Tuesday, December 29, 2009

Saman vs Saman.



Tuduhan Dr Asri ke atas Ust. Zamihan.

Saman balas RM100j

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, mengemukakan notis saman balas RM100 juta selepas menerima notis saman RM10 juta daripada bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin, baru-baru ini.
Menurutnya, melalui saman balas itu beliau turut meminta penjelasan kenapa beliau didakwa berfahaman Syiah serta mengkafirkan ulama Arab Saudi dan penduduk Makkah sebelum ini.
“Saman balas itu dibuat pada bulan ini juga (Disember) dan saya bagi tempoh untuk beliau jawab dalam masa tujuh hari, tapi selepas habis tempoh dia tidak jawab,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Berikutan itu, katanya, beliau kini dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan susulan memfailkan kes terbabit di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam beberapa hari lagi.



“Kes ini akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam beberapa hari lagi,” katanya, yang melantik firma guaman Abdul Kadir & Co untuk mewakilinya.


Zamihan sebelum ini dikatakan menerima notis saman daripada Dr Asri melalui firma Mohamed Abdullah & Co yang memberikannya tempoh 48 jam untuk menjawab balik notis berkenaan, berikutan kenyataan dibuatnya dalam laporan sebuah akhbar arus perdana bulan lalu yang bertajuk Jakim: Asri Palsukan Kelulusan Syariah.

Melalui notis saman dikemukakan itu, beliau dituntut supaya menarik balik tuduhan terhadap Dr Asri dan memohon maaf atas kenyataan dalam laporan akhbar terbabit, yang mengaitkan Dr Asri dengan pemalsuan kelayakan di bidang syariah dari Universiti Jordan dan banyak menggunakan metodologi fahaman Wahabi iaitu sayap dalam Islam yang memahami ajaran agama secara ekstrem.

Disebabkan laporan itu juga beliau dituntut ganti rugi, termasuk ganti rugi teladan dan khas, yang berjumlah RM10 juta.

Menurut Zamihan, beliau sebenarnya tidak pernah mengeluarkan kenyataan pemalsuan ijazah seperti disiarkan akhbar terbabit, sebaliknya ia akibat salah faham penulis berkenaan.

“Saya tidak kata Dr Asri palsukan ijazah, saya kata lain, tapi ditulis lain,” katanya, yang kesal dengan laporan terbabit.

Berikutan itu beliau turut dipanggil pihak atasan Jakim untuk memberikan penjelasan dan menasihatkannya supaya menarik balik kenyataan terbabit.

“Selepas itu, saya dipanggil dan minta tarik balik kenyataan dibuat, tetapi saya jelaskan ia kenyataan peribadi, bukannya mewakili jabatan,” katanya.

Berhubung saman balas yang dibuatnya terhadap Dr Asri, katanya, ia adalah rentetan daripada kisah lama bermula sejak 2001 iaitu selepas penerbitan dua buku ditulisnya bertajuk Salafi satu Penilaian dan Menjawab Kritikan Fahaman Wahabi di Malaysia.

“Selepas penerbitan buku itu saya dikritik, dikatakan Syiah dan mengkafirkan ulama Saudi, dikeluarkan dalam tulisan. Saya dikatakan Syiah bukan saja di Malaysia, malah sampai ke Singapura,” katanya.

Zamihan berkata, beliau tidak berniat hendak bersengketa dengan sesiapa termasuk Dr Asri, jauh sekali untuk menaruh dendam dalam persoalan terbabit.

“Saya dengan dia tidak ada apa-apa masalah, kalau jumpa boleh minum bersama, tetapi apabila dia hantar notis saman, saya saman balas,” katanya.

Sementara itu, peguam Dr Asri, Mohamed Abdullah, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh memberikan sebarang komentar mengenai perkara terbabit.


No comments: