Tuesday, December 29, 2009

Saman vs Saman.



Tuduhan Dr Asri ke atas Ust. Zamihan.

Saman balas RM100j

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, mengemukakan notis saman balas RM100 juta selepas menerima notis saman RM10 juta daripada bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin, baru-baru ini.
Menurutnya, melalui saman balas itu beliau turut meminta penjelasan kenapa beliau didakwa berfahaman Syiah serta mengkafirkan ulama Arab Saudi dan penduduk Makkah sebelum ini.
“Saman balas itu dibuat pada bulan ini juga (Disember) dan saya bagi tempoh untuk beliau jawab dalam masa tujuh hari, tapi selepas habis tempoh dia tidak jawab,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Berikutan itu, katanya, beliau kini dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan susulan memfailkan kes terbabit di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam beberapa hari lagi.



“Kes ini akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam beberapa hari lagi,” katanya, yang melantik firma guaman Abdul Kadir & Co untuk mewakilinya.


Zamihan sebelum ini dikatakan menerima notis saman daripada Dr Asri melalui firma Mohamed Abdullah & Co yang memberikannya tempoh 48 jam untuk menjawab balik notis berkenaan, berikutan kenyataan dibuatnya dalam laporan sebuah akhbar arus perdana bulan lalu yang bertajuk Jakim: Asri Palsukan Kelulusan Syariah.

Melalui notis saman dikemukakan itu, beliau dituntut supaya menarik balik tuduhan terhadap Dr Asri dan memohon maaf atas kenyataan dalam laporan akhbar terbabit, yang mengaitkan Dr Asri dengan pemalsuan kelayakan di bidang syariah dari Universiti Jordan dan banyak menggunakan metodologi fahaman Wahabi iaitu sayap dalam Islam yang memahami ajaran agama secara ekstrem.

Disebabkan laporan itu juga beliau dituntut ganti rugi, termasuk ganti rugi teladan dan khas, yang berjumlah RM10 juta.

Menurut Zamihan, beliau sebenarnya tidak pernah mengeluarkan kenyataan pemalsuan ijazah seperti disiarkan akhbar terbabit, sebaliknya ia akibat salah faham penulis berkenaan.

“Saya tidak kata Dr Asri palsukan ijazah, saya kata lain, tapi ditulis lain,” katanya, yang kesal dengan laporan terbabit.

Berikutan itu beliau turut dipanggil pihak atasan Jakim untuk memberikan penjelasan dan menasihatkannya supaya menarik balik kenyataan terbabit.

“Selepas itu, saya dipanggil dan minta tarik balik kenyataan dibuat, tetapi saya jelaskan ia kenyataan peribadi, bukannya mewakili jabatan,” katanya.

Berhubung saman balas yang dibuatnya terhadap Dr Asri, katanya, ia adalah rentetan daripada kisah lama bermula sejak 2001 iaitu selepas penerbitan dua buku ditulisnya bertajuk Salafi satu Penilaian dan Menjawab Kritikan Fahaman Wahabi di Malaysia.

“Selepas penerbitan buku itu saya dikritik, dikatakan Syiah dan mengkafirkan ulama Saudi, dikeluarkan dalam tulisan. Saya dikatakan Syiah bukan saja di Malaysia, malah sampai ke Singapura,” katanya.

Zamihan berkata, beliau tidak berniat hendak bersengketa dengan sesiapa termasuk Dr Asri, jauh sekali untuk menaruh dendam dalam persoalan terbabit.

“Saya dengan dia tidak ada apa-apa masalah, kalau jumpa boleh minum bersama, tetapi apabila dia hantar notis saman, saya saman balas,” katanya.

Sementara itu, peguam Dr Asri, Mohamed Abdullah, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh memberikan sebarang komentar mengenai perkara terbabit.


Monday, December 28, 2009

Saman! Saman! Saman!!!!!!


Nampaknya bukan hanya tokoh politik ataupun artis-artis tempatan yang menggunakan pendekatan saman untuk sesuatu kes, tetapi pendekatan saman ini dah merebak pula kepada kumpulan agamawan. Notis saman di atas dikeluarkan oleh peguam yang dilantik oleh mantan Mufti Perlis, Dr. Asri ke atas Timbalan Pengarah JAKIM, Ustaz Zamihan Bin Mat Zin al-Ghari.
Nampaknya kes Dr Asri ini tidak terhenti di antara beliau dan JAIS sahaja, namun ia melibatkan juga pihak yang lain.
Bagi saya kes ini semakin bercelaru apabila kedua-dua pihak terus berhujah baik dalam ceramah ataupun di laman web. Bagi pihak Dr. Asri bersama-sama teman seperjuangannya, mereka terus mempertahankan fahaman-fahaman yang dibawa walau dengan apa cara sekalipun.Bagi pihak Ustaz Zamihan, beliau menggunakan blog peribadinya yang dilihat semakin ramai pengunjungnya untuk terus memberikan kefahaman kepada pelayar-pelayar blog beliau, baik dari kalangan penyokong ataupun penentang.
Sempena cuti panjang Awal Muharram baru-baru ini, saya sempat bertemu dengan beberapa guru-guru pondok dan bertanyakan tentang pendapat mereka berkenaan kes Dr Asri dan fahaman-fahaman yang dibawanya.Jawapan yang diberi oleh mereka amat ringkas iaitu,"Biar berjuta hujah dan dalil pun yang dibawa, mereka-mereka ini tak akan mahu berundur kerana hati-hati dan perasaan mereka-mereka ini telah ditanam dengan fahaman sebegini".Guru-guru pondok tersebut berpesan,"Yakinlah dengan apa yang kita lakukan, dan terus sahaja lakukan dan ajarlah orang lain untuk sama-sama lakukan kerana itulah yang sebaik-baiknya".
Seterusnya guru-guru tersebut mengatakan,"Jika ada pihak yang sering menuduh apa yang kita lakukan itu sebagai bida'ah, syirik, sesat, mungkar dan sebagainya, biarkanlah kerana itu adalah bisikan Syaitan dan Iblis yang mahu mereka berkata begitu".
Seterusnya saya bertanya tentang ikutan anak-anak muda terutama sekali penuntut-penuntut pengajian tinggi yang terpengaruh dengan fahaman sebegini. Jawapan guru-guru tersebut ialah,"Kita juga melihat bagaimana hiburan-hiburan di telivisyen telah mempengaruhi anak-anak muda kerana bisikan Syaitan dan Iblis, maka jangan hairan jika pengaruh mereka juga akan terus membesar".
Setelah mendengar jawapan daripada guru-guru pondok tersebut, saya berfikir sejenak tentang pengaruh Syiah yang berjuta-juta berhimpun menyambut Peristiwa Karbala.Mungkin fahaman-fahaman Wahabi ini akan terus membesar dan membesar kerana tiada langkah membenterasnya dari awal lagi.Di antara sebab pengaruh Wahabi yang semakin tersebar ialah:

1. Ceramah di Youtube dikuasai oleh mereka. (Kurangnya penyampaian daripada Ahli Sunnah)
2. Buku-buku terbitan mereka banyak di pasaran. (Tiada kawalan daripada pihak berwajib)
3. Dilantik sebagai Mufti untuk satu negeri. (Mufti-Mufti negeri lain terus membisu kecuali Mufti Perak)
4. Penubuhan Institut seperti Inst. Ibn Qayim, Madrasah I'tiba as-Sunnah dll. (Tidak ada kawalan daripada Jabatan-Jabatan Agama pada peringkat awal)
5. Pihak berwajib kurang peka dengan kehadiran mereka-mereka.

Friday, December 25, 2009

Solat Subuh 25/12/2009 Di Ar-Rahimah.

Mungkin tarikh 25/12/2009 ini amat sinonim dengan beberapa masyarakat kita yang jahil tentang agama. Dengan itu tidak hairanlah jika ramai masyarakat Islam di kalangan bangsa kita sendiri begitu ghairah untuk menyambut malam "Christmas Eve" sehingga ke waktu dinihari. Mereka ini seolah-olah tidak tahu betapa sambutan "Christmas Eve" ini adalah untuk golongan-golongan Nasara yang terang-terangan menolak agama Islam.
Pagi Jumaat yang penuh dengan keberkahan ini jatuh pada 25/12/2009 tidak ada kena mengena untuk dikaitkan dengan sambutan Hari Christmas. Jumaat adalah penghulu segala hari dan umat Islam senantiasa menyambutnya sebagai Hari Raya.
Sewaktu malaksanakan solat Subuh di Masjid Ar-Rahimah, saya hampir-hampir mengalirkan airmata apabila Imam yang bertugas membaca Surah Sajadah dan Al-Insan dengan begitu menyentuh benak hati.Lantunan suara beserta dengan alunan lagu beliau menyampaikan bacaan-bacaan tersebut boleh membuatkan kita rasa insaf dan merasa begitu kerdilnya kita di sisi Allah swt. Inilah dia kelebihan seorang hafiz Al-Quran apabila dilantik menjadi Imam, boleh menarik ramai jemaah datang bersolat kerana bacaan-bacaannya yang begitu baik sekali.
Sebelum ini Imam hafiz tersebut iaitu Ust. Syafiq pernah digandingkan bersama seorang lagi Imam hafiz iaitu Ustaz Lokman untuk mengimami solat Tarawikh. Ternyata gandingan mereka berdua membuatkan jemaah-jemaah tempatan tidak lari ke masjid-masjid lain kerana terlalu seronok dan asyik dengan bacaan-bacaan ayat Al-Quran dari kedua-dua hafiz ini. Seandainya setiap masjid meletakkan Imam-Imam hafiz dalam mengepalai solat berjemaah, pada hemat saya akan memberi daya penarik kepada masyarakat setempat untuk berjemaah. Mungkin dengan meletakkan mereka-mereka yang mahir ini setaraf dengan golongan professional dan dibayar mengikut skim gaji pekerja professional, akan lahirlah lebih ramai lagi penghafal-penghafal Al-Quran seperti Ust. Syafiq dan Ust Lokman.

Thursday, December 17, 2009

Pembongkaran Tauhid 3 Serangkai - Ittiba Us Sunnah Kepanasan.

Seminar Aqidah Di Jempol.

ARKIB : 16/11/2009

1)Mengapa tauhid tiga serangkai?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

ARKIB : 30/11/2009

2)Tauhid tiga serangkai disyariat dalam Islam?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

ARKIB : 07/12/2009

3)Tauhid uluhiah dan rububiah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

ARKIB : 14/12/2009

4)Dalil sanggah beza tauhid uluhiah dan rububiah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Setelah pembongkaran demi pembongkaran tentang kebathilan Tauhid 3 Serangkai dilakukan oleh Panel Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan di Utusan Malaysia,nampaknya Madrasah Ittiba Us Sunnah Kuala Pilah tidak senang duduk. Akibat tidak dapat lagi menjawab pembongkaran tersebut di dada-dada akhbar, maka Madrasah Ittiba Us Sunnah menjawabnya dalam laman webnya Al-Miizan yang ditulis oleh ustaz mereka. Di bawah ini adalah jawapan yang diberi oleh mereka dan penulis akan mengulas apa yang mereka jawab.

TAUHID TIGA SERANGKAI MEMANG BERASASKAN DALIL SYARAK
Oleh Ustaz Ahmad Kamil Halim

Assalamualaikum,

Untuk beberapa minggu , pihak akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan Relung Cahaya pada setiap hari Isnin menyiarkan perbahasan tauhid tiga serangkai yang dihasilkan oleh pihak Panel Penyelidikan Yayasan Sofa ( atau singkatannya PPYS), Negeri Sembilan. Setelah mengikuti tulisan-tulisan berkenaan, saya tertarik untuk memberi sedikit pandangan. Diharap pandangan yang bakal saya tampilkan akan diberi perhatian , dibuat kajian lanjutan oleh pihak PPYS . Jika tidak , maka tidak berbaloilah saya menghabiskan masa menulis artikel ini.

ulasan: Nak buat kajian apa lagi sedangkan pihak PPYS dah kaji sedalam-dalamnya tentang kebathilan Tauhid 3 ini. Sepatutnya Ittiba Us Sunnah buat kajian terperinci tentang kebathilan Tauhid 3 Serangkai ini.

Pihak PPYS cuba menafikan sekeras-sekerasnya kewujudan tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wa sifat atas kaedah pembahagian kepada tiga bahagian dengan alasan tiada dalil syarak dari Al Quran , hadis nabi dan athar para sahabat yang menyebut begitu. Benarkah begitu? Jika mahu dicari dalil secara khusus ( spesifik) sudah tidak dijumpai dalilnya. Begitu juga jika mahu dicari dalil bahawa sifat Allah Taala hanya 20 sifat sahaja maka tidak akan dijumpai dalilnya. Jika mahu dicari dalil bahawa hadis Nabi dibahagikan kepada tiga bahagian ( hadis sohih, hasan dan dhaif ) maka tidak dijumpai dalilnya. Dari mana datang nama-nama dalam hukum-hukum tajwid? Dari mana datangnya ilmu usul feqh ? Dari mana datangnya ilmu usul hadis, ilmu usul tafsir dan sebagainya.

ulasan: Dah terang-terang tiada dalil, sedangkan puak-puak Wahabi selalu berkeras minta dalil bagi setiap amalan baik yang mereka bidaahkan. Bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah, mereka memegang bukan sahaja kepada Al-Quran dan Sunnah, tetapi daripada apa yang disepakati oleh ulama mukatabar.Siapa kata pengajian Sifat 20 tidak berasaskan dalil? Baiklah, sedikit sebanyak saya huraikan di sini:

Wujud: dalilnya dari Surah al-Fusilat :37.

Qidam: dalilnya dari Surah al-Hadid:3.

Baqa': dalilnya dari Surah al-Qasas:88.

Mukhalafatul Lil Hawadis: dalilnya dari Surah al-Syura:11.

Qiamuhu Binafsihi: dalilnya dari Surah al-Baqarah:255.

Wahdaniyat: dalilnya dari Surah al-Ikhlas:1-4.

Qudrat: dalilnya dari Surah Qaf:38.

Iradat: dalilnya dari Surah al-Qasas:68./as-Syura:49.

Ilmu: dalilnya dari Surah al-An'am:59.

Hayat: dalilnya dari Surah Furqan:58. dan seterusnya.............

Sebagai contoh lebih jelas, Rassulullah sa.w. tidak pernah mengajar para sahabat hukum tajwid seperti hukum idgham , hukum mad, hukum ikhfa’ dan sebagainya. Namun ianya bukanlah satu perkara baru yang dilarang kerana hanya bersifat sebagai perantaraan ( wasilah) dalam memahami ilmu dalam rangka membawa kita memahmi maksudnya ( maqasid). Banyak lagi contoh-contoh lain dalam pelbagai pembahagian bidang ilmu yang tidak akan dijumpai dalil secara khusus.

ulasan: Sekarang pandai pula mereka berkata ianya bukanlah satu perkara baru yang dilarang. Selama ini banyak perkara-perkara baru yang baik yang diajar oleh ulama-ulama muktabar, mereka tuduh sesat, bidaah, syirik dan sebagainya.Bila kena tang batang hidung sendiri pandai pulak mereka berdalih itu dan ini. Itulah sebabnya kalau kita ni belum sampai tahap mushtahid mutlak, janganlah nak pandai-pandai buat penafsiran sendiri sampai menghukum sesuatu amalan dengan bidaah, sesat, syirik dan sebagainya.Bila diajak mengikut ajaran mazhab, mereka kata zaman Rasulullah dan sahabat tak ada pun ikut mazhab.Ini menunjukkan kesombongan mereka seolah-olah nak samakan dari mereka macam para sahabat di zaman Rasulullah s.a.w.Bila diajak mengikut ajaran dari Kitab Tuhfah dan Nihayah, mereka tolak, tetapi ambil pengajian daripada karangan Abu Bakar Ash'ary.Inilah susahnya kalau cuba nak jadi jaguh sedangkan pengajian ilmu tak sedalam mana pun.

Tuesday, December 15, 2009

JAWI Ikut Jejak JAIS.

Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu atau pihak yang memberi ceramah tanpa tauliah, termasuk menyalahguna peranan masjid dengan menjadikannya medan memecah-belahkan masyarakat.
Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali, berkata mereka yang ditangkap melakukan kesalahan itu boleh didakwa mengikut Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah dengan sabit kesalahan boleh dihukum dua tahun penjara atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan mengikut akta ini sudah dikuatkuasakan sejak 1995, namun kita akan memandang lebih serius mulai tahun depan bagi mengelakkan daripada terus berlaku kekecohan dalam masyarakat,” katanya selepas Majlis Berkhatan Beramai-Ramai peringkat Bandar Tun Razak anjuran gabungan Persatuan Penduduk dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Bandar Tun Razak, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Penganjur program berkenaan, Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi.
Menurut Che Mat, Jawi banyak melakukan penangkapan sebelum ini ke atas individu yang tidak mempunyai tauliah tetapi ia tidak dihebohkan kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan yang seterusnya menjadi krisis dalam masyarakat.
"Selain mereka yang tidak mempunyai tauliah, individu yang diberi hak mengadakan ceramah tetapi menyalah guna institusi masjid juga tidak terkecuali daripada tindakan tegas kerana pentauliahan yang diberi bukan lesen besar untuk mereka bertindak sesuka hati menyampaikan perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Che Mat berkata, Jawi akan berjumpa dan menasihati individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan berkenaan dan tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya mengulang kesalahan sama.
“Saya percaya dengan cara ini, langkah pencegahan aktiviti salah guna masjid dan individu tanpa tauliah dapat dilakukan dengan cara lebih terkawal,” katanya.

ulasan: Ini satu perkembangan yang amat baik bagi membendung unsur-unsur pemecahbelah umat Islam oleh pendakwah-pendakwah yang tidak tahu menghormati adab berceramah. Kalau di sekitar Wilayah Persekutuan, memang banyak terdapat unsur-unsur pemecah-belah ini disampaikan di premis-premis persendirian agar tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa agama. Ada di antara mereka ini dijemput dan dibawa masuk secara bersembunyi oleh beberapa individu dengan alasan menyampaikan dakwah. Contohnya apabila ada individu-individu tertentu membawa masuk Rasul Dahri ke premis-premis persendirian, kemudian berpindah-pindah ke tempat lain agar tidak dapat dikesan. Pihak berwajib mestilah lebih tegas dengan tidak membenarkan langsung kemasukan-kemasukan pendakwah dari luar ini menyampaikan kuliah-kuliah mereka yang dilhat lebih kepada memecah-belahkan kesatuan umat Islam yang sudah lama sedia terjalin tanpa apa-apa masalah.


Friday, December 11, 2009

Isu Tauliah Di Selangor - Sultan Selangor Tegas.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa pihak yang ingin berdakwah dan mengajar agama di negeri itu perlu mendapatkan tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memastikan dakwah yang disampaikan betul dan mengelakkan pengembangan ajaran sesat.

Baginda bertitah, tauliah daripada Mais merupakan salah satu cara untuk memastikan perpaduan ummah yang kukuh di negeri itu, tidak dirosakkan melalui dakwah fahaman yang berpuak-puak dan juga dakwah atau pengajaran mengelirukan yang boleh memecah belahkan kesatuan umat Islam di Selangor.

"Jawatankuasa Tauliah Mais telah menguatkuasakan kaedah-kaedah tauliah yang diberi di bawah Seksyen 118 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 yang memperuntukkan penalti bagi kesalahan mengajar agama Islam tanpa tauliah.

"Justeru, sebagai Muslim yang benar-benar beriman kepada Allah maka patuhilah ajaran agama Allah yang kita anuti ini, jadilah individu yang bertakwa dengan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan segera apa yang dilarangnya," titah baginda semasa merasmikan Masjid Bandar Diraja Klang hari ini.

Turut berangkat ke majlis perasmian itu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Baginda bertitah, adalah perlu Jais membuat pengawalan, terutama berhubung ceramah atau pengajaran agama Islam di negeri itu, kerana ramai orang dari luar yang datang ke Selangor, sebahagiannya bukan hanya mencari rezeki, tetapi juga berdakwah serta mengajar perkembangan agama Islam.

Titah baginda segala peraturan dan prosedur yang dibuat bertujuan untuk pembangunan agama Islam dan perpaduan ummah hendaklah dipatuhi supaya umat Islam dipandang mulia dan dapat dihayati oleh umat bukan Islam untuk mendekati serta memahami agama Islam yang sebenarnya.

"Akhir-akhir ini terlalu banyak permasalahan sosial berlaku dalam masyarakat kita antaranya permasalahan perpaduan umat Islam, ajaran sesat, fanatik berkumpulan, fahaman ekstremis dan keruntuhan moral di kalangan muda-mudi kita yang kesemuanya memerlukan kepada kekuatan dan kebijaksanaan kita untuk saling bekerjasama mencari jalan penyelesaiannya," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan, walaupun terlalu banyak isu fitnah dan hasutan, salah faham, perselisihan dan perpecahan berlaku pada masa ini, semua pihak harus sedar bahawa cabaran itu bukan sahaja datang dari luar tetapi juga dari kelemahan, kelalaian, kejahilan dan permasalahan dalaman pihak itu sendiri yang kurang peka terhadap perihal agama, anak bangsa dan negara.

"Kadangkala sikap yang terlalu optimis dengan ideologi kumpulan masing-masing dan memperbesarkan isu-isu yang remeh temeh menyebabkan perpecahan dan sengketa di antara ummah," titah baginda.

Ulasan: Sepatutnya para pendakwah-pendakwah harus akur dengan apa yang dititahkan oleh baginda Sultan. Nampaknya ketegasan Sultan Selangor harus dipandang serius oleh pendakwah-pendakwah yang cuba membawa fahaman memecah-belahkan umat Islam. Sememangnya ada pengecualian kepada pendakwah-pendakwah yang mempunyai kedudukan dalam jabatan agama negeri lain untuk berceramah, tetapi jika penyampaian yang dibuat hanyalah mengikut seleranya sendiri tanpa mengikut garis panduan berceramah yang telah ditetapkan, maka penngecualian tersebut boleh terbatal dengan sendiri. Pihak Jawatankuasa Agama Negeri-Negeri mempunyai kuasa samada memberi tauliah atau tidak kepada mana-mana pendakwah yang dilihat membawa fahaman yang tidak selari dengan amalan-amalan yang telahpun dipersetujui oleh baginda Sultan sebagai ketua agama. Pentauliahan diberi bukanlah berdasarkan kelayakan dengan sijil berjela-jela, tetapi mestilah mempunyai adab dalam menyampaikan dakwah apatah lagi bila memasuki negeri orang lain. Janganlah kita ingat apabila kita memasuki kawasan orang lain, maka kita boleh sesuka hati melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan tuntutan amalan yang telah diperkenankan oleh baginda Sultan.

Tuesday, December 8, 2009

Petugas Masjid Amanah Allah.


Hari ini aku bangun agak lewat sedikit untuk melakukan qiamulail iaitu pada jam 3.45 pagi. Namun sempat jugalah untuk bertahajud, solat taubat, solat hajat dan witir. Cuma bezanya kali ini kesempatan untuk melakukan solat tasbih tidak dapat dilaksanakan. Jam sudah menunjukkan pukul 5.20 pagi dan kedengaran suara bacaan Al-Quran dari masjid Kampung Pandan Dalam. Aku pun mula melangkah ke masjid berhampiran rumah ku yang hanya mengambil masa perjalanan 2-3 minit sahaja. Masjid Ar-Rahimah berhampiran rumah ku sudah pun diubah suai dengan karpet yang baru, sistem hawa dingin, lampu down-light yang indah, namun masih sunyi dan gelap gelita di kala Subuh hampir menjelma. Sambil menunggu masjid dibuka, aku duduk di bahagian kolah masjid sambil membaca apa-apa surah yang ku hafal. Di luar sana sudah ada 3 biji kereta yang menunggu masjid dibuka namun kelihatan mereka hampa kerena terlalu lama menunggu. Akhirnya ketiga-tiga kereta tersebut pergi tanpa menunggu dan mungkin ke masjid lain yang sudahpun dibuka. Selesai 2 surah pendek yang ku baca kelihatan masjid dibuka pada jam 5.35 pagi oleh seorang mantan Imam yang sudah tidak lagi bertugas sebagai Imam.
Setelah melakukah solat tahiyatul masjid aku agak hairan dengan persekitaraan masjid yang telahpun cantik diubah suai seakan-akan tidak ada pengurusannya. Ku lihat sejadah Imam masih lagi berlipat dan tidak berbentang. Sedang aku beriktikaf dan beberapa jemaah sedang solat, aku dikejutkan dengan bacaan Al-Quran tanpa bacaan taawuz dan basmallah daripada kaset yang dipasang. Kelihatan juga oleh ku, Noja masjid berlegar-legar di dalam masjid membawa kunci ke sana dan ke mari tanpa tujuan. Akhirnya setelah azan berkumandang dan solat Subuh didirikan, aku hanya berdoa sendirian dan meninggalkan jemaah lain kerana tidak mahu hati ini terus berkata-kata keseorangan tentang apa yang tidak berkenan di hati ku.

Kesimpulannya ialah:

1)Apakah mereka-mereka yang diamanahkan memegang kunci masjid tidak merasa bersalah apabila membiarkan sebahagian jemaah menunggu-nunggu di luar masjid?
2) Apakah fungsi seorang Noja yang hanya membiarkan sejadah Imam, sejadah belakang Imam tidak teratur?
3) Keadaan karpet yang baru, apakah petugas sebagai Noja tidak nampak kekotoran yang ada?
4) Para bilal dan Imam seharusnya lebih dulu ke masjid daripada jemaah-jemaah lain disebabkan merekalah orang yang paling hampir sekali tinggal di masjid.
5) Apakah tidak ada kesepakatan di antara petugas-petugas masjid seolah-olah dilihat berkira-kira dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Sebenarnya perkara begini sudah agak lama terjadi, namun tiada juga perubahan berlaku tentang sikap-sikap petugas-petugas masjid. Adakalanya jemaah juga memainkan peranan seperti melakukan azan di kala tiada bilal, membentangkan sejadah Imam dan belakang Imam dan sebagainya. Namun yang ingin saya pertikaikan di sini ialah tentang amanah Allah yang anda semua pikul apatah lagi anda dibayar untuk tugas-tugas ini. Jika kita tidak mampu untuk melakukan tugas-tugas sebegini, maka kita telah mengkhianati amanah yang telah diberi dan tuan-tuan sebagai orang yang berilmu lebih mengerti tentang hukum-hakamnya daripada saya yang serba kekurangan ini.

Friday, December 4, 2009

Doa Laknat!!!!!!

TG Dato' Nik Aziz.
Ribuan Penyokong TG Dato' Nik Aziz.

"Kita Doa Sampai Pecah Perut". Itulah ungkapan TG Dato' Nik Aziz tentang kontroversi pembahagian royati minyak kepada Negeri Kelantan oleh kerajaan pusat.Sebelum ini ada suara-suara yang membidas tindakan TG Nik Aziz apabila beliau ingin melakukan doa laknat jika pemberian royalti minyak kepada Negeri Kelantan tidak dilakukan.
Sememangnya doa adalah satu-satunya senjata umat Islam yang paling ditakuti oleh musuh-musuhnya. Umat Islam disaran agar berdoa dengan perkara-perkara yang baik-baik walaupun dengan musuh-musuh Islam.Contohnya, Rasulullah s.a.w sendiri pernah dilontar dengan batu hingga berdarah oleh penduduk-penduduk Thaif sewaktu Baginda Rasulullah s.a.w ingin menyampaikan dakwahnya.Namun keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w, Baginda Rasulullah s.a.w berdoa kebaikan untuk penduduk-penduduk Thaif walaupun Malaikat datang dengan tawaran untuk menghancurkan penduduk-penduduk Thaif yang menzalimi Rasulullah s.a.w.
Namun dalam hal pembahagian royalti minyak untuk Negeri Kelantan, Kerajaan Pusat sepatutnya tidak mengingkari janji-janjinya apabila menandatangani perjanjian sewaktu ingin mencari gali minyak di Kelantan.Hak royalti itu adalah hak rakyat Kelantan dan seharusnya dipulangkan kepada mereka untuk dimanafaatkan.Sekiranya Kerajaan Pusat tidak memungkiri janji seperti apa yang telah dipersetujui sebelum ini sewaktu perjanjian dibuat, maka tidak akan timbul isu "Doa Laknat" tersebut.Royalti minyak ini sebenarnya adalah hak mutlak Negeri Kelantan dan TG Dato' Nik Aziz berhak menggunakannya demi membangunkan negeri yang di bawah pemerintahannya.
Kita takut sekiranya hasrat TG Dato' Nik Aziz untuk melakukan "Doa Laknat" benar-benar berlaku dan dengan izin Allah swt doa tersebut dimakbulkan, maka sesiapa yang bertanggung-jawab melakukan penginayaan kepada beliau dan rakyat Kelantan akan menanggung akibat yang buruk. Percayalah bahawa salah satu doa yang dimakbulkan oleh Allah swt, ialah doa orang yang dizalimi. Dengan kewarakan TG Dato' Nik Aziz dan beberapa lagi tokoh agamawan yang ada, sewajibnya kita takut kerana doa itu adalah senjata utama umat Islam.Cara TG Dato' Nik Aziz ini juga tidak boleh dipandang remeh kerana beliau membuat pengaduan terus kepada Allah swt dan sewajibnya kita percaya dan yakin dengan sepenuh hati bahawa Allah swt boleh memperkenankan doa orang-orang yang beriman apabila dizalimi.Ini ditambah lagi apabila ada beberapa penyokong TG Dato' Nik Aziz yang melakukan solat hajat di hadapan Ka'abah.

Wednesday, December 2, 2009

Rasul Dahri Fitnah TG Dato' Haron Din & Darussyifa'

TG Prof. Dato' Hj. Haron Din Al-Hafiz.




Rasul Dahri seorang penceramah bebas yang berasal dari Singapura telah mentohmah dan memfitnah Tuan Guru Prof. Dato' Hj. Haron Din Al-Hafiz dalam video yang dipaparkan di atas.Dalam minit yang ke 7:30-8:58, Rasul Dahri mentohmah TG Dato' Haron Din sebagai seorang pawang sihir dan menyatakan Pusat Perubatan Darussyifa' di Bangi sebagai pusat kemungkaran.Dengan penuh angkuhnya Rasul Dahri juga menyatakan setiap pesakit yang mengikut kaedah rawatan daripada beliau akan sembuh 90%.
Selain itu Rasul Dahri juga dengan sewenang-wenangnya menuduh para bomoh yang ada sebagai tukang sihir sedangkan kebanyakan perawat perubatan Islam yang ada di Malaysia ini menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai ikhtiar kepada penyembuhan.Tuduhan Rasul Dahri ke atas pengasas Darussyifa iaitu TG Dato' Haron Din adalah satu tuduhan yang melampau dan tidak berbukti.