Wednesday, November 18, 2009

Wasiat Syeikh Abdullah Fahim.

  • Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillah was sholatu was salamu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wa ashabihi. (Amma ba'd), tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafi`i ijma`an tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi`i (yahrumu kharqul ijma`/ diharamkan merobek ijma`).
  • Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafi`i daripada kitab Tohfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabilal Muhtadin, Bughyatuth Thullab dan Mathla`ul Badrain dan lainnya.
  • Usuluddin atas perjalanan Abil Hasan al-Asy`ari diambilkan daripada syuruh dan hawasyi Ummul Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
  • Ilmu tasawwuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhajul 'Abidin, Ihya` Ulumiddin dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyarus Salikin.
  • Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbath daripada Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-u ajilla` (ulama yang cemerlang lagi terbilang) diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.

Ikhwah, di mana salah silapnya mazhab Syafi`i sehingga kita hendak gugah pegangan masyarakat kita terhadapnya. Jika mazhab Syafi`i mensunnatkan qunut dalam sembahyang Subuh kenapa kita nak tolak dengan mendatangkan pendapat mazhab lain ? Salahkah mazhab Syafi`i ? Bukankah ini hanya perkara khilafiyyah, yang pihak-pihak kena menghormati sesamanya. Masyarakat kita yang sudah sebati dengan qunut, dengan talaffuz bin niyyah, kenduri tahlil dan sebagainya, bukankah semua hal ini termasuk khilafiyyah yang sewajarnya ditangani dengan lapang dada, bukan dengan tuduhan bid`ah membid`ah, sesat menyesat dan sebagainya.

Wasiat Syaikh Abdullah Fahim 1

. Dalam buku "Tokoh-tokoh Ulama' Semenanjung Melayu (2)" dipetik antara pesanan beliau:-

  • Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.
  • Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.
  • Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.
  • Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.


Friday, November 13, 2009

Fahaman Pecah Belah Umat.

Isu Dr. Asri masih lagi menjadi perbualan hangat masakini. Ini ditambah lagi dengan kenyataan Saudara Shaari Sungib yang menempelak JAIS dengan mendedahkan 7 nama yang tidak diberikan tauliah untuk berceramah di Selangor. Pihak JAIS mengatakan bahawa ia tiada kaitan dengan fahaman Wahabi, namun kenapakah mereka-mereka ini tidak dibenarkan untuk berceramah? Jawapannya ialah kerana fahaman mereka-meraka ini membawa kepada perpecahan di kalangan umat-umat Islam di Selangor khasnya dan di seluruh negara amnya.
Di sini biarlah saya huraikan satu persatu kenapakah perpecahan berlaku:

Situasi 1.

Seorang hamba Allah menjemput rakan-rakannya di kalangan jemaah masjid untuk datang ke rumah beliau kerana beliau mengadakan majlis tahlil arwah kerana kematian ibunya. Hamba Allah ini ditegur oleh seseorang dengan mengatakan, "kenapa kamu lakukan perkara yang bida'ah ini?" "Tidakkah kamu tahu bahawa setiap bidaah itu sesat, dan jika sesat maka kamu akan dimasukkan ke dalam Neraka". Maka melentinglah hamba Allah tersebut lalu bertanya,"Dari mana kau belajar semua ini?" Maka dijawab oleh orang itu,"Semalam aku dengar kuliah Mufti Perlis di Surau Muhajirin, Taman Sri Ukay, maka aku wajib menyampaikannya kepada kamu". Hamba Allah itu menjawab,"Jika begitu Mufti Perlis itu telah menuduh ulama-ulama yang terdahulu, termasuklah guru-guru, datok, nenek dan yang lain-lain yang mengadakan majlis tahlil arwah sebagai orang sesat". Maka berlakulah pertelingkahan di antara hamba Allah ini dengan orang yang mendengar kuliah Mufti Perlis tersebut sehinggalah menjadi permusuhan di antara mereka.

Situasi 2.

Seorang hamba Allah sedang membaca Rawi daripada kitab Barzanji dalam satu majlis cukur jambul. Setelah majlis cukur jambul tersebut selesai, maka hamba Allah ini didatangi oleh seorang anak muda. "Wah! Sedap bacaan kamu, tapi sayang sebab kamu dah melakukan satu perkara yang syirik". Maka terngangalah hamba Allah yang membaca kitab Barzanji mendengar kata-kata anak muda tersebut, lalu beliau bertanya,"Apa yang syiriknya?". Dijawab oleh anak muda tersebut,"Minggu lepas saya ada mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh Mufti Perlis, malah dalam Youtube pun ada tentang kesyirikan membaca kitab Barzanji". Dijawab oleh hamba Allah tersebut,"Engkau ni tahu ke siapa yang mengarang kitab Barzanji tu?"Anak muda itu terus menjawab,"Aku tahu, tapi Mufti Perlis, Dr Asri kata Syeikh Ja'afar al-Barzanji tu bukannya seorang yang hebat, apa nak herankan"."Yang engkau baca ttu pun engkau tak faham, kau tahu tak, ada bacaan-bacaan dalam kitab tu yang menunjukkan engkau mempertuhankan Nabi Muhammad s.a.w, itu bahaya boleh syirik"."Kata Ust Rasul Dahri, daripada kau baca Barzanji, karaoke tu lebih baik lagi". Maka berlakulah pertengkaran sehinggakan melarat melibatkan hadirin-hadirin yang ada.

Situasi 3.

Sekumpulan anak muda yang tidak ke masjid ditarbiah oleh beberapa jemaah agar melazimkan diri ke masjid untuk berjemaah. Kumpulan anak muda tersebut menyatakan sebab-sebab mereka tidak mahu ke masjid. "Kami bukannya tak nak solat di masjid tu, cuma kami tak nak bersekongkol dengan perlaku-perlaku syirik dan bidaah". Maka ditanya oleh kumpulan jemaah tersebut,"Di mana yang dikatakan syirik, di mana pula yang dikatakan bidaah?"Kumpulan anak muda itu menjawab,"Lepas solat aja, kamu semua berwirid dengan nyaring, Imam pula dok baca Selawat Syifa, Selawat Tafrijiah bila berdoa. Lepas tu kalau malam Juma'at dok berkumpul ramai-ramai baca Yasin, tak ke bidaah tu?". Jemaah tersebut bertanya kepada kumpulan anak muda tersebut, "Dari mana kamu belajar semua ni?". Dijawab oleh kumpulan anak muda tersebut," Itulah awak semua tak tahu. Mufti Perlis yang ada Phd tu dah bagitahu dalam kuliah dia tentang kesyirikan beramal dengan Selawat Syifa, Selawat Tafrijiah. Semua tu Nabi tak pernah buat, memandai aja Imam masjid tu buat". "Dulu Ust Hashim Ghani pun dah kata, daripada wuduk hinggakan salam yang dilakukan oleh jemaah Masjid Ranjau Hantu K.Pilah, semuanya bidaah. Kami nak ikut macam Ust Hashim Ghani mengasingkan diri dari kamu semua".Maka berlakulah perdebatan demi perdebatan di kalangan mereka sehingga tidak lagi bertegur sapa.

Situasi 4.

Seorang anak muda sedang membaca Al-Quran di sebelah pusara ibunya. Bacaan anak muda itu terhenti apabila beliau ditegur oleh seorang laki-laki. "Tengah buat apa tu,"tanya laki-laki tersebut. Anak muda itu menjawab,"Saya sedang menghadiahkan bacaan Al-Quran untuk arwah ibu saya". Laki-laki itu terus berkata,"Nak buat apa kamu buat perkara sia-sia"."Kalau apa yang kamu buat tu baik, dah lama dah Nabi dengan sahabat buat. Tak payah buang masa, bukannya ibu kamu boleh dengar pun, lagipun tak sampai hadiah kamu tu". Anak muda itu menjawab,"Saya diajar oleh guru saya tentang amalan ini sewaktu saya mengaji di pondok dulu, di mana salahnya?".Laki-laki itu memberi penerangan,"Itulah kamu, kalau nak dengar kuliah, dengar daripada mereka yang ada Phd, Mufti pulak tu. Ini tidak, kamu ambil amalan pemikiran lama guru pondok kamu, tak betul tu". "Kamu tahu, ada seorang Ustaz, betul-betul hebat, Ust. Rasul Dahri namanya, dah kata baca Quran pada orang mati tak sampai, sia-sia aja". Anak muda tersebut marah maka berlakulah perkelahian di antara mereka di tanah perkuburan tersebut.

Inilah dia di antara situasi-situasi yang berlaku akibat daripada pemahaman yang di bawa oleh seorang Mufti yang berpendidikan Phd kepada orang awam. Tuduhan seperti bidaah, sesat, syirik kepada pengamal-pengamal tahlil, bacaan Yasin, bacaan Selawat Syifa, bacaan Barzanji dan sebagainya sepatutnya tidak disampaikan kepada orang-orang awam yang baru nak mencari pemahaman agama. Tuduhan-tuduhan yang amat berat inilah yang menjadikan perpecahan berlaku di kalangan umat Islam sehingga berlaku perdebatan, perbalahan dan sebagainya.

Monday, November 9, 2009

Apa Itu Wahabi - Dr Asri Zainul Abidin.

Pengasas Wahabi Di Malaya.

Lalu mereka menamakan diri sebagai Intelektual Muslim, ataupun Salafi, ataupun Muwahhidun, ataupun firqatun najiyah, ataupun 'mazhab syafie tulen', ataupun gerakan tajdid, ataupun bahtera perubahan dan sebagainya. Kerana mereka 'memisterikan apa itu wahhabi'.


Ini Jawapan Untuk Dr Asri - Apa Itu Wahabi!!!!

Dari Sudut AQIDAH:

01. Gemar membahagikan-bahagikan tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan al-Asma Wa al-Sifat lantas menyamakan umat Islam kini dengan musyrikin Mekah.

02. Menyesatkan manhaj Asyairah dan Maturidiyah yang merupakan dua komponen utama dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

03. Kritikal terhadap sisitem pengajian Sifat 20.

04. Gemar membahaskan ayat-ayat mutasyabihat dan membahaskan perihal istiwa Allah Taala, tangan Allah Taala, di mana Allah Taala dan lain-lain ayat mutasyabihat lagi lantas memahami ayat-ayat itu dengan zahir ayat dan mencerca mereka yang mantakwil ayat-ayat ini. Akhirnya mereka secara tidak sedar termasuk di dalam golongan Mujassimah dan Musyabbihat.

05. Sering meletakkan isu-isu fiqh dalam bab aqidah, seperti tawasul dan istighatsah lantas mensyirikkan dan mengkafirkan amalan-amalan yang tidak sehaluan dengan mereka. Juga mensyirikkan amalan yang tidak dipersetujui contohnya mambaca salawat syifa dan tafrijiah dll.

06. Mudah melafazkan kalimah syirik dan kufur terhadap amalan yang mereka tidak persetujui (Khawarij Moden).

07. Amat kritikal terhadap tasawuf serta tarikat dan mengatakan bahawa tasawuf dan tarikat diambil daripada ajaran falsafah Yunan, agama Buddha dan dll.

Dari Sudut FIQH:

01. Kritikal terhadap mazhab-mazhab fiqh dan menganggap sesiapa yang berpegang kepada satu mazhab adalah taksub dan jumud. Mereka akan menyarankan mengikut fiqh campuran atas corak pemahaman mereka dan menamakannya sebagai Fiqh Sunnah.

02. Membahagikan manusia kepada tiga golongan iaitu mujtahid, muttabi dan muqallid dan mencerca golongan muqallid. Bagi mereka hanya menyeru kepada mengikut seorang alim atau imam itu hanyalah dengan dalil walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami dalil tersebut.

03. Gemar membangkitkan isu-isu furuk yang sudah lama diperbahaskan oleh para ulama terdahulu seperti isu tahlil, talqin, qunut subuh, zikir berjamaah, zikir dengan bilangan tertentu, lafaz niat solat, ziarah makam para nabi dan ulama, sambutan maulidur rasul dll.

04. Perkataan bidaah sentiasa diulang-ulang pada perbuatan yang mereka tidak setuju. Bidaah di dalam agama bagi mereka hanyalah sesat dan akan menjerumuskan pembuatnya ke dalam neraka. Kata-kata Imam Syatibi pada pembahagian bidaah akan mereka ulang-ulangi. Menurut fahaman mereka pembahagian ulama lain pada bidaah hanyalah bidaah dari sudut bahasa.

05 Secara umumnya mengaitkan amalan-amalan tertentu kononnya sebagai rekaan dengan hawa nafsu atau kejahilan para ulama terdahulu manakala di Malaysia cuba mengaitkan amalan yang mereka tidak persetujui hanyalah rekaan para ulama Nusantara.

06. Hanya berpegang kepada suatu pendapat dalam hukum hakam fiqh jika mempunyai dalil yang zahir dan amat gemar meminta dalil dari al-Quran dan al-Hadis seolah-olah mereka dapat membuat perbandingan sendiri kuat lemahnya sesuatu pendapat berdasarka dalil yang dijumpai.

Dari Sudut MANHAJ:

01. Berlebih-lebihan pada mengkritik mereka yang tidak sehaluan dengan mereka baik ulama terdahulu mahupun sekarang.

02. Menganggap bahawa hanya mereka sahajalah yang benar dan merekalah sahajalah pembawa manhaj salaf yang sebenar.

03. Bersikap keras kepala dan enggan menerima kebenaran walaupun dibentangkan beribu-ribu hujjah. Bagi golongan ini dalil mereka yang menentang mereka semuanya lemah atau telah dijawab.

04. Amat gemar berdebat walau di kalangan masyarakat awam.

05. Terlalu fanatik kepada fahaman dan tokoh-tokoh yang mereka diiktiraf mereka seperti Muhammad Abdul Wahab, Abdul Aziz bin Baz, Nasir al-Albani, Muhammad Soleh al-Utsaimin, Soleh Fauzan dll.

06. Mudah mengatakan bahawa ulama terdahulu sebagai silap ataupun sesat dll.

07. Mendakwa mereka mengikut manhaj salafi pada urusan aqidah dan fiqh walaupun hakikatnya mereka amat jauh sekali dan tidak memahaminya.

08. Cuba untuk menyatukan semua pihak atas fahaman mereka lantas menyebabkan perpecahan umat.

09. Sebahagian mereka juga bersikap lemah lembut pada kuffar dan berkeras pada umat Islam.(Sokong Kalimah Allah Untuk Kristian Gunakan)

10. Menyesatkan dan memfasiqkan sesiapa yang bercanggah dengan mereka serta melebelkan dengan pelbagai gelaran.

11. Seolah-olah menyamatarafkan hadis dhoif dengan hadis maudhuk lantas mendakwa mereka hanya mengikut hadis yang sahih selain kritikal terhadap penerimaan riwayat dan taasub dengan penerimaan atau penolakan Nasir al-Albani semata-mata.

12. Membuat khianat ilmiah samada pada penulisan atau pada pantahqiqan kitab-kitab lama terutamanya.

Fahaman ini lebih layak digelarkan : Fahaman pecah belah umat Islam

Sunday, November 8, 2009

Memahami Isu Penangkapan Dr. Asri.


Tulisan ini asalnya bertujuan sebagai respons khusus kepada dua tulisan Dr.Mohd.Asri Zainul Abidin dalam Mingguan Malaysia yang bertajuk Fitnah dan Perjuangan dan Sejarah Akan Berulang. Bagaimanapun, oleh kerana sekarang ini pandangan masyarakat lebih tertumpu kepada isu penangkapan beliau, wajarlah di sini kita soroti persoalan Dr. Asri secara lebih umum.

Apabila berita beliau ditahan tersebar, tidak kurang yang simpati kerana asas penangkapannya, iaitu mengajar tanpa tauliah dirasakan terlalu kecil. Mereka yang lebih mengenali dan analitikal terhadap Dr. Asri pula beranggapan sememangnya beliau tidak wajar dibenarkan bebas menyebarkan pandangannya. Terlepas daripada soal wajar atau tidaknya Dr. Asri ditangkap, undang-undang yang mewajibkan tauliah untuk mengajar agama Islam tidaklah perlu dipertikaikan.

Undang-undang itu bukan sahaja bertujuan untuk memastikan hanya mereka yang berkelulusan dibenarkan mengajar. Ia juga bertujuan agar mereka yang tidak sesuai dan layak, dapat dihalang daripada mengajar walaupun mempunyai pelbagai kelulusan dan gelaran akademik. Jika ada yang tidak sesuai dan layak tetapi masih berdegil untuk mengajar walaupun telah diberi amaran, maka tidak salahlah tindakan penangkapan diambil jika dirasakan perlu.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pula seorang seperti beliau dikatakan tak sesuai dan tidak layak mengajar? Jawaban pokok kepada soalan ini adalah, Dr. Asri sebenarnya mewakili dan menjuarai suatu aliran pemikiran yang tidak selari dengan fahaman Islam sebenar atau yang biasa dinamakan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Oleh kerana fahaman Islam ASWJ menjadi pegangan asas para ulama dan pihak berkuasa agama di semua negeri, maka Dr. Asri dalam banyak hal menjadi tokoh yang sangat kontroversial kerana beliau sering menimbulkan pandangan yang mengelirukan masyarakat dan secara langsung atau tidak, menggugat kestabilan hidup beragama di negara kita.

Oleh kerana beliau jelas mengambil pendekatan bertentangan dengan arus perdana Islam di Malaysia, tidak hairanlah beliau diminati oleh sebahagian tokoh, individu dan organisasi yang sememangnya prejudis terhadap arus perdana Islam di Malaysia. Beliau turut diminati oleh mereka yang cenderung terlebih liberalis, rasionalis dan 'pemberani' dalam soal-soal agama kerana mereka ini juga terasa terbatas dengan kuatnya arus perdana Islam ASWJ di Malaysia.

Dr. Asri juga menerima dokongan atau sekurang-kurangnya simpati segelintir tokoh agama dan orang politik yang memang sealiran dengan beliau. Aliran Islam yang diperjuangkan oleh Dr. Asri boleh digelar pelbagai nama walaupun beliau sendiri cenderung menggunakan istilah yang bunyinya lebih positif seperti 'tajdid' atau 'kaum muda' serta mengelakkan istilah yang lebih kontroversi seperti 'Wahhabi'.

Apa pun labelnya, hakikatnya aliran ini memang wujud di dunia Islam walaupun merupakan aliran minoriti umat Islam yang majoritinya beraliran ASWJ. Perlu diingat para pendokong aliran ini sendiri sering mendakwa bahawa aliran mereka adalah aliran ASWJ sebenar. Antara ciri utama aliran 'kaum muda' seperti yang dipegang oleh Dr. Asri ini adalah kecenderungan merujuk terus kepada nas-nas al-Quran dan sunah tanpa mengutamakan tafsiran dan ijma' para ulama. Kecenderungan ini membawa kepada penolakan terhadap kebakuan fiqh Mazhab yang empat, akidah 'Ash'aari- Maturidi dan kerohanian tasawuf.

Pegangan

Di Malaysia, sejak awal lagi aliran ASWJ telah menjadi pegangan majoriti dan aliran yang dominan. Pun begitu, minoriti individu dan tokoh yang cenderung kepada aliran 'kaum muda' sudah ada sebelum munculnya Dr. Asri lagi. Mereka ini berada di pelbagai tempat tetapi mereka umumnya tahu diri dan tidak cuba mencabar secara agresif aliran perdana ASWJ. Bagaimanapun, fenomena Dr. Asri yang agresif dan lantang itu dilihat telah menyuntik keberanian kepada pengikut aliran ini untuk turut cuba mencabar dominasi fahaman ASWJ di Malaysia.

Dalam 'perjuangan' mendominasikan alirannya, Dr. Asri banyak bergantung kepada bakat pidato dan penulisannya berjubahkan nas-nas al-Quran dan sunah yang terpilih dengan tafsiran yang selari dengan alirannya. Beliau juga sering berselindung di sebalik tokoh-tokoh ulama terkenal sama ada dengan memilih pandangan tertentu yang memihak kepadanya sahaja serta mengaburkan aspek kontroversi tokoh-tokoh tersebut. Inilah yang sering beliau lakukan dengan tokoh-tokoh seperti Ibnu Taymiyyah, Ibnul Qayyim, Muhammad Ibn Abdul Wahab, Yusuf al-Qaradhawi dan Hamka.

Dalam dua tulisan terbarunya, Dr. Asri cuba bersandar kepada populariti Hamka dan ayahnya yang turut membawa aliran pembaharuan dalam masyarakat Islam Indonesia. Mungkin Dr. Asri ingin mengatakan bahawa beliau sebanding dengan Hamka, ditentang kerana membawa aliran pembaharuan yang bercanggah dengan ulama tradisi. Seperti biasa, mereka yang tidak meneliti dan pada masa yang sama mengagumi Hamka secara mutlak mungkin termakan dengan hujahnya ini tetapi pada hakikatnya, Hamka juga ada sisi kontroversinya dan bukanlah serba maksum. Kritikan Hamka terhadap ulama Malaysia seperti yang dipetik oleh Dr. Asri bukanlah buah pandangan terbaiknya yang perlu kita telan bulat-bulat. Kita ingin tanyakan kepada Dr. Asri, apabila beliau memetik kata-kata Hamka, "Tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!", adakah beliau bersetuju dengan kenyataan ini? Jika betul ia adalah suatu gambaran salah yang menghina bukan sahaja para ulama tanah air, tetapi turut memperlekehkan institusi Raja-raja yang tak dapat dinafikan sumbangannya dalam menaungi agama di negara kita dari dahulu hingga sekarang.

Dari satu sudut lain, mereka yang mengkaji juga akan segera mengakui bahawa nasib sejarah dan realiti Islam dalam perlembagaan dan pentadbiran di Indonesia dan Malaysia jelas berbeza. Di Indonesia, Islam gagal diperuntukkan secara rasmi dalam perlembagaan sehingga urusan agama tidak dapat dikawal dengan kemas oleh undang-undang dan institusi rasmi.

Teman-teman yang prihatin dari Indonesia sering mengeluh bahawa inilah suatu kelebihan Islam di Malaysia berbanding dengan negara mereka yang akhirnya menyumbang kepada kerencaman yang melampau dan kurangnya kesepaduan umat Islam Indonesia. Kita patut tanyakan Dr. Asri, adakah beliau mahu kita mencontohi Indonesia dalam aspek ini dan melemahkan lagi kesatuan suara dan rasa umat Islam di Malaysia?

Sesiapa pun yang sedia mengkaji secara tekun dan jujur segala ucapan, tulisan dan sikap Dr. Asri (yang kebanyakannya boleh didapati di laman webnya) dengan berlatarbelakangkan pertembungan aliran ASWJ dan aliran-aliran pinggiran, akan segera banyak menemukan pola-pola pemikiran yang bertentangan dengan jumhur (majoriti) umat. Taklid dan hormat kepada tokoh ulama dan mazhab ditentang hanya untuk digantikan secara halus dengan taklid kepada tokoh dan alirannya sendiri. Dr. Asri juga sering menyeru kepada minda yang terbuka tetapi pada masa yang sama sering mempermasalahkan perbezaan pandangan dalam isu-isu ranting hingga menimbulkan ketegangan sesama Islam. Pandangan mazhab dan jumhur ulama kerap digambarkan sebagai ketinggalan dan jumud sedangkan dalam pelbagai persoalan lain aliran ini jauh lebih ketat dan keras daripada pandangan jumhur ulama.

Tulisan ini bukanlah sebuah perbahasan terperinci fenomena Dr. Asri tetapi cuba melakarkan suatu gambaran besar tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku. Gambar yang terhasil sebenarnya amat membimbangkan. Jika tidak berhati-hati, umat Islam di Malaysia yang sudah parah menanggung perpecahan mengikut garis kefahaman politik mungkin akan dirumitkan lagi dengan perpecahan aliran agama melibatkan ketiga-tiga sendi iaitu tauhid, Fikah dan tasawuf. Emosi dan simpati semata-mata tidak memadai untuk mencari sikap yang tepat dalam isu ini.

Dalam mabuk lagu perubahan dan pembaharuan yang dimainkan oleh Dr. Asri dan teman-teman sealirannya, kewibawaan kerangka fahaman agama serta keutuhan suara umat Islam boleh terhakis. Jika tidak berhati-hati kita akan mengulangi kesilapan isteri Aladdin yang termakan pujukan si tukang sihir jahat lalu menukarkan lampu lama yang penuh kesaktian dengan lampu baru yang hanya hebat luarnya tapi kosong isinya. Wallahualam.

Add to Google

Saturday, November 7, 2009

Sultan Tegas Tak Pilih Bulu.

Sultan tegas isu tauliah ceramah

SHAH ALAM - Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan pertemuan Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi di sini, petang kelmarin.

Katanya, pertemuan yang diadakan pada jam 5 petang itu membincangkan beberapa perkara berkaitan agama termasuklah isu ceramah tanpa tauliah.

“Dalam perjumpaan itu, Tuanku Sultan menitahkan pihak berkenaan (Jais) supaya memastikan sesiapa yang ingin mengajar, mendakwah atau memberi khutbah di masjid atau surau di Selangor perlu mempunyai tauliah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin amat menitikberatkan isu berkaitan isu ceramah tanpa tauliah.

“Baginda amat menitikberatkan fasal tauliah kerana ia (tauliah) adalah satu instrumen untuk memastikan setiap ceramah, khutbah serta kuliah agama yang diberikan selaras dengan tuntutan agama Islam.

“Malah, perkara itu perlu (tauliah) bagi mengelakkan ia terpesong, serta tidak dipolitikkan oleh sesetengah pihak,” katanya.

Dalam pada itu katanya, baginda Sultan turut mengambil berat tentang perpaduan rakyat terutamanya umat Islam di negeri ini.

“Baginda turut bertitah supaya orang Islam perlu bersatu padu dan tidak berpecah belah serta perlu menjaga keharmonian di negeri ini dan mengingatkan supaya semua masjid di negeri itu tidak boleh dijadikan gelanggang politik yang boleh menyakitkan dan memecahbelahkan perpaduan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meminta Jais menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membincangkan beberapa perkara yang melibatkan ceramah tanpa tauliah.

Abdul Khalid telah mengadakan pertemuan di antara beliau dan Exco Kerajaan Negeri dengan Pengarah Jais, Datuk Khusrin Munawi kelmarin turut membincangkan mengenai penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

ulasan: Walaupun saya bersetuju dengan Dr Asri berkenaan dengan isu "TAULIAH", namun undang-undang wajib kita patuhi tak kira siapa kita. Ketegasan Sulatan Selangor sebagai ketua agama Negeri Selangor harus dihormati oleh semua pihak. Kemungkinan dari sudut penyampaian fahaman yang dibawa oleh Dr Asri membuatkan JAIS terpaksa bertindak menahan beliau. Seandainya fahaman yang dibawa oleh Dr Asri selaras dengan enakmen perundangan yang berlandaskan fahaman majoriti Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada pegangan mazhab As-Syafie, rasanya isu "TAULIAH" ini tidak akan berbangkit. Pihak JAIS juga harus tegas menerangkan kepada umum tentang bahayanya fahaman yang mempunyai unsur-unsur kewahabian diamalkan di negara ini.

Isu Dr. Asri - Tak Selesai Lagi Ke!!!!!!!

Nampaknya pergolakan masih berlaku tentang seorang manusia bernama Asri Zainul Abidin. Ada beberapa perkara yang diperkatakan oleh Dr Asri yang menarik perhatian saya untuk menulis.
Pertamanya ialah berkenaan isu "TAULIAH" yang dikuat-kuasakan oleh setiap jabatan agama di seluruh negeri. Pendapat yang diberi oleh Dr Asri ketika ditemubual membuatkan saya bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oleh beliau. Sebagai seorang agamawan yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, malah dengan pengiktirafan daripada universiti luar dan dalam negara, maka seharusnya isu "TAULIAH" ini tidak berbangkit. Malah kewibawaan beliau menerajui Negeri Perlis sebagai Mufti sudah cukup untuk dinilai sebagai seorang yang berpendidikan.
Keduanya ialah apabila beliau menyelar pihak JAIS berkenaan ucapan seorang wakil rakyat bukan Islam di dalam sebuah masjid di Kelang. Ini juga saya setuju dengan apa yang dinukilkan oleh Dr Asri. Ugama Islam adalah untuk dikembangkan, bukan untuk disempitkan. Jika disekat golongan bukan Islam mendekati masjid dengan tujuan baik, maka Islam itu akan menjadi sempit.
Ketiga ialah berkenaan cara penangkapan beliau dilakukan dengan gerombolan anggota-anggota polis. Semua pihak sudah sedia maklum bahawa Dr Asri akan memberi ceramahnya di sebuah banglo di Taman Sri Ukay kerana ia telahpun dipaparkan di dalam laman web Dr Asri. Sepatutnya pihak JAIS harus bertindak sebelum ceramah itu diadakan dengan berbincang atau menghubungi pihak penganjur serta Dr Asri sendiri.
Selain dari itu, saya banyak juga tidak bersetuju dengan apa yang pernah diutarakan oleh Dr Asri apabila menyentuh bab-bab khilafiyah. Dr Asri seorang pengkritik, maka beliau juga saya rasa boleh menerima kritikan asalkan kita tidak memfitnahnya. Kritikan saya adalah berlandaskan kepada bukti-bukti percakapan dan tulisan-tulisanDr Asri sendiri yang tidak saya persetujui.
Dalam hal yang sedemikian, ia terjadi apabila seseorang itu mendapat pendidikan yang berbeza dengan berbagai-bagai kefahaman mengikut keyakinan mereka sendiri.Saya juga dikritik dengan berbagai-bagai oleh beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan apa yang saya perkatakan. Namun keyakinan saya berlandaskan daripada apa yang telah diajar oleh guru saya sewaktu di pondok dahulu, maka saya tetap mempertahankannya. Ini ditambah lagi apabila setiap amalan yang saya lakukan dirujuk terlebuh dahulu kepada guru-guru lain yang alim.
Kini timbul pula hal permohonan maaf di antara PGSM dan Dr Asri. Bagi saya jika kita ikhlas tak salah kalau kita memohon maaf walaupun diminta secara terbuka.Saya juga ingin memohon maaf kepada Dr Asri jika apa yang pernah saya kritik tentang diri beliau.Namun jika ada perkara-perkara yang saya rasa tidak bersesuaian, maka saya akan terus menegur walaupun ianya pahit untuk diterima oleh semua pihak.

Thursday, November 5, 2009

Kenyataan Mufti Pahang - Isu Dr Asri.

Mufti Pahang sokong tindakan Jais

KUANTAN - Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin ketika menyampaikan ceramah agama di sebuah banglo di Selangor.

Katanya, Dr Mohd Asri didakwa cuba mengelirukan masyarakat Islam melalui pertikaian mengenai amalan-amalan sunat yang dilakukan umat Islam sebelum ini, di dalam ceramah yang disampaikan.

“Pahang sudah menyedari perkara berkenaan dan tahun lalu, Jaip tidak membenarkan tokoh ulama (Dr Mohd Asri) itu mengadakan ceramah, di sini atas dasar itu.

“Kita tidak mahu masyarakat terkeliru dengan ceramah yang disampaikan mengenai amalan-amalan sunat yang sering dilakukan sebelum ini dan beliau seharusnya menghormati amalan yang diamalkan setiap negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Abdul Rahman berkata, itu tidak bermakna setiap penceramah perlu mendapat tauliah terlebih dahulu sebelum menyampaikan ceramah di negeri.

“Selagi mereka tidak mempertikaikan perkara sedemikian, tidak timbul masalah dalam soal tauliah atau tidak. Yang penting, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memandang serius isu berkenaan bagi mengelak berlaku kekeliruan terhadap fahaman dan amalan yang dilakukan.

“Kita mempunyai amalan yang dilakukan mengikut dalil yang sahih merujuk kepada kitab yang diperakui.

“Kita juga tidak mempertikaikan ilmu yang beliau ada, namun pendekatan yang digunakan itu, menggambarkan beliau mahu memecah-belah masyarakat dengan isu sensitif dalam ceramah yang disampaikan,” katanya.

Katanya, Jaip juga sudah mengenal pasti beberapa pihak yang mempunyai niat seumpama itu ketika menyampaikan ceramah di negeri ini.

“Jaip sedang mengawasi pihak yang berkemungkinan cuba menyebarkan fahaman yang cuba mengelirukan masyarakat Islam dan penguat kuasa Jaip juga sudah bersedia untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya pihak berkenaan meneruskan aktivitinya.

“Saya berharap, masyarakat peka dan tidak keliru sekiranya terdapat pihak yang tampil dan cuba menyampaikan dakwah bertujuan untuk mengelirukan dan mempertikaikan amalan yang diamalkan sebelum ini,” katanya.

Pandangan Tokoh-Tokoh Agama - Isu Dr Asri.


KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh agama Islam kesal dengan sikap segelintir tokoh agama yang menganggap mereka kebal dan tidak perlu mendapatkan tauliah untuk menyampaikan ceramah agama.

Sambil menganggap golongan itu sebagai takbur, mereka berpendapat populariti, kedudukan dan kelayakan bukan ‘lesen besar’ untuk menyampaikan ceramah kerana mereka terikat dengan undang-undang.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata peraturan yang dikuatkuasakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah satu keperluan dan diselaraskan di seluruh negara selepas persetujuan Majlis Raja-Raja.

Katanya, adalah wajar peraturan itu dihormati dan dipatuhi sebagai tanda menjunjung kedaulatan undang-undang dalam prinsip Rukun Negara.

“Sistem pentauliahan bertindak sebagai mekanisme kawalan terhadap mana-mana pihak yang cuba menghidupkan amalan dan ajaran sesat.

“Saya tidak nampak kenapa peraturan seperti itu tidak boleh dipatuhi dan mereka yang enggan mendapatkan tauliah adalah mereka yang takbur. Doktor dan peguam juga perlu mendapat tauliah sebelum dibenarkan berkhidmat.

“Walaupun seseorang dianggap intelektual, dia tidak seharusnya sengaja melanggar undang-undang. Dalam isu ini, Jais hanya menunaikan tanggungjawab dan mereka mempunyai asas membuat tangkapan kerana ada peruntukan. Salah atau tidak, itu isu berbeza dan mereka boleh dibicarakan,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mempertikaikan tindakan Jais menahannya kerana berceramah tanpa tauliah kerana menganggap dirinya bukan orang asing di negara ini dan pandangan beliau boleh dibaca dalam akhbar perdana selain mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM).

Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, berkata semua pihak perlu kembali kepada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menetapkan Sultan Selangor sebagai ulil amri bagi rakyat negeri itu.

Katanya, rakyat wajib taat kepada baginda sebagai ulil amri dan kuasa yang diturunkan kepada Jais untuk melaksanakan tugas dalam bidang agama.

Beliau berkata, jika seorang tokoh agama menganggap dirinya berpengetahuan, matang serta beradab, maka lakukan dakwah secara intelektual, berdisiplin, beradab dan mengikut saluran sah tanpa provokasi, sensasi atau menangguk di air keruh yang akhirnya memakan diri.

“Kita kembali pada prinsip menyerahkan sesuatu kepada pihak berkuasa. Kita mengawal diri dengan disiplin dan adab secara berkesan untuk melihat isu selesai mengikut syarak,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata tindakan Jais tidak wajar dipertikai kerana mengikut enakmen negeri berkenaan.

Katanya, kekeliruan berlaku kerana orang yang ditahan adalah bekas mufti sedangkan hampir semua negeri menguatkuasakan sistem pentauliahan bagi membendung pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan amalan, fahaman dan ajaran sesat.

“Kini ramai penceramah luar negara juga datang memberi ceramah dan jika tiada sistem pentauliahan, akan ada ajaran yang menyeleweng dan menyesatkan umat Islam. Ilmu dan kedudukan seseorang sehingga pernah menjadi mufti bukan lesen besar untuk memberi ceramah tanpa kebenaran,” katanya.

Mashitah turut mendedahkan beberapa penceramah termasuk bergelar datuk yang muncul di televisyen dan mendakwa graduan Universiti Al-Azhar sebenarnya gagal dalam pengajian mereka.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan stesen penyiaran mewajibkan semua penceramah mendapatkan pentauliahan daripada pihak berkuasa agama negeri.

Pendakwah bebas dan perunding motivasi, Datuk Md Daud Che Ngah pula berkata, akidah umat Islam lebih mudah diseleweng jika sistem pentauliahan tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, jabatan agama Islam wajar memberikan tauliah tanpa memilih bulu kerana ia boleh menyekat dakwah dan usaha meningkatkan syiar Islam.

“Dalam kes Dr Asri, beliau wajar disiasat untuk menentukan kesahihan dakwaan termasuk mengembangkan fahaman Wahabi,” katanya.

Tuesday, November 3, 2009

JAIS vs ASRI.

vs
Berita penangkapan Dr. Asri semakin mendapat liputan yang begitu meluas di media-media tempatan.Malah komentar-komentar yang menghentam pihak JAIS juga semakin hebat sehinggakan melibatkan beberapa pemimpin-pemimpin parti politik. Yang memberi sokongan baik yang faham tentang agama (kalau tak tutup aurat tu tak fahamlah tu) ataupun yang senantiasa bersama Dr. Asri juga turut menyerang JAIS. Kali ini JAIS dikatakan berdepan dengan beberapa pemimpin-pemimpin parti politik dan beberapa NGO kerana tindakannya menahan Dr Asri.
Dalam ramainya orang yang memberi sokongan kepada Dr Asri, rasanya tak ada seorang pun agamawan seperti Mufti ataupun ulama-ulama yang mengeluarkan kata-kata. Apakah mereka setuju atau tidak dengan tindakan JAIS ini masih menjadi tanda-tanya kerena tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang diambil pendapatnya oleh para wartawan. Kebanyakan yang diambil kenyataan hanyalah mereka-mereka yang sememangnya menyokong tindak-tanduk Dr Asri menyampaikan kuliahnya.
Tindakan pihak JAIS ini sebenarnya amatlah perlu kepada penjelasan sebenar tentang penahanan Dr Asri pada malam tersebut. Selain dikatakan "tidak mempunyai tauliah", rasanya ada sesuatu yang perlu diperjelaskan oleh pihak JAIS kepada orangramai. Dr Asri senantiasa memberi pandangan yang berbeza apabila berbicara tentang bab-bab khilafiyah. Sememangnya berbeza pendapat itu dibolehkan dalam Islam, namun kecelaruannya ialah menghukum sesuatu amalan dengan mengatakan ianya bidaah, syirik dan sebagainya perlu dihentikan oleh beliau. Jika beliau tidak suka dengan amalan-amalan yang telah lama disepakati oleh ulama-ulama terdahulu tidak mengapa, tetapi mengajak orangramai turut tidak menyukainya dengan tuduhan-tuduhan yang berat amatlah tidak wajar. Kenapakah beliau seringkali mengutarakan permasalahan khilafiyah sedangkan terlalu banyak hal-hal lain yang perlu disentuh. Dr Asri pernah mengkritik pihak JAIS kerana melakukan intipan untuk menangkap pasangan yang berkhalwat. Maka dengan itu pihak JAIS juga mempunyai kuasa untuk menghalang Dr Asri berceramah di Selangor kerana ia adalah di bawah undang-undang yang sedia ada di Negeri Selangor.
Kebanyakan yang menyokong Dr Asri hanyalah mendengar ceramahnya tanpa menghayati apa kandungan ceramahnya. Maka dengan itu, bagi mereka apa yang Dr Asri nak cakap suka hati dialah tanpa ada perasaan untuk menyelami kata-kata dari Dr Asri. Untuk itu sama-samalah kita dengar petikan Dr Asri.


(Asri perli Dato' Dr. Haron Din.)


(Asri perlekeh Syed Jaafar Barzanji).

Monday, November 2, 2009

Asri Bukan Kebal Undang-Undang.

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay dekat sini, malam ini.Penahanan Mohd. Asri pada pukul 12 tengah malam itu disebabkan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.Bagaimanapun beliau dibebaskan selepas keterangannya diambil hampir sejam di balai polis Ulu Klang.Sebelum ditahan, sepasukan anggota polis dan pegawai JAIS berada di luar rumah banglo itu sejak pukul 8 malam.Dianggarkan, terdapat kira-kira 100 orang hadir mengikuti kuliah tersebut.Anggota polis dan JAIS mula memasuki pekarangan kediaman itu selepas orang ramai meninggalkan banglo tersebut kira-kira pukul 9.30 malam.Pegawai JAIS kemudiannya dilihat berbincang dengan Mohd. Asri kira-kira sejam, sebelum beliau dibawa tanpa digari ke Balai Polis Ulu Klang.

ulasan: Penahanan Asri oleh JAIS sepatutnya membuka mata orangramai yang terlalu taksub dengan fahaman yang dibawa oleh beliau. JAIS telah menjalankan tugas dengan cemerlang setelah mengkaji implikasi buruk yang menimpa umat Islam dengan fahaman-fahaman yang diajar oleh Asri. Negeri Selangor adalah sebuah negeri yang didukung dengan ikutan Mazhab Shafie yang berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Maka jika ada individu yang ingin mengamalkan fahaman yang tidak sealiran dengan fahaman Mazhab Shafie dipersilakan mencari tempat lain untuk mengamalkan fahaman mereka. Negeri Selangor juga tidak rela umat Islam yang ingin beramal dengan amalan yang telah dipersetujui oleh jumhur ulama' diganggu-gugat oleh individu seperti Asri dengan tuduhan bida'ah, sesat, syirik dan sebagainya.