Thursday, January 28, 2010

Internal Security Act - ISA.

PUTRAJAYA 27 Jan. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan hanya 10 orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dipercayai terlibat dengan organisasi pengganas antarabangsa.

Menurut beliau, penahanan tersebut membabitkan sembilan orang warganegara asing dan seorang rakyat tempatan.

‘‘Semua kegiatan terorisme yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa merupakan ancaman kepada negara.

‘‘Sama ada mereka merancang melakukan di sini atau di luar negara, selagi (pengganas) berada dalam kawasan kita, ini menjadi bidang kuasa kita dan kita serius dalam menangani terorisme,” tegas beliau.

Kesemua mereka yang ditahan diberitakan oleh Malaysiakini sedang mengikuti kelas agama di Sungai Cincin, Gombak, Selangor. Kerajaan nampaknya harus menyiasat apakah fahaman yang dianuti oleh kesemua mereka yang ditahan ini. Jika mereka berfahaman sebagai pelampau agama, maka kerajaan harus membendung gejala menyebarkannya dari terus merebak di negara ini. Ini disebabkan pelampau agama yang bertindak sebagai teroris sering menghalalkan darah umat Islam yang lain untuk dibunuh.

Kerajaan telah bertindak dengan tangkas kerana kita tidak mahu negara ini terjadinya pengeboman yang sering berlaku di Indonesia kerana fahaman pelampau agama ini. Saya tidak berani untuk mengaitkan mana-mana fahaman, namun gejala seperti ini harus disiasat dengan begitu rapi oleh pihak polis.

Selain itu juga pihak berkuasa mesti bertindak tegas terhadap kumpulan atau individu yang mencemarkan nama negara dengan melakukan kerosakan-kerosakan di rumah-rumah ibadat, samada gereja ataupun masjid. Mereka ini juga dilihat sebagai mengancam keselamatan negara kerana bertindak untuk menghuru-harakan keharmonian perpaduan kaum yang sudah lama terpupuk. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin politik yang cuba menjadi jaguh dengan memburuk-burukkan imej negara ke luar negara. Tindakan pencegahan terpaksa digunakan agar keharmonian hidup rakyat berbilang bangsa dan agama tidak diganggu-gugat oleh pemimpin-pemimpin politik yang mendahulukan partinya daripada kepentingan agama.

No comments: