Friday, December 25, 2009

Solat Subuh 25/12/2009 Di Ar-Rahimah.

Mungkin tarikh 25/12/2009 ini amat sinonim dengan beberapa masyarakat kita yang jahil tentang agama. Dengan itu tidak hairanlah jika ramai masyarakat Islam di kalangan bangsa kita sendiri begitu ghairah untuk menyambut malam "Christmas Eve" sehingga ke waktu dinihari. Mereka ini seolah-olah tidak tahu betapa sambutan "Christmas Eve" ini adalah untuk golongan-golongan Nasara yang terang-terangan menolak agama Islam.
Pagi Jumaat yang penuh dengan keberkahan ini jatuh pada 25/12/2009 tidak ada kena mengena untuk dikaitkan dengan sambutan Hari Christmas. Jumaat adalah penghulu segala hari dan umat Islam senantiasa menyambutnya sebagai Hari Raya.
Sewaktu malaksanakan solat Subuh di Masjid Ar-Rahimah, saya hampir-hampir mengalirkan airmata apabila Imam yang bertugas membaca Surah Sajadah dan Al-Insan dengan begitu menyentuh benak hati.Lantunan suara beserta dengan alunan lagu beliau menyampaikan bacaan-bacaan tersebut boleh membuatkan kita rasa insaf dan merasa begitu kerdilnya kita di sisi Allah swt. Inilah dia kelebihan seorang hafiz Al-Quran apabila dilantik menjadi Imam, boleh menarik ramai jemaah datang bersolat kerana bacaan-bacaannya yang begitu baik sekali.
Sebelum ini Imam hafiz tersebut iaitu Ust. Syafiq pernah digandingkan bersama seorang lagi Imam hafiz iaitu Ustaz Lokman untuk mengimami solat Tarawikh. Ternyata gandingan mereka berdua membuatkan jemaah-jemaah tempatan tidak lari ke masjid-masjid lain kerana terlalu seronok dan asyik dengan bacaan-bacaan ayat Al-Quran dari kedua-dua hafiz ini. Seandainya setiap masjid meletakkan Imam-Imam hafiz dalam mengepalai solat berjemaah, pada hemat saya akan memberi daya penarik kepada masyarakat setempat untuk berjemaah. Mungkin dengan meletakkan mereka-mereka yang mahir ini setaraf dengan golongan professional dan dibayar mengikut skim gaji pekerja professional, akan lahirlah lebih ramai lagi penghafal-penghafal Al-Quran seperti Ust. Syafiq dan Ust Lokman.

No comments: