Thursday, February 25, 2010

Salam Maulidur Rasul.

Pada hari ini tanggal 26/02/2010 bersamaan 12 Rabiulawal 1431H, Hari Jumaat, seluruh umat Islam di dunia menyambut Maulidur Rasul bagi memuliakan insan yang bernama Muhammad Bin Abdullah s.a.w. Walaupun ada kekhilafan dalam tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w, namun yang penting memuliakannya serta membesarkan junjungan Nabi adalah satu tuntutan kepada umat Islam. Berbagai-bagai cara umat Islam menunjukkan tanda kasih dan sayang mereka kepada junjungan mulia utusan Allah dengan iringan selawat berpanjangan. Apatah lagi ia disambut pada Hari Jumaat, penghulu segala hari di mana umat islam dituntut untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjunagn Rasulullah s.a.w. dan dijanjikan syafaat oleh Rasulullah s.a.w. sendiri.
Sesungguhnya perayaan menyambut Maulidur Rasul ini bukannya perkara bidaah yang mungkar seperti yang dituduh oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Siapakah yang kita muliakan itu dan di mana salahnya kita memuliakan insan yang telah membawa cahaya iman kepada kita selama ini. Jika tidak diadakan sambutan yang menggalakkan umat Islam terus-terusan berselawat, maka umat islam hanyalah berselawat ke atas Nabi yang mulia ini sewaktu melakukan solat, itupun disebabkan wajib berselawat.
Kalau di negara kita misalnya, sambutan keputeraan Sultan-Sultan diadakan, sambutan Hari jadi anak dan isteri diingati, apakah Rasulullah s.a.w tidak boleh kita ingati kerana Baginda s.a.w lebih mulia dan lebih wajib kita kasihi daripada keluarga kita sendiri walaupun ayah dan ibu kita sendiri. Pihak-pihak yang begitu alergi dengan sambutan Maulidur Rasul ini menuduh pula umat Islam berlebih-lebihan dalam memuji Rasulullah s.a.w sehingga kita dituduh mempertuhankan Muhammad s.a.w. Sejak beratus-ratus tahun tidak pernah ada umat islam yang solat " kerana Muhammad s.a.w untuk diganti dengan kerana Allah Ta'ala". Aqidah umat islam dijaga oleh Allah swt, maka janganlah berburuk sangka dengan aqidah umat Islam yang ada. Kalau adapun yang tersesat dalam aqidahnya, hanyalah segelintir kecil bagi yang mengikuti ajaran sesat seperti ajaran Hj Kahar, Ayah Pin, ajaran Rejab dan lain-lain.
Bagi yang alergi dengan sambutan Maulidur Rasul ini sepatutnya bersikap terbuka tanpa menuduh umat Islam merayakan sambutan Maulidur Rasul sebagai mengikuti ajaran Yahudi dan Nasrani yang memperingati kelahiran Nabi Isa a.s. Kalau tak mahu berarak, berzanji, membaca Qasidah, Burdah dan sebagainya diam-diam sudahlah dan tidak ada sesiapa yang memaksa anda untuk mengikuti apa yang kami lakukan. Ketahuilah bahawa niat mereka yang menyambut Maulidur Rasul ini adalah dengan bertujuan memuliakan Nabi dan menyambut kegembiraan mereka di atas kelahiran insan yang membawa kerahmatan untuk seluruh alam. Penduduk Madinah juga begitu gembira menyambut penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Kota Mekah untuk membawa cahaya keimanan kepada mereka, maka tidak salah jika umat Islam begitu gembira menyambut Maulidur Rasul dengan cara-cara yang tidak bersalahan dengan hukum syarak. Semoga mereka-mereka yang memuliakan junjungan besar Muhammad s.a.w akan mendapat syafaat seperti yang dijanjikan oleh Allah dan Rasulnya.
"SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL"

Wednesday, February 24, 2010

Buku Jawapan Kepada Salafiyyah Al-Wahhabiyyah.

Muka Depan.
Muka Belakang.
Muka Depan.
Muka Belakang.

Kedua-dua buku di atas adalah tulisan Allamah Dr Hassan Ali Al-Saqqaf Al-Qurasyi Al-Hasyimi dan telah diterjemahkan oleh Al-Fadhil Ustaz Zamihan Mat Zin Al-Ghari. Kedua-dua buku ini adalah jawapan serta penjelasan terhadap dalil-dalil Syeikh Al-Baani dan kesamaran yang dinyatakan dalam kitabnya Sifatussolah an-Nabi s.a.w. Buku ini telah disemak oleh Sahibul Fadhilah Dato' Hj. Mohd Saleh Hj. Ahmad dan Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.
Kandungan buku ini amat baik sekali untuk dibaca kerana sumbernya berteraskan kepada hadis-hadis yang sahih apatah lagi hadis-hadis berkenaan ditakhrijkan dan dijelaskan statusnya berdasarkan pendapat ulama yang sememangnya diiktiraf sebagai pakar hadis.
Buku ini tampil menjelaskan kesamaran yang diutarakan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab sekitar permasalahan solat. Masalah bida'ah, melafazkan niat, solat menghormati waktu, doa qunut, wirid, zikir, doa dan lain-lain dijelaskan satu persatu oleh pengarangnya.
Untuk mendapatkan buku ini bolehlah berhubung terus dengan Al-Fadhil Ustaz Zamihan sendiri dan buku ini juga telah ditempah oleh Jabatan Agama Singapura sebanyak 5000 nashkah. Segala permasalah daripada mengambil wuduk hinggalah memberi salam diperjelaskan dengan begitu terperinci sekali di dalam buku yang begitu baik ini.

Monday, February 22, 2010

Tok Guru Oh Tok Guru.....



Di antara kata-kata Nik Aziz dalam video di atas ialah:

"Rasulullah s.a.w. adalah jawatan yang dilantik oleh Allah sendiri. Allah sendiri tengok dalam ramai-ramai manusia di muka bumi ini entah berapa ribu juta trillion manusia ni ada seorang di dunia ni namanya Muhammad Bin Abdullah s.a.w. Beliau telah dilantik menjadi nabi bila umur dia 40 tahun. Waktu dia beranak jadi 40 tahun belum jadi nabi ni dia beranak, bonda dia mak dia Siti Aminah tak tahu anaknya ini akan dilantik menjadi nabi."
"Sebagaimana yang disebut minggu lepas, kita menyambut maulid nabi, maulid nabi ni kerja tak sudah. Jangan ingat bila kita sambut maulid nabi ni selesai masalah".
"Kalau Nabi Muhammad waktu dia beranak tu serupa Muhammad Muhammad lain. Kat kampung kita ada Muhammad,situ ada Muhammad, ada Mat, orang Melayu Kelantan panggil Mat, Mat anak kita, Mat budak kampung kita dengan Mat Bin Abdullah di Tanah Arab tu waktu dia beranak serupa aja. Yang jadi masalah, yang jadi kita dengan dia peringkat rapat ni setelah 40 tahun kemudian bila beliau jadi nabi dengan turunnya ayat Iqra'..........

Inilah dia kata-kata yang keluar dari mulut seorang yang dilabelkan sebagai Tok Guru oleh pengikut-pengikutnya. Apakah Nabi Muhammad s.a.w sebelum dilantik menjadi Rasul sama dengan manusia-manusia lain yang bernama Muhammad? Apakah Allah melantik seorang Rasul dengan melihat dalam ramai-ramai manusia yang ada di muka bumi ini?
Sebelum Nabi Muhammad diutus menjadi Rasul, telah termaktub dalam kitab Injil akan kelahirannya serta tanda-tanda kerasulannya.Malah Nabi Muhammad dilahirkan adalah dari nasab Nabi Ibrahim a.s, apakah sama dengan Muhammad yang ada di Kelantan? Nabi Muhammad sewaktu kecilnya telah dibedah dadanya oleh 2 Malaikat untuk menyuci hati Baginda sewaktu Baginda sedang bermain-main dengan anak Halimah (ibu susuan Baginda). Apakah ia berlaku pada Mat atau Muhmmad yang lain?
Sewaktu Nabi Muhammad berusia 12 tahun, Baginda telah dibawa ke Syam oleh Abu Talib dalam urusan perdagangan.Seorang Rahib di Busra telah melihat tanda-tanda kerasulan Baginda seperti apa yang tercatat di dalam Kitab Injil dan Taurat dan meminta Abu Talib membawanya pulang agar tidak tidak diapa-apakan oleh orang Yahudi. Apakah ini juga berlaku sama dengan Muhammad atau Mat di kampung Tok Guru? Nabi Muhammad s.a.w sebelum menjadi Rasul telah diberi gelaran "Al-Amin" kerana beliau seorang yang dipercayai dan tidak pernah berdusta walaupun sekali. Apakah Muhammad atau Mat yang ada di Kelantan sama akhlaknya seperti Nabi Muhammad sebelum dilantik menjadi Rasul? Abu Talib iaitu bapa saudara Nabi pernah menasihatkan beliau agar tidak mendedahkan tubuhnya kerana pesanan seorang Rahib yang melihat tanda-tanda kerasulan Baginda pada tubuhnya. Ini bagi mengelakkan orang Yahudi akan mengapa-apakan Nabi Muhammad s.a.w kerana mereka juga membaca apa yang tercatat di dalam Kitab Taurat dan Injil tentang tanda-tanda seorang Rasul. Apakah Muhammad atau Mat yang ada di kampung Tok Guru begitu juga sewaktu sedang menangkap ikan di laut? Seperkara lagi, sewaktu Muhammad s.a.w pulang dari berdagang di Syam, pembantu Siti Khadijah iaitu Maisarah telah melihat segumpal awan telah mengikuti perjalanan Muhammad s.a.w bagi melindunginya dari kepanasan teriknya cahaya matahari. Apakah ini juga terjadi kepada Mat-Mat di kampung Tok Guru? Semua peristiwa ini berlaku sebelum Muhammad s.a.w diutus menjadi Rasul yang agong.
Adalah terlalu dangkal dan celupar jika Tok Guru ini ingin menyamakan Nabi Muhammad s.a.w sebelum dilantik menjadi Rasul sama dengan Muhammad yang lain. Kalaupun Tok Guru ni alergi dengan sambutan Mulidur Rasul, tak seharusnya beliau berkata seolah-olah satu penghinaan kepada kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w. Ingatlah Tok Guru, sebelum Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan, nama Baginda telah dilihat sendiri oleh Nabi Adam a.s tertulis di langit. Jangan samakan Nabi Muhammad s.a.w sebelum diutus menjadi Rasul dengan Mat-Mat lain walaupun namanya Nik Mat sekalipun. Tidak sekali-kalinya sama.......Maaf jika tersebut Nik Mat kerana Tok Guru secara biadab mengeluarkan kata-kata manghina nasab serta kemulian Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Kalau nak jadi umat Nabi Muhammad s.a.w yang terpuji, beradablah bila membicarakan nasab Nabi Muhammad s.a.w.

Sunday, February 21, 2010

I'tikaf di Masjid Ainul Yaqien, Berkasi, Jakarta.

Masjid Ainul Yaqien.
Hiasan Dalaman Ainul Yaqien.
Kubah Ainul Yaqien Dengan 99 Nama Allah.
Kaabah Untuk Kursus Haji.
Van Jenazah.
Rumah Penginapan Kami Di Ainul Yaqien.

Pada 14/02/2010, bersamaan Hari Ahad saya bersama seorang rakan telah pergi ke Masjid Ainul Yaqien, Berkasi Jakarta untuk tujuan beriktikaf dan menuntut ilmu. Ini adalah kunjungan saya yang ke dua ke Masjid Ainul Yaqien. Kami menaiki pesawat KLM pada jam 5.10 pm waktu Malaysia dan mendarat jam 6.10 pm waktu Jakarta.
Sepanjang berada di Masjid Ainul Yaqien, kami didedahkan dengan pengajaran tentang hubungan sesama insan dan hubungan insan dengan sang penciptanya. Terasa amat berbeza sekali kehidupan yang ditunjukkan oleh masyarakat di Ainul Yaqien yang menjalankan kehidupan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.
Masjid Ainul Yaqien didirikan pada tahun 1974 tanpa ada apa-apa sumbangan daripada pihak pemerintah. Pengasas Masjid Ainul Yaqien iaitu Kiai Raden Haji Zailani telah berjaya mendirikan masjid ini tanpa meminta sumbangan daripada mana-mana pihak tetapi hanya memohon ke hadrat Illahi agar niat murninya tercapai. Alhamdulillah, doanya dimakbulkan maka terdirilah Masjid Ainul Yaqien yang diterangi dengan lampu kristal, lantai ceramic hijau, "stainless steel railing" dan masjid ini dibuka 24 jam kerana tidak ada pintu untuk menutupnya.
Perbezaan amalan di Ainul Yaqien ialah, mereka melaksanakan solat Isya' pada jam 12.00 malam setelah berehat sebentar selepas waktu Maghrib. Selesai solat Isya', jemaah akan melakukan solat Tahajuud. solat Taubat dan terus beriktikaf sehingga Subuh. Masjid Ainul Yaqien juga tidak meletakkan sebarang tabung di dalam masjid dan segala sumbangan yang hendak dilakukan mestilah dilakukan di luar masjid.
Masjid Ainul Yaqien menerima ramai tetamu yang datang dari berbagai pelosok Jakarta untuk mendapatkan rawatan Islam tanpa ada apa-apa bayaran dikenakan. Setiap hari, bagi mereka yang datang beriktikaf di masjid ini akan dijamu dengan minuman pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam dengan percuma.
Sepanjang saya dan teman berada di Masjid Ainul Yaqien, kami tidak pernah mendengar sebarang rungutan, percakapan-percakapan yang sia-sia ataupun perbuatan-perbuatan buruk yang ditunjukkan oleh warga Ainul Yaqien. Sesungguhnya mereka berkhidmat untuk masjid dengan begitu ikhlas tanpa dibayar dengan duit dan apa yang mereka harapkan adalah keredhaan dari Allah jua. Saya bersama teman pulang semula ke Kuala Lumpur pada 18/02/2010 dan berazam akan mengunjungi lagi Masjid Ainul Yaqien jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Kepada warga Ainul Yaqien, kami doakan semoga layanan baik yang diberikan dibalas ganjaran pahala oleh Allah swt.

Friday, February 12, 2010

Hikmah Di Sebalik Isu Kalimah Allah.


Dr. Zulkifli Nordin teguh pendirian demi agama Islam.

Malam ini selepas solat Maghrib bersamaan dengan 12/02/2010, satu penerangan bertajuk "Hikmah Di Sebalik Isu Kalimah Allah" akan diadakan di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan. Penceramah yang tidak asing lagi iaitu Al-Fadhil Ustaz Zamihan Bin Mat Zin akan mengupas segala persoalan untuk memberi kefahaman kepada umat Islam tentang pergolakan isu kalimah Allah yang berlaku.
Bagi jemaah-jemaah Masjid Ar-Rahimah yang masih lagi taksub dengan pegangan parti mereka dengan menggadaikan kalimah Allah demi parti mereka, dijemput untuk mendengar penjelasan yang akan disampaikan oleh Ustaz Zamihan Bin Mat Zin.

Sunday, February 7, 2010

Kuliah Subuh Masjid Ar-Rahimah 07/02/2010.

Gambar Hiasan.

Seperti biasa pada pagi Subuh Hari Ahad, kebanyakan masjid-masjid di Lembah Kelang akan mengadakan kuliah Subuh. Kali ini saya tidak berhijrah ke masjid lain untuk solat Subuh kerana hati tergerak untuk ke masjid yang berdekatan dengan rumah saya untuk mendengar kuliah. Sebagaimana rutinnya, kuliah Subuh disampaikan oleh Ustaz Rohaily Bin Abd Hamid, seorang Imam yang bertugas di Masjid Sungai Mulia Gombak.
Kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Rohaily dalam nada bersahaja sebenarnya menunjukkan betapa hati beliau begitu kecewa dengan sikap umat Islam masakini yang melalaikan perintah Allah swt. Beliau secara sinis menegur umat Islam yang tidak menunjukkan kesungguhan mereka dalam menghayati makna cintakan Allah dengan sebenar-benarnya. Sambil memberikan beberapa contoh tentang gejala buruk yang berlaku di kalangan umat Islam masakini menunjukkan betapa umat Islam lebih mencintai kehidupan duniawi berbanding dengan kehidupan akhirat.
Salah satu yang menarik perhatian saya tentang kuliah beliau, ialah apabila beliau menempelak petugas-petugas masjid yang duduk sebagai Imam dan bilal yang tidak menunjukkan contoh yang terbaik kepada masyarakat. Sebagai Imam, beliau memberitahu betapa tugas sebagai Imam bukanlah sesuatu yang begitu mudah untuk dipikul. Kenyataan beliau itu amat benar sekali kerana orang yang begitu penting dalam mengimarahkan masjid tidak pernah duduk bersama-sama jemaah untuk mendengar kuliah yang disampaikan oleh penceramah yang dijemput. Mungkin setelah begitu lama Ustaz Rohaily menyampaikan kuliahnya, maka beliau begitu perasan dengan situasi yang berlaku. Maka dengan itu beliau menyampaikan rasa kecewanya melalui kuliah tetapai apakah ia didengari oleh Imam dan Bilal masjid?
Selain itu beliau juga berjaya dalam pemerhatiannya apabila ada beberapa jemaah yang dilihat tidak sabar-sabar untuk balik selepas sahaja menyempurnakan solatnya. Ada juga yang bangun selepas memberi salam kedua dan akhirnya belabuh di kedai-kedai kopi untuk bersarapan. Inilah dia yang dimaksudkan oleh Ustaz Rohaily betapa tiada kesungguhan umat Islam dalam menghayati kecintaan terhadap Allah swt. Dalam pengamatan saya tentang kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Rohaily, beliau sebenarnya ingin melihat petugas-petugas masjid seperti Imam, Bilal dan para jemaah faham apakah yang dimaksudkan dengan kecintaan kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Wednesday, February 3, 2010

Anwar Ibrahim Dan Saiful Bukhari.

Perbicaraan kedua-dua insan ini sudah pun bermula setelah ianya tertangguh sekian lama. Nampaknya sejarah 1998 berulang semula dengan kes yang sama. Pihak media baik elektronik dan media cetak memulakan peranan mereka untuk menyampaikan informasi kepada rakyat dengan berbagai-bagai andaian. Ada juga penyampaian dibuat melalui keterangan-keterangan di dalam mahkamah oleh peguam-peguam yang dilantik.
Saya tidak mahu menyentuh siapakah yang benar dan siapa yang salah dalam isu liwat yang dimainkan. Hanya kedua-dua insan ini yang tahu kedudukan sebenarnya, apakah yang berlaku pada 26hb Jun 2008 jam 3.01 pm dan 4.30 pm di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominuim. Biarlah keputusan ditentukan oleh hakim yang bijaksana serta adil yang menurut pengadilan berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis. Ini akan ditanya oleh Allah swt, jika pengadilan kita dilihat berat sebelah tidak kira di pihak mana sekalipun.
Cuma yang dibimbangi ialah peranan media-media yang menjadikan kes ini sebagai sesuatu yang menggairahkan. Laporan-laporan yang menyebut atau menulis tentang "dubur, zakar, air mani' dan sebagainya begitu jijik untuk didengar atau dibaca terutama sekali oleh anak-anak kita yang tak mengerti apa-apa. Mungkin disebabkan kes ini dilihat sebagi kes berprofil tinggi yang melibatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim, namun apabila sesuatu kes dibicarakan di akhirat kelak, tidak ada yang istimewa diletakkan sebagai berprofil tinggi. Semua manusia akan dibicarakan dengan seadil-adilnya tanpa darjat atau keturunan.
Walaubagaimanapun inilah dia kebusukan dunia, penuh dengan berbagai-bagai perlakuan buruk berlaku. Kes bunuh, rogol, liwat, fitnah, tohmahan, ketidakadilan sistem perundangan yang dicipta oleh manusia sendiri, caci, maki dan macam-macam lagi sudah sebati dengan darah daging manusia itu sendiri. Bagi kedua-dua insan bernama Anwar dan Saiful, anda berdua bukan hanya menjadi tontonan masyarakat dunia, malah Allah dan para MalaikatNya juga menyaksikan tindak tanduk kamu berdua. Siapakah yang bersalah di antara keduanya? Hanya Allah swt yang lebih Mengetahui.

Pesanan untuk Hakim.

"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu, (melalui wahyuNya) dan janganlah kamu menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat" - Surah An-Nisa 105.

Monday, February 1, 2010

Wahabi Kena ISA.

Aiman Yusof Al-Daqqaq.

Penyebar Wahabi dari Syria telah ditahan di bawah ISA sewaktu menyampaikan kuliahnya di sebuah rumah di Sungai Cincin Gombak Selangor. Di antara penggemar kuliah beliau secara online ialah al-fikrah.net yang merupakan pengembang fahaman Wahabi di Malaysia. Sewaktu Aiman Yusof berada di UIA, fahaman Wahabi semakin berkembang di kalangan penuntut-penuntut university tersebut. Di antara 10 orang yang ditahan di bawah ISA, salah seorang adalah rakyat Malaysia, siapakah dia?
Ketegasan kerajaan mengekang fahaman Wahabi seperti ini harus dipuji kerana fahaman mereka boleh mengancam keselamatan negara. Selain itu pihak berwajib juga harus menyiasat sarang-sarang Wahabi seperti I'ttiba Us-Sunnah Kuala Pilah kerana pergerakan mereka juga dilihat disokong oleh pelampau-pelampau politik yang menentang kerajaan. Ittiba Us-Sunnah juga dilihat secara halus menyampaikan fahamannya bertopengkan agama tetapi secara terang-terangan membelakangi jabatan-jabatan agama yang diiktiraf oleh Sultan.
Di antara fahaman mereka yang begitu popular ialah, umat Islam yang tidak mengikut acuan mereka akan dituduh sebagai pembuat bidaah, kafir dan syirik. Maka dengan itu secara tidak langsung, darah mereka adalah halal untuk dibunuh. Contoh yang terbaik ialah di Indonesia, kerana rata-rata pengebom-pengebom tempat-tempat awam berfahaman Wahabi. Fahaman Wahabi yang semakin membimbangkan ini harus dicegah sebelum ianya menjadi lebih parah lagi.