Sunday, January 17, 2010

Sekitar Muzakarah Ulama Se-Malaysia.





Muzakarah Ulama Se-Malaysia - Dalam Menangani Isu Aqidah Dan Syariah telah diadakan di D'Palma Hotel Kuala Lumpur pada 17/01/2010 bermula jam 9.00 pagi-5.00 petang. Di antara pembentang kertas kerja yang dijemput untuk menyampaikan maklumat kepada hadirin ialah al-Fadhil Ustaz Mahfuz Bin Muhammad al-Khalil (Fahaman Aqidah Yang Bertentangan Dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah), Al-Fadhil Ustaz Dr. Abdul Aziz Hanafi (Isu-Isu Berkaitan Fiqh Dan Masalah Khilafiyah) dan al-Fadhil Ustaz Zamihan Bin Mat Zin al-Ghari (Perkembangan Semasa Aliran Yang Bertentangan Dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah).
Sebelum itu kata-kata aluan majlis telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Syed Hussein al-Habshee dan perasmian telah dilakukan oleh Pengarah JAKIM iaitu Yang Berbahagia Dato' Wan Mohamad Bin Dato' Sheikh Abdul Aziz.
Para hadirin yang turut sama dalam majlis ini terdiri daripada para Mufti, Timbalan Mufti, Ahli Majlis Fatwa Negeri-Negeri, Para Ulama dan Ilmuan Islam, Tuan Guru Pondok, Pendakwah serta Guru-Guru Agama.
Selepas selesai pembentangan kertas kerja oleh ketiga-tiga ahli panel, maka muzakarah pun bermula dengan penuh adab dalam menyampaikan usul-usul untuk diketengahkan. Di antara mereka termasuklah Dr. Uthman Muhamadiy, Dato' Noh Gadut, Dato' Hassan Ahmad (Mufti Pulau Pinang), Tuan Guru Haji Salleh dan beberapa lagi tokoh-tokoh ilmuan Islam.
Adalah diharap agar matlamat muzakarah yang diadakan ini mencapai objektifnya terutama sekali untuk disampaikan kepada Ketua Agama dan pihak yang berwajib bagi membendung penyebaran fahaman aqidah/fiqh yang mengelirukan.
Muzakarah tertutup ini yang dianjurkan bersama oleh Institut Silsilah Assadah, Yayasan Al Sofa, Pertubuhan Kebajikan Al Jamiatul Khairah Selangor & Wilayah Persekutuan, Madrasah Islamiah Jenderam, Persatuan Intelektual Warisan Islam diharap dapat dijadikan satu muzakarah tahunan demi memartabatkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.
Segala isi kandungan dalam muzakarah ini tidak dapat disiarkan dalam blog ini dan biarlah ianya dibawa oleh pihak penganjur ke meja perundingan bersama Ketua Agama, pihak berwajib dan lain-lain lagi.

No comments: