Saturday, November 7, 2009

Isu Dr. Asri - Tak Selesai Lagi Ke!!!!!!!

Nampaknya pergolakan masih berlaku tentang seorang manusia bernama Asri Zainul Abidin. Ada beberapa perkara yang diperkatakan oleh Dr Asri yang menarik perhatian saya untuk menulis.
Pertamanya ialah berkenaan isu "TAULIAH" yang dikuat-kuasakan oleh setiap jabatan agama di seluruh negeri. Pendapat yang diberi oleh Dr Asri ketika ditemubual membuatkan saya bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oleh beliau. Sebagai seorang agamawan yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, malah dengan pengiktirafan daripada universiti luar dan dalam negara, maka seharusnya isu "TAULIAH" ini tidak berbangkit. Malah kewibawaan beliau menerajui Negeri Perlis sebagai Mufti sudah cukup untuk dinilai sebagai seorang yang berpendidikan.
Keduanya ialah apabila beliau menyelar pihak JAIS berkenaan ucapan seorang wakil rakyat bukan Islam di dalam sebuah masjid di Kelang. Ini juga saya setuju dengan apa yang dinukilkan oleh Dr Asri. Ugama Islam adalah untuk dikembangkan, bukan untuk disempitkan. Jika disekat golongan bukan Islam mendekati masjid dengan tujuan baik, maka Islam itu akan menjadi sempit.
Ketiga ialah berkenaan cara penangkapan beliau dilakukan dengan gerombolan anggota-anggota polis. Semua pihak sudah sedia maklum bahawa Dr Asri akan memberi ceramahnya di sebuah banglo di Taman Sri Ukay kerana ia telahpun dipaparkan di dalam laman web Dr Asri. Sepatutnya pihak JAIS harus bertindak sebelum ceramah itu diadakan dengan berbincang atau menghubungi pihak penganjur serta Dr Asri sendiri.
Selain dari itu, saya banyak juga tidak bersetuju dengan apa yang pernah diutarakan oleh Dr Asri apabila menyentuh bab-bab khilafiyah. Dr Asri seorang pengkritik, maka beliau juga saya rasa boleh menerima kritikan asalkan kita tidak memfitnahnya. Kritikan saya adalah berlandaskan kepada bukti-bukti percakapan dan tulisan-tulisanDr Asri sendiri yang tidak saya persetujui.
Dalam hal yang sedemikian, ia terjadi apabila seseorang itu mendapat pendidikan yang berbeza dengan berbagai-bagai kefahaman mengikut keyakinan mereka sendiri.Saya juga dikritik dengan berbagai-bagai oleh beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan apa yang saya perkatakan. Namun keyakinan saya berlandaskan daripada apa yang telah diajar oleh guru saya sewaktu di pondok dahulu, maka saya tetap mempertahankannya. Ini ditambah lagi apabila setiap amalan yang saya lakukan dirujuk terlebuh dahulu kepada guru-guru lain yang alim.
Kini timbul pula hal permohonan maaf di antara PGSM dan Dr Asri. Bagi saya jika kita ikhlas tak salah kalau kita memohon maaf walaupun diminta secara terbuka.Saya juga ingin memohon maaf kepada Dr Asri jika apa yang pernah saya kritik tentang diri beliau.Namun jika ada perkara-perkara yang saya rasa tidak bersesuaian, maka saya akan terus menegur walaupun ianya pahit untuk diterima oleh semua pihak.

No comments: