Friday, December 11, 2009

Isu Tauliah Di Selangor - Sultan Selangor Tegas.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa pihak yang ingin berdakwah dan mengajar agama di negeri itu perlu mendapatkan tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memastikan dakwah yang disampaikan betul dan mengelakkan pengembangan ajaran sesat.

Baginda bertitah, tauliah daripada Mais merupakan salah satu cara untuk memastikan perpaduan ummah yang kukuh di negeri itu, tidak dirosakkan melalui dakwah fahaman yang berpuak-puak dan juga dakwah atau pengajaran mengelirukan yang boleh memecah belahkan kesatuan umat Islam di Selangor.

"Jawatankuasa Tauliah Mais telah menguatkuasakan kaedah-kaedah tauliah yang diberi di bawah Seksyen 118 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 yang memperuntukkan penalti bagi kesalahan mengajar agama Islam tanpa tauliah.

"Justeru, sebagai Muslim yang benar-benar beriman kepada Allah maka patuhilah ajaran agama Allah yang kita anuti ini, jadilah individu yang bertakwa dengan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan segera apa yang dilarangnya," titah baginda semasa merasmikan Masjid Bandar Diraja Klang hari ini.

Turut berangkat ke majlis perasmian itu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Baginda bertitah, adalah perlu Jais membuat pengawalan, terutama berhubung ceramah atau pengajaran agama Islam di negeri itu, kerana ramai orang dari luar yang datang ke Selangor, sebahagiannya bukan hanya mencari rezeki, tetapi juga berdakwah serta mengajar perkembangan agama Islam.

Titah baginda segala peraturan dan prosedur yang dibuat bertujuan untuk pembangunan agama Islam dan perpaduan ummah hendaklah dipatuhi supaya umat Islam dipandang mulia dan dapat dihayati oleh umat bukan Islam untuk mendekati serta memahami agama Islam yang sebenarnya.

"Akhir-akhir ini terlalu banyak permasalahan sosial berlaku dalam masyarakat kita antaranya permasalahan perpaduan umat Islam, ajaran sesat, fanatik berkumpulan, fahaman ekstremis dan keruntuhan moral di kalangan muda-mudi kita yang kesemuanya memerlukan kepada kekuatan dan kebijaksanaan kita untuk saling bekerjasama mencari jalan penyelesaiannya," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan, walaupun terlalu banyak isu fitnah dan hasutan, salah faham, perselisihan dan perpecahan berlaku pada masa ini, semua pihak harus sedar bahawa cabaran itu bukan sahaja datang dari luar tetapi juga dari kelemahan, kelalaian, kejahilan dan permasalahan dalaman pihak itu sendiri yang kurang peka terhadap perihal agama, anak bangsa dan negara.

"Kadangkala sikap yang terlalu optimis dengan ideologi kumpulan masing-masing dan memperbesarkan isu-isu yang remeh temeh menyebabkan perpecahan dan sengketa di antara ummah," titah baginda.

Ulasan: Sepatutnya para pendakwah-pendakwah harus akur dengan apa yang dititahkan oleh baginda Sultan. Nampaknya ketegasan Sultan Selangor harus dipandang serius oleh pendakwah-pendakwah yang cuba membawa fahaman memecah-belahkan umat Islam. Sememangnya ada pengecualian kepada pendakwah-pendakwah yang mempunyai kedudukan dalam jabatan agama negeri lain untuk berceramah, tetapi jika penyampaian yang dibuat hanyalah mengikut seleranya sendiri tanpa mengikut garis panduan berceramah yang telah ditetapkan, maka penngecualian tersebut boleh terbatal dengan sendiri. Pihak Jawatankuasa Agama Negeri-Negeri mempunyai kuasa samada memberi tauliah atau tidak kepada mana-mana pendakwah yang dilihat membawa fahaman yang tidak selari dengan amalan-amalan yang telahpun dipersetujui oleh baginda Sultan sebagai ketua agama. Pentauliahan diberi bukanlah berdasarkan kelayakan dengan sijil berjela-jela, tetapi mestilah mempunyai adab dalam menyampaikan dakwah apatah lagi bila memasuki negeri orang lain. Janganlah kita ingat apabila kita memasuki kawasan orang lain, maka kita boleh sesuka hati melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan tuntutan amalan yang telah diperkenankan oleh baginda Sultan.

No comments: