Friday, November 13, 2009

Fahaman Pecah Belah Umat.

Isu Dr. Asri masih lagi menjadi perbualan hangat masakini. Ini ditambah lagi dengan kenyataan Saudara Shaari Sungib yang menempelak JAIS dengan mendedahkan 7 nama yang tidak diberikan tauliah untuk berceramah di Selangor. Pihak JAIS mengatakan bahawa ia tiada kaitan dengan fahaman Wahabi, namun kenapakah mereka-mereka ini tidak dibenarkan untuk berceramah? Jawapannya ialah kerana fahaman mereka-meraka ini membawa kepada perpecahan di kalangan umat-umat Islam di Selangor khasnya dan di seluruh negara amnya.
Di sini biarlah saya huraikan satu persatu kenapakah perpecahan berlaku:

Situasi 1.

Seorang hamba Allah menjemput rakan-rakannya di kalangan jemaah masjid untuk datang ke rumah beliau kerana beliau mengadakan majlis tahlil arwah kerana kematian ibunya. Hamba Allah ini ditegur oleh seseorang dengan mengatakan, "kenapa kamu lakukan perkara yang bida'ah ini?" "Tidakkah kamu tahu bahawa setiap bidaah itu sesat, dan jika sesat maka kamu akan dimasukkan ke dalam Neraka". Maka melentinglah hamba Allah tersebut lalu bertanya,"Dari mana kau belajar semua ini?" Maka dijawab oleh orang itu,"Semalam aku dengar kuliah Mufti Perlis di Surau Muhajirin, Taman Sri Ukay, maka aku wajib menyampaikannya kepada kamu". Hamba Allah itu menjawab,"Jika begitu Mufti Perlis itu telah menuduh ulama-ulama yang terdahulu, termasuklah guru-guru, datok, nenek dan yang lain-lain yang mengadakan majlis tahlil arwah sebagai orang sesat". Maka berlakulah pertelingkahan di antara hamba Allah ini dengan orang yang mendengar kuliah Mufti Perlis tersebut sehinggalah menjadi permusuhan di antara mereka.

Situasi 2.

Seorang hamba Allah sedang membaca Rawi daripada kitab Barzanji dalam satu majlis cukur jambul. Setelah majlis cukur jambul tersebut selesai, maka hamba Allah ini didatangi oleh seorang anak muda. "Wah! Sedap bacaan kamu, tapi sayang sebab kamu dah melakukan satu perkara yang syirik". Maka terngangalah hamba Allah yang membaca kitab Barzanji mendengar kata-kata anak muda tersebut, lalu beliau bertanya,"Apa yang syiriknya?". Dijawab oleh anak muda tersebut,"Minggu lepas saya ada mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh Mufti Perlis, malah dalam Youtube pun ada tentang kesyirikan membaca kitab Barzanji". Dijawab oleh hamba Allah tersebut,"Engkau ni tahu ke siapa yang mengarang kitab Barzanji tu?"Anak muda itu terus menjawab,"Aku tahu, tapi Mufti Perlis, Dr Asri kata Syeikh Ja'afar al-Barzanji tu bukannya seorang yang hebat, apa nak herankan"."Yang engkau baca ttu pun engkau tak faham, kau tahu tak, ada bacaan-bacaan dalam kitab tu yang menunjukkan engkau mempertuhankan Nabi Muhammad s.a.w, itu bahaya boleh syirik"."Kata Ust Rasul Dahri, daripada kau baca Barzanji, karaoke tu lebih baik lagi". Maka berlakulah pertengkaran sehinggakan melarat melibatkan hadirin-hadirin yang ada.

Situasi 3.

Sekumpulan anak muda yang tidak ke masjid ditarbiah oleh beberapa jemaah agar melazimkan diri ke masjid untuk berjemaah. Kumpulan anak muda tersebut menyatakan sebab-sebab mereka tidak mahu ke masjid. "Kami bukannya tak nak solat di masjid tu, cuma kami tak nak bersekongkol dengan perlaku-perlaku syirik dan bidaah". Maka ditanya oleh kumpulan jemaah tersebut,"Di mana yang dikatakan syirik, di mana pula yang dikatakan bidaah?"Kumpulan anak muda itu menjawab,"Lepas solat aja, kamu semua berwirid dengan nyaring, Imam pula dok baca Selawat Syifa, Selawat Tafrijiah bila berdoa. Lepas tu kalau malam Juma'at dok berkumpul ramai-ramai baca Yasin, tak ke bidaah tu?". Jemaah tersebut bertanya kepada kumpulan anak muda tersebut, "Dari mana kamu belajar semua ni?". Dijawab oleh kumpulan anak muda tersebut," Itulah awak semua tak tahu. Mufti Perlis yang ada Phd tu dah bagitahu dalam kuliah dia tentang kesyirikan beramal dengan Selawat Syifa, Selawat Tafrijiah. Semua tu Nabi tak pernah buat, memandai aja Imam masjid tu buat". "Dulu Ust Hashim Ghani pun dah kata, daripada wuduk hinggakan salam yang dilakukan oleh jemaah Masjid Ranjau Hantu K.Pilah, semuanya bidaah. Kami nak ikut macam Ust Hashim Ghani mengasingkan diri dari kamu semua".Maka berlakulah perdebatan demi perdebatan di kalangan mereka sehingga tidak lagi bertegur sapa.

Situasi 4.

Seorang anak muda sedang membaca Al-Quran di sebelah pusara ibunya. Bacaan anak muda itu terhenti apabila beliau ditegur oleh seorang laki-laki. "Tengah buat apa tu,"tanya laki-laki tersebut. Anak muda itu menjawab,"Saya sedang menghadiahkan bacaan Al-Quran untuk arwah ibu saya". Laki-laki itu terus berkata,"Nak buat apa kamu buat perkara sia-sia"."Kalau apa yang kamu buat tu baik, dah lama dah Nabi dengan sahabat buat. Tak payah buang masa, bukannya ibu kamu boleh dengar pun, lagipun tak sampai hadiah kamu tu". Anak muda itu menjawab,"Saya diajar oleh guru saya tentang amalan ini sewaktu saya mengaji di pondok dulu, di mana salahnya?".Laki-laki itu memberi penerangan,"Itulah kamu, kalau nak dengar kuliah, dengar daripada mereka yang ada Phd, Mufti pulak tu. Ini tidak, kamu ambil amalan pemikiran lama guru pondok kamu, tak betul tu". "Kamu tahu, ada seorang Ustaz, betul-betul hebat, Ust. Rasul Dahri namanya, dah kata baca Quran pada orang mati tak sampai, sia-sia aja". Anak muda tersebut marah maka berlakulah perkelahian di antara mereka di tanah perkuburan tersebut.

Inilah dia di antara situasi-situasi yang berlaku akibat daripada pemahaman yang di bawa oleh seorang Mufti yang berpendidikan Phd kepada orang awam. Tuduhan seperti bidaah, sesat, syirik kepada pengamal-pengamal tahlil, bacaan Yasin, bacaan Selawat Syifa, bacaan Barzanji dan sebagainya sepatutnya tidak disampaikan kepada orang-orang awam yang baru nak mencari pemahaman agama. Tuduhan-tuduhan yang amat berat inilah yang menjadikan perpecahan berlaku di kalangan umat Islam sehingga berlaku perdebatan, perbalahan dan sebagainya.

1 comment:

Ibn Barudin said...

Salam,teruskan menulis :)