Tuesday, December 15, 2009

JAWI Ikut Jejak JAIS.

Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu atau pihak yang memberi ceramah tanpa tauliah, termasuk menyalahguna peranan masjid dengan menjadikannya medan memecah-belahkan masyarakat.
Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali, berkata mereka yang ditangkap melakukan kesalahan itu boleh didakwa mengikut Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah dengan sabit kesalahan boleh dihukum dua tahun penjara atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan mengikut akta ini sudah dikuatkuasakan sejak 1995, namun kita akan memandang lebih serius mulai tahun depan bagi mengelakkan daripada terus berlaku kekecohan dalam masyarakat,” katanya selepas Majlis Berkhatan Beramai-Ramai peringkat Bandar Tun Razak anjuran gabungan Persatuan Penduduk dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Bandar Tun Razak, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Penganjur program berkenaan, Datuk Syed Abdul Rahman Al-Habshi.
Menurut Che Mat, Jawi banyak melakukan penangkapan sebelum ini ke atas individu yang tidak mempunyai tauliah tetapi ia tidak dihebohkan kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan yang seterusnya menjadi krisis dalam masyarakat.
"Selain mereka yang tidak mempunyai tauliah, individu yang diberi hak mengadakan ceramah tetapi menyalah guna institusi masjid juga tidak terkecuali daripada tindakan tegas kerana pentauliahan yang diberi bukan lesen besar untuk mereka bertindak sesuka hati menyampaikan perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Che Mat berkata, Jawi akan berjumpa dan menasihati individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan berkenaan dan tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya mengulang kesalahan sama.
“Saya percaya dengan cara ini, langkah pencegahan aktiviti salah guna masjid dan individu tanpa tauliah dapat dilakukan dengan cara lebih terkawal,” katanya.

ulasan: Ini satu perkembangan yang amat baik bagi membendung unsur-unsur pemecahbelah umat Islam oleh pendakwah-pendakwah yang tidak tahu menghormati adab berceramah. Kalau di sekitar Wilayah Persekutuan, memang banyak terdapat unsur-unsur pemecah-belah ini disampaikan di premis-premis persendirian agar tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa agama. Ada di antara mereka ini dijemput dan dibawa masuk secara bersembunyi oleh beberapa individu dengan alasan menyampaikan dakwah. Contohnya apabila ada individu-individu tertentu membawa masuk Rasul Dahri ke premis-premis persendirian, kemudian berpindah-pindah ke tempat lain agar tidak dapat dikesan. Pihak berwajib mestilah lebih tegas dengan tidak membenarkan langsung kemasukan-kemasukan pendakwah dari luar ini menyampaikan kuliah-kuliah mereka yang dilhat lebih kepada memecah-belahkan kesatuan umat Islam yang sudah lama sedia terjalin tanpa apa-apa masalah.


No comments: