Tuesday, December 8, 2009

Petugas Masjid Amanah Allah.


Hari ini aku bangun agak lewat sedikit untuk melakukan qiamulail iaitu pada jam 3.45 pagi. Namun sempat jugalah untuk bertahajud, solat taubat, solat hajat dan witir. Cuma bezanya kali ini kesempatan untuk melakukan solat tasbih tidak dapat dilaksanakan. Jam sudah menunjukkan pukul 5.20 pagi dan kedengaran suara bacaan Al-Quran dari masjid Kampung Pandan Dalam. Aku pun mula melangkah ke masjid berhampiran rumah ku yang hanya mengambil masa perjalanan 2-3 minit sahaja. Masjid Ar-Rahimah berhampiran rumah ku sudah pun diubah suai dengan karpet yang baru, sistem hawa dingin, lampu down-light yang indah, namun masih sunyi dan gelap gelita di kala Subuh hampir menjelma. Sambil menunggu masjid dibuka, aku duduk di bahagian kolah masjid sambil membaca apa-apa surah yang ku hafal. Di luar sana sudah ada 3 biji kereta yang menunggu masjid dibuka namun kelihatan mereka hampa kerena terlalu lama menunggu. Akhirnya ketiga-tiga kereta tersebut pergi tanpa menunggu dan mungkin ke masjid lain yang sudahpun dibuka. Selesai 2 surah pendek yang ku baca kelihatan masjid dibuka pada jam 5.35 pagi oleh seorang mantan Imam yang sudah tidak lagi bertugas sebagai Imam.
Setelah melakukah solat tahiyatul masjid aku agak hairan dengan persekitaraan masjid yang telahpun cantik diubah suai seakan-akan tidak ada pengurusannya. Ku lihat sejadah Imam masih lagi berlipat dan tidak berbentang. Sedang aku beriktikaf dan beberapa jemaah sedang solat, aku dikejutkan dengan bacaan Al-Quran tanpa bacaan taawuz dan basmallah daripada kaset yang dipasang. Kelihatan juga oleh ku, Noja masjid berlegar-legar di dalam masjid membawa kunci ke sana dan ke mari tanpa tujuan. Akhirnya setelah azan berkumandang dan solat Subuh didirikan, aku hanya berdoa sendirian dan meninggalkan jemaah lain kerana tidak mahu hati ini terus berkata-kata keseorangan tentang apa yang tidak berkenan di hati ku.

Kesimpulannya ialah:

1)Apakah mereka-mereka yang diamanahkan memegang kunci masjid tidak merasa bersalah apabila membiarkan sebahagian jemaah menunggu-nunggu di luar masjid?
2) Apakah fungsi seorang Noja yang hanya membiarkan sejadah Imam, sejadah belakang Imam tidak teratur?
3) Keadaan karpet yang baru, apakah petugas sebagai Noja tidak nampak kekotoran yang ada?
4) Para bilal dan Imam seharusnya lebih dulu ke masjid daripada jemaah-jemaah lain disebabkan merekalah orang yang paling hampir sekali tinggal di masjid.
5) Apakah tidak ada kesepakatan di antara petugas-petugas masjid seolah-olah dilihat berkira-kira dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Sebenarnya perkara begini sudah agak lama terjadi, namun tiada juga perubahan berlaku tentang sikap-sikap petugas-petugas masjid. Adakalanya jemaah juga memainkan peranan seperti melakukan azan di kala tiada bilal, membentangkan sejadah Imam dan belakang Imam dan sebagainya. Namun yang ingin saya pertikaikan di sini ialah tentang amanah Allah yang anda semua pikul apatah lagi anda dibayar untuk tugas-tugas ini. Jika kita tidak mampu untuk melakukan tugas-tugas sebegini, maka kita telah mengkhianati amanah yang telah diberi dan tuan-tuan sebagai orang yang berilmu lebih mengerti tentang hukum-hakamnya daripada saya yang serba kekurangan ini.

No comments: