Monday, October 19, 2009

Negara Maju, Rakyat Turut Maju..........


KUALA LUMPUR: Amalan seks bebas di kalangan remaja pada masa ini boleh dianggap memasuki zon kritikal apabila data dikumpul daripada dua rumah perlindungan wanita di Lembah Klang mencatatkan 2,701 kes kehamilan luar nikah sejak 1996 sehingga September lalu.

Jika diambil kira statistik rumah perlindungan lain di seluruh negara, kes yang tidak dilaporkan dan kejadian buang bayi yang berlaku hampir setiap hari, angka sebenar remaja hamil luar nikah pasti meningkat berlipat kali ganda.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, berkata sejak beliau membuka rumah perlindungan itu 21 tahun lalu yang secara khusus menguruskan kebajikan wanita hamil luar nikah, secara purata 191 bayi tak sah taraf dilahirkan di Kewaja setiap tahun atau 16 bayi sebulan.

“Lebih membimbangkan, ketika jumlah kes yang saya kendalikan meningkat, usia wanita hamil luar nikah itu makin menurun kerana ada yang baru berusia 15 tahun,” katanya.

ulasan: Petikan di atas adalah laporan muka hadapan Harian Metro yang disiarkan pada 18/10/09. Inilah akibat kalau terlampau maju sehinggakan tiada batas pergaulan di antara kaum Adam dan Hawa yang bukan muhrim. Disebabkan terlalu banyaknya ruang-ruang untuk melakukan maksiat yang disediakan maka tidak hairanlah jika perkara sebegini menjadi-jadi.

Konsep negara maju yang sering dilaung-laungkan seolah-olah cuba meniru cara hidup negara barat yang tidak membataskan pergaulan lelaki dan wanita. Ruang-ruang untuk berpeleseran seperti taman-taman rekreasi yang dibuka juga di waktu malam digunakan oleh penggemar maksiat. Ini tidak masuk lagi dengan konsert-konsert seperti sambutan kemerdekaan, sambutan Tahun Baru, konsert jom heboh, konsert-konsert yang menjemput artis barat dan sebagainya, adalah ruang maksiat yang disediakan oleh pihak berwajib. Pengendali rancangan-rancangan hiburan seperti Malaysian Idol, Geng Starz, Akedemi Fantasia, Mentor dan macam-macam lagi ruang hiburan yang membolehkan anak-anak muda masakini berpeleseran dengan teman-teman mereka sehingga terjerumus ke kancah maksiat.

Memang benar jika peranan ibu-bapa dilihat begitu penting untuk mendidik anak-anak mereka supaya menjadi anak-anak yang soleh. Namun jika ibu-bapa juga turut dilalaikan dengan program-program hiburan yang terlampau melalui saluran-saluran televisyen, maka terlalu mudahlah puak Iblis untuk menyesatkan anak-anak mereka pula. Jika dikaji, berapa ramai ibu-bapa yang turut menonton Akedemi Fantasia, Jangan Lupa Lirik, Mentor, Konsert Jom Heboh dan sebagainya, maka kita akan mendapati statistik penonton Melayu Islam amat menggalakkan. Ibu-bapa di rumah menonton, manakala anak-anak pula menonton secara "live" bersama teman-teman mereka.

Kita tidak hairan jika suatu hari nanti, anak-anak yang lahir tanpa pernikahan ini semakin bertambah jumlahnya jika ruang-ruang maksiat tidak dibendung dengan baik. Mungkin pada satu hari nanti jumlah mereka akan membolehkan kita mewartakan satu kawasan parlimen yang baru untuk anak-anak sebegini.

No comments: