Wednesday, February 3, 2010

Anwar Ibrahim Dan Saiful Bukhari.

Perbicaraan kedua-dua insan ini sudah pun bermula setelah ianya tertangguh sekian lama. Nampaknya sejarah 1998 berulang semula dengan kes yang sama. Pihak media baik elektronik dan media cetak memulakan peranan mereka untuk menyampaikan informasi kepada rakyat dengan berbagai-bagai andaian. Ada juga penyampaian dibuat melalui keterangan-keterangan di dalam mahkamah oleh peguam-peguam yang dilantik.
Saya tidak mahu menyentuh siapakah yang benar dan siapa yang salah dalam isu liwat yang dimainkan. Hanya kedua-dua insan ini yang tahu kedudukan sebenarnya, apakah yang berlaku pada 26hb Jun 2008 jam 3.01 pm dan 4.30 pm di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominuim. Biarlah keputusan ditentukan oleh hakim yang bijaksana serta adil yang menurut pengadilan berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis. Ini akan ditanya oleh Allah swt, jika pengadilan kita dilihat berat sebelah tidak kira di pihak mana sekalipun.
Cuma yang dibimbangi ialah peranan media-media yang menjadikan kes ini sebagai sesuatu yang menggairahkan. Laporan-laporan yang menyebut atau menulis tentang "dubur, zakar, air mani' dan sebagainya begitu jijik untuk didengar atau dibaca terutama sekali oleh anak-anak kita yang tak mengerti apa-apa. Mungkin disebabkan kes ini dilihat sebagi kes berprofil tinggi yang melibatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim, namun apabila sesuatu kes dibicarakan di akhirat kelak, tidak ada yang istimewa diletakkan sebagai berprofil tinggi. Semua manusia akan dibicarakan dengan seadil-adilnya tanpa darjat atau keturunan.
Walaubagaimanapun inilah dia kebusukan dunia, penuh dengan berbagai-bagai perlakuan buruk berlaku. Kes bunuh, rogol, liwat, fitnah, tohmahan, ketidakadilan sistem perundangan yang dicipta oleh manusia sendiri, caci, maki dan macam-macam lagi sudah sebati dengan darah daging manusia itu sendiri. Bagi kedua-dua insan bernama Anwar dan Saiful, anda berdua bukan hanya menjadi tontonan masyarakat dunia, malah Allah dan para MalaikatNya juga menyaksikan tindak tanduk kamu berdua. Siapakah yang bersalah di antara keduanya? Hanya Allah swt yang lebih Mengetahui.

Pesanan untuk Hakim.

"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu, (melalui wahyuNya) dan janganlah kamu menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat" - Surah An-Nisa 105.

No comments: