Sunday, February 21, 2010

I'tikaf di Masjid Ainul Yaqien, Berkasi, Jakarta.

Masjid Ainul Yaqien.
Hiasan Dalaman Ainul Yaqien.
Kubah Ainul Yaqien Dengan 99 Nama Allah.
Kaabah Untuk Kursus Haji.
Van Jenazah.
Rumah Penginapan Kami Di Ainul Yaqien.

Pada 14/02/2010, bersamaan Hari Ahad saya bersama seorang rakan telah pergi ke Masjid Ainul Yaqien, Berkasi Jakarta untuk tujuan beriktikaf dan menuntut ilmu. Ini adalah kunjungan saya yang ke dua ke Masjid Ainul Yaqien. Kami menaiki pesawat KLM pada jam 5.10 pm waktu Malaysia dan mendarat jam 6.10 pm waktu Jakarta.
Sepanjang berada di Masjid Ainul Yaqien, kami didedahkan dengan pengajaran tentang hubungan sesama insan dan hubungan insan dengan sang penciptanya. Terasa amat berbeza sekali kehidupan yang ditunjukkan oleh masyarakat di Ainul Yaqien yang menjalankan kehidupan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.
Masjid Ainul Yaqien didirikan pada tahun 1974 tanpa ada apa-apa sumbangan daripada pihak pemerintah. Pengasas Masjid Ainul Yaqien iaitu Kiai Raden Haji Zailani telah berjaya mendirikan masjid ini tanpa meminta sumbangan daripada mana-mana pihak tetapi hanya memohon ke hadrat Illahi agar niat murninya tercapai. Alhamdulillah, doanya dimakbulkan maka terdirilah Masjid Ainul Yaqien yang diterangi dengan lampu kristal, lantai ceramic hijau, "stainless steel railing" dan masjid ini dibuka 24 jam kerana tidak ada pintu untuk menutupnya.
Perbezaan amalan di Ainul Yaqien ialah, mereka melaksanakan solat Isya' pada jam 12.00 malam setelah berehat sebentar selepas waktu Maghrib. Selesai solat Isya', jemaah akan melakukan solat Tahajuud. solat Taubat dan terus beriktikaf sehingga Subuh. Masjid Ainul Yaqien juga tidak meletakkan sebarang tabung di dalam masjid dan segala sumbangan yang hendak dilakukan mestilah dilakukan di luar masjid.
Masjid Ainul Yaqien menerima ramai tetamu yang datang dari berbagai pelosok Jakarta untuk mendapatkan rawatan Islam tanpa ada apa-apa bayaran dikenakan. Setiap hari, bagi mereka yang datang beriktikaf di masjid ini akan dijamu dengan minuman pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam dengan percuma.
Sepanjang saya dan teman berada di Masjid Ainul Yaqien, kami tidak pernah mendengar sebarang rungutan, percakapan-percakapan yang sia-sia ataupun perbuatan-perbuatan buruk yang ditunjukkan oleh warga Ainul Yaqien. Sesungguhnya mereka berkhidmat untuk masjid dengan begitu ikhlas tanpa dibayar dengan duit dan apa yang mereka harapkan adalah keredhaan dari Allah jua. Saya bersama teman pulang semula ke Kuala Lumpur pada 18/02/2010 dan berazam akan mengunjungi lagi Masjid Ainul Yaqien jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Kepada warga Ainul Yaqien, kami doakan semoga layanan baik yang diberikan dibalas ganjaran pahala oleh Allah swt.

1 comment:

BLOGGER PINK GEAR RUN said...

salam..
berkunjung dan membaca artikel anda..sangat bermanfaat, tks