saudara mereka sendiri.
“Sepatutnya kita boleh 'bercanggah' pandangan mengenai perkara yang tidak membabitkan soal (furu') ini, sebaliknya berbincang perkara yang lebih memberi manfaat kepada umat Islam.
“Keterbukaan pula harus diteliti dan memerlukan satu tahap yang yang mana kita perlu menilai di mana diri kita. Sebagai golongan pengikut misalnya mereka perlu bijak mengawal perasaan agar tidak mudah berkata-kata perkara yang mereka sendiri tidak mengetahui pokok pangkalnya,” katanya.
Katanya, semua pihak perlu berusaha mengalih pandangan orang ramai bagi menghentikan perbalahan ini.
“Hal ini jika dibiarkan berlarutan hanya merugikan kita. Apa guna kita berkelahi kerana mempertahankan sesuatu yang sudah menjadi khilaf (perbezaan) di kalangan ulama terdahulu,” katanya.
Sepatutnya perselisihan pandangan itu perlu bersifat ilmiah serta dalam suasana terkawal dan tidak terbawa-bawa emosi yang menjurus kepada perdebatan keras.
Umat Islam perlu diajak bersatu semula dan cuba meraikan perbezaan pandangan secara positif. Kesemua pendapat perlu diraikan kerana Islam dilihat bersifat menyeluruh, indah serta memudahkan penganutnya.
Berilah kesempatan kepada diri kita untuk berubah dan jangan sesekali diungkit atau berbicara kelebihan masing-masing kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.
Jangan mendesak diri atau membuat hukuman sendiri di atas perasaan tidak puas hati, lalu menyebabkan golongan yang menjadi pengikut yang masih memerlukan bimbingan ini dibiar terpinga-pinga.
“Bagi cendikiawan Islam mereka perlu berusaha segera menyelamatkan serta mendamaikan kembali perbalahan antara pelbagai pihak ini,” katanya.
Ukuran atau penilaian terhadap amalan kita adalah hak mutlak Allah dan sebagai hamba, kita hanya layak untuk 'mempersembahkan' kualiti bagi mendapatkan ganjaran sehebat mungkin dari-Nya.
Al-Quran dan Sunnah adalah peninggalan Nabi Muhammad buat tatapan kita untuk dipelajari dan bukannya sekadar menjadi golongan pengikut yang 'buta'.
Seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w, Abdullah Ibn Mas'ud r.a pernah berkata: “Apa akan terjadi kepada kamu nanti apabila fitnah (penyelewengan) membaluti kamu. Anak kecil membesar dalamnya, yang dewasa dan tua bersamanya, lalu fitnah dijadikan sunnah (kebiasaan) sehingga jika ia diubah maka dikatakan “Ini tindakan yang mungkar”. Ditanya beliau: “Bilakah hal itu akan terjadi?” Jawabnya: “Apabila kurangnya mereka yang amanah dalam kalangan kamu, tetapi ramainya pemimpin kamu, kurangnya mereka yang faqih (memahami hakikat Islam) dalam kalangan kamu tetapi ramainya pembaca al-Quran, dan dipelajari ilmu bukan kerana agama (Allah) serta dicari dunia dengan amalan akhirat” (Riwayat ‘Abd Al-Razzaq).


Saturday, October 10, 2009

Janji-Janji Palsu.

Setiap kali adanya pilihanraya kecil, maka bertaburanlah janji-janji manis yang dihamburkan oleh pemimpin-pemimpin parti politik demi meraih sokongan rakyat. Tidak cukup dengan itu, banyak juga wang ditaburkan sebagai menunjukkan betapa dermawannya mereka kepada rakyat. Apakah benar semua janji-janji manis itu dilunaskan sepenuhnya apabila mereka dinobatkan sebagai pemenang?
Sesungguhnya manusia ini hanya tahu berjanji itu dan ini tanpa menyedari diri mereka tergolong dalam kalangan orang-orang yang munafiq apabila memungkiri janji. Sebelum ini ada parti-parti yang telah menduduki sesuatu kawasan sehingga begitu lama sekali, namun tidak ada apa yang mereka lakukan tetapi hanyalah mengembongkan poketnya sendiri. Apabila tiba sahaja pilihanraya, barulah mereka ini menabur semula janji-janji palsu yang tidak pernah tertunai.
Ada juga pemimpin-pemimpin parti politik yang menjamin kesejahteraan rakyat jika parti mereka dipilih. Namun hanya janji-janji Allah sahaja yang benar dan hanya Allah sahajalah dapat memberi jaminan tentang kebenaran janji-janjiNya. Janganlah kita berjanji sehingga memungkirinya, takut-takut kita tergolong dalam kalangan orang-orang munafiq.

Wednesday, October 7, 2009

Masjid Ainul Yaqien, Indonesia.

Kiai Raden Ahmad Zailani.
Masjid Ainul Yaqien, Pondok Bena Jati Rasa, Berkasi, Indonesia.

Baru-baru ini penulis sempat melakukan silaturrahim di Masjid Ainul Yaqien, Pondok Jati Rasa, Berkasi, Indonesia. Masjid ini dibina atas usaha penuntut-penuntut yang datang dari seluruh daerah Indonesia untuk mempelajari pengajian agama. Masjid ini tidak bertutup atau berkunci dan ia senantiasa dibuka untuk sesiapa sahaja yang ingin melakukan solat atau menuntut ilmu. Pada 10 malam terakhir Ramadhan, masjid ini akan dipenuhi oleh jemaah sepanjang waktu melakukan iktikaf setiap hari. Masjid ini juga akan dipenuhi oleh jemaah pada sepertiga malam setiap hari untuk melakukan solat tahajud. Masjid ini juga tidak terikat dengan apa-apa pun fahaman politik, malah ia adalah satu tempat yang begitu baik sekali untuk kita menuntut ilmu dalam apa jua bidang pengajian. Penulis terasa kelainan apabila bersolat dan beriktikaf di masjid yang dibina tanpa dibantu oleh pemerintah Indonesia apatah lagi para jemaahnya yang senantiasa mengungkapkan dalil-dalil Al-Quran apabila berbicara. Insya'allah kalau diizinkan Allah, rasanya ingin juga penulis menetap di masjid ini buat beberapa waktu kerana masjid ini disediakan bilik-bilik secara percuma, makan minum percuma bagi sesiapa yang ingin menuntut ilmu.