Sunday, February 7, 2010

Kuliah Subuh Masjid Ar-Rahimah 07/02/2010.

Gambar Hiasan.

Seperti biasa pada pagi Subuh Hari Ahad, kebanyakan masjid-masjid di Lembah Kelang akan mengadakan kuliah Subuh. Kali ini saya tidak berhijrah ke masjid lain untuk solat Subuh kerana hati tergerak untuk ke masjid yang berdekatan dengan rumah saya untuk mendengar kuliah. Sebagaimana rutinnya, kuliah Subuh disampaikan oleh Ustaz Rohaily Bin Abd Hamid, seorang Imam yang bertugas di Masjid Sungai Mulia Gombak.
Kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Rohaily dalam nada bersahaja sebenarnya menunjukkan betapa hati beliau begitu kecewa dengan sikap umat Islam masakini yang melalaikan perintah Allah swt. Beliau secara sinis menegur umat Islam yang tidak menunjukkan kesungguhan mereka dalam menghayati makna cintakan Allah dengan sebenar-benarnya. Sambil memberikan beberapa contoh tentang gejala buruk yang berlaku di kalangan umat Islam masakini menunjukkan betapa umat Islam lebih mencintai kehidupan duniawi berbanding dengan kehidupan akhirat.
Salah satu yang menarik perhatian saya tentang kuliah beliau, ialah apabila beliau menempelak petugas-petugas masjid yang duduk sebagai Imam dan bilal yang tidak menunjukkan contoh yang terbaik kepada masyarakat. Sebagai Imam, beliau memberitahu betapa tugas sebagai Imam bukanlah sesuatu yang begitu mudah untuk dipikul. Kenyataan beliau itu amat benar sekali kerana orang yang begitu penting dalam mengimarahkan masjid tidak pernah duduk bersama-sama jemaah untuk mendengar kuliah yang disampaikan oleh penceramah yang dijemput. Mungkin setelah begitu lama Ustaz Rohaily menyampaikan kuliahnya, maka beliau begitu perasan dengan situasi yang berlaku. Maka dengan itu beliau menyampaikan rasa kecewanya melalui kuliah tetapai apakah ia didengari oleh Imam dan Bilal masjid?
Selain itu beliau juga berjaya dalam pemerhatiannya apabila ada beberapa jemaah yang dilihat tidak sabar-sabar untuk balik selepas sahaja menyempurnakan solatnya. Ada juga yang bangun selepas memberi salam kedua dan akhirnya belabuh di kedai-kedai kopi untuk bersarapan. Inilah dia yang dimaksudkan oleh Ustaz Rohaily betapa tiada kesungguhan umat Islam dalam menghayati kecintaan terhadap Allah swt. Dalam pengamatan saya tentang kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Rohaily, beliau sebenarnya ingin melihat petugas-petugas masjid seperti Imam, Bilal dan para jemaah faham apakah yang dimaksudkan dengan kecintaan kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

No comments: